Friday, September 06, 2002

Rundingan kali kedua buka mata, telinga Singapura

Oleh Wan Hazmir Bakar

(BH 6/9/2002 p.10)

USAHA memasukkan perkara baru dalam rundingan pakej isu tertunggak Singapura-Malaysia dan jamuan hidangan tengah hari diteruskan tanpa disertai perwakilan Malaysia mewarnai pertemuan dua hala di republik itu Isnin dan Selasa lalu.

Di dalam bilik perundingan pula, kegagalan memberi fokus kepada isu berbangkit dan sikap berdolak-dalik juga turut menjadi penghalang tercapainya sebarang persetujuan.

Ringkasnya rundingan bagi menyelesaikan isu tertunggak di antara Malaysia dan Singapura itu sekali lagi menemui jalan buntu. Seperti mesyuarat pertama peringkat menteri di Putrajaya pada 1 dan 2 Julai lalu, mesyuarat kedua di Singapura pada 2 dan 3 September, juga gagal mencapai penyelesaian muktamad.

Persefahaman yang dicapai hanyalah untuk meneruskan rundingan peringkat pegawai, khususnya berhubung formula baru harga air diikuti pusingan ketiga peringkat menteri di Kuala Lumpur pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Jika mesyuarat ketiga itu juga gagal mencapai sebarang persetujuan, perkara itu akan dirujuk kepada pemimpin tertinggi masing-masing untuk membuat keputusan dan tindakan selanjutnya.

Seperti sebelumnya, Malaysia dan Singapura tidak sepakat mengenai kandungan pakej rundingan. Kedua-dua pihak saling menunding jari yang menjadi punca kebuntuan.

Malaysia tetap berpendirian bahawa pakej asal hanya mengandungi lima perkara seperti dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan rakan sejawatannya, Goh Chok Tong, dalam pertemuan di Vietnam pada 1998. Singapura sebaliknya mahu isu lain turut dimasukkan ke dalam pakej.

Lima perkara berkenaan ialah bekalan air kepada Singapura pada masa depan, pengeluaran caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF); pembangunan tanah milik Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) di Tanjung Pagar; pemindahan pusat pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Malaysia dan penggunaan ruang udara Malaysia oleh Tentera Udara Republik Singapura (RSAF).

Isu tambahan yang dianggap sebagai sebahagian daripada pakej oleh Singapura pula ialah cadangan Malaysia menyemak harga air mentah yang dibekalkan mengikut Perjanjian Air 1961 dan 1962 serta pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.

Republik itu beranggapan, isu baru itu adalah sebahagian daripada pakej yang diperjelaskan kedua-dua Perdana Menteri menerusi surat yang diutuskan Dr Mahathir pada 4 Mac lalu. Goh membalas surat itu pada 11 April lalu. Singapura mendakwa Dr Mahathir, antara lain, menyentuh mengenai pembinaan jambatan itu bersama isu lain dalam pakej dan Goh dalam jawapannya turut menyentuh perkara sama.

Menteri Luar Singapura, Prof S Jayakumar, membuat penjelasan panjang lebar mengenai perkara berkenaan di Parlimen republik itu pada 23 Julai lalu. Antara lain, beliau menegaskan Singapura bertolak ansur dalam banyak hal, termasuk dalam soal pembinaan jambatan itu, walaupun ia tidak perlu berbuat demikian. Beliau juga mendakwa media Malaysia membuat laporan salah mengenai isu rundingan itu bagi menunjukkan Singapura yang bersalah.

Justeru, pada setiap kali pertemuan, kedua-dua pihak membentangkan pakej cadangan yang berbeza. Rundingan buntu sebaik saja ia bermula. Walaupun kedua-dua pihak membuat cadangan balas, ia tidak membuka laluan kepada penyelesaian kerana masing-masing tidak berganjak daripada pendirian asal.

Bezanya, pada mesyuarat kali ini, pasukan rundingan negara diketuai Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, mengambil pendekatan tegas yang memeranjatkan rakan sejawatannya itu. Apa lagi apabila kedengaran desas desus bahawa delegasi Malaysia mungkin bertindak meninggalkan rundingan jika Singapura terus berdolak dalik.

Malaysia menangguhkan mesyuarat beberapa kali untuk mengemaskan cadangan yang akan dikemukakan sehingga sesi pembukaan yang dijadualkan pada jam 8.30 pagi hanya bermula pada jam 11 pagi dan berakhir hanya sejam selepas itu. Delegasi Malaysia terus meninggalkan Kementerian Luar Singapura, di mana mesyuarat itu diadakan.

