Tuesday, October 03, 2006

Pemuda mahu galak Bumiputera ceburi ICT

MDeC boleh jadi fasilitator kepada usahawan teknologi: Khairy

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno akan memberi keutamaan kepada usaha meningkatkan pembabitan generasi muda Bumiputera dalam sektor ekonomi baru seperti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta bioteknologi.

Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin, berkata langkah itu sejajar kehendak Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, supaya diwujudkan masyarakat sains dan teknologi Bumiputera bagi menyeimbangkan pembabitan kaum dalam sektor itu.

“Saya tidak mahu lihat satu hari nanti komposisi pekerja dan pakar teknologi lebih berat sebelah kepada satu kaum saja di Malaysia dan tidak mewakili komposisi rakyat sebenar.

“Kita perlu melihat jauh ke hadapan dan meletakkan sektor baru ini sebagai keutamaan untuk generasi muda Bumiputera,” katanya selepas merasmikan bengkel peningkatan teknologi dan perniagaan anjuran bersama Multimedia Development Corporation (MDeC) dan Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MDeC, Badlisham Ghazali.

Khairy berkata, beliau yakin bengkel yang dianjurkan sempena Perhimpunan Agung Umno pada November ini dapat membantu bukan saja mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan sektor ekonomi baru tetapi mewujudkan lebih ramai usahawan teknologi Bumiputera.

Merujuk perangkaan hanya 17 peratus daripada syarikat berstatus Koridor Raya Multimedia (MSC) adalah milik Bumiputera, beliau berkata MDeC boleh berperanan sebagai fasilitator kepada bakal usahawan teknologi Bumiputera untuk mencari peluang perniagaan, modal teroka dan pelabur.

“Kita perlu faham bahawa syarikat Bumiputera menghadapi banyak halangan dan rintangan untuk menembusi pasaran ini,” katanya.

Khairy berkata, masalah yang dihadapi pelajar ICT Bumiputera pula ialah mereka tidak cenderung kepada bidang teras industri seperti penulisan kod atau pemprograman.

Terdahulu, dalam ucapannya, Khairy menjelaskan beberapa perkara yang diperjuangkan Pemuda Umno, termasuk usul berhubung semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada Perhimpunan Agung Umno lalu.

Katanya, Agenda Melayu bukan hanya perjuangan dalam politik tetapi juga dalam ekonomi dan ini menuntut sokongan padu semua.

“Semangat DEB bukan satu campur tangan kerajaan. Campur tangan terus tidak dapat berfungsi dalam ekonomi baru... kami tidak mahu pemberian tetapi peluang untuk berjaya,” katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home