Pesona Palma
SESUATU yang baru selalunya cantik dan sesuatu yang cantik pastinya menawan. Sesuatu yang menawan pula pastinya membangkitkan keinginan yang tentunya akan menyerlahkan kehebatan. Itulah yang boleh disimpulkan selepas beraksi di lapangan baru Palm Garden Golf Club (Palm Garden) di IOI Resort, Putrajaya.
Lapangan golf yang dibina semula sejak tiga tahun lalu dengan kos mencecah ratusan juta itu memang menawan. Dari tee box, fairway hingga ke green, pemain akan disajikan landskap menarik dan pemandangan yang mempesonakan di lapangan yang direka arkitek terkenal Australia, Ted Parslow.
Teebox yang dilitupi rumput Hybrid Zoysia membuatkan anda berasa yakin melakukan tee off walaupun fairway dengan hamparan rumput sama menimbulkan sedikit rasa risau kerana terlalu berbukit dan beralun.
Rough dari spesis Zoysia Matrella pula hampir tiada bezanya dengan fairway kerana dipotong rapat manakala green dengan hamparan Bermuda Tifdwarf memberikan keyakinan ketika melakukan putt.
Hampir semua bunker dengan pasir yang masih putih gebu terletak di sisi fairway serta green dan mudah dielak asalkan pukulan tidak terlalu melencong. Unsur halangan air pula hanya terdapat di tujuh lubang. Hanya lubang ke-17, par 3, menggabungkan halangan air dari kotak tee dan bunker di depan green, itu pun jaraknya hanya 135 meter dari tee biru.
Kawasan luas selebihnya dibarisi pokok kayu dan hiasan, khususnya pepohon palma yang membangkitkan lagi nilai estetika. Lebih 4,000 pokok kayu dari lapangan asal dikekal atau dipindahkan, pepohon Silver Palm yang menjadi logo baru Palm Garden Golf Club banyak ditanam di lapangan baru ini.
Kolam pula dihiasi air terjun bertingkat dan pancutan air yang bukan saja menambah keindahan lapangan ini tetapi juga mendamaikan. Pemandangan air mengalir tenang di celah batu menuju ke kolam pastinya menyejukkan perasaan.
Pendek kata, reka bentuk lapangan Palm Garden lebih kepada estetika yang membangkitkan ketenangan berbanding halangan melampau yang menekan perasaan. Hanya fairway yang beralun dan berbukit memberikan cabaran, khususnya kepada pemain yang terlalu selesa dengan hamparan getah rata di lapangan latihan.
"Saya yakin Palm Garden akan menjadi lapangan golf yang popular, bukan saja di Lembah Klang tetapi juga di peringkat antarabangsa," kata Pengurus Besar Resort Villa Golf Course Berhad, Brandon Chin, kepada iBH ketika temubual di pondok persinggahan dua tingkat di lapangan itu Mac lalu.
Keyakinan Brandon itu tidak sukar untuk diterima, banyak faktor yang mampu menobatkan Palm Garden sebagai lapangan pilihan. Keindahan lapangan ini dan kedudukannya di Putrajaya serta hampir dengan Cyberjaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mampu menarik pemain golf "kenamaan" dan dari luar negara, lebih-lebih lagi Palm Garden adalah sebahagian daripada IOI Resort dengan kemudahan penginapan empat dan lima seperti Hotel Palm Garden dan Hotel Marriot Putrajaya.
Malah, pondok persinggahan dua tingkat dengan binaan dan perabot kayu yang pertama seumpamanya di Malaysia itu sendiri satu tarikan unik. Dari tingkat atas, pemain dapat melihat pemandangan indah fairway yang terhampar di depan serta wetlands yang bersempadan dengan lapangan golf ini. Ditambah belaian tiupan angin sepoi-sepoi bahasa, tentu sukar untuk pemain sekadar berehat di situ hanya lima minit.
"Kami mungkin kena bunyikan loceng untuk memberitahu pemain supaya mereka menyambung permainan," kata Brandon berseloroh.
Harapan Brandon, Palm Garden akan menjadi lapangan golf awam premier dengan permukaan permainan terbaik dan tahap perkhidmatan yang tinggi. Malah, katanya, usaha akan dilakukan bagi menjadikan Palm Garden venue kejohanan golf utama.
