Friday, May 04, 2012

Naga Malam




NAGA MALAM


SEBUT saja Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah (KGSAAS), ramai yang akan mengatakan ia lapangan yang panjang dan sukar. Kata mereka, lubang par 4 di lapangan ini seperti par 5 di lapangan lain dan kalau mahu beraksi di sana seseorang itu perlu mampu melakukan pukulan yang jauh. "Jangan harap nak boleh dua 'on'," kata seorang rakan yang pernah beberapa kali bermain di KGSAAS.

Itu belum lagi mengambil kira keadaan green di lapangan itu yang bertingkat dan dikatakan amat sukar dibaca serta sering menjurus kepada tiga pukulan putt. "Aku nasihatkan kau orang ambil caddy. Memang sukar untuk baca green dia," kata seorang lagi rakan yang pernah beberapa kali bermain di situ.

"Taubat aku tak main lagi waktu malam kat sana, habis bola aku," kata seorang lagi rakan yang pernah menyertai Merdeka Midnight Golf 2011 di KGSAAS yang sememangnya terkenal dengan golf waktu malam.





Namun, kata-kata sedemikian tidak mematahkan semangat penulis untuk menduga lapangan yang "elusif" itu. Dua tahun lalu penulis dan tiga lagi rakan pernah ke sana pada suatu pagi untuk bermain tetapi hasrat itu terpaksa dibatalkan kerana ada penganjuran kejohanan. Selepas itu, beberapa jemputan bermain di KGSAAS terpaksa ditolak kerana jatuh pada waktu bertugas.

Hanya bulan lalu penulis berpeluang memenuhi impian bermain di KGSAAS. Bagaikan terlerainya "sumpahan", peluang bermain di situ tiba-tiba datang silih berganti dan akhirnya penulis beraksi di lapangan itu sebanyak empat kali berturut-turut dalam tempoh dua minggu itu, termasuk dua jemputan kejohanan.





Berbekalkan semangat dan kelengkapan baru siri RocketBallz bagi mengatasi cabaran yang dikhabarkan menanti di KGSAAS, penulis dan dua lagi rakan, Yusof Harun dan Manan Samad turun ke lapangan itu pada pagi Selasa baru-baru ini untuk sesi review dan "latihan" untuk kejohanan pada Sabtu minggu itu.

"Kita ada Dragon Hole, nanti anda boleh mencubanya," kata Pengurus KGSAAS, Badrul Abdul Razak, apabila menceritakan sedikit sebanyak mengenai lapangan itu. Beliau sepatutnya menemani kami bermain tetapi kerana demam beliau terpaksa berehat.





Tarikan utama KGSAAS ialah lokasinya yang terletak di Shah Alam yang dan mudah diakses serta reka bentuk lapangan hasil sentuhan juara Terbuka British sebanyak lima kali, Peter Thompson, yang memanfaatkan kontor semula jadi dan tasik serta penanaman semula lebih 25,000 pepohon kayu dan renek menghasilkan lapangan dengan panorama indah sehingga menjadikan ia antara terbaik di Malaysia dan paling menonjol di Asia Tenggara.

KGSAAS direka bentuk untuk memberikan pengalaman bermain golf dilapangan kejuaraan 27 lubang bertaraf antarabangsa yang menyeronokkan termasuk pada waktu malam. Ketika dibuka pada 1991, KGSAAS adalah satu-satunya lapangan golf dengan lampu limpah di setiap lubang dan sehingga sekarang dikenali sebagai “The Home of Night Golfing”.





Perlu diakui, perasaan teruja ketika hendak memulakan permainan di lubang pertama Alam Shah Nine. Pada jarak 334 meter dari kotak tee biru, ia sekadar lubang par 4 biasa. Seperti biasa, pukulan pertama serba menjadi dengan bola mencecah jarak 230 meter. Pukulan kedua dari jarak 100 meter terus mendarat 8 kaki di sebelah kanan pin dan membuka peluang untuk birdie.

