Monday, March 27, 2000

Raja-raja berhak memastikan perpaduan bangsa Melayu

Oleh Wan Hazmir Bakar

(BH 27/03/2000 p.10)

BANGSA Melayu tetap berhutang budi kepada raja-raja. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa raja atau sultan Melayu memainkan peranan penting menjadikan bangsa Melayu sebagai umat Islam. Hakikat ini tercatat dalam lipatan sejarah bangsa seperti yang dikisahkan dalam sejarah Kesultanan Melayu Melaka.

Penerimaan Parameswara terhadap agama Islam menyebabkan keseluruhan rakyatnya memeluk Islam. Sejak detik itu, agama Islam terus subur di Semenanjung Tanah Melayu dan di nusantara dengan raja-raja Melayu menjadi penjaga agama Islam.

Walaupun kekuasaan bangsa Melayu di nusantara berakhir dengan keruntuhan empayar Melayu Melaka dan seterusnya dengan kemasukan kaum Eropah yang meneruskan saki-baki Perang Salib, keimanan bangsa Melayu yang diterajui raja-raja tetap utuh.

Biarpun diuji oleh satu demi satu bangsa Eropah - daripada Portugis, Belanda dan akhirnya Inggeris - bangsa Melayu tetap berpegang kepada Islam. Bayangkanlah apa akan terjadi seandainya Raja-Raja Melayu tidak mempertahankan agama Islam, sebaliknya tunduk kepada penjajah dan menerima agama mereka.

Ketegasan Raja-Raja Melayu mempertahankan akidah bangsanya, menyebabkan penjajah Inggeris akur dan menerima hakikat keimanan bangsa Melayu sukar digugat. Tidak seperti di Filipina dan Indonesia yang mana hampir semua atau sebilangan besar bangsa pribuminya menganut agama lain.

Penjajah Inggeris sendiri memperakui kuasa raja-raja Melayu dalam soal agama Islam. Pengiktirafan ini terus kekal dalam Perlembagaan Persekutuan yang dirangka Suruhanjaya Reid untuk Malaysia yang merdeka. Kuasa raja-raja dalam bidang agama tidak terusik dan tercabar sejak dulu hingga kini.

Persoalannya kini, mengapakah peranan raja-raja dalam menjaga kesucian agama Islam dan perpaduan umatnya di Malaysia kini hebat diperkatakan? Apakah Raja-Raja Melayu tidak lagi melaksanakan tanggungjawab yang mereka pikul selama ini? Apakah Raja-Raja Melayu sudah kehilangan kuasa? Apakah hanya kerajaan yang diterajui parti politik yang bertanggungjawab dalam soal agama?

Perubahan budaya politik negara sejajar dengan perubahan sistem politik dunia selepas era penjajahan yang menyaksikan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan menggantikan sistem feudal di kebanyakan negara yang mempunyai raja.

Bagi konteks Malaysia, perubahan budaya politik inilah yang menyebabkan raja semakin jauh dari aspek pentadbiran negara, kata Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh.

Prof Wan Hashim berkata, politik kepartian kini menjadi dominan. Ahli politik yang menjadi sebahagian daripada badan pemerintah atau eksekutif lebih dekat dengan rakyat berbanding raja-raja. Maka, tidak hairanlah jika rakyat beranggapan bahawa segala urusan pentadbiran negara termasuk agama dipikul kerajaan.

"Selepas merdeka, pemimpin politik berada di tengah masyarakat manakala raja-raja berada pada peringkat tinggi tetapi agak jauh. Politik kepartian mendominasi kehidupan kita. Politik kepartian sampai kepada semua peringkat masyarakat sehinggalah ke kampung dan daerah," katanya.

Beliau berkata, fenomena baru ini memberi ruang kepada kewujudan perbezaan politik di kalangan rakyat. Kalau dulu rakyat bernaung terus di bawah raja-raja, mereka kini bernaung di bawah parti politik. Bagi orang Melayu, pilihan utama mereka ialah sama ada Umno atau Pas.

"Pada awal 1970-an, kita tidak berpecah secara kekal, perbezaan pendapat mengenai politik hanya sementara iaitu pada tempoh pilihan raya. Apabila pilihan raya berakhir, masyarakat kembali bersatu. Perbezaan politik itu begitu ketara pada masa ini sehingga menjurus kepada perpecahan. Amat malang perkara ini menimpa masyarakat Melayu sekarang," katanya.

Beliau berkata, perbezaan politik di kalangan bangsa Melayu sepatutnya tidak membawa kepada konflik serta permusuhan yang berpanjangan. Segala perbezaan harus diselesaikan oleh pemimpin kelompok atau parti terbabit supaya ia tidak berpanjangan.

Justeru, katanya, Raja-Raja Melayu harus memainkan peranan mereka sebagai penaung dan kuasa yang menyatukan rakyat jika masalah perbezaan politik atau perpecahan bangsa Melayu tidak dapat diselesaikan pemimpin parti.

Katanya, peranan itu bukan baru bagi Raja-Raja Melayu. Sejak dulu Raja-Raja Melayu menjadi hakim kepada sebarang permasalahan yang dihadapi bangsa Melayu. Titah mereka adalah keputusan muktamad yang dipatuhi masyarakat Melayu.

Beliau berkata, hakikat ini boleh dilihat ketika isu perdebatan antara Umno dengan Pas dulu. Cadangan untuk mengadakan perdebatan itu yang dikhuatiri memburukkan lagi perpecahan di kalangan orang Melayu akhirnya dibatalkan dengan titah Yang di-Pertuan Agong.

