Tuesday, October 24, 2006

Selamat Hari Raya






Maaf Zahir Batin

Sunday, October 22, 2006

Pak Lah, Dr M bertemu hari ini

KUALA LUMPUR: Pertemuan empat mata antara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr Mahathir Mohamad dipercayai akan dilangsungkan hari ini.

Berita Minggu difahamkan penetapan tarikh dan tempat bagi perjumpaan yang dinantikan semua pihak itu disampaikan kepada bekas Perdana Menteri itu, semalam.

Bagaimanapun, tempat pertemuan itu tidak dinyatakan walaupun ramai menjangka ia diadakan di ibu pejabat Umno di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Malah, individu yang terbabit dalam usaha menjayakan pertemuan itu enggan mengulas apabila berjaya dihubungi semalam.

Pertemuan kedua-dua tokoh itu dibuat hasil cadangan Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) sejak September lalu.

Antara ahli Mubarak yang dikaitkan dengan usaha itu ialah bekas menteri, Tan Sri Zaleha Ismail, bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah yang juga pemangku Pengerusi Mubarak, Datuk Abu Zahar Ujang, dan bekas Ahli Parlimen Pendang, Datuk Othman Abdul.

Turut terbabit ialah Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, bekas Exco Kedah, Tan Sri Khalid Abdullah, dan anak Dr Mahathir sendiri, Datuk Mokhzani.

Sementara itu, Abdullah ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Deepavali anjuran Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu di PWTC, malam tadi, enggan mengulas ketika ditanya mengenai pertemuannya dengan Dr Mahathir yang dikatakan diadakan hari ini.

Perancangan pertemuan itu pertama kali didedahkan kepada umum Selasa lalu, apabila Dr Mahathir menyatakan kepada media beliau menerima cadangan pertubuhan itu bagi berbincang mengenai apa yang disifatkan sebagai masalah dalam pentadbiran.

“Mubarak cadang saya jumpa Perdana Menteri dan cerita apa yang terbuku dalam hati dan saya setuju. Cuma tinggal masa sajalah,” katanya.

Sehari kemudian, Abdullah menyatakan beliau sedia bertemu Dr Mahathir sebelum Aidilfitri tanpa mengenakan sebarang syarat.

Perdana Menteri berharap pertemuan itu, yang hanya membabitkan beliau dan Dr Mahathir tanpa kehadiran pihak ketiga, dapat membawa kebaikan kepada semua termasuk Umno dan rakyat.

“Harapan saya, insya-Allah akan membawa kebaikan,” katanya.

Dr Mahathir, sebelum ini dikatakan bersetuju berjumpa Abdullah dengan syarat seorang saksi turut serta dalam pertemuan itu.

Bagaimanapun, syarat itu dikatakan ditolak Perdana Menteri dan selepas dipujuk perwakilan Mubarak, Dr Mahathir bersetuju dengan pertemuan empat mata.

Saturday, October 21, 2006

'Saya percayakan Feng Shui'

Sembang Sabtu: Tun Dr Ling Liong Sik (BH 10/12/2005)

SUARANYA yang perlahan menyebabkan wartawan terpaksa berebut-rebut untuk berada hampir dengannya, malah satu ketika akibat berebut-rebut sebuah daripada puluhan arca kristal yang menghiasi pejabatnya, jatuh dan pecah dilanggar wartawan.

Sememangnya, Tun Dr Ling Liong Sik lebih suka bertemu wartawan di pejabatnya. Oleh itu, tidak hairanlah jika ketika memegang jawatan Menteri Pengangkutan, beliau sering mengadakan sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet di pejabatnya, bukan di dewan mesyuarat seperti menteri lain.

Kini selepas lebih dua tahun bersara daripada politik, penulis sempat menemuinya Isnin lalu di pejabatnya di Universiti Tun Abdul Razak (Utar), Petaling Jaya. Ternyata keadaan sudah berbeza apabila Dr Ling tidak lagi diserbu wartawan seperti dulu.

Seperti dijanjikan, penulis bertanyakan pelbagai soalan yang tidak ada hubungan dengan politik seperti kisah zaman kanak-kanak dan remajanya. Dr Ling yang mulanya agak bimbang akan diajukan soalan serius, mula selesa sehinggakan beliau sendiri menceritakan kisah pertemuan dengan isterinya, Toh Puan Ena Ling.

Namun, sebagai seorang pemimpin yang terkenal tidak banyak berceloteh, kisah yang diceritakannya begitu ringkas sehingga penulis terpaksa meminta beliau menjelaskan beberapa perkara lebih lanjut.

Melihat keadaan pejabatnya sekarang yang begitu ringkas dengan tiga saja arca menjadi perhiasan, penulis bertanyakan kebenaran kisah yang diceritakan rakan sekerja bahawa Dr Ling percayakan kuasa mistik pada arca sehingga beliau banyak mengumpulnya.

Sambil ketawa dan menunjuk ke arah patung 'Lord of Justice' (Dewa Keadilan Cina) di atas para di belakangnya, beliau berkata, kisah itu tidak benar dan hanya timbul kerana salah faham mereka yang melihat keadaan pejabatnya dulu.

"Mereka lihat patung 'Lord of Justice' dalam TV dan mereka beri lagi kerana menyangka saya sukakan patung itu. Ada yang kecil, ada yang besar, berdiri, duduk, naik kuda, banyak sungguh kerana mereka sangka saya suka. Maka, setiap kali ada majlis, mereka beri sehingga terlalu banyak," katanya.

Namun, seperti pemimpin Cina lain, Dr Ling mengaku beliau percayakan Feng Shui dan mengamalkan dalam kehidupan sehariannya.

"Ya , saya baca banyak buku mengenai Feng Shui. Feng Shui ialah harmoni kuasa tubuh anda dengan kuasa alam sekitar. Jangan sekali-kali bercanggah kerana jika bercanggah anda tak boleh buat keputusan yang betul. Anda perlu sesuaikan semuanya supaya harmoni. Tujuan Feng Shui bukan untuk nasib baik, tetapi untuk menyediakan persekitaran yang harmoni," katanya menjelaskan ilmu tradisi Cina itu.

Dr Ling juga mengaku kepercayaannya kepada Feng Shui begitu kukuh hinggakan beliau mengarahkan sedikit pengubahsuaian terhadap Wisma MCA.

"Ada orang datang lihat dan ubah meja serta sebagainya supaya segala-galanya berharmoni dengan kuasa alam sekitar. Apabila pejabat anda tidak harmoni, anda rasa tidak selesa, ada bilik tertentu yang anda masuk dan rasa sesuatu tidak betul," katanya.

Mengenai desas-desus ada pemimpin daripada kumpulan yang menentangnya sehingga kini tidak berani mengikut laluan masuk utama Wisma MCA kerana takut ditimpa malang berikutan perubahan Feng Shui yang lakukan, Dr Ling berkata:

"Tak adalah, bila anda ada salah faham maka banyak cerita yang timbul, itu cuma kepercayaan karut."

Mengimbau pembabitannya dalam politik, Dr Ling berkata, beliau berjinak dengan politik sejak melanjutkan pelajaran di University of Singapore yang mana beliau menjadi Ketua Perwakilan Pelajar universiti itu.

Bakatnya dalam politik terus diasah selepas bertugas sebagai doktor di Hospital Besar Pulau Pinang dengan membabitkan diri secara aktif dalam perbincangan bersama beberapa rakan.

"Tidak lama selepas itu, parti politik menjemput saya dan saya menyertai MCA. Parti lain ada juga membuat tawaran kepada saya, tetapi saya berpendapat jika anda tidak suka dengan sesuatu sistem maka lebih mudah untuk membuat perubahan daripada dalam berbanding dari luar," katanya.

Melihat Dr Ling semakin selesa berbicara mengenai politik, penulis lantas meminta izin bertanyakan mengenai peristiwa 16 Februari 1988 yang bukan saja bersejarah bagi beliau, tetapi juga politik negara apabila beliau yang juga Presiden MCA mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) untuk memutuskan kemasukan semula Umno.

Walaupun seketika, itulah kali pertama dalam sejarah politik negara pemimpin parti bukan Umno menjadi Pengerusi BN. Secara tradisinya, Pengerusi BN adalah Presiden Umno yang sekali gus juga Perdana Menteri.

Secara teknikalnya, Presiden MCA, iaitu parti komponen BN terbesar dan sah pada masa itu, adalah pemimpin kerajaan BN. Namun, ketika diminta menceritakan apa yang berlaku ketika mesyuarat itu, Dr Ling sekadar menyatakan ia satu penghormatan dan tanggungjawab berat.

"Mereka lantik saya sebagai Pengerusi BN kerana MCA parti kedua terbesar. Mesyuarat berakhir agak pantas kerana satu-satunya agenda ialah untuk menerima semula kemasukan Umno dalam BN.

"Itulah kali pertama, pemimpin bukan Umno mempengerusikan mesyuarat. Ia sejarah kerana secara tradisi parti terbesar mempengerusikan mesyuarat. Tetapi itu sesuatu yang diperlukan ketika itu sebab Umno dibubarkan," katanya begitu berhati-hati.

Mengenai cakap-cakap politik bahawa beliau sebenarnya diamanahkan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mentadbir negara sementara krisis politik Umno selesai, Dr Ling lantas menafikannya dan berkata, kerajaan dan parti adalah dua perkara berbeza.

"Tidak, walaupun Umno dibubarkan, Ahli Parlimen masih memberi kepercayaan kepada Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri. Yang di-Pertuan Agong melantik seseorang yang mendapat kepercayaan majoriti Parlimen menjadi Perdana Menteri dan keyakinan itu tidak pernah hilang, walaupun beliau tidak ada parti ketika itu," katanya.

Ditanya apakah ada cubaan daripada mana-mana pihak, khususnya serpihan Umno, memujuknya melakukan sesuatu yang lain, Dr Ling yang pada mulanya sekadar ketawa, berdiam diri dan berfikir panjang, seolah-olah buntu sama ada soalan itu perlu dijawab atau tidak.