Namun, seperti yang dikhabarkan rakan penulis sebelum ini, green di KGSAAS memang sukar diduga dan terpaksa berpuas hati dengan par. Yusof yang turut melakukan green in regulation (GIR) juga mendapat par manakala Manan sekadar bogey. Lubang ini antara yang mudah di KGSAAS kerana penulis juga meraih par di lubang ini pada permainan seterusnya.

Keyakinan mula menjelma dan buruan par diteruskan di lubang kedua, par 3, sejauh 168 meter. Namun impian kami itu tidak tercapai apabila pukulan tee tersasar. Manan pula melakukan kejutan apabila mendapat birdie. Dua lubang Alam Shah Nine baru dilalui dan kami sudah meraih dua par dan satu birdie. Catatan kami pada hari itu ialah 4 par; 4 par; 1 birdie, 5 par. "Bukannya susah sangat KGSAAS ini," detik hati kami.





Hakikat ini diakui Pengurus Besar KGSAAS, James Thevarasu, yang menjelaskan cabaran sebenar di lapangan itu adalah pada kedudukan lubang dan green yang laju dan bertingkat serta rough yang banyak diselirati akar pokok tua.

"Ia mencabar kerana lokasi lubang walaupun tak banyak OB. Fairway tidak begitu beralun tetapi sukar mendapatkan kawasan yang mendatar.
Rough agak sukar kerana lapangan ini sudah berusia 20 tahun dan akar pokok sudah besar dan menyukarkan pukulan dari sana," katanya sambil menambah mereka yang baru berjinak dalam golf sewajarnya bermain dari kotak tee putih.

Keadaan inilah yang kami alami pada lubang ketiga, par 5, apabila kami berhempas pulas di laluan mencabar sepanjang 497 meter untuk tiba di green. Ada saja pukulan yang tidak menjadi di fairway yang menuruni bukit dan diapit OB di sebelah kiri serta halangan air di sebelah kanan berhampiran green. KGSAAS mula menunjukkan sifat sebenar walaupun Alam Shah Nine adalah lebih mudah berbanding President Nine dan Sultan Nine.





Lubang Par 5 di KGSAAS sememangnya panjang dan mencabar dengan lubang ketujuh Alam Shah Nine mencapai 525 meter, iaitu yang terpanjang. Lubang reka bentuk dog-leg ke kiri dengan anak sungai untuk dilepasi pada pukulan kedua serta fairway yang bercerun dari kanan ke kiri menambah kesukaran lubang ini. Ciri sebegitu diulang di lubang kedua dan ketujuh, par 5, di Sultan Nine.

Lubang kedua di Sultan Nine yang dikenali sebagai "The Dragon" adalah yang paling mencabar. Biarpun ia adalah "signature hole" KGSAAS, "Lubang Naga" ini lebih kepada cabaran berbanding panorama seperti lazimnya. Berukuran 493 meter panjang, fairway lubang ini agak sempit dan diapit semak dan pepohon di kedua-dua bahagian dengan sungai di sebelah kiri kotak tee sebelum merentasi fairway dan ke sebelah kanan sehingga hampir ke green. OB pula menanti pukulan liar di sepanjang sebelah kanan fairway.

Untuk menawan "Lubang Naga", pemain perlu melakukan pukulan tee yang jauh dan tepat supaya bola mendarat di tengah fairway bagi membolehkan pukulan kedua melepasi anak sungai dan mencapai GIR dengan pukulan ketiga. Namun, pukulan ketiga tidak semudah disangka kerana kedudukan bola hasil pukulan kedua selalunya tidak seperti yang dirancang kerana seseorang itu lebih memikirkan soal melepasi anak sungai yang merentangi fairway. Kedudukan bola yang lebih tinggi daripada kedudukan kaki akibat keadaan fairway yang bercerun dari kanan ke kiri menyukarkan lagi pukulan.





