Pertanian bukan industri pinggiran
Rencana BH 22 Ogos 2006 (ms.12)
BERI nafas baru dan perkasa sektor pertanian. Itulah ungkapan yang sering kita dengar daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sejak menerajui kerajaan hampir tiga tahun lalu. Biarpun ada yang tidak yakin dengan dasar itu ketika dunia lebih menumpukan kepada industri berat bagi memburu pertumbuhan besar ekonomi, Perdana Menteri tetap mahu sektor pertanian dimajukan untuk kepentingan rakyat terutama di luar bandar.
Bagi Perdana Menteri, sektor pertanian itu sebenarnya mewujudkan industri asas tani yang menambah nilai bahan mentah hasil pertanian dan bukan makanan melalui pemprosesan menjadi produk yang boleh dipasarkan, diguna dan dimakan serta pada masa sama menambah pendapatan dan keuntungan kepada petani.
"Saya tak mahu sektor pertanian tradisional disamakan dengan sektor untuk orang miskin," katanya ketika berucap melancarkan pelan tindakan Program Pembangunan Usahawan Industri Asas Tani di Bandar Baru Beris Jaya, Sik, Kedah, Khamis lalu.
Sebagai anak kelahiran Kepala Batas yang juga antara kawasan jelapang padi, Abdullah sememangnya cukup faham betapa sektor pertanian yang secara tradisionalnya diusahakan orang Melayu sering dikaitkan dengan kepayahan dan kemiskinan. Malah, sudah menjadi tanggapan umum bahawa petani adalah golongan miskin dan pertanian adalah sektor yang tidak menguntungkan.
Justeru, tidak hairanlah kenapa Malaysia sejak berdekad lalu memilih untuk menampung keperluan makanannya, termasuk 75 peratus keperluan beras, dengan mengimport walaupun pendekatan itu memberi kesan kepada imbangan pembayaran negara.
"Mengapa saya sibuk dengan industri asas tani? Kerana kalau tidak ada industri asas tani, tidak ada pemprosesan, tidak ada kilang," kata Perdana Menteri kepada ribuan penduduk Sik pada majlis pelancaran program itu.
Abdullah yang juga Menteri Kewangan menegaskan beliau tidak mahu lagi penduduk kampung sekadar bekerja di kilang dan kekal di tahap itu tanpa mencari jalan untuk menjadi pengusaha kilang yang selama ini daripada kalangan mempunyai modal besar.
Katanya, masyarakat luar bandar kini sebenarnya berpeluang menerima bimbingan pelbagai pihak termasuk jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan boleh menjadi pengusaha serta mendirikan kilang.
"Kerajaan akan menggalakkan mereka bermula dalam skala kecil bagi memudahkan pemantauan dan ia bukan bermatlamat melahirkan usahawan yang kaya secara segera. Kerajaan berharap 10,000 usahawan dapat dilahirkan dan lebih banyak penduduk dibebaskan daripada belenggu kemiskinan," katanya.
Apa yang dijelaskan Perdana Menteri itu ialah Program Pembangunan Usahawan Industri Asas Tani yang akan dilaksanakan di setiap daerah di negara ini dengan matlamat mewujudkan 10,000 usahawan industri asas tani dengan pendapatan minimum bersih RM2,000 sebulan menjelang 2010.
Program itu juga bertujuan meningkatkan kualiti produk ke tahap pasaran global yang menepati persijilan antarabangsa bagi sekurang-kurangnya 20 peratus daripada usahawan industri asas tani yang akan dibangunkan.
Menerusi program itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan membawa usahawan industri asas tani mikro ke tahap lebih tinggi; mengadakan program pembangunan insan; menyediakan khidmat nasihat serta bantuan kewangan; menambah kualiti dan keupayaan pengeluar melalui inovasi teknologi dan perniagaan.
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga akan memperkenalkan jenama produk; meneroka dan mengembangkan pasaran; mempromosikan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi; dan menyediakan khidmat sokongan bersepadu kepada pengusaha.