"Kalau ada orang Melayu bertelingkah, mereka tetap mendengar titah raja," katanya. Mengapa titah raja dipatuhi? Sudah tentu ia bukan hanya disebabkan adat Melayu. Aspek perundangan negara turut memberi kewibawaan kepada titah raja-raja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Rais Yatim, berkata kuasa dan hak Raja-Raja Melayu mengenai soal agama dan adat istiadat Melayu diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan negeri. Malah, hak ini diperuntukkan sejak pemerintahan Inggeris lagi.

Justeru, katanya, raja-raja Melayu perlu terus memainkan peranan yang selama ini menjadi tanggungjawab mereka supaya agama tidak disalahgunakan mana-mana pihak dan negara sentiasa dalam suasana aman.

"Amat berbahaya jika agama dipermain-mainkan menerusi politik atau digunakan sebagai bahan untuk mencapai tujuan politik oleh pembangkang. Sekiranya raja-raja dan pegawai agama tidak memainkan peranan, keadaan perpaduan ummah di negeri dan negara akan terjejas," katanya.

Rais berkata, Perlembagaan Persekutuan meletakkan raja-raja di tampuk pemerintahan negara. Ia dengan jelas menggariskan hak dan kuasa raja-raja dalam hal agama dan adat istiadat Melayu.

Perkara 3 (2) misalnya menggariskan: "Dalam tiap-tiap negeri melainkan negeri-negeri yang tidak mempunyai raja, kedudukan raja sebagai ketua agama Islam dalam negerinya...segala hak, keistimewaan, hak kedaulatan dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai ketua agama Islam tidaklah tersentuh dan tercacat...

"Perkara 28 (6) (d) pula menyatakan: "Ahli Majlis Raja-Raja boleh bertindak menurut budi bicara mereka dalam apa-apa urusan berhubung dengan tugas-tugas berikut iaitu...mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan dan upacara agama meliputi seluruh Persekutuan."

Seterusnya Senarai Perundangan dalam Jadual Kesembilan memperincikan bidang kuasa raja-raja dalam hal agama Islam termasuk soal kawalan pengembangan iktikad dan kepercayaan penganut agama Islam serta penentuan perkara hukum syarak dan iktikad.

Walaupun peruntukan kuasa itu jelas dan menyeluruh, namun soal penyebaran "fatwa" yang memesongkan, terutama yang membabitkan Pas terus berlaku tanpa tindakan Majlis Agama Negeri yang diterajui raja masing-masing. Mungkin kerana soal ini membabitkan parti politik, maka institusi raja dan agama tidak melihat kewajaran untuk mereka campur tangan.

Inilah yang menjurus kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, membayangkan harapan agar Raja-Raja Melayu memainkan peranan menyatukan masyarakat Islam di negara ini menerusi majlis agama yang mereka terajui.

Harapan ini dinyatakan memandang senario politik negara, khususnya politik bangsa Melayu begitu membimbangkan. Percakaran politik antara Umno dengan Pas bukan hanya berlaku ketika tempoh pilihan raya seperti sebelum ini tetapi berterusan selepas pilihan raya.

Pas terus menghentam Umno dengan pemimpinnya sering dilaporkan mengeluarkan kenyataan berbentuk fatwa yang tidak sepatutnya diucapkan kepada orang Islam lain. Antara lain pemimpin dan ahli Umno dituduh sebagai kafir, berjuang menentang Umno dikatakan jihad, masjid dibasuh kononnya untuk membersihkan daripada najis kerana didirikan Umno dan mengundi Pas adalah jaminan ke syurga.

Pemesongan hukum-hakam agama adalah sesuatu yang amat berbahaya dan jika tidak dibendung bakal mencetuskan peristiwa buruk. Pergaduhan yang didorong dengan kepercayaan agama sudah meragut berjuta-juta jiwa di seluruh dunia. Masyarakat Islam tidak terkecuali dan perpecahan inilah yang menyebabkan umat Islam di seluruh dunia lemah.

Kini masalah itu berlaku di Malaysia dan ia memerlukan tindakan segera sebelum melarat. Jika tanggungjawab ini dipikulkan kepada kerajaan saja, tentu tindakan yang bakal diambil akan dikatakan sebagai tindakan politik.

Kerajaan yang diterajui satu parti politik sudah tentu dianggap berniat jahat apabila mengambil tindakan terhadap parti politik lain. Lebih ditakuti lagi, tindakan itu akan memburukkan keadaan sehingga menyebabkan pertumpahan darah.

Dalam keadaan ini, hanya institusi raja dan agama sebagai penjaga agama Islam dan bebas daripada kepentingan politik wajar bertindak menyelesaikan permasalahan itu, sekali gus menyatukan semula umat Islam di Malaysia.

Mereka perlu bertindak dengan kuasa yang diperuntukkan Perlembagaan. Apa lagi bila pelbagai pihak termasuk kepemimpinan negara meminta mereka memainkan peranan itu. Sudah tentu raja-raja tidak mahu mereka dianggap berperanan hanya untuk menetapkan sama ada anak bulan kelihatan setiap kali menjelang Ramadan dan Syawal.

Rakyat kini mengharapkan Raja-Raja Melayu bertindak menyelamatkan mereka sekali lagi. Kalau dulu raja-raja berperanan menjurus bangsa Melayu menganut agama Islam, kini raja-raja Melayu harus berperanan memastikan perpaduan bangsa Melayu sebagai umat Islam berkekalan. WHB

0 Comments:

Post a Comment

Links to this post:

Create a Link

<< Home