Thursday, October 09, 1997

Usah jadi boneka penjajah era globalisasi

Oleh Wan Hazmir Bakar

(BH 09/10/1997 p.10)

DATUK Seri Dr Mahathir Mohamad sering mengingatkan rakyat Malaysia supaya berwaspada dengan ancaman penjajahan bentuk baru era globalisasi. Menurutnya, dalam era dunia tanpa sempadan kini kita perlu menerima hakikat bahawa kita tidak lagi dapat dilindungi oleh batas sempadan kita. Malahan, dunia tanpa sempadan boleh menjadi `hutan liar' penuh dengan `binatang buas' yang tidak menghirau undang-undang atau peraturan.

Katanya, kita sudah menyaksikan bagaimana mudahnya orang asing meruntuhkan ekonomi kita yang diusahakan selama 40 tahun dengan sengaja menjatuhkan nilai mata wang dan pasaran saham kita dalam beberapa minggu saja.

"Janganlah kita fikir sekali merdeka maka selama-lamanya kita akan merdeka. Jika kita tidak berusaha untuk memelihara kemerdekaan kita, penjajah secara langsung atau tidak langsung akan kembali menjajah kita," tegas beliau.

Nada yang sama diteruskan dalam perutusan menerusi buku cenderamata sempena Perhimpunan Agung Umno baru-baru lalu. Dr Mahathir mengajak rakyat bersama-sama kerajaan menghadapi `penyangak antarabangsa' yang sedang bergiat cergas menyerang ekonomi negara dan beberapa negara jiran.

Perdana Menteri berkata, sokongan padu rakyat terhadap langkah yang diambil kerajaan bagi memerangi `penyangak antarabangsa' itu amat penting bagi memastikan ekonomi negara terus kukuh dan rakyat dapat terus menikmati faedahnya.

"Apa yang sudah dibina dengan rapi melalui usaha rakyat cuba dihancurkan oleh spekulator yang tidak berhati perut ini demi keuntungan. Sekali gus ini memberi makna buruk kepada pasaran bebas yang dilaung-laungkan," katanya.

Dr Mahathir menjelaskan kejatuhan nilai mata wang di beberapa negara di Asia adalah satu percubaan ketara pihak tertentu untuk memberhentikan pertumbuhan ekonomi yang pesat di rantau ini.

Beliau berkata, memang ada cakap-cakap menyatakan tidak perlu lagi muncul negara `Jepun Kecil' sehingga serangan mata wang sejak kebelakangan ini ditumpukan kepada negara yang dianggap `naga' dan `harimau'.

"Perkara ini dinyatakan oleh (James) Baker (bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat) kepada orang Jepun... mereka tidak sepatutnya membantu kemunculan `Jepun Kecil'," kata Dr Mahathir.

Persoalan kini adakah ancaman terhadap ekonomi dan kebebasan negara akan berakhir setakat itu saja atau akan terus membayangi kita sehingga kita rebah dan merangkak meminta simpati dan mengikut telunjuk mereka.

Hakikatnya, ia bukan yang pertama dan pastinya bukan yang terakhir. Kita juga tidak bersendirian. Setiap negara yang pernah dijajah terus dibayangi kuasa besar yang ingin terus berkuasa. Ia adalah hukum dunia hutan liar dengan yang gagah terus menghentam yang lemah.

Sejarah dunia moden menyaksikan kuasa Barat berlumba menguasai negara lain dan `membuka' dunia baru. Mereka menjajah bangsa lain dengan alasan tiga G, iaitu God, Gold and Glory atau Tuhan, Kekayaan dan Kegemilangan.

Bagaikan lanun mereka merompak kekayaan negara yang lemah, memaksa rakyatnya menganut agama mereka dan membunuh sesiapa yang cuba bangun mempertahankan hak dan kedaulatan. Mereka anggap diri mereka `Tuhan' yang menentukan suratan takdir bangsa lain.

Apabila sistem kapitalis lahir dan revolusi perusahaan menapak, kehendak dan keperluan mereka makin bertambah, maka imperialisme terus berkembang. Persaingan hebat untuk menjadi yang paling berkuasa dengan empayar yang luas berakhir dengan pertempuran yang mereka namakan peperangan dunia walaupun hanya mereka saja yang terbabit.

Dengan hasil kekayaan negara jajahan mereka, negara kolonial Barat itu kembali memperkukuhkan ekonomi masing-masing. Persaingan antara mereka terus hebat dan akhirnya menjerumuskan mereka ke kancah perang dunia buat kali kedua.

Apa yang menarik kali ini, muncul sebuah negara Asia yang sama-sama terbabit dalam peperangan itu, sekali gus memecah dominasi negara Barat. Jepun menjadi kuasa di rantau sebelah sini dan menentang bekas penjajahnya, Amerika Syarikat.

Tamatnya Perang Dunia Kedua itu menyaksikan kejatuhan kuasa Eropah dan kemunculan dua blok kuasa utama, Amerika Syarikat dan Soviet Union, satu mendokong sistem ekonomi kapitalis dan satu lagi ekonomi sosialis.

Walaupun angin kemerdekaan bertiup ke seluruh dunia selepas itu ketika bekas penjajah Eropah bangun daripada runtuhan peperangan, negara baru terus menjadi mangsa kerakusan kuasa besar baru yang ingin menguasai dunia.

Pada era Perang Dingin itu, negara baru merdeka terbahagi kepada dua blok, masing-masing menari mengikut rentak tuan mereka. Yang menyokong akan dibantu dan yang menentang akan dihentam, baik dari segi ekonomi mahupun ketenteraan.

Walaupun banyak di antara mereka sedar pergantungan sedemikian bermakna wujudnya penjajahan secara tidak langsung, negara membangun tidak berupaya membebaskan diri daripada belenggu itu, apatah lagi negara mundur.