Jika mampu mencapai GIR, green yang bertingkat memastikan cubaan birdie dan par bukan sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi jika pin berada di tingkat atas. Percayalah, bukan mudah untuk melakukan putt dari tingkat bawah ke tingkat atas kerana sedikit saja kurangnya tenaga pukulan, bola akan kembali hampir ke kedudukan asal. Tidak hairanlah jika ramai pemain yang memerlukan tiga putt di lubang ini.

Justeru, "The Dragon" yang diisytiharkan secara rasmi oleh Thomson sebagai "signature hole" KGSAAS pada 29 Jun, 2001 itu menjadi pengukur kemampuan setiap pemain yang beraksi di lapangan ini. "Lubang Naga" ini mesti ditawan atau sekurang-kurangnya "dijinakkan" jika ingin mencatatkan keputusan yang baik apabila bermain di KGSAAS.





Bersesuaian dengan status KGSAAS sebagai "The Home of Night Golfing", "The Dragon" sewajarnya ditawan pada sebelah malam bagi menguji kemampuan sebenar. Penulis mendapati bermain golf pada waktu malam di KGSAAS tidak sesukar seperti yang dikhabarkan. Malah, tumpuan pemain menjadi lebih baik kerana sinaran cahaya lampu limpah memusatkan pandangan ke fairway.

Ketika bermain di waktu pagi atau petang, pandangan pemain akan turut dilemparkan ke fairway bersebelahan dan ini sedikit sebanyak mengganggu tumpuan pukulan kerana lapangan dirasakan begitu luas. Buktinya, pukulan tee terbaik penulis di "The Dragon" ini dicapai ketika bermain pada waktu malam.





Sinaran cahaya lampu limpah memusatkan pandangan ke fairway yang sempit di lubang itu menghasilkan pukulan lurus dan jauh dengan bola mendarat betul-betul di tengah fairway. Keadaan ini memudahkan pukulan kedua untuk melepasi anak sungai tetapi agak malang bola mendarat melepasi sasaran dan berakhir di bunker di sebelah kanan.

Kehadiran kanopi ranting dan dahan pokok di depan bunker menghalang pukulan lambung ke green dan penulis terpaksa melakukan dua pukulan untuk ke green. Apa pun, pencapaian ketika bermain di waktu malam di "The Dragon" mengatasi pencapaian ketika bermain di waktu siang.





"KGSAAS menawarkan permainan golf waktu malam yang terbaik. Tee off terakhir ialah pada 6.30 petang. Ia amat sesuai untuk pemain yang serius atau pemain baru. Kita ada lampu limpah dengan sejumlah 1,400 mentol, 1,000 watt di ketiga-tiga nine," kata James menjelaskan kenapa pengalaman bermain golf waktu malam di lapangan itu amat menyenangkan dan berbeza dengan tanggapan bahawa ia sesuatu yang sukar.

Sejak diambil alih pengurusan baru tahun lalu, KGSAAS mula melalui proses penambaikan. Selain penyelenggaraan lapangan ditingkatkan, segala kerosakan termasuk di laluan buggy sedang diperbaiki. Keadaan green semakin baik dengan purata kelajuan mencapai antara 8.5 hingga 9.5 pada bacaan stim meter dan boleh ditambah sehingga 10.5 untuk kejohanan. Malah buggy lama akan diganti tidak lama lagi untuk keselesaan pemain.

"Mereka yang dah kenal KGSAAS pun patut mencuba untuk melihat perbezaan pada masa ini," kata James sambil menambah KGSAAS akan melalui proses transformasi menjadi lapangan 18 lubang yang palik baik dan mencabar pada masa depan. KGSAAS akan dibangunkan semula sebagai lapangan 18 lubang dengan hartanah baru.

