Wednesday, September 20, 2006

Pidato Islam Hadhari

Rencana BH 11 Mei 2006 (ms 14)

JIKA diamati penampilan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada dua majlis anjuran Bahagian Penerangan dan Biro Agama Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara malam kelmarin, hati yang lembut pasti tersentuh.

Sesiapa saja yang mengikuti majlis itu akan terdetik betapa Perdana Menteri begitu ikhlas dan komited dalam memimpin negara untuk mencapai matlamat Wawasan 2020 berteraskan pendekatan Islam Hadhari, sekali gus mengembalikan kegemilangan Islam ketika dunia kian berprasangka terhadap agama keamanan itu.

Walaupun sibuk menghadiri beberapa majlis pada sebelah pagi, Abdullah tampil penuh semangat di Dewan Tun Razak dengan segak berbaju Melayu serta bersamping tanpa memperlihatkan riak keletihan. Selepas azan Maghrib dilaungkan dan disusuli iqamah, Abdullah lantas mengambil tempat untuk mengimamkan solat.

Ramai hadirin yang tiba sejak awal lagi tetapi mungkin terlupa untuk mengambil air sembahyang tergesa-gesa mencari selipar untuk ke bilik wuduk apabila Abdullah mula mengangkat takbir. Mereka yang sudah berwuduk pula dengan tenang mengisi saf untuk menjadi makmum kepada pemimpin yang dihormati.

Walaupun suara Abdullah tidak mendayu seperti Imam Muda Masjid Nabawi, Sheikh Masyari Rashid Al-Faasi, bacaan Surah Al-Insyiraah pada rakaat pertama dan An-Nasr pada rakaat kedua tetap menusuk kalbu. Nada suara tegas dengan bacaan pantas menunjukkan betapa beliau serius dan tidak mahu berlengah untuk menjayakan agenda bangsa dan agama.

Selepas meninggalkan dewan kerana menghormati status majlis Penerangan Khas oleh Presiden Umno itu sebagai tertutup, penulis terfikir apakah pilihan dua surah lazim yang dibacakan Abdullah itu sekadar kebetulan atau dirancang.

Al-Insyiraah atau Perihal Melapangkan Dada Nabi seperti yang dinyatakan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menceritakan betapa jerihnya usaha Nabi Muhammad SAW menyampaikan syiar Islam dan Allah menjanjikan secara bertutur-turut kemudahan selepas setiap kepayahan.

An-Nasr atau Kemenangan pula mengingatkan Rasulullah dan tentunya umat Islam supaya tidak lalai apabila mendapat kejayaan, sebaliknya disuruh terus mengerjakan amal ibadat serta memohon keampunan terhadap segala kesalahan yang mungkin dilakukan.

Apakah Perdana Menteri cuba menyampaikan mesej kepada hadirin menerusi surah pilihannya itu atau sekadar mengamalkan surah yang sememangnya bertepatan dengan dirinya sebagai pemimpin dengan tanggungjawab berat untuk meringankan beban yang ditanggungnya.

Selepas pintu Dewan Tun Razak dibuka sejam setengah kemudian dan ramai hadirin majlis penerangan khas itu yang bergegas keluar untuk menunggu di luar, penulis sekali lagi menuju ke ruang solat.

Kali ini, Presiden Umno itu sudah pun membaca Ummul Kitab pada rakaat pertama solat Isyak dan penulis lantas mengisi saf yang tidak sebanyak ketika solat Maghrib. Bacaan Abdullah tetap pantas dan tegas. Selepas mengaminkan doa, ramai makmum bergegas keluar untuk ke Dewan Merdeka bagi mengikuti majlis Pidato Perdana Islam Hadhari.

Jam sudah pun menunjukkan 9.10 malam ketika penulis lalu di depan seorang pengawal peribadi Abdullah yang disapa seorang hadirin dengan soalan kenapa Perdana Menteri masih tidak keluar lagi. "Pak Lah solat sunat," jawab beliau menjelaskan kebiasaan Perdana Menteri.

Tidak lama kemudian, Abdullah memasuki Dewan Merdeka sambil diiringi Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, dan mengambil tempat duduk di bahagian tengah dewan, bukan di depan pentas seperti kebiasaannya.

Majlis dimulakan dan 10 peserta akhir pidato silih berganti mempamerkan kepetahan bercakap setiap prinsip Islam Hadhari dalam tempoh 10 minit yang diperuntukkan.

