Wednesday, August 22, 2012

Jam Jarak

iBH 16 September 2011


JIKA dulu pemain golf terpaksa mengagak atau bertanya kedi yang juga akan mengagak jarak ke green sebelum membuat pukulan, kini dengan adanya Garmin Approach S1 mereka boleh mendapat jawapan segera yang tepat dengan hanya memusing sedikit lengan dan memandang ke pergelangan tangan.

 Hanya dengan sekali pandang, peranti berbentuk jam tangan ciptaan firma penyelesaian GPS terkemuka dunia itu akan memberi bacaan tepat jarak setiap pukulan dan jarak ke green secara automatik berdasarkan kedudukan pemakai.

Tidak perlu lagi memegang peranti atau teropong pengukur jarak yang menyukarkan kerana terpaksa diletak atau disimpan sebelum menyambung pukulan serta mengundang kata sinis pemain lain kerana mengguna alat bantuan penentu jarak atau lokasi pin yang sememangnya dilarang dalam kejohanan.

Garmin Approach S1 juga lebih praktikal berbanding peranti GPS yang dilekatkan pada buggy kerana pemakai boleh berada di belakang atau di sisi kedudukan bola untuk mendapatkan bacaan yang lebih tepat tanpa menarik perhatian pemain lain.

Rekaan yang memadankan penerima GPS yang sensitif dengan jam tangan sukan yang ringan, menjadikan Garmin Approach S1 peranti GPS yang cukup menarik dan mudah untuk membantu pemain golf menentukan jarak.  Malah, peranti GPS ini  sudah disahkan mematuhi peraturan golf oleh Persatuan Golf Amerika Syarikat (USGA) .

Selain mudah dibawa kerana ia adalah jam tangan yang dipakai, ia beroperasi secara automatik berdasarkan kedudukan pemakai. Pemakai hanya perlu mengesahkan pilihan yang dibuat peranti ini dan tidak perlu lagi bersusah payah mencari atau memilih padang golf sebelum memulakan permainan .

Garmin Approach S1 memberi maklumat segera jarak ke bahagian depan, tengah dan belakang green dengan tiga baris paparan jelas. Maklumat jarak dipaparkan mengikut kedudukan dengan bacaan di baris atas mewakili jarak bahagian belakang green, baris kedua yang lebih besar untuk bahagian tengah green dan baris bawah untuk bahagian depan green.

Pada masa ini maklumat lebih 16,500 padang golf di Amerika Syarikat dan Kanada, lebih 6,900  padang golf di Eropah dan lebih 600 padang golf di Australia, siap dimuatkan dalam memori peranti ini. Maklumat lebih banyak padang golf termasuk di benua lain  akan disediakan. Bagaimanapun, tidak dinyatakan bila maklumat padang golf di Asia, khususnya Malaysia, akan dikeluarkan.

Pemakai peranti GPS ini juga boleh mengukur jarak pukulan dari kotak tee ke kedudukan pukulan kedua dan seterusnya dengan mudah manakala fungsi pedometer mengukur jarak pergerakan pemakai di padang golf.

Sebagai jam tangan, Garmin Approach S1 menunjukkan waktu yang diselaras secara automatik apabila memasuki zon waktu lain. Ia juga berfungsi sebagai penggera waktu harian. Reka bentuknya yang cantik menjadikan ia jam tangan yang sesuai dipakai setiap hari.

Menggunakan kuasa bateri lithium-ion boleh dicas semula, peranti GPS  ini mampu beroperasi untuk tiga minggu dalam mod jam dan selama lebih lapan jam dalam mod golf, tempoh yang lebih daripada cukup untuk satu pusingan golf  18 lubang atau 27 lubang.

Paling menarik, pemilik Garmin Approach S1 tidak perlu membayar sebarang caj muat turun atau langganan seperti peranti GPS golf lain.

Garmin Approach S1 menawarkan penyelesaian penentu jarak yang ringkas dan mudah untuk pemain golf. Tidak keterlaluan untuk mengatakan ia adalah peranti GPS yang perlu dimiliki setiap pemain golf bagi membantu meningkatkan permainan masing-masing dan menjadikan golf permainan yang menceriakan.




Jam tangan GPS Garmin S1 Approach

Info:

Dimensi: 4.5 x 6.9 x 1.4 sm
Saiz paparan:  2.5 x 2.5 sm
Resolusi paparan: 64 x 32 pixel
Jenis paparan: LCD monochrome
Berat:  52g dengan bateri
Bateri: Lithium-ion boleh caj semula
Tempoh kuasa bateri: 3 minggu (mod jam); 8 jam (mod GPS)
Kalis air: Ya (IPX7)
GPS: Ya
Antara muka: USB

Peta dan Memori:
Peta padang bina dalam:  Ya  (AS dan Kanada)
Kapasiti: Tiada had

Ciri:
Pematuhan peraturan USGA dan R&A (sah mengikut Peraturan Golf)

Harga: AS$249.99