Wednesday, May 26, 1999

Mengambil iktibar daripada sejarah bangsa kita

Oleh Wan Hazmir Bakar

(BH 26/05/1999 p.10)

"NEGARA Kita, Tanggungjawab Kita", tema hari kebangsaan semusim lalu kini menjadi ungkapan keramat bagi meniup semangat patriotik rakyat, sebaris dengan laungan `Merdeka' oleh Bapa Kemerdekaan negara hampir 42 tahun lalu. Kebelakangan ini kedengaran pula pekikan `reformasi' segelintir rakyat yang menggelar diri mereka pejuang keadilan.

Bagi pemerintah, krisis ekonomi yang membelenggu negara sejak hampir dua tahun lalu dan memusnahkan hampir segala kemakmuran yang diusahakan selama ini dilihat sebagai angkara terbaru kuasa asing untuk menjajah semula negara. Justeru, setiap rakyat perlu diajak menyertai barisan menahan badai serangan kapitalis baru itu.

Kedaulatan negara perlu dipertahankan walau apa pun pengorbanan yang terpaksa dilakukan. Kita tidak rela lagi tunduk kepada telunjuk kuasa asing dan membiarkan mereka mencorak masa depan negara dan rakyat. Perjuangan mengisi kemerdekaan masih belum selesai.

Niat kuasa Barat untuk terus mengekalkan hegemoni politik dan ekonomi yang dicapai sejak era penjajahan bukan satu rahsia. Kapitalisme yang mereka anuti berkehendakkan wujudnya golongan proletar baru di negara lain.

Matlamat utama kapitalis ialah menguasai kekayaan. Apabila ia tidak boleh diperolehi menerusi penjajahan terus, sistem politik dan ekonomi dunia dirangka untuk membolehkan matlamat sama dicapai menerusi cara yang halus.

Mereka terus menguasai modal, bebas menentukan ke mana arah pengalirannya. Mata wang dijadikan komoditi, didagangkan untuk keuntungan atas angin. Nilai tukaran mata wang dimanipulasi, bukan didasarkan kepada kekukuhan asas ekonomi sesuatu negara.

Inilah yang sering diperkatakan pemimpin negara terutama Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad. Menurut Perdana Menteri, ekonomi Malaysia dan negara lain di rantau ini memang diserang. Krisis ekonomi di Asia Timur menyedarkan ramai pihak yang mula yakin bahawa sistem yang ada sekarang bukan saja banyak kelemahannya, malah boleh menggugat kesejahteraan dunia.

Namun, hujah ini ditolak segelintir rakyat sebagai alasan lapok pemerintah untuk menutup kelemahan serta penyelewengan dalam pengurusan ekonomi negara. Menurut mereka, krisis ekonomi yang dihadapi negara sekarang adalah hasil amalan kronisme dan nepotisme.

Kata mereka, jika kapitalis asing dijadikan asas penghujahan, `kapitalis tempatan' apa kurangnya. Golongan inilah yang sebenarnya membolot kekayaan negara menerusi pelbagai projek mega dan penswastaan yang mencurigakan.

Mengapa rakyat perlu percaya retorik jingoisme pemerintah sedangkan pihak asing lebih prihatin dan simpati dengan tuntutan perjuangan mereka. Sekurang-kurangnya rintihan mereka mendapat tempat di media asing untuk dihebahkan ke seluruh dunia.

Internet yang wujud hasil ilham Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (Pentagon) yang sudah semestinya dibayangi muslihat tertentu dijadikan halaman perutusan maya perjuangan mereka. Media tempatan `difatwakan' mereka sebagai penyebar fitnah.

Menerusi Internet, pelbagai maklumat yang kesahihannya boleh dipertikaikan disebar sebagai bukti kemungkaran pemerintah negara di laman kelolaan Web Masters yang terus berselindung di sebalik tabir siber.

Hati dan perasaan rakyat terus dibakar untuk bersama dalam apa yang dikatakan perjuangan menuntut keadilan sosial, politik dan ekonomi. Rakyat digesa bangun menentang ketidakadilan dengan menjatuhkan kerajaan.

Namun apa yang asalnya dikatakan perjuangan dalam arena politik diheret ke medan jalanan. Demonstrasi dilakukan di tempat awam bagi menyatakan kemarahan terhadap pemimpin, kerajaan dan sistem pemerintahan. Sifat dan adab bangsa bertamadun dipinggirkan. Kata nista dihumbarkan tanpa segan silu dan pertempuran dengan polis dijadikan kebanggaan.