Abdullah mendengar butir kata mereka dengan khusyuk. Ada kalanya beliau mengerutkan dahi dan ada kalanya beliau tersenyum ketawa, lebih-lebih lagi ketika mendengar kepetahan dan kelucuan pidato wakil Negeri Sembilan, Syamsul Amri Ismail, yang kemudian dipilih sebagai juara.

Tidak seperti ramai hadirin lain yang sering keluar masuk dewan dan adanya yang menyelinap pulang, Perdana Menteri tetap berada di tempat duduknya sehinggalah peserta terakhir selesai berpidato kira-kira jam 11 malam.

Selepas itu, Abdullah naik ke pentas untuk menyampaikan Amanat Khas kepada hadirin. Memulakannya dengan lafaz Bismillah dan ucapan salam, Perdana Menteri menyatakan kekaguman kepada peserta pidato mengupas sepuluh prinsip Islam Hadhari.

Beliau mencadangkan kandungan pidato mereka dibukukan selepas beberapa kelemahan diperbetulkan untuk dijadikan bahan penerangan Islam Hadhari.

"Saya harap Ketua Penerangan Umno apabila mahu mengadakan majlis penerangan Islam Hadhari, jemputlah anak-anak kita yang hebat ini. Kemampuan berpidato sudah ada pada mereka," katanya sambil disambut tepukan gemuruh hadirin.

Selepas reda tepukan itu, Perdana Menteri secara lembut menegur peserta dan pengerusi majlis itu kerana tidak memulakan percakapan mereka dengan doa sejahtera sesama saudara Islam seperti yang dianjurkan Nabi Muhammad SAW.

"Beri salam dulu, jangan mulakan dengan ucapan lain. Naik pentas sampaikan salam dulu, itu cara yang diajar Rasulullah. Selepas sampaikan salam, barulah kita cakap," katanya sambil menyebut nama pemimpin biro agama Umno, Tan Sri Dr Abd Hamid Othman dan Tan Sri Dr Yusof Nor meminta mereka memastikan adab itu diamalkan pada majlis akan datang.

Presiden Umno itu kemudian menyambung amanat dengan menjelaskan sedikit sebanyak mengenai pendekatan Islam Hadhari yang diperkenalkannya sejak meneraju tampuk pemerintahan negara dan penerimaannya oleh rakyat negara ini dan juga masyarakat antarabangsa daripada kalangan bukan Islam.

"Ada yang menganggap Islam Hadhari sebagai konsep, falsafah, idea dan sebagainya. Apapun, Islam Hadhari sudah diterima bukan saja di negara ini dan semua kaum tetapi juga di luar negara. Saya sudah jelaskan apakah prinsipnya. Mereka dapati Islam Hadhari adalah baik kerana prinsipnya diambil daripada nilai yang baik yang mempunyai nilai universal yang boleh diterima bukan Islam.

"Pada peringkat antarabangsa, Islam Hadhari memperlihatkan kita sebagai umat Islam yang sederhana. Hari ini terbukti negara kita yang ramai orang Islam adalah negara yang stabil. Walaupun bilangan bukan Islam mencapai 40 peratus, iaitu angka agak tinggi, mereka menerima pendekatan kita.

"Saya hendak nyatakan bahawa Islam Hadhari bukan dipengaruhi mana-mana falsafah tetapi pemahaman kita kepada al-Quran dan Hadis. Inilah yang memberi kekuatan kepada kita, nilai yang perlu kita pegang," katanya.

Abdullah berkata, pada majlis penerangan kepada 11 eksekutif kanan syarikat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) Amerika Syarikat di Austin, Texas, minggu lalu, Perdana Menteri berkata, mereka mengakui baru memahami Islam adalah agama keamanan dan kemajuan.

"Selepas saya memberi penerangan, tiba-tiba semua bertepuk secara spontan dan seorang daripada mereka bangun dan berkata ini idea dan penjelasan yang baik mengenai Islam dan saudara patut sebarkan idea ini," katanya.

Abdullah berkata, ketika di Amerika beliau juga ditemui seorang wartawan Australia yang menyatakan bahawa Islam Hadhari kini menjadi perbualan hangat di negaranya sejak penerangan ketika lawatannya ke sana awal bulan lalu.

"Seorang imam masjid di sana meminta salinan teks ucapannya untuk tatapan jemaah tetapi akhirnya terpaksa mencetak berulang kali kerana mendapat permintaan penduduk setempat. Saya tanya siapa yang minta dan dia kata ramai bukan Islam yang minta," katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home