"Tidaklah, tak ada... kenapa? Anda fikir ada orang lain nak jadi Perdana Menteri. Tak ada Umno masa itu, Umno baru masih di luar BN. Esok hari mengundi di Pengkalan Pasir?" katanya yang jelas mahu mengubah topik perbualan.

Penulis memahami isyarat yang diberikan Dr Ling dan kembali bertanya persoalan mengenai pencapaiannya selama menerajui MCA dan berada dalam kerajaan.

"Saya seorang yang amat bernasib baik, hampir semua perkara yang ingin saya lakukan dapat diselesaikan. Saya membantu sekolah, mengembangkan Kolej TAR daripada cawangan di Setapak sampai ke Pulau Pinang, Perak, Pahang, Johor dan Sabah. Daripada hanya 4,000 pelajar kepada 30,000 pelajar.

"Perkara akhir yang saya buat dan dipersetujui Dr Mahathir ialah menubuhkan Utar yang sudah ada 10,000 pelajar dan pada Mei depan ia dijangka meningkat kepada 14,000. Daripada lapan kursus ketika dimulakan tiga tahun lalu kini ada 35 kursus, termasuk lima kursus sarjana yang baru dilancar," katanya yang juga Pengerusi Majlis Utar.

Dr Ling berkata, MCA hampir bankrap ketika beliau mengambilalih teraju parti itu, tetapi sekarang ia tidak lagi berhutang satu sen pun dengan nilai asetnya saja melebihi RM1 bilion.

"Dulu ada 23 koperasi yang gagal dan ratusan ribu pendeposit tiada wang, tetapi kami dapat menyelesaikan dan membayar setiap ringgit," katanya sambil menambah takdir yang menentukan segala-galanya.

Dr Ling berkata, beliau kini berada di fasa ketiga dalam hidupnya selepas 30 tahun menimba ilmu sehingga berkhidmat sebagai doktor dan tempoh sama berjuang dalam politik dari 1974 hingga bersara pada 2003.

"Fasa ketiga dalam hidup saya ialah pendidikan. Saya tubuhkan Utar dan mewujudkan peluang belajar untuk generasi muda. Sasaran saya tahun depan ialah menjadikan Utar universiti majmuk," katanya sambil menambah pada masa ini hanya ada 60 pelajar Melayu dan 150 pelajar India di universiti itu.

Dr Ling mencadangkan supaya diadakan program pertukaran pelajar di antara institusi pengajian tinggi awam dan Utar menerusi penyelarasan kurikulum dan kursus supaya pelajar pelbagai kaum dapat berinteraksi.

"Saya sudah jelaskan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Razak. Saya rasa mereka bersetuju kerana ia menepati matlamat nasional," katanya.

`Anak emak' mahu jadi pegawai hutan tapi...Jika diikutkan hati, Tun Dr Ling Liong Sik tidak akan bergelar doktor, malah arena politik negara juga mungkin tidak mengenalinya sebagai Presiden MCA atau menteri Kabinet, sebaliknya beliau mungkin hanya dikenali di kalangan penghuni rimba.

"Saya sebenarnya mahu menjadi pegawai perhutanan. Saya mahu belajar ilmu perhutanan. Saya aktif bersukan dan kegiatan luar, saya lebih suka berada di luar daripada duduk di klinik dan memeriksa pesakit. Saya suka ke hutan, berjalan-jalan dan mengkaji pokok," katanya.

Malah, beliau pernah ditawarkan biasiswa di bawah Colombo Plan bagi mengikuti kursus perhutanan di Australia selepas menduduki Sijil Tinggi Persekolahan yang dulu dikenali sebagai HSC.

"Tetapi ibu saya kata 'tidak, anda pergi ke Singapura dan ikuti bidang perubatan'. Sebagai anak lelaki yang baik, saya ikutlah apa mak kata, ikut sajalah," katanya dengan nada lembut yang menggambarkan beliau 'anak emak'.

Dr Ling berkata, pada masa itu sudah menjadi satu kemestian kepada ibu bapa untuk cuba sedaya upaya membesarkan anak mereka untuk mendapat jawatan impian, iaitu doktor.

"Dulu kerjaya pilihan ibu bapa paling utama ialah doktor, kemudian jurutera, peguam dan seterusnya. Sekarang mungkin berubah, paling atas ialah ahli perniagaan. Bagi orang Melayu, dulu kakitangan kerajaan, kini sudah berubah. Maka ibu bapa anda akan terus mempengaruhi anda supaya menjadi doktor," katanya yang kematian bapa ketika baru berusia tiga bulan.

"Tun menyesal?" soal penulis.

Dr Ling berkata, rasa sesal tidak pernah ada kerana beliau percaya kepada takdir dan kerana kerjaya itulah juga beliau menemui jodohnya dengan Toh Puan Ena Ling.

Dr Ling anak tunggal dalam perkahwinan pertama ibunya, sebelum berkahwin lagi dan dikurniakan tiga lagi anak iaitu adik tiri Dr Ling.

Namun, sebagai doktor perubatan Dr Ling agak terkilan kerana ibunya meninggal dunia akibat barah rektum yang lewat dikesan.

"Sekarang kita patut selalu buat ujian kesihatan menyeluruh daripada atas ke bawah. Walaupun tiada ada simptom, kita kena periksa. Kalau ada ketumbuhan kita boleh potong dan kawal penyakit itu," katanya sambil menjelaskan secara terperinci prosedur pemeriksaan itu.

Ditanya apakah beliau pernah berharap dapat mengesan sendiri penyakit ibunya itu, Dr Ling berkata ibunya tidak pernah mengadu.

"Lagipun mana ada anak lelaki yang akan memeriksa ibunya sampai ke situ, anda serah kepada doktor," katanya.

PROFIL
TARIKH LAHIR: 18 September 1943
TEMPAT LAHIR: Kuala Kangsar, Perak
ISTERI: Toh Puan Ena Ling
ANAK: Ling Hee Leong, Ling Hee Keat
PENNIDIKAN:
*Sekolah King Edward VII (1950-1957)
*Maktab Tentera Diraja (1958-1960)
*University of Singapore (1961-1966)
KERJAYA:
*Doktor di Hospital Besar Pulau Pinang (1966-1968)
*Doktor klinik persendirian di Butterworth (1968-1975)
*Pengerusi Universiti Tunku Abdul Rahman (2002-kini)
JAWATAN POLITIK:
*Ahli Parlimen Mata Kuching, Pulau Pinang (1974-1986)
*Naib Pengerusi MCA Pulau Pinang (1977)
*Timbalan Presiden MCA (1985-1986)
*Presiden MCA (1986-2003)
JAWATAN KERAJAAN:
*Setiausaha Parlimen Kementerian Kerajaan Tempatan dan Wilayah
Persekutuan (1976-1977)
*Timbalan Menteri Penerangan (1977-1982)
*Timbalan Menteri Kewangan (1982-1984) (Bersara daripada Kabinet pada
28 Mac 1984 selepas dipecat daripada MCA)
*Timbalan Menteri Pelajaran (1985-1986)
*Menteri Pengangkutan (1986-2003)

Ena pernah halau Liong Sik

Sembang Sabtu: Tun Dr Ling Liong Sik (BH 10/12/2005)

TUN Dr Ling Liong Sik tidak menyangka akan dihalau keluar sebaik menjejakkan kaki untuk pertama kalinya di Wad Hospital Besar Pulau Pinang, sedangkan tujuannya untuk meninjau tempat kerjanya sebelum melaporkan diri keesokannya.

Walaupun sudah hampir 40 tahun berlalu, peristiwa itu memang sukar dilupakan, terutama kerana jururawat garang yang menghalaunya itu akhirnya menjadi isterinya.

"Dia halau saya," katanya yang tidak dapat meneruskan cerita kerana menahan kelucuan mengingatkan bagaimana reaksi Toh Puan Ena Ling dengan tegas menghalangnya masuk ke wad selepas waktu lawatan.

Dr Ling berkata, kejadian itu berlaku sehari sebelum beliau melaporkan diri untuk bertugas sebagai doktor di hospital berkenaan.

"Ketika itu jam 8 atau 9 malam. Saya melawat hospital itu untuk melihat di mana saya patut lapor diri esoknya. Seperti pemuda lain yang baru keluar universiti, saya pakai selipar dan berambut panjang.

"Bagaimanapun, dia tidak benarkan saya masuk. Dia ingat saya pelawat saja nak kacau lepas waktu melawat," katanya yang akan menyambut ulang tahun perkahwinan ke-38 pada 22 Januari depan.

"Cepat betul berlalu. Anak pun sudah 26 tahun," katanya.

Namun, beliau mengakui itu bukanlah cinta pandang pertama.

Friday, October 20, 2006

Pertemuan Beri Kesan Positif - Musa

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam, yakin pertemuan empat mata antara Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum Aidilfitri ini akan memberikan impak psikologi yang positif kepada semua.

Musa berkata, kesanggupan Perdana Menteri dan bekas Perdana Menteri untuk bersemuka buat pertama kali sejak pergeseran di antara mereka tercetus beberapa bulan lalu, akan menenangkan keadaan bukan saja di seluruh negara tetapi juga di luar negara.

Namun, katanya, semua pihak yang mengharapkan kebaikan terhasil daripada pertemuan itu dengan keberkatan Ramadan harus berwaspada dengan “orang luar” yang akan membuat pelbagai spekulasi bagi menggagalkannya.

"Saya fikir mereka tidak mahu apa yang buruk hasilnya timbul. Kedua-dua pihak mahu menjalinkan semula silaturahim sewaktu mereka berdua Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Kalau itulah semangatnya InsyaAllah.

"Apa yang kita harus berhati-hati ialah orang luar yang membuat spekulasi tetapi saya fikir impak psikologinya akan positif,” katanya mengulas rancangan pertemuan kedua pemimpin berkenaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran laman web World Islamic Economic Forum (WIEF) dan World Islamic Businesswomen Network (WIBN) yang disempurnakan bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Hadir sama ialah Pengerusi WIBN, Datuk Dr Norraesah Mohamad.