Namun, katanya, penekanan kepada tahap penyelenggaraan dan perkhidmatan yang tinggi meningkatkan kos operasi, sekali gus memaksa kadar yuran yang akan dikenakan juga tinggi iaitu hampir RM300 pada hari biasa dan melebihi RM300 pada hujung minggu.
"Sungguhpun ia adalah lapangan awam, kita bercadang mengekalkan tahap sedia ada sebab pelaburan yang dibuat amat tinggi," katanya yang berharap kerajaan dapat memberi insentif seperti potongan cukai dan levi yang dikenakan ke atas peralatan dan jentera mahal untuk penyelenggaraan lapangan.
Brandon juga berharap pemain golf akan mencuba lapangan baru Palm Garden itu yang akan dibuka pada hujung Mac atau awal April ini selepas pembinaan rumah kelab baru siap.
"Anda akan menyukai lapangan ini, ia amat menarik...saya rasa anda akan menyukainya. Ia tidak semudah seperti yang dilihat sehingga anda bermain banyak kali... Lapangan ini sempit, nampak senang tetapi kalau tak 'manage game' memang susah. Kalau tak tamak, boleh 'score'," katanya.
Sememangnya, itulah yang dialami penulis dan tiga lagi rakan - Mutazar Abdul Ghani, Kamarulzaman Pid dan Sufian Thauri - yang menguji lapangan baru itu. Pada kebiasaannya memang sukar untuk mencatatkan keputusan baik di lapangan ketika bermain untuk kali pertama. Namun, prestasi hari itu agak memberangsangkan sehingga Mutazar meminta dilakukan "ujian dadah" manakala Sufian menyatakan beliau tidak "mengenali" penulis yang sedang bermain.
Penulis bermula baik dengan catatan par di dua lubang pertama, itupun kerana terlepas birdie di lubang kedua apabila bola meleret laju dan melantun keluar dari cup semasa pukulan putt dari jarak kira-kira sembilan meter di lubang par 3 itu.
Cuma green di lubang ketiga yang masih bergaris kesan penyelenggaraan dan tidak selaju di dua lubang sebelum itu, menghentikan momentum penulis mencatatkan permainan par.
Namun, Sufian yang bersama penulis meraih green in regulation (GIR) di lubang par 4 ini berjaya melakukan birdie dari jarak dekat.
Cabaran pertama hadir di lubang keempat iaitu par 5 sejauh 456 meter (biru) yang mana green dipanggil "pulau" walaupun sebenarnya sebuah tanjung.
Pemandangan green ini memang mempesonakan dan mungkin kerana itu tiga rakan penulis kecundang di lubang ini apabila semua pukulan ke green tidak melepasi halangan air. Penulis pula sekadar mendapat double bogey selepas pukulan kedua dari fairway tersasar ke bunker.
Par ketiga muncul di lubang kelapan selepas sekali lagi mencatatkan GIR tetapi bola untuk cubaan birdie juga melantun keluar dari lubang di par 4 yang agak mudah ini.
Kami hanya menyambung permainan di Putra Nine yang mempunyai tiga lubang par 3 dan par 5, kira-kira jam 1.30 tengah hari selepas sesi temu bual tamat. Keadaan agak panas ketika itu kerana barisan pokok di lapangan baru ini tidak begitu besar untuk menghasilkan banyak kawasan redup yang sering digelar caddy Indonesia sebagai "nyaman".
Sekali lagi prestasi di lubang par 5 mengecewakan. Namun selepas bogey di lubang ke-11, par 4, yang agak mencabar, par hadir berturut-turut di dua lubang seterusnya. Walaupun pukulan tee di lubang Par 3 itu tersasar, penulis berjaya mendaratkan bola hampir dengan pin dengan pukulan lambung untuk par mudah.
Badi par 5 berakhir di lubang ke-13 walaupun ia sebenarnya antara yang sukar di lapangan ini. Reka bentuk fairway berbukit yang menghalang pandangan dengan tasik di sepanjang bahagian kanan serta dogleg ke kanan dan jarak keseluruhan 471 meter untuk ke green, memerlukan strategi yang baik. Biarpun pukulan ketiga mendarat di apron, pukulan chip dan putt berikutnya memastikan par.
