Friday, September 28, 2007

Belajar tajwid melalui kod warna

Oleh Wan Hazmir Bakar (Berita Harian 07/09/1998 ms 23)

KUALA LUMPUR: Al-Izhar, al-Idgham, al-Iqlab dan al-Ikhfa' adalah antara hukum tajwid yang perlu dipelajari bagi membolehkan pembacaan al-Quran dilakukan dengan sempurna seperti yang dituntut.

Malangnya, tidak ramai yang arif dalam hukum ini sehingga menyebabkan ada yang mengambil jalan mudah dengan tidak membaca al-Quran kerana khuatir melakukan kesilapan.

Masalah utama ialah kesukaran mengenal pasti hukum tajwid dalam setiap baris ayat suci dalam naskah al-Quran yang digunakan sekarang walaupun Rasam Uthmani adalah lengkap dan mudah difahami berbanding catatan awal al-Quran.

Kini, mengenali hukum tajwid bukan lagi perkara yang sukar dengan terhasilnya Quran bertajwid pertama hasil usaha warga Syria, Subhi Taha, yang menubuhkan Dar Al-Ma'arifah khusus untuk tujuan ini.

Subhi menganggap hasil usahanya yang memakan masa hampir tujuh tahun adalah ilham yang dikurniakan oleh Allah, sebagai ciptaan besar yang pasti akan berlaku.

Beliau yang ditemui ketika berkunjung ke Malaysia baru-baru ini, berkata al-Quran bertajwid ini adalah satu pembaharuan yang unik sejak ayat suci itu mula dicatatkan dan dijilid sejak 1,400 tahun lalu.

Menurutnya, ilham mencipta kaedah mudah mengenali hukum tajwid timbul apabila beliau dan beberapa rakan lagi mengikuti kelas tajwid di Masjid Kuwait di Syria tujuh tahun lalu.

Mengimbau kembali peristiwa itu, beliau berkata ketika mula-mula mengikuti kelas itu, rakan yang duduk di sebelahnya diminta oleh imam membaca al-Quran, dan setiap kali rakannya itu melakukan kesalahan, imam akan mengetuk tangan rakannya tadi sebagai isyarat.

"Maka saya pun terfikir, bagaimana seseorang yang tidak arif dalam hukum tajwid boleh mengetahui kesalahannya selain daripada kaedah guru mengetuk tangan murid. Bagaimana pula jika pembaca keseorangan tanpa diselia oleh guru," katanya.

Justeru, beliau mendapati kaedah terbaik ialah dengan pembaca al-Quran dapat melihat sendiri hukum tajwid dengan memasukkan `tanda-tanda' di setiap ayat surah. Bagaimanapun, `tanda-tanda' itu tidak seharusnya memberatkan lagi titik, baris dan tanda sedia ada mengikut Rasam Uthmani.

Sebagai seorang jurutera serta peminati seni muzik, dua bidang yang memerlukan pemahaman membaca nota teknikal dan muzik, Subhi mendapati kod dalam bentuk warna adalah paling sesuai kerana ia mudah difahami serta tidak memerlukan penambahan tanda-tanda.


"Seperti ketika memandu di jalan raya, pemandu akan mematuhi lampu isyarat, mereka tahu warna merah menandakan berhenti dengan hanya melihat sekali imbas tanpa perlu befikir atau mengingati peraturannya," katanya.

Menurutnya, dengan mengurangkan bebanan memikirkan hukum tajwid pembaca boleh mendalami maksud setiap ayat, sekali gus mendapat faedah daripada kitab suci yang diturunkan sebagai pedoman kepada umat akhir zaman.

Dalam al-Quran bertajwid ini (naskah terkini), Subhi menggunakan lapan warna bagi
menandakan hukum tajwid. Untuk bacaan mad, warna berasaskan merah dari gelap ke terang iaitu merah tua memerlukan sebutan enam harakat, merah muda lima harakat), jingga (dua, empat atau enam harakat), dan perang (dua harakat).

Warna hijau pula menunjukkan bacaan dengung untuk idgham, ikhfa' dan iqlab,warna biru muda pula untuk qalqalah dan biru tua untuk bacaan tebal manakala warna kelabu untuk bacaan yang tidak disebutkan.

Dengan memahami kod warna ini, pembaca sudah mematuhi 28 peraturan tajwid.(Nota: Naskah awal menggunakan enam warna bagi menunjukkan 24 hukum tajwid) Subhi berkata, selain naskah biasa, al-Quran bertajwid juga dihasilkan dalam bentuk CD-ROM dan pita video pembelajaran sesuai dengan perkembangan teknologi maklumat.

Katanya, kelebihan al-Quran bertajwid versi CD-ROM berbanding naskah jilid termasuk mod mendengar bacaan, belajar membaca, menghafal ayat dan terjemahan. Menurutnya, pada masa hadapan terjemahan ayat yang kini hanya dalam bahasa Inggeris boleh didapati dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa Melayu.

Versi pita video pula mengandungi 300 episod dengan setiap siri selama 25 minit mengajar penonton membaca dua halaman al-Quran dengan hukum tajwid yang sempurna.

Subhi berkata, al-Quran bertajwid yang dihasilkan membolehkan pembacaan mengikut tajwid yang betul walaupun pembaca tidak begitu arif dengan hukumnya. Bagaimanapun, Subhi menegaskan setiap umat Islam perlu menuntut ilmu tajwid daripada guru selaras dengan tuntutan agama dan tertib membaca al-Quran.

Sebanyak 500,000 naskah al-Quran bertajwid sudah dipasarkan di seluruh dunia manakala siaran pembelajaran melalui video disiarkan di televisyen beberapa negara Timur Tengah termasuk Arab Saudi, Kuwait, Qatar, Jordan, Emiriah Arab Bersatu dan Sudan.

Di Malaysia, al-Quran bertajwid dipasarkan oleh Darulfikir, ejen tunggal yang dilantik Dar Al-Maa'rifah untuk seluruh Asia Tenggara termasuk Australia dan India.
Pengarah Urusannya, Mohd Zaki Ahmad, berkata sebanyak 20,000 naskah al-Quran bertajwid sudah dipasarkan di Malaysia sejak awal tahun lalu.

Harga untuk versi cetakan ialah RM130, pita video (RM250) dan CD-ROM (RM350).
Katanya, al-Quran bertajwid ini sudah diiktiraf Pusat Islam selepas hampir setahun dikaji oleh Lajnah Quran.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home