Strategi program itu adalah sejajar dengan dasar untuk meningkatkan pendapatan petani, penternak dan nelayan, memperluaskan aktiviti pemprosesan dan kepelbagaian produk hasil berasaskan pertanian dan mengukuhkan pemasaran dan rangkaian global.
Harapan Perdana Menteri itu sudah mula menampakkan tanda akan dipenuhi. Di Sik saja 60 projek di bawah program itu, iaitu 40 perusahaan ikan hiasan dan 20 perusahaan makanan, sedang dilaksanakan. Daerah terbesar Kedah yang selama ini dibelenggu kemiskinan mula menampakkan bayangan kemakmuran hasil industri asas tani.
Seramai 40 penduduk miskin di Kampung Bendang Man kini menaruh harapan kepada projek ikan hiasan bernilai lebih RM2 juta. Sebanyak 314 kolam konkrit dan 19 kolam tanah diusahakan di kawasan seluas 4.45 hektar sejak 2004 dan dijangka mengeluarkan hasil akhir tahun ini.
Di Kampung Gajah Putih, Jeneri, Zarida Hassan, 40, pula sudah bergelar usahawan kerepek pisang sejak setahun lalu dengan pendapatan bersih lebih RM2,000 sebulan. Jumlah itu sekali ganda daripada hasil ketika beliau mengusahakan kantin sebelum ini.
Seorang lagi pengusaha, Shafie Che Sa, 27, dari Kampung Batu Besar, Teloi, pula bertekad memasarkan produk kopi warisan keluarganya ke seluruh negara tidak lama lagi.
Hasrat itu bukan sekadar impian tetapi sasaran kerajaan seperti mana yang dinyatakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam ucapannya ketika majlis pelancaran Program Pembangunan Usaha Asas Tani itu.
"Menerusi rangka tindakan program pembangunan usahawan industri asas tani, kerajaan meletakkan sasaran supaya hasil keluaran masyarakat luar bandar turut mendapat pasaran antarabangsa," katanya.
Muhyiddin berkata, jika selama ini petani, penternak dan nelayan menjual hasil mereka secara langsung di pasar atau kepada peraih, sekarang kerajaan menggalakkan mereka menjalankan perusahaan memproses hasil berkenaan bagi memberi pendapatan tambahan tanpa perlu bergantung kepada hasil segar semata-mata.
Sekadar menyebut beberapa daripada ribuan produk hasil pertanian yang boleh diusahakan, beliau berkata buah-buahan boleh diproses menjadi jus minuman, halwa, jem atau kek manakala hasil laut pula boleh dijadikan ikan pekasam, keropok atau bahan perisa.
"Saya percaya dengan komitmen padu kementerian dan semangat tinggi petani, penternak dan nelayan dalam menjalankan perusahaan berasaskan pertanian, produk keluaran kita akan dapat dijual di luar negara.
"Tidak mustahil satu hari nanti masyarakat Eropah, Amerika Syarikat atau negara Asia Barat mula menggemari kuih-muih dan makanan tradisi kita seperti bahulu, dodol, ikan pekasam, dan kerepek ubi," katanya.
Muhyiddin berkata, sehingga kini Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerusi Jabatan Pertanian sudah menyalurkan RM4 juta untuk pembangunan kawasan pertanian daerah Sik manakala Bank Pertanian pula memperuntukkan RM6 juta bagi skim kredit industri asas tani.
Sehubungan itu, beliau berharap Sik sebagai daerah terbesar di Kedah dan antara yang termiskin di negara ini bakal menjadi sebuah daerah termaju tidak lama lagi melalui Program Pembangunan Usahawan Industri Asas Tani itu.
Program itu pertama kali didedahkan kepada media oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Effendi Norwawi, seminggu sebelum majlis pelancarannya oleh Perdana Menteri. Effendi menjelaskan program itu adalah sebahagian daripada 13 Projek Impak Tinggi (HIP) dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

0 Comments:
Post a Comment
<< Home