Kebangkitan semula Jepun daripada sisa kehancuran bahana bom atom Amerika Syarikat untuk menyaingi kuasa baru dunia dan Eropah, ternyata memberi inspirasi baru kepada negara Asia lain.

Mengikut acuan pembangunan negara matahari terbit, maka lahirlah apa yang dinamakan `harimau' atau `naga baru' di kalangan negara rantau sebelah sini, seperti Korea Selatan, Taiwan, Singapura dan juga Malaysia.

Apa yang digelar `Keajaiban Asia' meresahkan dunia Barat yang sebelum ini menyokong kebangkitan itu demi menundukkan penyebaran komunisme yang mengancam sistem ekonomi kapitalis. Kemantapan ekonomi negara Asia bermakna pengaruh mereka semakin terhakis dan ia harus dikekang.

Hasil pakatan rakan lain dalam G-7, nilai mata wang Jepun dinaikkan sekali ganda. Kekukuhan yen akibat Perjanjian Plaza 1985 itu membebankan negara membangun yang begitu bergantung kepada Jepun untuk membangunkan industri negara mereka.

Akibatnya, kemelesetan ekonomi melanda dan negara membangun terpaksa sekali lagi bangkit dengan usaha yang lebih gigih dan pengorbanan berterusan rakyatnya.

Baru mereka hendak menikmati hasil yang selama ini diusahakan dengan keringat dan perit-jerih, sekali lagi negara membangun diserang. Kini mata wang mereka yang mula bertapak kukuh dan pasaran saham yang makin berkembang menjadi sasaran.

Hasilnya, mereka kehilangan sebahagian daripada kekayaan yang diusahakan sekian lama. Malah ada yang terpaksa meminta bantuan institusi kewangan antarabangsa seperti Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa yang dikuasai negara Barat.

Ini adalah hakikat, bukan hanya alasan untuk menutup kelemahan kita mentadbir ekonomi. Juga bukan sekadar pekikan pendokong teori konspirasi. Kita benar-benar diserang, kemerdekaan kita benar-benar diancam.

Penjajahan era globalisasi memang wujud cuma yang merasainya tidak berupaya melaung kebenaran, bimbangkan akibat yang lebih buruk. Cuma Malaysia kelihatan berani memperkatakan ketidakadilan yang wujud dalam sistem ekonomi dunia kini. Apakah kita sekarang menerima akibatnya?

Persoalan itu sudah lama dijawab oleh pendokong komunisme dan ekonomi sosialis. Kata mereka, sistem ekonomi kapitalis yang diamalkan kuasa Barat memerah keringat rakyat biasa atau mereka yang tiada memiliki keupayaan penghasilan.

Golongan yang dinamakan proletar akan terus diperkudakan oleh golongan yang memiliki keupayaan ekonomi yang bergelar borjuis sehingga golongan yang pertama tadi bangun untuk menuntut keadilan melalui revolusi yang akan membawa kepada komunisme.

Namun, kata mereka, golongan borjuis berjaya mematikan revolusi itu dengan memenuhi tuntutan golongan proletar negara mereka dengan menjadikan rakyat negara lain sebagai mangsa melalui kolonialisme.

Mereka akan mewujudkan golongan borjuis di negara baru yang dijajah. Golongan ini yang akan berkuasa dan mereka hanya perlu memainkan tali terikat pada boneka yang mereka nobatkan itu.

Peraturan ini perlu dikekalkan untuk terus menjamin mereka menikmati kemakmuran yang dibawa sistem ekonomi kapitalis, dan yang akan terus menjadi mangsa ialah negara dunia ketiga.

Walaupun kita mungkin tidak menganut fahaman komunisme, perbahasan yang diutarakan ada kebenarannya. Apa yang berlaku di dunia kini ternyata akibat usaha negara maju mengekalkan hegemoni politik dan ekonomi mereka.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu umpamanya diwujudkan kononnya sebagai `kerajaan dunia' yang menjamin keamanan dan kebebasan negara anggota dalam dunia liar. Namun, penguasaan kuasa Barat melalui keahlian Majlis Keselamatan dengan kuasa veto membuktikan sebaliknya.

Deklarasi Hak Asasi PBB 1948 yang dilampiri Perjanjian Ekonomi, Sosial dan Budaya 1966 yang dipaksakan ke atas negara membangun memberikan sebab kepada kuasa Barat untuk menghukum negara membangun.

Kita dipaksa menerima sistem demokrasi ala Barat dan ekonomi terbuka mereka bulat-bulat. Kita akur kerana kita tiada pilihan, kita lemah dan tidak berupaya merombak apa yang sudah ditetapkan sebelum kita merdeka.

Maka apa yang boleh kita lakukan untuk menghadapi ancaman itu? Perdana Menteri menjelaskan jika kita tidak sanggup menghadapi cabaran ini dengan bersifat lebih patriotik dan sanggup bekerja lebih kuat, nescaya kita akan kembali dijajah semula.

Menurut Dr Mahathir, Malaysia pada hari ini stabil, maju, makmur dan berjaya kerana kematangan politiknya, kerana kerajaan yang stabil dan berkesan, jentera pentadbiran yang efisien dan yang paling utama rakyat yang rajin, tekun, sanggup bekerja keras dan sentiasa mementingkan perpaduan dan keharmonian kaum.

Namun, katanya, rakyat Malaysia hendaklah berwaspada terhadap unsur dalam negara yang boleh juga menghancurkan semua kejayaan yang kita capai dan nikmati sekarang. Adalah amat penting rakyat berbilang kaum di negara ini tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai dakwaan dan tuduhan yang tidak berasas. WHB