Mereka kemudian berkumpul di Suruhanjaya Tinggi Malaysia bagi mengkaji cadangan Singapura. Bagaimanapun, tindakan ini dilihat Singapura sebagai tidak menghormati tuan rumah dan menolak daripada menghadiri jamuan makan tengah hari.

Syed Hamid, dalam kenyataan pembukaan pada mesyuarat itu menegaskan kepada Jayakumar bahawa Malaysia sudah bosan dengan rundingan yang tidak menunjukkan sebarang kemajuan bagi menyelesaikan isu yang sudah lama tertunggak itu. Namun, Malaysia tidak akan menutup pintu rundingan selagi Singapura mahu meneruskannya.

Beliau berkata, mesyuarat kali ini patut memberi tumpuan kepada isu semakan harga air yang di luar daripada pakej serta isu CIQ kerana jika kedua-dua isu utama itu tidak diselesaikan maka isu lain juga tidak dapat diselesaikan. Beliau juga mencadangkan supaya isu berkenaan dibincangkan secara berasingan jika penyelesaian secara pakej tidak memungkinkan persetujuan dicapai.

Malaysia turut membentangkan formula baru harga air yang kompetitif dan komersial seperti yang diminta Singapura pada mesyuarat pusingan pertama dulu serta butiran teknikal berkaitan isu lain. Malaysia juga menegaskan bahawa perkhidmatan KTM akan diteruskan sehingga ke Bukit Timah, di mana CIQ turut akan dikekalkan.

Malaysia turut menyatakan bahawa ketetapan mengenai ruang udara Malaysia juga tidak akan diubah dan pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor di bahagian sempadan negara akan diteruskan dan disiapkan menjelang 2005.

Ketegasan delegasi negara kali ini memeranjatkan pasukan rundingan Singapura yang tidak menyangka Malaysia akan mengambil tindakan sedemikian. Singapura sebenarnya cuba memerangkap delegasi negara dengan membangkitkan persoalan undang-undang secara terperinci bagi menyokong pendirian mereka dalam setiap isu. Bagi mereka, perundangan adalah segala-galanya, bukannya rundingan.

Singapura juga berkeras bahawa isu semakan harga air dan jambatan adalah sebahagian daripada pakej rundingan. Republik itu juga mahu isu semakan harga air itu diselesai bersama isu bekalan air selepas 2061. Ia juga menyatakan bahawa isu dalam pakej itu tidak boleh dipisahkan kerana jika dirundingkan secara berasingan ia tidak akan menampakkan tolak ansur yang dibuat.

Selepas ditangguhkan, mesyuarat hari pertama itu hanya disambung semula pada jam 7 malam dengan Malaysia memberi cadangan balas dalam pembentangan selama setengah jam. Singapura kemudian meminta masa untuk memberi reaksi terhadap cadangan balas Malaysia itu. Tetapi sehingga jam 9.15 malam pasukan Singapura masih belum kembali ke meja rundingan dan Syed Hamid mengambil keputusan menangguhkan mesyuarat dan keluar makan malam.

Pada hari kedua, mesyuarat turut bermula lewat iaitu kira-kira jam 11 pagi. Seperti hari pertama, mesyuarat itu hanya berlangsung selama sejam sebelum ditangguhkan. Kedua-dua menteri luar bersetuju bahawa hanya pegawai masing-masing yang kembali bermesyuarat. Delegasi Malaysia terus meninggalkan Kementerian Luar Singapura dan untuk hari kedua berturut-turut, mereka makan tengah hari di luar.

Syed Hamid kemudian kembali ke hotel penginapan dan sejurus melangkah keluar daripada kereta di depan pintu lobi beliau dikerumuni wartawan Malaysia, Singapura dan agensi berita asing, bertanyakan hasil rundingan kali ini. Seperti pemimpin lain negara, Syed Hamid melayan wartawan walaupun diserbu sedemikian rupa. Selepas mengadakan sidang akhbar ringkas untuk wartawan Malaysia di bilik penginapannya, Syed Hamid terus pulang.

