Monday, November 30, 2009

Danau oh Danau





Ha ha...hari ini Danau kami yang punya. Aku dan Man Z dapat berlatih dengan selesa. Tidak perlu tergesa-gesa di tee box. Tak ramai golfers yang hadir kerana mungkin ramai yang sangka hari akan hujan. Cuaca cuma mendung dari pagi hingga ke petang.

Tee off sulung sungguh cemerlang. Pro V1 aku mendarat betul-betul di tengah fairway dengan berbaki 155 meter ke pin. Man Z pula menikmati keindahan di bawah pepohon rendang di sebelah kiri aku.

Aku mencapai 5 iron dan mencari sasaran untuk Pro V1 aku mendarat sebelum berhenti berhampiran pin. Dari tempat aku berdiri jelas paya yang merintangi laluan pukulan kedua aku tidak seluas mana. Aku yakin dapat melepasinya dengan mudah dengan club Maruman kegemaran aku itu.

Namun sangkaan aku meleset. Disebabkan lama tidak beraksi di Danau aku terlupa paya itu lebih luas daripada apa yang kelihatan. Selut yang melekat terus meruntun kelajuan bola sebaik saja aku menghayun dan graviti dengan rakus menariknya ke paya. Arghhhh!