Tidak cukup dengan itu, sokongan asing pula dipinta. Negara dan pemimpin sendiri dimomok di forum antarabangsa dengan alasan itulah satu-satunya cara menentang regim diktator. Apakah ini yang dikatakan patriotisme?

Mereka mungkin meraih simpati sebahagian masyarakat dunia tetapi pada masa yang sama mereka mungkin sedang dipersendakan pihak tertentu kerana mudahnya dijadikan budak suruhan dalam percaturan kuasa. Pemikiran mereka sudah dijajah semula.

Simpati kuasa asing bukan sesuatu yang kita dambakan kerana lebih banyak mudarat daripada manfaat. Apakah yang boleh diharapkan selain daripada tekanan politik dan sekatan ekonomi yang akhirnya akan menjatuhkan martabat negara dan membawa kesengsaraan kepada rakyat.

Lihatlah apa yang tercatat dalam lembaran sejarah. Kuasa asing mendakwa simpati dengan nasib rakyat Palestin tetapi dibiarkan menjadi mangsa keganasan rejim Israel, mengaku simpati dengan penderitaan rakyat Iraq, tetapi terus dijadikan mangsa sekatan ekonomi dan pengeboman, mengaku simpati dengan penderitaan rakyat Kosovo tetapi dibiarkan menjadi mangsa kekejaman puak Serb.

Hakikatnya, kesejahteraan kita bukan matlamat mereka tetapi kekayaan negara menjadi buruan. Rakyat rantau ini dianggap golongan proletar yang diperintah diktator yang mengekalkan kuasa dengan memastikan tiada yang kelaparan.

Justeru, untuk menghancurkan kestabilan ini rakyat diperlakukan supaya mereka merasai kelaparan. Untuk itu, ekonomi disabotaj dengan menjatuhkan nilai mata wang. Satu demi satu entiti perniagaan musnah, mengakibatkan ramai hilang punca pendapatan.

Negara pula terpaksa berhutang dengan badan kewangan antarabangsa untuk menyambung apa jua sisa ekonomi yang tinggal. Syarat ketat yang tidak adil terpaksa dipatuhi, sekali gus membuka seluas-luasnya kekayaan negara kepada penguasaan asing.

Kehidupan rakyat makin terhimpit dan akhirnya kelaparan menguasai pertimbangan mereka. Mereka mudah percaya dengan pelbagai khabar yang ditiupkan pihak tertentu sehingga sanggup bangkit memberontak mengikut paluan gendang penghasut. Kerajaan yang ada bukan saja perlu menghadapi krisis ekonomi, tetapi juga krisis politik. Inilah yang berlaku di Indonesia.

Di Malaysia, kita lebih bernasib baik kerana masih boleh menangkis dan menahan hampir segala serangan. Kita tidak tunduk kepada telunjuk kuasa asing. Kita menangani krisis ekonomi dengan cara kita sendiri, cara yang pada mulanya dikritik hebat tetapi kini mula mendapat pengiktirafan.

Rakyat mungkin tidak semewah dulu, tapi kita tidak melarat. Justeru, biarpun berbeza pandangan, kita tidak harus hilang pertimbangan sehingga sanggup menghunus keris sesama sendiri.

Kita perlu mengambil iktibar daripada sejarah bangsa kita yang pernah menguasai Nusantara suatu masa dulu. Janganlah diulangi kesalahan lalu atau terus menjadi pengikut setia Pak Kaduk. Tanah air sendiri jangan sekali-kali digadaikan. WHB

Monday, May 03, 1999

Natijah di sebalik serangan wabak viral encephalitis

Oleh Wan Hazmir Bakar

(BH 03/05/1999 p.10)

BANYAK pihak tersentak apabila wabak viral encephalitis yang menyerang Perak pada Oktober lalu menular ke Negeri Sembilan. Wabak itu bukan hanya terhad kepada virus Japanese Encephalitis (JE) tetapi virus baru, Nipah, yang tidak diketahui ancaman sebenarnya sehingga mengundang kehadiran pakar asing termasuk dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Atlanta, Amerika Syarikat, untuk membantu memeranginya.

Daripada jumlah kes viral encephalitis yang dikesan dan menyebabkan kematian, sebanyak 89 kes disahkan disebabkan virus nipah, 54 kes disebabkan JE dan 11 kes lagi disebabkan kedua-dua virus berkenaan.