Bagi pemain yang sudah biasa dengan KGSAAS, segala cabaran mungkin sudah lama diatasi dan "The Dragon" mungkin sudah acap kali ditawan. Bagi mereka, lapangan ini mungkin tiada bezanya dengan lapangan lain yang seusia dengannya.

Namun bagi pemain yang baru mengenali KGSAAS, ia adalah lapangan yang mencabar dan banyak rahsia masih perlu dirungkai. Selagi "The Dragon" tidak berjaya ditawan pada waktu malam, selagi itu pemburuan "Naga Malam" perlu diteruskan.






Info


Acara utama pernah dianjurkan di KGSAAS:

- Volvo Masters of Malaysia '94 - '97
- Asia Pacific Junior Golf Championship '95 - '96
- Selangor Amateur Open '95
- World Amateur Inter-team Golf Championship '96
- Asean Tour '95 - '96
- Wilson Amateur Golf Championship '95
- 13th Malaysian Ladies Open '96
- Pharmaton Malaysian Ladies Amateur Open 2002
- Selangor Golf Carnival 2002
- Kosaido Malaysian Ladies Open 2003
- 100 Plus Power Asean Junior Golf Championship 2004
- Pan-West Malaysian Amateur Open 2005
- Shah Alam Golf Master 2005



Info

Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah (KGSAAS)
Alamat: No 1 Rumah Kelab, Jalan Kelab Golf 13/6,
40100 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.
Telefon: +603 5510 5972
Fax: +603 5510 5860
Email: marketing@kgsaas.com.my
Laman web: http://www.kgsaas.com.my


Waktu operasi
Isnin - Ahad

Teknikal
Lubang: 27, President, Sultan dan Alam Shah
Par: 72

Jarak:
President
- 3,141 meter (hitam)
- 3,066 meter (biru)
- 2,869 meter (putih)
- 2,534 meter (merah)

Sultan
- 3,230 meter (hitam)
- 3,095 meter (biru)
- 2,891 meter (putih)
- 2,544 meter (merah)

Alam Shah
- 3,214 meter (hitam)
- 3,073 meter (biru)
- 2,892 meter (putih)
- 2,524 meter (merah)


Rumput

Tee box: Bermuda
Fairway: Bermuda Tiffdwarf
Green: Bermuda 419

Kadar Bayaran

9 lubang/18 lubang

Hari biasa

Antarabangsa
Pagi: RM145.00/ RM250.00
Malam: RM160.00/RM270.00

Ahli
Pagi: RM26.50/RM45.10
Malam: RM46.50/RM66.30

Tetamu Ahli
Biasa: RM125.00/RM200.00
Promosi Pagi: RM135.00
Promosi Tengah Hari: RM160.00
Promosi Malam: RM180.00

Pelawat (Tempatan)
Biasa: RM145.00/RM220.00
Promosi Pagi: RM160.00
Promosi Tengah Hari: RM190.00
Promosi Malam: RM190.00

Istimewa (Tempatan)
Wanita:
Pagi Khamis & Jumaat: RM88.00

Senior:
Pagi Khamis & Jumaat: RM88.00

Promosi MTW:
Sepanjang hari Isnin, Selasa, Rabu: RM110 Mon

Hujung Minggu & Cuti Umum

Antarabangsa
Tengah Hari: RM165.00/RM310.00

Ahli
Biasa: RM26.50/RM45.10

Tetamu Ahli
Biasa: RM145.00/RM250.00

Pelawat (Tempatan)
Biasa: RM165.00/RM310.00

Yuran Buggy
Ahli: RM15/RM26.25
Tetamu Ahli: RM20 RM70 (Twin sharing)

Yuran Caddy:
Ahli: RM20 (Berkongsi)/RM35 (Berkongsi)
Tetamu: RM40 (Berkongsi)

Levi Malam: RM20.00

Rating
Fairway: 4
Green: 4
Kemudahan: 4
Yuran: 4
Nilai: 4