Par keenam dicatatkan di lubang ke-17, iaitu lubang par 3 sejauh 135 meter (biru) dengan green pulau persis TPC Sawgrass di Florida. Sambil diperhatikan ramai pekerja yang bertugas menyiapkan rumah kelab tidak jauh di belakang kotak tee, kami melakukan pukulan sambil membayangkan berada di lubang ke-17 lapangan golf Amerika Syarikat yang terkenal itu.
Bola pukulan penulis tiba-tiba membelok ke kiri ketika menghampiri green dan mendarat di bahagian kiri yang melandai ke apron. Kamarulzaman berjaya mendaratkan bola kira-kira tiga meter di kiri pin manakala dua lagi rakan gagal menghantar bola ke daratan.
Walaupun pukulan chip tidak sempurna dan tidak sampai separuh perjalanan ke sasaran, pukulan putt dari jarak kira-kira lima meter meniti terus ke lubang. Kamarulzaman turut melakukan pukulan putt yang baik dan meraih birdie.
Lubang ke-18, par 4, yang juga "signature hole" lapangan ini agak mudah kerana hanya sejauh 350 meter dengan kotak tee di atas bukit menghadap ke rumah kelab. Kolam pula di sebelah kiri dan berlanjutan mengelilingi sebahagian green, menjadikan ia satu "semenanjung". Jika dilihat dari rumah club pula, kotak tee kelihatan sayup di atas dengan permukaan lapangan yang berombak-ombak hingga ke fairway, pemandangan yang pasti menggerunkan.
Penulis mengguna iron 5 untuk mendaratkan bola di tengah fairway sebelum bunker di sebelah kanan untuk jarak pukulan 190 meter dan pukulan kedua dengan iron 6 dari jarak 160 meter.
Strategi untuk mencapai GIR di lubang itu hampir berjaya jika tidak kerana bola sekali lagi "draw" apabila menghampiri green dan mendarat di tebing apron sebelum bergolek ke bunker di sebelah kiri. Dengan pukulan putt untuk menyelamatkan par sekadar sipi, penulis mengakhiri permainan dengan bogey.
Pengalaman kami bermain di Palm Garden sememangnya amat menyeronokkan. Selain keadaan lapangan baru yang sememangnya amat baik serta landskap yang menawan, ia juga mudah ditawan jika strategi permainan mengena. Buktinya, kami yang masih cuba memecah catatan 90 dan kali pertama bermain di situ, mampu meraih birdie dan par.
Sukar untuk menyatakan lapangan ini mencabar walaupun reka bentuknya memasukkan unsur sukar seperti fairway yang beralun dan halangan air di beberapa lubang. Pemain yang bagus pastinya dapat melakukan catatan yang baik seperti mana yang dikatakan Brandon. Apa yang pasti, kami terpesona dengan keindahan lapangan ini. Pendek kata, Palm Garden adalah lapangan golf yang mesti dicuba setiap pemain.
Info
Palm Garden Golf Club
Alamat: IOI Resort, 62502 Putrajaya.
Tel : 03-89476333
Faks: 03-89476399/6388
Laman web: http://www.palmgarden.net.my
Emel: pggc@tm.net.my
Teknikal
Lubang: 18, 1-9 (IOI Nine), 10-18 (Putra Nine)
Par: 72
Jarak:
IOI Nine
- 3,047 meter (hitam)
- 2,960 meter (biru)
- 2,762 meter (putih)
- 2,567 meter (merah)
Putra Nine
- 2,980 meter (hitam)
- 2,820 meter (biru)
- 2,599 meter (putih)
- 2,362 meter (merah)
IOI & Putra
- 6,027 meter (hitam)
- 5,780 meter (biru)
- 5,361 meter (putih)
- 4,929 meter (merah)
Rumput
Tee box: Hybrid Zoysia
Fairway: Hybrid Zoysia
Green: Bermuda Tifdwarf
Kadar yuran
Hari biasa
Green: RM150 (9 lubang) RM250 (18 lubang)
Hujung Minggu
Green: RM230 (9 lubang) RM380 (18 lubang)
Buggy: RM42.50 (9 lubang) RM85 (18 lubang)
Insurans: RM5
Caddy: RM25 (9 lubang) RM45 (18 lubang)
Rating
Fairway: 4.5
Green: 4.5
Kemudahan: 4.5
Nilai: 4.5
<< Home