Dalam erti kata lain, kita bukan hanya berdepan dengan ancaman JE tetapi NE yang masih tidak diketahui tahap bahayanya. Lebih membimbangkan wabak ini dipercayai sudah meragut nyawa di Singapura, sekali gus menunjukkan wabak itu mampu tersebar jauh.

Malahan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, selepas pertama kali mempengerusikan Jawatankuasa Kabinet Bagi Menangani Masalah JE, menyatakan wabak yang dihadapi sebagai satu kecemasan atau darurat.

Wabak viral encephalitis yang sudah meragut lebih 99 nyawa dan angka ini bukan saja mencetus persoalan berkaitan kesihatan tetapi juga sosial, ekonomi, politik dan agama.

Dari aspek kesihatan, ancaman viral encephalitis amat nyata sehingga kerajaan terpaksa mengerah pasukan keselamatan untuk memusnahkan ternakan babi di kawasan penularan wabak Bukit Pelandok, Kampung Sawah, dan Sungai Nipah bagi mengawal penularan wabak ke kawasan lain.

Lebih 2,300 anggota tentera dan polis yang lengkap dengan pakaian khas serta dibantu anggota pelbagai agensi kerajaan lain serta penggunaan helikopter dan jentera berat dalam operasi bersepadu yang agak asing dan terbesar seumpamanya di negara ini, seolah-olah negara dilanda bencana besar.

Tidak hairanlah jika ada pihak menyamakan perkembangan ini dengan keadaan yang digambarkan dalam filem Outbreak, dan bimbang sesuatu yang lebih buruk hanya menunggu detik untuk meletus.

Kegusaran rakyat mengenai ancaman ini mudah difahami dan patut diberi perhatian. Kerajaan yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha menangani masalah itu ternyata telah dapat membendung penularan wabak itu.

Di peringkat awal ada keluarga penternak yang mempertikaikan usaha kerajaan sebelum ini sehingga menyebabkan kematian anggota keluarga mereka. Ramai yang menyalahkan Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng, berikutan kegagalan Jabatan Kesihatan mengesan ancaman virus baru itu.

Kelewatan mengesan viral encephalitis kali ini menyebabkan berlaku kesilapan strategi dalam membendung penularan wabak itu. Akibatnya, langkah bagi pengawalan penyakit JE seperti program suntikan vaksin dan penghapusan nyamuk culex tidak memberi hasil yang diharapkan kerana ia gagal membendung wabak baru yang dipercayai merebak melalui sentuhan cecair badan babi yang dijangkiti virus baru.

Malah, program suntikan vaksin JE terhadap babi terpaksa dihentikan serta-merta apabila dipercayai kaedah suntikan pantas menggunakan jarum yang sama untuk sejumlah babi boleh menyebarkan jangkitan virus baru itu.

Perkembangan ini memperlihatkan betapa tindakan tepat yang terancang perlu dilaksanakan bukan hanya selepas wabak menular tetapi sebelum ia meletus lagi. Dalam erti kata lain, ancaman kesihatan daripada kegiatan penternakan babi perlu dipandang berat. Malahan, industri itu sendiri perlu penilaian semula.

Sejak sekian lama, penternak babi, sama ada yang berlesen atau tidak, dibiarkan melanggar pelbagai peraturan keselamatan dan kesihatan sesuka hati. Mereka juga menolak usaha beberapa kerajaan negeri memusatkan kegiatan menternak babi dalam satu kawasan supaya ancaman kesihatan serta pencemaran alam sekitar dapat dikawal dan dikurangkan.

Maka tidak hairanlah jika Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang sepatutnya berkuasa memastikan alam sekitar negara tidak terjejas hanya berkuasa sekadar melakukan kajian. Laporan kajian JAS Disember lalu menyebut 93 sungai di seluruh negara dicemari kumbahan domestik dan bahan buangan ternakan, khususnya babi.

Pihak berkuasa tempatan juga seolah-olah kehilangan kuasa dalam menangani perkara ini sedangkan pelbagai peraturan dan perundangan membabitkan industri ternakan babi sudah diwartakan bagi tujuan penguatkuasaan.

Dari segi sosial, wabak viral encephalitis memberi kesedaran betapa industri ternakan babi adalah satu ancaman kepada kesihatan rakyat. Ramai yang mula curiga dengan segala bentuk kegiatan itu, terutama ladang ternakan dan tempat penyembelihan haram.