Berbeza dengan Syed Hamid, Jayakumar mengadakan sidang akhbar di Kementerian Luar pada sebelah petang dengan hanya menjemput wartawan Singapura dan agensi berita asing. Transkrip sidang akhbar itu hanya dihantar menerusi e-mel kepada wakil Bernama di Singapura pada sebelah malam. Kenyataan akhbar bersama pula sekadar pernyataan ringkas lima perenggan yang menyatakan komitmen untuk terus berunding.

Keesokannya, media Singapura melaporkan Jayakumar sebagai berkata rundingan isu dua hala itu buntu kerana Malaysia mengubah pendirian dan mahu isu berkenaan dibincang secara berasingan, bukan secara pakej. Akhbar mereka turut melaporkan kisah hidangan nasi padang dari restoran kegemaran Syed Hamid di Zion Road yang disediakan Kementerian Luar Singapura untuk jamuan tengah hari tidak dijamah delegasi Malaysia.

Persoalannya, apakah rundingan peringkat menteri kali kedua itu menghasilkan kemajuan? Bagi Syed Hamid, ia sekurang-kurangnya membuka mata dan telinga Singapura kepada apa yang diperkatakan Malaysia selama ini dan mereka juga sanggup duduk berbincang mengenai semakan harga air itu walaupun tiada penyelesaian sebenar.

"Sekurang-kurangnya mereka kata baiklah, kami akan lihat apa yang anda tawarkan kepada kami. Saya rasa itu kemajuan," katanya.

Mungkin Syed Hamid terlalu optimistik atau sekadar berdiplomatik. Mungkin juga Singapura terkejut dengan formula baru harga air yang dikemukakan Malaysia. Menurut sumber yang rapat dengan rundingan itu, kadar harga yang dikemukakan adalah lebih tinggi daripada formula terdahulu yang ditolak Singapura ketika rundingan di Putrajaya.

Singapura mahukan kadar baru yang kompetitif dan komersial, iaitu lebih murah daripada air kitar semulanya, Newater, tetapi Malaysia sudah menegaskan beberapa kali bahawa perkiraan kadar kompetitif dan komersial akan mengambil kira pembelian air oleh Hong Kong dari Tanah Besar China pada harga RM8 bagi setiap 1,000 gelen.

Singapura juga mungkin bimbang kerana Malaysia sudah bertekad menuntut haknya untuk menyemak semula harga air itu dan mengemukakan masalah itu kepada penimbangtara seperti yang diperuntukan dalam kedua-dua perjanjian air itu. Singapura sedar jika tindakan sedemikian dibuat, keputusan penimbangtara mungkin berpihak kepada Malaysia.

Apa pun, ketegasan Malaysia pada mesyuarat kali ini tepat pada masanya kerana negara sudah banyak bertolak ansur dengan Singapura berhubung isu dua hala selama ini.

Bermula dengan Perjanjian Air 1961 dan 1962 yang jelas memihak kepada Singapura, Malaysia terus berkorban untuk memperakui perjanjian itu walaupun Singapura keluar dari Malaysia pada 1965. Kini, apabila Malaysia mahu menyemak semula harga air seperti yang diperuntukkan dalam kedua-dua perjanjian itu, Singapura terus berdalih.

Bagaikan tidak cukup dengan isu tertunggak itu, Singapura terus mencipta isu lain seperti penambakan laut di Selat Tebrau yang mencabar kesabaran Malaysia. Sejak dua minggu lalu, tentera Singapura pula mengadakan latihan ketenteraan termasuk melepaskan tembakan artileri pada waktu malam di Pulau Sarimbun dan Pulau Pergam yang terletak berhampiran Gelang Patah, seolah-olah menunjukkan kekuatan kepada delegasi Malaysia.

Namun Singapura masih sanggup mendakwa kononnya mereka banyak bertolak ansur untuk menyelesaikan isu tertunggak itu. Benarkah demikian? Lihatlah kelima-lima isu tertunggak itu - air, wang CPF, tanah KTM, CIQ dan ruang udara - semuanya adalah milik Malaysia. Sebagai negara yang memerlukan sesuatu yang dimiliki negara lain, Singapura sepatutnya berlembut bukan berkeras.

Mungkin sudah tiba masanya Singapura perlu mengubah mentalitinya, daripada pembeli "paper lama" yang menentukan harga untuk akhbar lama yang dibelinya, kepada pembeli sebenar yang menerima harga yang ditetapkan penjual barang selepas tawar menawar. WHB

0 Comments:

Post a Comment

Links to this post:

Create a Link

<< Home