Seperti pemimpin dan bekas pemimpin lain yang mengalu-alukan pertemuan itu, Musa berkata ia memang wajar berlangsung secara empat mata bagi membolehkan kedua pemimpin itu menyatakan pemikiran dan meluahkan perasaan secara ikhlas.

Katanya, kehadiran pihak lain dalam pertemuan itu hanya akan mencetuskan kecenderungan untuk mereka memikirkan apa yang orang lain akan katakan, sekali gus menjejaskan keikhlasan masing-masing.

“Saya rasa pertemuan di antara Perdana Menteri dan bekas Perdana Menteri yang dirancang itu sepatutnya sudah lama diadakan. Namun saya fikir adalah wajar ia dilaksanakan dalam bulan Ramadan kerana setiap orang perlu berlaku ikhlas dan jika kita hendak bermuafakat inilah waktunya,” katanya.

Musa berkata, pergeseran di antara pemimpin boleh dielakkan jika mereka sentiasa duduk berbincang bersama walaupun ketika tiada isu yang berbangkit.

Katanya, ini kerana dialog atau perbincangan sama ada rasmi atau tidak adalah kaedah paling baik bagi merungkai segala masalah.

“Saya sentiasa percaya pemimpin perlu duduk bersama dan berbual kosong. Duduk sajalah borak-borak, atau omong-omong kosong saja... Jika pemimpin mengamalkan perkara ini selalu saya fikir salah faham akan dapat dielakkan dan anda akan terkejut betapa banyaknya isu keluar daripada bual kosong,” katanya.

Sementara itu, Shahrizat berkata kesediaan Abdullah dan Dr Mahathir untuk bertemu adalah hadiah hari raya paling istimewa kepada rakyat Malaysia.

Katanya, kedua-dua pemimpin membuat keputusan yang baik dan beliau berharap kedamaian akan menggantikan persengketaan lepas pertemuan itu supaya negara dapat menumpukan kepada isu lain seperti pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

“Apabila pertemuan itu menjadi kenyataan saya percaya jika ada apa-apa isu yang perlu dibereskan akan dapat dibereskan di antara mereka, InsyaAllah,” katanya.

Monday, October 16, 2006

Mara tumpu usahawan mikro

Perkukuh rangkaian pasaran bagi produk keluaran pengilang Bumiputera

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan membelanjakan RM180 juta bagi melahirkan 18,000 usahawan menerusi Program Pembangunan Usahawan Mikro Mara-PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pada tahun ini saja Mara meluluskan peruntukan RM8.85 juta bagi mewujudkan 1,770 usahawan di 58 PBT di seluruh negara.

Katanya, program di peringkat akar umbi itu adalah pelengkap kepada usaha bagi mewujudkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) seperti yang disasarkan Misi Nasional dan RMK-9 untuk melahir 150,000 usahawan baru dan pengukuhan lebih 25,000 usahawan sedia ada.

“Kita berharap usahawan mikro ini akan menjadi saluran pasaran bagi produk keluaran pengilang Bumiputera,” katanya berucap melancarkan program itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.

Pada majlis itu, Mohamed Khaled turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman di antara Mara dan Yayasan Tekun Nasional (Tekun) untuk kemudahan pembiayaan kepada usahawan mikro dan menyampaikan sijil kursus kepada peserta awal program itu.

Hadir sama ialah ketua Pengarah Mara, Datuk Zamani Md Noor, dan Pengerusi Tekun, Datuk Abdul Rahman Ariffin.

Menerusi program itu, PBT akan menyediakan kawasan strategik manakala Mara membiayai pembinaan kiosk bernilai RM3,000 untuk disewakan dan suntikan modal RM500 kepada usahawan mikro terpilih.

Mara juga akan memberi latihan seperti asas perakaunan dan pengurusan perniagaan kepada usahawan terbabit serta mendaftarkan mereka dalam Sistem Usahawan Mara bagi membentuk komuniti usahawan Mara di seluruh negara.

Sehingga kini 86 PBT sudah memberi persetujuan untuk menjayakan program berkenaan dengan fasa pertama di Perak membabitkan 16 PBT, Selangor (12), Negeri Sembilan (8), Terengganu (7), Melaka (2), dan Pahang serta Sabah (1).

Mohamed Khaled berkata, Program Pembangunan Usahawan Mikro Mara-PBT juga akan mewujudkan peluang kerja kepada kontraktor kelas F dalam PBT yang mengambil bahagian.

Katanya, Mara sudah memperuntukkan sejumlah RM270,000 bagi pembinaan 90 kiosk baru dalam PBT berkenaan.

“Bagi menjamin pembahagian kerja kepada lebih ramai kontraktor kelas F, Mara menetapkan setaip kontraktor hanya diberi tugasan membina tiga kiosk saja,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, kerjasama di antara Mara dan Tekun itu akan membolehkan usahawan mikro berkenaan mendapat pembiayaan sehingga RM30,000.

“Bagi kemudahan usahawan, permohonan di bawah program ini boleh diserahkan secara terus kepada semua cawangan Tekun di seluruh negara,” katanya.

Sunday, October 15, 2006

Bakau Gruv

Keamanan dunia tuntut iltizam: PM

KUALA LUMPUR: Pemimpin semua negara di dunia harus mempunyai kemahuan serta sedia berperanan besar jika mahu mencapai keamanan sejagat, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata, walaupun wujud perbezaan, idea mencapai keamanan sejagat mesti serasi atau sekurang-kurangnya pendekatan perlu sepadan dalam kaedah dan strategi.

Katanya, perkara itu dinyatakan beliau kepada Presiden Amerika Syarikat, George W Bush semasa pertemuan mereka di New York bulan lalu.

“Saya nyatakan jika kita mahu keamanan sejagat, setidak-tidaknya kita mempunyai idea sama bagaimana untuk melakukannya.

“Jika ia tidak benar-benar sama, idea itu mesti sepadan. Ini juga serasi dalam strategi dan pendekatan,” katanya dalam temu bual bersama pengacara program Talk Asia, Anjali Rao yang disiarkan CNN semalam.

Abdullah ditanya mengenai hasil perbincangannya dengan Presiden Amerika Syarikat itu mengenai usaha mewujudkan keamanan sejagat ketika perpecahan dunia Islam dan Barat semakin meluas.

Perdana Menteri juga menjelaskan Barat gagal memahami Islam sebagai agama keamanan kerana tindakan segelintir pelampau menggunakan agama sebagai alasan melakukan kekerasan.

Katanya, ia diburukkan lagi dengan peristiwa 11 September yang menyebabkan persepsi bukan Islam terhadap agama itu dan seolah-olah tiada lagi ruangan bagi mewujudkan hubungan baik.

“Sudah tentu peristiwa seperti apa yang berlaku (di Bali), amat sukar untuk kami jelaskan terutama jika mereka yang terbabit berkata: ‘Kami melakukan atas nama Islam’, itu akan menjadi masalah,” katanya.

Abdullah juga menafikan pelampau Islam mengambil pengajaran al-Quran sebagai alasan bertindak sedemikian.

“Seseorang itu tidak boleh melakukan keganasan, terutama jika ia menjurus kepada kemusnahan terhadap apa yang anda capai,” katanya.

Mengenai penghinaan yang dirasai umat Islam seluruh dunia berikutan tindakan Barat yang berat sebelah, Perdana Menteri berkata, beliau sendiri merasainya.

Abdullah berkata, Barat gagal memahami Islam sebagai amalan dan cara hidup seharian dan bukan sesuatu yang disimpan di rumah.

“Bagi orang Islam, agama itu penting. Apa yang dilakukan, terikat dengan ajaran Islam,” katanya.

Abdullah juga berkata, Pope tidak sewajarnya membuat kenyataan kontroversi menyentuh sensitiviti dan menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia baru-baru ini.

“Pope tidak perlu membangkitkannya. Mengapa perlu mengatakannya dalam keadaan sekarang?” katanya.

Kedudukan Cina lebih baik

Peluang diberi untuk berjaya, belajar Mandarin, amal budaya sendiri: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (gambar) berkata, masyarakat Cina di Malaysia berada pada kedudukan yang baik, malah lebih baik berbanding Bumiputera dan orang Melayu.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menolak dakwaan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew, bahawa masyarakat Cina di Malaysia dipinggirkan secara sistematik.

Beliau berkata, dakwaan berkenaan tidak berasas dan boleh menyebabkan kedukaan kepada banyak pihak.

“Mereka begitu berjaya kerana kami memberi mereka peluang untuk berjaya. Kami benarkan mereka dan anak mereka ke sekolah Cina untuk belajar Mandarin dan mengamalkan budaya mereka.

“Tahun Baru Cina disambut bukan saja oleh mereka tetapi juga Melayu, India... Kami saling menghormati dan ini semakin berkembang di Malaysia,” katanya ketika ditemu bual pengacara program Talk Asia, Anjali Rao, yang disiarkan CNN, semalam,

Baru-baru ini, Kuan Yew, pada forum antarabangsa mengenai urus tadbir yang baik di Singapura berkata: “Jiran saya kedua-duanya (Malaysia dan Indonesia) mempunyai masalah dengan masyarakat Cina mereka. Mereka berjaya, bekerja keras dan kerana itu, mereka dipinggirkan secara sistematik, malah dalam bidang pendidikan.

“Dan mereka mahu Singapura, dengan kata mudah, menjadi seperti orang Cina mereka, hanya menurut saja.”

Kenyataan itu mendapat bantahan di Malaysia dan Indonesia. Kementerian Luar kedua-dua negara memanggil duta Singapura untuk memberi penjelasan mengenai kenyataan Kuan Yew itu.

Abdullah mengutus surat kepada Kuan Yew berhubung isu berkenaan dan dalam surat balasnya, Kuan Yew berkata, tidak berniat masuk campur dalam politik Malaysia dan tidak mempunyai kuasa mempengaruhi atau menghasut orang Cina di negara ini.

Ditanya kenyataan beliau baru-baru ini berhubung usaha kerajaan memastikan tiada prejudis perkauman, Abdullah berkata, perbezaan akan tetap wujud dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia.

Namun, katanya, apa yang diinginkan semua rakyat Malaysia ialah bersama menjalani kehidupan yang aman.

“Kami mahu menghormati mereka yang bukan dari kalangan kumpulan etnik kami, mereka yang bukan seagama, keinginan berbaik dan melakukan sesuatu bersama. Paling penting kami mencintai negara milik kami iaitu Malaysia,” katanya.

Ditanya mengenai pertelingkahan beliau dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berhubung dasar pentadbiran sekarang, Abdullah berkata, ia bukan tindakan membunuh masa depan politiknya sendiri.

Sebaliknya, Abdullah menegaskan majoriti rakyat mahukan beliau melaksanakan apa yang difikir perlu bagi kebaikan negara dan beliau mengambil keputusan berdiam diri terhadap kritikan itu untuk meneruskan tanggungjawabnya.

Sambil mengakui beliau dan pemimpin lain berbangga dengan pencapaian Dr Mahathir selama 22 tahun menerajui kerajaan, Abdullah berkata, tidak semua rakyat menghargai tindakan bekas Perdana Menteri mengkritik kerajaan sekarang.

Bagaimanapun Abdullah berkata, bukan semua kritikan Dr Mahathir itu ditolak kerana ada yang relevan dan boleh diterima sehingga beliau membuat perubahan.

Tuesday, October 10, 2006

Indonesia Kesal - Duta

KUALA LUMPUR: Indonesia semalam menyatakan kekesalannya terhadap kesulitan yang terpaksa ditanggung rakyat Malaysia sejak minggu lalu berikutan jerebu yang berpunca daripada kebakaran hutan dan ladang di Kalimantan dan Sumatera.

Pada masa sama, Jakarta sedang menyiasat mereka yang bertanggungjawab membakar kawasan hutan dan ladang berkenaan, termasuk syarikat perladangan Malaysia, untuk dihadapkan ke mahkamah.

Duta Besar Indonesia ke sini, Drs KPH Rusdihardjo, berkata pemerintah Indonesia sedang berusaha sedaya upaya untuk mengawal dan memadamkan kebakaran di wilayahnya yang juga disebabkan “fenomena alam yang sulit”.

“Kami mengakui ramai penduduk Malaysia kecewa dengan Indonesia kerana sampai saat ini kami masih tidak mampu memadam kebakaran itu.

“Percayalah pemerintah Indonesia sedang berusaha keras...Kami menyesali dengan apa yang berlaku,” katanya kepada Berita Harian ketika dihubungi petang semalam.

Beliau mengulas pendirian Indonesia berhubung peningkatan sentimen kurang senang rakyat Malaysia berikutan berulangnya kejadian jerebu akibat pembakaran hutan dan ladang di negara itu dan tindakan Jakarta bagi memastikan ia tidak berulang.

Petang semalam, Pergerakan Pemuda Umno mengemukakan memorandum kepada Kedutaan Indonesia di sini bagi menyatakan kemarahan rakyat Malaysia serta gesaan supaya negara itu segera mengatasi pembakaran hutan dan ladang.

Kelmarin, DAP mengemukakan memorandum kepada Kedutaan Indonesia bagi membantah penurunan kualiti udara di Malaysia akibat kebakaran itu.

Namun, majlis itu agak tegang apabila wakil Indonesia dikatakan membuat kenyataan berikut: “Apabila kami eksport oksigen, anda tidak berkata apa-apa. Apabila kami eksport kabut, anda bising.”

Diminta mengulas perkara itu, Rusdihardjo yang baru pulang dari Jakarta malam kelmarin kerana urusan rasmi berharap semua pihak dapat mengawal emosi.

“Marilah kita sama-sama berusaha menangani masalah ini,” katanya.

Mengenai arahan terbaru Jakarta kepada beliau berhubung masalah jerebu itu, Rusdihardjo berkata beliau akan menyampaikannya kepada pihak Malaysia kelak.

Ditanya nama syarikat Malaysia yang akan didakwa kerana terbabit dalam pembakaran hutan dan ladang itu, Rusdihardjo berkata beliau belum boleh berbuat demikian kerana siasatan masih dijalankan.

“Kami berpegang kepada konsep seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah,” katanya.

Beliau berkata, Jakarta sudah bersetuju menghantar wakil ke perjumpaan peringkat menteri Asean di Singapura dan berharap ia dapat diadakan segera.

Kerajaan Indonesia dikritik kerana masih belum memeterai Perjanjian Asean Mengenai Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan yang dipersetujui pada 2002 untuk memudahkan semua negara anggota Asean melaksanakan langkah bersepadu bagi menangani masalah jerebu.

Sunday, October 08, 2006

Nombor Plat RFID

Fakta Aplikasi E-Plate
- Pengenalan yang tidak boleh dipalsukan
- Pencegahan kecurian kenderaan
- Pematuhan peraturan cukai jalan, insurans dan pemeriksaan berjadual
- Pematuhan had laju di jalan raya
- Pembayaran tol secara elektronik
- Pemantauan aliran dan jumlah trafik

KUALA LUMPUR: Nombor plat pintar atau e-plate dengan teknologi cip Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) yang membolehkan pelbagai aplikasi keselamatan, khususnya pengesanan kedudukan kenderaan, akan diperkenalkan tidak lama lagi.

Difahamkan satu syarikat teknologi yang akan membekalkan plat berkenaan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini dalam peringkat akhir pengujian sistem nombor pendaftaran kenderaan pintar itu.

Apabila dilaksanakan kelak, semua pemilik kenderaan perlu menggantikan plat lama dengan plat baru itu dalam tempoh tertentu yang akan ditetapkan Kementerian Pengangkutan kelak.

Plat berkenaan yang akan dijadikan sebagai barangan kawalan itu hanya boleh diperoleh daripada JPJ dengan bayaran tertentu, kemungkinan besar sekitar RM80 sepasang berdasarkan pengiraan kos yang dikemukakan kepada kerajaan.

Cadangan penggunaan nombor plat pintar itu diumumkan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar, pada persidangan Parlimen akhir Mei lalu.

Beliau berkata, sistem itu dicadangkan bagi menangani masalah pemalsuan nombor pendaftaran kenderaan selain menyeragamkan pengeluaran nombor plat yang kini dihasilkan dalam pelbagai bentuk dan rupa oleh peniaga aksesori kenderaan.

Katanya, setiap plat bercip itu akan mengandungi butiran kenderaan yang didaftarkan JPJ dan ini membolehkan pegawai penguat kuasa membaca data dalam nombor plat berkenaan dengan alat pengimbas dari jarak jauh bagi menentukan ketulenannya.

Teknologi RFID yang menggunakan teknologi cip pasif dengan gelombang radio dihasilkan sebagai alternatif lebih maju dan mudah kepada sistem penandaan kod bar bagi urusan rekod barangan seperti di pasar raya besar.

Disebabkan keupayaan pengesanan dari jarak jauh, teknologi itu kini digunakan sebagai aplikasi keselamatan untuk mengesan kedudukan dan pergerakan sesuatu objek yang ditandakan, termasuk kenderaan dan individu.

Bagi sistem e-plate, cip RFID aktif jarak jauh dengan nombor kod dan data pendaftaran khusus akan ditanam pada plat nombor pendaftaran kenderaan. Butiran itu boleh dibaca menerusi pengimbas mudah alih atau jaringan pengimbas pegun di jalan raya.

Sistem itu mampu mengenal pasti kedudukan kenderaan dalam semua keadaan cuaca pada jarak sehingga 100 meter dan kelajuan sehingga 320 kilometer sejam, sekali gus membolehkan penguatkuasaan peraturan lalu lintas dan pembayar tol secara elektronik.

Sistem sama sudah dilaksanakan dengan berkesan di beberapa negara maju termasuk Perancis, United Kingdom dan Australia yang membolehkan penguatkuasaan had laju dalam semua keadaan cuaca berbanding sistem nombor plat lama yang bergantung kepada pengenalan secara visual.

Thursday, October 05, 2006

Palestine, Lebanon, Iraq and Afghanistan

While the world focuses on North Korea's impending nuclear test, let us not forget the Palestine, Lebanon, Iraq and Afghanistan. They are in need of our supports and helps to liberate themselves from illegal occupation and state sponsored terrorism.

Masjid Al-Aqsa


Masjid Al-Aqsa is often confused with Masjid Al-Qubba (As-Sakhra) but they are two totally different Masjids. The Zionists have managed to mislead the world community, unfortunately some Muslims too, into thinking Masjid Al-Qubba as Masjid Al-Aqsa.

Al-Masjid Al-Aqsa is the one that Allah (SWT) refers to in the first verses of Surat Al-Israa (Sura 17):

Al-Masjid Al-Aqsa is the second Masjid ever to be built for the sole worship of Allah (SWT). Throughout the ages it suffered many transformations and destruction. When Omar Ibn Al- Khattab (RA) entered Bayt Al-Maqdis in 15 AH (636 AD) he ordered that the area, where he believed the Masjid location has been, to be cleared to start the building of the initial structure of the Masjid.

The actual building started in 18 AH (639 AD) and the Masjid was made out of timber. Abd Al-Malik Ibn Marwan (RahA) began the construction of Al-Masjid Al-Aqsa in its new shape and structure but it was his son Al-Walid (RahA) who completed it in 90 AH (708 AD).

The present structure has remained essentially intact since it was last reconstructed in 424 AH (1033 AD) by Al-Khalifa Ath-Thaahir who did not alter it from its previous architecture; he only narrowed it on each of its east and west sides.

Masjid Al-Aqsa has existed long before Masjid Al-Qubba but in a more primitive form and only assumed its current look after Masjid Al-Qubba was completed. Masjid Al-Qubba is a Masjid that was built by Al-Khalifa Al-Umawi Abd Al-Malik Ibn Marwan 65 AH (685 AD) to commemorate the great journey of the Prophet (SAW). It was started in the year 67 AH (687 AD) and was completed in 71 AH (691 AD).

The Masjid consists of an octagonal base structure that encloses two concentric octagonal hallways, which in turn surround a central circular area that contains the rock (As-Sakhra) that is believed to be the one that the Prophet (SAW) climbed upon before ascending to heaven to meet Allah (SWT).

Above the octagonal base and immediately above the circle that encloses the rock rests a double-shelled dome (Al-Qubba) that is about 18 to 20 meters in diameter and about 23 meters high. Thus, the name of this Masjid is derived from the fact that its dome impressively dominates its whole structure. The inside as well as the outside walls of the octagonal base are dominated by verses from Al-Qur'an Al-Karim, all in all the writing covers more than 210 meters of the walls spaces.

The fact that Masjid Al-Qubba does not have a minaret should not be surprising when one considers the fact that minarets were not a Masjid feature during the Umawi (Umeyyad) period, they are more of a Abbassi (Abbaside) feature.

This is Masjid Al-Qubba or Dome of Rock Mosque

Kabinet setuju syor untuk kurangkan nahas

KUALA LUMPUR: Had laju di jalan persekutuan akan diturunkan sebanyak 10 kilometer sejam (km/j) pada setiap kali musim perayaan bagi mengurangkan kemalangan.

Bagaimanapun, had laju 110km/j di semua lebuh raya dikekalkan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu, berkata Kabinet bersetuju dengan cadangan itu dan notis penwartaan akan dikeluarkan apabila had laju baru itu akan dikuatkuasakan.

“Kerajaan bersetuju dan kita akan tentukan tarikhnya. Saya akan berbincang dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy, dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan,” katanya pada sidang media di kementeriannya semalam.

Terdahulu beliau menerima kunjungan Ratu Komanwel, Aquella Francesca Plakaris, dari Bahamas dan Ratu Remaja Komanwel (Naib Johan Pertama), Alison Gino Valetta, dari Malta.

Ahad lalu, Musa berkata had laju di Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri akan diturunkan sepanjang Ops Sikap XI bermula 14 Oktober ini bagi mengurangkan kemalangan jalan raya pada musim perayaan Deepavali dan Adilfitri yang disambut hampir serentak tidak lama lagi.

Katanya, perkara itu diputuskan ketika beliau mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, minggu lalu.

Mengulas lanjut, Samy Vellu berkata penurunan 10km/j itu membabitkan semua laluan dengan had laju maksimum 90km/j, manakala had laju di laluan lain yang sudah rendah seperti sekitar 60km/j dikekalkan.

Katanya, tanda had laju sementara itu akan dipasang pada papan tanda sedia ada sepanjang tempoh penguatkuasaannya.

“Penurunan hanya 10km/j memberi banyak kesan baik,” katanya merujuk kajian yang dijalankan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Samy Vellu juga berkata, konsesi Lebuh Raya Kajang-Seremban yang tertangguh pembinaannya selama ini akan diambil alih syarikat baru, Lekas Sdn Bhd, yang diterajui IJM Corp dan perjanjian baru akan dimeterai tidak lama lagi.

Mengenai isu kerja membaik pulih Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Kung Yu di Muar, Johor, yang tidak sempurna, Samy Vellu berkata siasatan kedua sedang dijalankan.

“Saya sudah kemukakan (laporan pertama) kepada Kabinet...ia menyokong tindakan diambil terhadap pihak bertanggungjawab,” katanya.

Namun, katanya, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan sudah meluluskan peruntukan bagi membaik pulih SRJKC Mah Hua, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, dan SRJKC Kung Yu.

“Kita akan membuat supaya semuanya sempurna untuk mereka,” katanya.

Sehubungan itu, Samy Vellu berkata kesemua jurutera daerah akan dipertanggungjawabkan terhadap penyelewengan dalam pembinaan awam yang berlaku dalam kawasan pentadbiran mereka.

“Satu mesyuarat dengan semua jurutera daerah akan diadakan Isnin depan untuk memberi tahu mereka bahawa mereka akan dipertanggungjawabkan...wang kerajaan perlu dilindung dan kerja perlu dilaksanakan mengikut spesifikasi,” katanya.

Senaman rahsia Pak Ungku sihat

Sembang Sabtu: Prof Diraja Ungku Aziz (BH: 02/04/2005)

PADA usia 83 tahun, beliau masih kelihatan segak dan bertenaga. Fikirannya tetap cerdas dan kepetahannya berhujah masih unggul.

Hanya alat bantuan pendengaran di telinga kanannya mendedahkan bahawa usia tokoh akademik ini menghampiri satu abad.

Kehidupan berdisiplin, senaman yang mengeluarkan peluh dan pemakanan unik adalah rahsia Profesor Diraja Ungku Aziz yang lebih dikenali sebagai Pak Ungku untuk mengekalkan kesihatan tubuh dan mindanya.

Jika ketika usia mudanya beliau menjadikan angkat berat sebagai senaman, kini Ungku Aziz berjoging dan berjalan pantas untuk mengeluarkan peluh.

"Teori saya ialah kalau kita senaman mesti keluar peluh. Kalau tidak keluar peluh itu bukan senaman," katanya merujuk permainan golf yang disifatkannya bukan senaman tetapi 'cara orang kaya membelanjakan wang mereka'.

Pak Ungku yang dilahirkan di London pada 28 Januari 1922, disifatkan ramai sebagai cendekiawan sebenar kerana pengetahuannya merangkumi bukan saja isu ekonomi, bahkan perkara berkaitan sejarah, kesenian, kesusasteraan, politik dan tamadun.

Ramai ahli politik menghormatinya walaupun pandangannya mengenai ekonomi dan pendidikan sering kali tidak senada. Bagaimanapun, Pak Ungku tetap dijemput menganggotai badan khas kerajaan seperti Perundingan Ekonomi Negara (Mapen) I dan II serta menyediakan laporan berhubung ekonomi orang Melayu.

"Bacalah laporan saya kepada Mapen. Mintalah editor kamu dapatkan laporan itu," katanya apabila diminta menyatakan pandangannya berhubung isu ekonomi, khususnya kemiskinan orang Melayu, yang dikhabarkan tidak begitu disenangi banyak pihak.

Namun, sumbangan bapa kepada Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, kepada sosioekonomi orang Melayu tidak dapat dinafikan.

Beliau adalah tulang belakang kepada penubuhan Lembaga Tabung Haji, selain pengasas Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) yang diterajuinya hingga kini.

Dalam bidang akademik, pencapaian beliau sukar ditandingi. Pak Ungku adalah satu-satunya penerima anugerah Profesor Diraja. Bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM) selama 20 tahun ini terkenal dengan beberapa inovasi pendidikan seperti penubuhan Pusat Asasi Sains UM.

Walaupun Pak Ungku lebih senang berada di luar persada politik, beliau tetap rapat dengan ahli politik yang sememangnya gemar mendengar pandangan kritikal beliau berhubung isu politik.

"Kadang-kadang saya jumpa tokoh politik yang sebahagian besar bekas pelajar saya di universiti. Kalau tengok dalam Kabinet sekarang, kebanyakannya adalah graduan UM," katanya.

Tak suka tetamu masuk rumah

Sembang Sabtu: Prof Diraja Ungku Aziz (BH: 02/04/2005)

"SAYA tahu anda akan datang pada waktunya." Itulah kata-kata Prof Diraja Ungku Aziz kepada penulis sebaik saja beliau keluar daripada pangsapurinya. Sebelum itu, Ungku Aziz atau lebih dikenali dengan panggilan mesra Pak Ungku, meminta penulis menunggu di luar sementara beliau bersiap untuk ditemu bual seperti yang dijanjikan jam 12 tengah hari Isnin lalu.

Tokoh akademik yang terkenal dengan disiplin itu sememangnya amat sensitif dengan pematuhan masa. Beliau tidak akan teragak-agak menegur mereka yang tidak menepati masa.

"Di Angkasa (Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad), kalau orang datang lewat untuk mesyuarat saya akan keluarkan kata-kata pedas, selepas itu mereka tidak lewat lagi," kata Pak Ungku bangga.

Selepas mengunci pintu pangsapurinya, Pak Ungku mengisyaratkan tangannya yang memegang sebatang pena dan buku nota kecil ke arah lif.

"Kita ke kolam renang, di situ lebih selesa. Saya selalu jumpa tetamu di situ," kata Pak Ungku sambil memohon maaf dan menjelaskan beliau memang tidak menjemput tetamu masuk, melainkan saudara mara atau kenalan rapat.

Bagi penulis ruang luar pangsapuri Pak Ungku sudah cukup sesuai untuk menjadi tempat bicara. Di situ sudah tersedia dua kerusi dan meja kayu berukir selain pokok bunga yang menyamankan suasana. Di dinding pula tergantung empat lukisan abstrak, termasuk tiga yang bermotifkan pantun, koleksi isterinya, Syarifah Azah Aziz.

Hari itu Pak Ungku kelihatan ceria. Beliau begitu berminat melayan penulis walaupun tokoh sepertinya sudah acap kali ditemu bual wartawan. Mungkin kerana pengalaman penulis belajar di Quebec membuatkan Pak Ungku memberi layanan istimewa.

"Anda boleh berbahasa Perancis," soal Pak Ungku, seolah-olah beliau pula yang menemubual penulis.

"Saya hanya mengambil satu subjek bahasa Perancis dan mendapatinya begitu sukar kerana pensyarah tidak mahu langsung menggunakan bahasa Inggeris ketika mengajar," jawab penulis di antara memberi alasan dan mengadu mengenai kaedah pengajaran bahasa kepada bekas Naib Canselor Universiti Malaya itu.

"Saya boleh cakap Perancis. Saya pernah ke Quebec dan saya suka tempat itu," katanya berkongsi pengalaman berada di satu-satunya negeri bekas jajahan Perancis di Kanada.
"Kalau saya ke Jepun, saya cakap Jepun. Ketika perang saya belajar di Jepun selama tiga tahun. Saya ada dua bahasa lain, itu kelebihan yang baik. Lagipun bila anda tahu bahasa lain, minda anda lebih canggih," katanya menjelaskan betapa pentingnya seseorang itu menguasai banyak bahasa.

Memulakan bicara mengenai dirinya, Pak Ungku berkata, beliau amat mementingkan disiplin sehinggakan kegiatan kehidupan sehariannya dijadualkan.

"Ada masa bekerja, ada masa berfikir dan membaca serta bersantai, pembahagiannya amat jelas. Dalam hidup saya banyak yang tetap. Hari-hari begitu, saya tidak bosan, kehidupan saya amat sistematik," katanya.

Pak Ungku memulakan rutin hariannya dengan solat Subuh. Kemudian beliau akan membaca al-Quran dan mendengar kaset bacaan kitab suci itu bagi memperbaiki pembacaan dan penghayatannya.

"Saya baca al-Quran hari-hari. Selepas saya baca satu surah saya dengar kaset, ia menolong saya lebih faham. Saya juga ada lima buku tafsir dan saya boleh semak maknanya," katanya.

Selepas itu, Pak Ungku akan keluar bersenam dengan berjoging atau berjalan pantas di sekitar Seksyen 13 yang terletak tidak jauh daripada kawasan pangsapurinya. Sebagai seorang pemikir, waktu senaman kira-kira 50 minit itu dimanfaatkan dengan menghafal.

"Masa itu saya guna untuk berfikir atau menghafal, sama ada pantun atau apa benda dalam senarai saya nak hafal. Saya hafal dalam fikiran dan orang tak dengar. Saya fokus, naik bukit turun bukit, di situ ada dua. Kalau tak naik bukit, kita tak keluar peluh. Teori saya ialah kalau kita senaman mesti keluar peluh," katanya.

Sarapan Pak Ungku juga tidak terlepas daripada teorinya. Setiap pagi beliau akan makan empat biji kurma dan jambu air serta minum segelas besar air panas yang dicampur cuka organik.

"Saya cari kurma yang baik bukan sebarang kurma, dari Arab Saudi atau Iran... Kurma penuh khasiat mineral, vitamin dan serat. Saya minum air cuka, itulah orang gila," katanya.

Pak Ungku hanya akan keluar bertugas jika kehadiran beliau benar-benar diperlukan. Jika tidak beliau hanya bekerja dari rumah atau meneruskan kajiannya mengenai pantun Melayu.

Selain menjadi Yang Dipertua Angkasa, Pak Ungku juga Ahli Lembaga Pengarah KKUM dan Pengarah Plus. Beliau juga menjadi Pengerusi Azair, syarikat air milik keluarga.

"Sistem saya ialah tiga setiausaha hantar kepada saya beg mengandungi apa-apa dokumen yang perlu saya tandatangani atau saya hantar pemandu saya pergi ambil beg. Saya tak perlu pergi pejabat, saya baca dan telefon mereka," katanya sambil menambah sistem kerja sedemikian mengatasi kerenah birokrasi.

Seperti sarapan, sajian makan tengah hari Pak Ungku juga unik. Nasi hanya menjadi hidangan dua kali seminggu, manakala hari lainnya menu antarabangsa menjadi pilihan. Sayur mentah atau segar pula menjadi hidangan wajib setiap hari.

"Saya makan sushi, kuskus Turki atau Maghribi, roti prata dan macam-macam masakan antarabangsa. Azah suka dan pandai masak," katanya.

Selepas makan tengah hari, beliau berehat di antara 30 hingga 40 minit. Pak Ungku berkata, pada usia 83 tahun beliau perlu banyak berehat.

"Kalau nak tidur saya tidur. Saya tak ada masalah, kalau saya kata sekarang waktu tidur, lepas setengah jam saya jaga. Saya ada jam dalam kepala saya," katanya.

Pada sebelah petang jika tiada mesyuarat atau urusan kerja lain, Pak Ungku sekadar berada di rumah dan mengisi masa dengan melakukan perkara ringan seperti mendengar muzik atau menonton televisyen serta video.

"Saya tidak menulis atau baca benda berat-berat. Saya tonton siaran berita seperti BBC News dan TV1, saya cari apa yang ada," katanya.

Bagi Pak Ungku, mendengar muzik dan menonton filem adalah hiburan baginya selain membaca buku. Setiap minggu beliau akan membeli beberapa cakera padat dan cakera padat video terbaru.

Katanya, berbuat demikian bukan sekadar menambah koleksinya tetapi mempelajari perkembangan semasa dunia muzik dan filem.

"Saya ada banyak koleksi muzik dari Turki, Iraq dan Jerman, karya Mozart dan Beethoven, saya sudah kumpul sejak 40 hingga 50 tahun lalu.

"Kalau cucu saya kata hip-hop menarik, saya beli juga satu dua untuk dengar. Walaupun tak tertarik, saya mesti tahu sebab bila sudah berumur 83, kita tentu terputus dengan generasi muda," katanya.

Disiplin yang diterapkan dalam kehidupan sehariannya dibawa sehingga ke bilik tidur. Setiap hari, Pak Ungku akan tidur hampir tepat 12 tengah malam. Beliau tidur dalam keadaan gelap gelita.

"Kalau ada lagi program TV yang saya nak tonton, saya rakam. Kalau kita duduk tengok TV kadang-kadang terlanjur sampai jam 1 atau 2 pagi, ini tidak sihat.

"Hampir jam 12 tengah malam, saya tutup lampu. Masa tidur saya tak bawa buku, saya tidur dalam gelap sepenuhnya. Lima minit letak kepala atas bantal saya lelap. Saya jaga jam 5.30 atau 6 pagi.

"Saya fokus begitu, tak ramai orang suka kehidupan seperti itu tetapi saya cukup suka dengan apa yang saya buat," katanya mengakhiri temu bual 45 minit yang beliau tetapkan tempohnya itu.

Sebagai menguji prinsip Pak Ungku, penulis meminta kebenaran untuk mengambil gambar keadaan di dalam apartmen beliau, khususnya koleksi buku dan kerja pengumpulan pantun yang beliau sedang usahakan.

"Maaf, saya memang tidak menjemput orang masuk rumah," ulang Pak Ungku.

Bagaimanapun, beliau membenarkan kawasan luar apartmennya dirakam jurugambar.

Sebelum berpisah, penulis sempat bertanya kenapa beliau tidak benarkan kami masuk ke kediamannya dan Pak Ungku memberikan jawapan ringkas tetapi penuh makna: "Kalau anda masuk, anda tak mahu keluar."

Keunikan pantun cabar daya fikiran

Sembang Sabtu: Prof Diraja Ungku Aziz (BH: 02/04/2005)

WALAUPUN dilahirkan di London dan berdarah kacukan Turki, cinta Prof Diraja Ungku Aziz terhadap pantun mengatasi cinta mereka yang mengaku Melayu sejati. Bagi Pak Ungku pantun Melayu bukan sekadar kesusasteraan bangsa, tetapi pusaka unik yang mencerminkan kehebatan bangsa Melayu itu sendiri.

Menyedari hakikat ini, Pak Ungku bukan sekadar menghafal rangkap demi rangkap pantun tetapi mendalami dan merungkai maksud di sebalik susunan kata-kata berirama itu. Malah, beliau sudah lama merekodkan ribuan pantun untuk dijadikan rujukan dan mungkin juga warisan bangsa.

"Saya menulis dan buat kajian mengenai pantun sudah hampir lapan tahun. Saya sudah kumpul lebih 7,000 pantun, semuanya dimasuk dalam komputer," katanya menceritakan usahanya bagi memperkasakan serta mempertahankan seni warisan Melayu itu daripada hilang ditelan zaman.

Mengulas lanjut usahanya itu yang kini sedang dibukukan dan akan diterbitkan tahun ini, Pak Ungku berkata beliau bukan sekadar mengumpul pantun, tetapi memikir teori dan rahsia kenapa pantun begitu menarik sekali.

Katanya, beliau mula berminat dan mengumpul pantun sejak 20 tahun lalu hasil bacaannya serta mendengar orang lain berpantun sehinggakan beliau mampu berbicara dan menghuraikan setiap pantun selama berjam-jam.

Malah, beberapa tahun lalu, Pak Ungku menjadi tetamu Radio Televisyen Malaysia mengupas pantun dalam rancangan harian yang ke udara setiap pagi.

"Saya banyak memikirkan bagaimana orang Melayu boleh buat pantun. Dari perspektif seorang ahli akademik, apakah pantun yang baik dan apakah kriteria pantun yang baik berbanding pantun sederhana, semua ini mencabar saya.

"Saya fikir kalau orang kata dalam pantun ada rima dan lagu serta intonasi, maka apakah yang menjadikan sesuatu pantun itu lebih baik daripada pantun lain," katanya yang menyifatkan usahanya itu sebagai perkara paling menarik dalam kehidupannya.

Ditanya apakah rumusan yang diperolehnya hasil kajian itu, Pak Ungku berkata pantun mencerminkan budaya orang Melayu iaitu 'orang Melayu itu pantun dan pantun itu orang Melayu.'

"Saya rasa orang Melayu kalau dia lupakan pantun, esok lusa dia lupakan budaya bangsa sendiri sehingga suatu hari nanti dia jadi Melayu redak, dia hanyut. Kalau jadi orang Melayu, anda mesti ada pantun dalam kepala," katanya.

Daripada pertuturannya, Pak Ungku jelas kecewa dengan sikap orang Melayu yang sudah mula melupakan pantun dan beralih kepada sajak moden.

"Ramai orang kini sangat tertarik dengan sajak moden, mereka tidak faham nilai pantun," katanya.

Bagi Pak Ungku, mereka yang beralih kepada sajak sebenarnya sudah ketandusan idea.
"Sajak itu tunjukkan minda dia itu sudah... kalau nak katakan bankrap orang marah. Memang tidak begitu kreatif bagi saya. Orang lain mungkin tak setuju tetapi itu kebebasan mereka," katanya.

Ditanya mengapa beliau terus memperjuangkan pantun ketika populariti seni kesusasteraan itu semakin tenggelam, Pak Ungku berkata ia sebagai cabaran berfikir.

"Setiap orang ada fikiran sendiri, saya harap. Apakah fikiran saya? Saya ambil ia sebagai cabaran. Kebanyakan orang sebenarnya hidup tak berfikir, mereka terapung-apung," katanya.

Pak Ungku menegaskan banyak perkara menarik yang seseorang itu boleh lakukan selagi hayat dikandung badan.

"Bagi saya, selagi saya hidup saya akan lakukan perkara yang menarik. Tak pernah dalam hidup saya bila mana saya katakan, Ya Tuhan apakah yang perlu saya lakukan, bosan tak ada apa yang boleh dilakukan.

"Saya tidak pernah alaminya. Walaupun saya cuba, saya tak jumpa kerana sentiasa ada sesuatu yang boleh dilakukan. Akan sentiasa ada timbunan buku yang saya belum baca, orang yang belum saya berbicara, ia adalah kehidupan yang cukup memuaskan," katanya.

'Golf bukan sukan tetapi kegiatan tunjuk kekayaan'

Sembang Sabtu: Prof Diraja Ungku Aziz (BH: 02/04/2005)

"SAYA tidak jadi mana-mana ahli kelab. Saya tak main golf, ia hanya membazir masa," kata Prof Diraja Ungku Aziz dengan bangga. Bagi Pak Ungku, keanggotaan kelab golf bukan perkara yang patut dibanggakan.

Malah, beliau menyifatkan golf bukan sukan tetapi kegiatan untuk menunjuk-nunjuk kekayaan.

"Golf tidak memberikan anda sebarang senaman, ini perkara benar. Kalau anda nak senaman, anda perlu berjalan dengan laju atau menggerakkan badan dengan laju dan anda perlu bersenam secara sistematik supaya peluh dapat keluar," katanya.

Bagi Pak Ungku, golf adalah mengenai bagaimana orang kaya membelanjakan wang dan bertaruh, tetapi malangnya ia sudah dianggap sebagai syarat untuk naik pangkat.

"Saya tidak pernah main golf seumur hidup saya. Ada orang pernah cakap dengan saya, dia orang besar tetapi sudah arwah, 'you tak main golf, you tak boleh naik pangkat' dan saya katakan 'jika saya dapat naik pangkat berdasarkan saya main golf, maka saya akan bekerja di tempat lain, saya akan pergi ke negara lain'," katanya.

Lebih malang lagi, kata Pak Ungku, kalangan ahli korporat kini menyangka golf adalah segala-galanya dan jika seseorang itu tidak bermain golf, maka ia dianggap sebagai antisosial dan orang yang gagal dalam hidup.

"Saya boleh lakukan kerja saya tanpa perlu main golf. Jika orang nak cabar saya dalam soal berfikir, saya boleh hadapi sesiapa saja dalam apa-apa bahasa yang boleh saya cakap. Saya tidak takut, saya tidak perlu main golf untuk menjadi seorang yang berjaya," katanya.

Biarpun berjaya dalam kariernya sebagai ahli akademik terkemuka, Pak Ungku tidak mahu dirinya disanjung keterlaluan sehingga ada yang taksub dengannya. Sebaliknya, beliau lebih suka dilayan sebagai anggota biasa masyarakat dan bebas untuk pergi ke mana-mana saja.

Malah, beliau sendiri menentang cadangan menamakan ibu pejabat Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) di Kelana Jaya sebagai Wisma Ungku Aziz kerana tidak mahu namanya diabadikan kepada sesuatu bangunan untuk dikenali umum.

"Itulah cara hidup saya, saya cukup gembira. Saya boleh ke Tumpat dan keluar dari kereta orang sapa, 'lu universiti punya orang ka?', orang terus kenal. Malah, ada ribuan graduan yang kenal saya dan bila selisih di jalan mereka sapa 'Prof', saya gembira," katanya.

Sifat kesederhanaan ini dipraktikkan Pak Ungku dalam memilih tempat tinggalnya. Walaupun mampu memiliki banglo, beliau memilih apartmen sebagai kediamannya kerana praktikal dan selamat.

"Saya tak ada pengawal peribadi dan saya tidak pernah membawa senjata. Jika saya kena pertahan diri, saya cucuk mata, itu pertahanan saya," katanya.

Wednesday, October 04, 2006

Dr Mahathir masih tak pandai berenang

Sembang Sabtu: Tun Dr Mahathir Mohamad (BH: 14/05/2005)

HAKIKAT bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad, negarawan ulung yang masih disegani kawan dan lawan sama ada di dalam negara atau pada peringkat antarabangsa, tiada siapa dapat menafikan.

Walaupun sudah lebih setahun bersara daripada politik dan kerajaan, Perdana Menteri keempat ini masih sibuk seperti ketika memegang jawatan itu dulu. Malah, kunjungannya ke luar negara untuk memenuhi undangan menyampaikan pandangannya mengenai pelbagai isu global belum kelihatan berkurangan.

Di sebalik pelbagai kejayaannya itu, pada usia hampir 80 tahun, Dr Mahathir mengaku masih dibelenggu kegagalan peribadi.

Biarpun beliau dikenali dengan kebolehan menunggang kuda, memandu kapal terbang dan berkereta laju, anak kelahiran Kampung Seberang Perak, Alor Star, Kedah ini masih tidak tahu berenang walaupun sudah beberapa kali mencuba.

"Itu satu kegagalan. Saya tak tahu nak buat apa. Tiap kali saya nak cuba berenang... saya boleh berenang tapi tak bernafas sebab bila nak angkat kepala nak bernafas, badan saya tenggelam. Saya cuba dan saya percaya jika kita tetapkan hati, kita boleh lakukan apa saja, tetapi ini saya tak boleh. Saya cepat panik," katanya dalam wawancara dengan Berita Harian.

Tawaran penakluk Selat Inggeris, Datuk Malik Mydin, untuk mengajarnya belum dapat dipenuhi kerana terlalu sibuk dengan urusan harian, termasuk menyiapkan memoir yang menurutnya, baru bermula.

Mujurlah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang sebelum ini 'meminjamkan suaminya kepada rakyat dan negara lebih 22 tahun' juga sibuk dengan urusannya sebagai Canselor Universiti Multimedia, sehingga mereka jarang bertemu.

"Dia pun sibuk, kadang-kadang dia lagi sibuk, tetapi dia serius sangat... Kadang-kadang temujanji dia lebih banyak daripada saya, orang jemput dia merata tempat dan dia pergi.

"Kadang-kadang bila saya balik makan dia tak ada, kadang-kadang bila malam saya keluar dia tak keluar. Kalau boleh keluar bersamalah, itulah masa yang ada untuk bersama," kata Dr Mahathir.

Malah, Dr Mahathir merungut kesibukan kini isterinya itu ditambah dengan satu hobi baru yang beliau sifatkan sebagai antisosial - khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Dulu bila saya naik kereta dengan dia, boleh juga bercakap tetapi sekarang ini dia asyik SMS kepada anak dia, pergi balik, pergi balik, macam-macam cerita. Dulu tak ada pun, sekarang duduk tengok SMS saja, tak tengok saya. Lepas tu tanya kita di mana, dia tak tahu...Tak pernah tengok di luar, asyik SMS saja," katanya.

'Saya bukan seperti Clinton'

Sembang Sabtu: Tun Dr Mahathir Mohamad (BH: 14/05/2005)

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memang dikenali sebagai seorang yang jarang berbasa basi kecuali dengan beberapa rakan rapat. Kerana itu, sebelum memulakan temu ramah ini di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, Rabu lalu, beliau diberitahu kebanyakan soalan agak ringan dan lebih kepada corak kehidupannya selepas bersara, sesuai dengan matlamat ruangan ini. Sebaik beliau mengangguk kepala sambil mengatakan okey, soalan pertama terus ditanya dan seperti biasa Dr Mahathir, yang
memakai bush jacket kelabu, menjawabnya dengan nada serius tetapi tenang. Bagaimanapun, suasana itu tidak lama. Selepas beberapa soalan, beliau bukan saja semakin relaks, malah beberapa kali ketawa, terutama apabila bercakap mengenai perkara yang membabitkan peribadinya. Oleh sebab itu, sepanjang wawancara selama sejam 10 minit dengan wartawan Berita Harian (BH), HISHAMUDDIN AUN, MANJA ISMAIL, AZIZI OTHMAN dan WAN HAZMIR BAKAR, suasana serius dan jenaka bersilih ganti. Serius apabila Dr Mahathir memperkatakan mengenai politik dan orang Melayu, jenaka apabila bercakap mengenai dirinya.

BH: Boleh ceritakan rutin harian Tun selepas bersara?
DR M: Tak banyak berubah. Saya datang ke pejabat setiap hari, kalau tak ke sini saya ke KLCC di pejabat Petronas. Saya bekerja pagi dan petang, kadang-kadang sampai jam 5 dan 6 petang. Macam dulu, cuma datang lambat sikit, kerja berlambak, saya buat kerja di rumah. Malam banyak jemputan boleh dikatakan setiap malam ada jemputan kahwin, majlis tertentu. Dalam seminggu tak kurang empat kali, saya tak ada banyak masa.

BH: Mungkin ada sesetengah benda yang Tun tak dapat buat dulu seperti hobi atau lain-lain, kini Tun ada masa lakukannya?
DR M: Sebenarnya tak ada masa untuk hobi apa pun. Dulu ketika jadi Perdana Menteri, kadang-kadang sebelah petang saya pergi naik kuda atau apakah. Masa ini naik kuda cuma seminggu sekali pada pagi Ahad. Itu pun kalau Ahad tak ada apa-apa?

BH: Yang lain?
DR M: Adalah sikit, kadang-kadang jalan treadmill, itu pun perlu balik awal.

BH: Apakah Tun jangkakan keadaan akan jadi begini kerana ketika mula bersara, Tun berkata Tun akan ada banyak masa?
DR M: Saya tak sangka nak jadi begini. Saya sebenarnya pada mulanya tentukan sebelah pagi saya pergi pejabat dan sebelah petang saya duduk di rumah tetapi kerana sebelah pagi saya banyak masa habis berjumpa dengan orang dan tak dapat menulis dan di rumah pula, iklim tidak sesuai untuk menulis jadi sebelah petang saya datang sini buat kerja urus surat menyurat, menulis tetapi ada orang datang nak jumpa juga, maka sibuklah.

BH: Berapa ramai yang jumpa Tun setiap hari?
DR M: Satu hari tiga, empat orang. Kadang-kadang itu cuma minta nak jumpa, bersalam, ambil gambar. Itu saya tidak berapa layan tetapi banyak temu bual dengan media termasuk media asing. Kadang-kadang ada duta dan pelawat asing datang ke Malaysia datang jumpa. Kawan-kawan juga ada datang jumpa, sibuk macam dulu.

BH: Apakah yang Tun paling rindukan selepas bersara?
DR M: Saya kadang-kadang mempunyai pendapat mengenai perkara tertentu tetapi sebagai seorang yang bukan berkuasa, saya tidak boleh berbuat apa-apa dengan pendapat saya, cuma idea saya kekal dengan diri saya.

BH: Apakah Tun berasa media asing lebih mesra dengan Tun sekarang berbanding sebelum ini?
DR M: Ada yang mesra dan ada yang masih kaitkan keburukan saya dulu. Ada yang bila saja sebut nama saya, tidak pernah lupa menyebut saya seorang yang mengawal media dan hanya mengamalkan kronisme yang merosakkan demokrasi dalam catatan tambahan dia. Nak cerita fasal lain tetapi dia masukkan juga.

BH: Kalau dulu Tun banyak bertemu media, apakah sekarang Tun perlu panggil media untuk menjawab?
DR M: Saya tak panggillah tetapi media asing minta jumpa. Tetapi mereka berjumpa dengan agenda mereka, bukan mereka nak mendengar penjelasan saya. Lagipun jika saya berjumpa, dia tak nak dengar penjelasan saya.

BH: Bagaimana perkembangan penulisan memoir Tun? DR M: Saya cuba tulis tetapi sebenarnya masa saya habis untuk tulis ucapan. Saya dijemput negara Timur Tengah, Arab, Turki, Eropah Timur, China, Jepun, Korea. Nak pergi tak lama tetapi nak tulis itu kena fikir, tulis dan tulis semula. Saya pula tulis tangan dan kadang-kadang tiga
empat kali, lima kali saya tulis semula, ini yang makan masa banyak.

BH: Agak bila boleh siap?
DR M: Lambat lagilah. Lihat macam yang ini (sambil menunjuk satu fail draf ucapannya), ini tiga kali. Kadang-kadang lima draf.

BH: Ada pandangan mengatakan Bill Clinton mengumpul kekayaan selepas bersara sebagai presiden dengan memenuhi undangan berucap. Khabarnya pada setiap majlis beliau dibayar ratusan ribu dolar. Apakah Tun boleh dibanding Clinton?
DR M: Kebanyakan mereka (yang mengundang) tak bayar satu sen pun, tak bayar tambang saya pun. Saya pergi sampai ke Russia, saya tak dapat apa-apa pun. Mungkin bayar hotel, mereka kata mereka tak ada duit. Kadang-kadang negara kaya pun tak bagi dan saya tak minta. Tetapi orang yang biasa anjur, mereka ada kadar sendiri tetapi bukan seperti Clinton. Bagi saya dapat sedikit cukuplah, saya bukan cari kekayaan tetapi seronok bila dapat bagi pendapat dan pandangan saya. Maka, kalau orang nak dengar, baguslah. Saya pergi bukan dapat apa. Kadang-kadang mereka bagi sedikit, Alhamdulillah.

BH: Nampaknya Jepun banyak jemput Tun sehingga boleh dikatakan Jepun rumah kedua Tun selepas bersara?
DR M: Bukan saja Jepun, China begitu juga. Sekarang ini boleh dikatakan setiap bandar raya di China minta saya pergi. Saya boleh terima dua atau tiga saja, Jepun pun begitu juga. Macam Nikkei itu saya pergi setiap tahun daripada sesi pertama tetapi tahun ini saya tak pergi kerana bertembung dengan jemputan di Sri Lanka. Memandangkan saya lama tidak pergi ke Sri Lanka maka saya tak pergi ke Jepun. Tetapi saya akan pergi juga lepas ini. Mereka nak dengar pendapat saya, tak apalah, saya pergi.

BH: Australia?
DR M: Australia, saya cakap sekali, bila ke Perth, ada alumni perubatan King Edwards VII. Mereka buat perjumpaan di sana. Bila satu kumpulan di Australia dengar saya pergi ke Perth, mereka dari timur Australia, mereka datang ke Perth dan anjurkan. Sekali itu saja, bukan dapat bayaran apa-apa.

BH: Apa ada perbezaan dalam penerimaan audien sekarang berbanding dulu?
DR M: Sekarang yang jemput saya orang yang suka nak dengar apa saya cakap, walaupun di Australia, mereka dengarlah juga. Saya tak tahulah tetapi ramai juga audien itu dari Malaysia atau orang Asia tetapi mereka minta saya bercakap, saya bercakap. Macam di Iskandariah, dua malam saya bercakap. Setiap kali saya bercakap dewan itu penuh, 2,000 orang. Menteri-menteri datang dari Kaherah atau Iskandariah untuk dengar saya bercakap.

BH: Biasanya topik apa Tun bercakap?
DR M: Kebanyakan mengenai Malaysia, macam mana kita dapat mengubah Malaysia daripada negara pertanian kepada negara industri, bagaimana kita menguruskan hubungan kaum, macam mana kita mempercepatkan pembangunan. Di setengah tempat mereka ingin tahu pandangan sebuah negara Islam, bagaimana kita dapat mengurus sebuah negara Islam dan mereka juga ingin tahu pandangan terhadap agama. Apa pandangan kita mengenai agama. Kalau orang Amerika, mereka kerap kali datang sini untuk buat rakaman TV. Baru-baru ini saya bercakap pada satu majlis bankuet yang diadakan di California tetapi saya di sini. Saya bercakap melalui teleconference.

BH: Pada majlis seumpama ini di luar negara, kadang-kala ada soalan provokasi. Sesetengah minta Tun berikan pendirian yang mungkin berlawanan dengan dasar kepemimpinan negara sekarang. Bagaimanakah Tun hadapi keadaan ini?
DR M: Saya jelaskan semua pertanyaan semacam ini, bahawa ketika saya letak jawatan dulu, saya membuat janji kepada diri saya, orang lain dan kawan-kawan bahawa saya tidak akan kacau kerajaan. Tidak akan memberi pandangan yang jadi masalah kepada kerajaan. Sama ada saya setuju atau tidak saya tak kata apa-apa. Baru-baru ini Lee Kuan Yew tanya soalan sama dan saya kata saya tidak campur tangan dalam kerajaan. Kalau kerajaan buat sesuatu, itu hak dia. Kalau tanya di luar negara pun, jawapan saya macam itu juga.

BH: Selepas bersara ni, Tun tentu ada masa untuk jumpa kawan-kawan rapat?
DR M: Kerja banyak macam dulu juga. Saya dari dulu pun jumpa orang, kawan. Tabiat saya bila bercakap, saya suka bergurau. Kadang-kadang orang ingat saya serius. Mereka pun dah tahu saya, di kampung pun begitu juga. Mereka tak marah, kawan baik semua. Kalau jumpa, macam dulu juga tetapi tak kerap sangat. Sekarang ini saya jumpa mereka yang tunggang kuda dengan saya. Mereka selalu pergi sama ke Argentina, kadang-kadang tujuh hingga 15 orang pergi. Dengan mereka ini saya rapat.

BH: Masih ada jumpa Tun minta kontrak?
DR M: Ada yang fikir kerana saya jadi penasihat kepada Proton dan Petronas, mereka minta supaya saya bagi sesuatu atau sokongan. Saya jadi macam 'posmen' mereka, kalau ada apa-apa saya sampaikan kepada pihak yang berkenaan. Saya tidak sentuh pegawai yang bertanggungjawab mengenai bidang itu. Saya cuma berhubung dengan Tan Sri Hassan (Petronas) atau Tengku Mahaleel (Proton). Saya kata ini permintaan, tetapi terpulang
kepada mereka. Saya, dari dulu zaman jadi Perdana Menteri pun, tidak pernah suruh buat atau bagi sesuatu untuk sesiapapun. Sebab itu ada keluarga saya yang tak bercakap dengan saya sampai sekarang dan berkelahi terus kerana minta tak dapat. Ada juga kawan yang bermasam muka, jumpa pun tak nak. Saya kata saya tak boleh bagi, bukan saya punya tetapi dia minta juga. Saya kata okey kalau minta juga saya sampaikan, dapat dapatlah, tak dapat tak dapatlah. Ada yang setengah tu dapat dia ingat kerana saya, tetapi bukan kerana saya. Saya cuma jadi 'posmen', tetapi orang anggap saya ada kuasa, la ni pun. Saya kata saya tak ada kuasa dalam kerajaan tetapi mereka kata Tun mesti ada pengaruh, nak juga. OK, you bagi saya akan pass.

BH: Ramai ke yang jumpa untuk tujuan itu?
DR M: Ramai juga, macam-macam. