Lubuk Par
"DULU pemain golf kata Monterez adalah padang permainan kanak-kanak kerana amat mudah bermain di sini. Tetapi sekarang bila anda datang ke sini, anda akan dapati ia jauh berbeza," kata Superintenden Lapangan Golf, J Simon.
Bagi Simon, perubahan yang dilakukan beliau sejak 15 tahun berkhidmat di Monterez Golf & Country Club menjadikan lapangan itu semakin mencabar. Banyak bunker baru dibina di tempat strategik selain green yang lebih laju dan mengelirukan, sekali gus menjadikan lapangan ini lebih sempit dan sukar daripada dulu
Penulis yang kembali ke Monterez baru-baru ini selepas kali terakhir bermain di sana kira-kira setahun lalu, mengerti apa yang dimaksudkan Simon. Memang benar green di Monterez kini amat baik dan laju, setanding dengan green di lapangan yang lebih mahal dan terkenal.
Bilangan bunker di lapangan yang mula beroperasi pada 1995 itu pula kini berjumlah 80 buah dan berada di tempat strategik, iaitu lokasi pendaratan bola pukulan tee off kebanyakkan pemain golf. Jangan hairan apabila melihat pukulan tee akan kerap berakhir di bunker bila anda bermain di lapangan ini nanti.
Namun, penulis mendapati green di Monterez tidak sesukar seperti yang dibayangkan Simon kerana agak mudah untuk melakukan bacaan yang tepat. Di beberapa lubang penulis mampu ketawa ketika meletakkan bola untuk melakukan putt. "Kenapa kau ketawa?" soal rakan sepermainan, Lokman Mansor, kehairanan. "Aku nampak line," kata penulis sambil ketawa lagi untuk menambah tekanan psikologi terhadap beliau.
Permukaan green yang dilitupi rumput Bermuda Tiffdwarf dipotong rapi manakala kelibat butiran pasir dan tompok rumput tidak sekata sukar dilihat. Hasilnya bola meleret lancar dan mampu mengikut laluan di permukaan berkontor dan penulis banyak kali hanya memerlukan satu pukulan putt. Malangnya keadaan itu tidak berlaku ketika percubaan birdie.
Pujian harus diberi kepada Simon dan pasukannya kerana kerja penyelenggaraan dilakukan apabila saja ada masa terluang kerana lapangan ini dibuka setiap hari dari pagi hingga malam. Malah, penulis menyaksikan kerja memotong rumput di green dilakukan dengan pantas di antara flight bagi memastikan permukaan permainan sentiasa terbaik.
Sememangnya bagi penulis dan rakan-rakan, lapangan golf yang direka bentuk Peter Dalkelth Scott itu adalah lubuk par. Rakan lain akan memperleceh bilangan par yang diperoleh jika dikhabarkan bermain di Monterez dengan kenyataan "Monterez bolehlah, pendek dan senang." Maka tidak hairanlah, Monterez menjadi lapangan pilihan kami sejak tiga tahun tahun lalu apabila mula berjinak dengan permainan golf.
Malah, penulis masih mampu mencatatkan empat par selepas terlepas tiga birdie walaupun pukulan driver serba tidak kena pada sesi permainan dalam cuaca panas baru-baru ini. Keputusan itu agak mengecewakan kerana penulis pernah mencatatkan keputusan terbaik di lapangan ini, iaitu keseluruhan 91 pukulan dan tee off yang mencecah 320 meter pada lubang ke-18 tahun lalu.
Catatan itu mampu dibuat ketika pukulan driver dan iron serba menjadi. Tanpa kemampuan melakukan pukulan sedemikian, permainan di Monterez akan mengecewakan kerana lapangan ini sempit walaupun agak pendek.
"Sebagai pemain anda perlu mengkaji reka bentuk lapangan ini, tak semestinya anda menggunakan driver untuk melakukan pukulan tee. Kena lihat di mana bunker, kolam dan main secara bijak.
Golf bukan saja aspek kekuatan tetapi fikiran, anda kena fikir dan kaji reka bentuk sebelum bermula," kata Simon apabila ditanya cara untuk menawan lapangan golf ini.
Katanya, Monterez adalah lapangan yang sempit kerana di kedua-dua sisi fairway terdapat bunker atau bunker dan kolam selain OB di banyak lubang yang menjadikan ia lebih mencabar.
"Anda perlu buat pukulan tepat supaya pukulan kedua atau ketiga dapat tiba ke green atau tidak huru hara jadinya. Malah ranting dan dahan pokok juga akan banyak menjadi penghalang. Jika anda tersasar jauh ke rough mungkin anda tidak dapat kembali ke fairway, ia adalah mencabar.
"Antara lubang 9 dan lubang 18 ada OB dan di depan ada air, sebab itu anda perlu mendartkan bola dengan tepat...jangan fikir anda sudah berada di lubang ke-18 dan akan menamatkan permainan dengan bergaya, anda kena main ikut reka bentuknya barulah boleh berjaya," katanya.
Secara keseluruhan, lapangan par 71 di kawasan seluas 123 ekar di Shah Alam ini agak mudah dengan halangan air hadir di 12 lubang. Landskap pula agak menarik dengan pelbagai pepohon termasuk pulai dan tecoma membarisi sempadan fairway. Kolam pula dilitupi kiambang yang membangkitkan lagi keindahan pemandangan walaupun air agak keruh.
Dua daripada empat lubang par 3 di Monterez iaitu lubang ketiga dan ke-12 menggamit cubaan birdie. Lubang kelima sejauh 204 meter pula memerlukan pukulan tepat melebihi 180 meter untuk melepasi bunker yang menanti di depan green. Lubang ke-15 pula menghamparkan green yang melandai dari kanan ke kiri dan belakang ke depan yang memerlukan strategi bijak iaitu memastikan bola mendarat di kawasan di bawah cup.
Tiga lubang par 5 pula menggamit cubaan par dengan lubang ke-13 sepanjang hanya 414 meter boleh dicapai dengan dua pukulan jauh dan membuka peluang eagle dan birdie bagi pemain yang berani mengambil risiko kerana sebelah kiri dan belakang green dikawal kolam.
Sebelas lubang par 4 pula boleh dicapai dengan dua pukulan asalkan tee off tidak jauh terbabas. Sesungguhnya, peluang mencatatkan greens in regulation (GIR) di lapangan ini adalah tinggi asalkan pukulan tidak terlalu melencong.
Mungkin ramai yang tidak perasan Monterez turut menawarkan golf waktu malam yang menarik dan amat sesuai untuk pemain melepaskan tekanan selepas penat bekerja. Semua 18 lubang di lapangan ini dilengkapi lampu limpah yang cukup terang untuk memastikan pengalaman bermain yang mengujakan.
"Kami memulakan golf waktu malam sejak 1995 tetapi ramai tak tahu. Saya galakkan orang datang bermain malam, selepas kerja datanglah ke sini," kata Simon sambil memberi jaminan golf waktu malam di Monterez tidak sesukar seperti yang dibayangkan. "Rough kami sentiasa pendek, kami potong 23 milimeter. Walaupun bola jatuh ke rough, masih boleh nampak. Dahan dan ranting rendah juga dicantas supaya bola mudah dicari."
Permainan di lapangan ini juga tidak mengambil masa lama kerana susun letak laluan buggy yang dibina pada 1997 membolehkan sesi berjalan lancar dan ditamatkan dalam tempoh empat hingga empat setengah jam.
Kesimpulannya, lapangan Monterez yang dikatakan bertemakan tamadun Maya seperti yang dizahirkan pada namanya yang bermaksud gunung berteres dan senibina bumbung rumah kelab berbentuk piramid masyarakat kuno Amerika Tengah itu, pasti tidak mengecewakan pemain sama ada yang sudah mahir atau baru belajar.
Lapangan ini amat sesuai untuk pemain baru mengasah bakat dan untuk pemain mahir untuk mencatatkan keputusan terbaik, sekali gus meningkatkan tahap keyakinan diri. Pendek kata, jika mahu mencatatkan banyak par dan mungkin juga birdie, datanglah ke lubuk par ini. Pastikan tee off anda tidak melencong jauh dan Monterez pasti menjadi saksi kepada catatan rekod terbaik anda.
Info:
Monterez Golf & Country Club
Alamat:
No 1 Jalan Merah Kesumba U9/18,
Seksyen U9, 40,000 Shah Alam,
Tel: 603 7846 5989
Fax: 603 7846 7881
Email: mgcc@monterez.com.my
Web: http://www.monterez-golf.com
Waktu operasi
Isnin - Ahad
Teknikal
Lubang: 18
Par: 71
Jarak:
First Nine
- 2,845 meter (biru)
- 2,562 meter (putih)
- 2,283 meter (merah)
Second Nine
- 2,893 meter (biru)
- 2,604 meter (putih)
- 2,353 meter (merah)
First & Second Nine
- 5,738 meter (biru)
- 5,166 meter (putih)
- 4,636 meter (merah)
Rumput
Tee box: Greenless Park
Fairway: Cowgrass
Green: Bermuda Tiffdwarf
Rating
Fairway: 4
Green: 4
Kemudahan: 4
Yuran: 4
Nilai: 4
<< Home