Penduduk mula bangun menentang cadangan penempatan ladang ternakan babi berhampiran kawasan kediaman mereka, malah bakal pembeli juga menjadi faktor ini sebahagian daripada pertimbangan untuk pembelian hartanah. Hakikatnya, tiada siapa yang sanggup lagi tinggal berhampiran ladang ternakan babi.

Kesan buruk industri ternakan babi terhadap demografi di negara ini bukan perkara baru. Perkara ini sudah lama berlaku, malahan membabitkan perubahan komposisi etnik dalam kependudukan di kawasan yang dilanda wabak sekarang.

Mengapa tiada tindakan tegas diambil selama ini? Apakah kerana perkara ini dikategorikan sebagai isu yang sensitif? Jika benar, mengapa hanya sensitiviti satu pihak saja diberi pertimbangan?

Adakah soal ekonomi, eksport komoditi atau perolehan tukaran wang asing menjadi perkiraan dalam memberi sokongan kepada industri ini? Jika inilah alasannya, adakah kos yang terpaksa ditanggung negara terutama mereka yang langsung tidak beroleh hasil daripada kegiatan ini dimasukkan dalam pengiraan.

Amat malang jika sebahagian daripada faktor ekonomi dijadikan alasan untuk meneruskan kegiatan yang menyebabkan banyak keburukan sedangkan negara yang mengimport haiwan itu sendiri mengharamkan kegiatan ternakan kerana menyedari kos sebenar yang perlu ditanggung.

Negara sudah membelanjakan lebih RM49 juta sejak wabak JE mula dikesan akhir tahun lalu. Berjuta-juta ringgit lagi wang terpaksa dibelanjakan untuk menghadapi ancaman virus baru selain merawat mangsa di hospital. Ini tidak termasuk bantuan kewangan kepada penternak untuk setiap babi yang dimusnahkan.

Apa yang nyata, kerajaan perlu ada kesanggupan politik, perlu berani bertindak demi keselamatan umum, perlu mengambil langkah yang tegas walaupun mungkin mendapat bantahan atau dipolitikkan pihak tertentu.

Kerajaan perlu tegas dalam usaha menangani wabak ini seperti menanda zon penampan serta menutup ladang ternakan dan memusnahan babi yang menjadi punca wabak selain memastikan ia tidak akan berulang pada masa depan.

Soal pampasan perlu diputuskan dengan teliti kerana sudah pasti mereka yang tidak terbabit dalam industri itu atau mereka yang langsung tidak mendapat manfaat daripadanya membantah wang negara digunakan untuk tujuan itu.

Jika difikir secara logik, penternak yang sepatutnya dikenakan tindakan kerana melanggar segala peraturan yang ditetapkan selain menyebabkan penularan wabak sehingga mengorbankan banyak nyawa, bukan dibayar pampasan.

Lebih malang, ketika semua pihak berusaha keras menangani wabak viral encephalitis ada penternak yang menyeludup keluar babi yang sepatutnya dimusnahkan sehingga menyebabkan penularan wabak ke kawasan lain.

Kini, sudah kedengaran suara-suara yang mempersoalkan bantuan kewangan yang diberi kepada penternak untuk setiap babi yang dimusnahkan kerana bantuan serupa tidak diberikan kepada penternak yang lembu mereka dimusnahkan bagi membendung penyakit mulut dan kuku sebelum ini.

Untuk jangka panjang, kerajaan perlu membuat keputusan mengenai masa depan industri ternakan babi. Persoalannya ialah sama ada kita perlu memansuhkannya, mengehadkannya atau membiarkannya saja dan terus menghadapi risiko. Kita tentu tidak mahu Malaysia yang dianggap negara Islam contoh kekal sebagai pengeluar babi terbesar di Asia Tenggara.

Jika industri itu mahu diteruskan, kegiatan penternakan babi perlu dipusatkan di kawasan khas dan dijalankan secara teratur dengan menggunakan kaedah terkini yang mampu mengurangkan pencemaran. Kawasannya pula mestilah jauh dari kediaman manusia serta kawasan tadahan air.

Kecenderungan kerajaan negeri untuk melaksanakan cadangan sedemikian semakin jelas sejak akhir-akhir ini. Negeri Sembilan, umpamanya sudah mengumumkan cadangan pelaksanaan Kawasan Ternakan Babi (PFA).

Walaupun ini satu perkembangan yang memberangsangkan, namun konsep PFA masih kabur, apa lagi bila keputusan sedemikian dibuat hanya selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir, membayangkannya. WHB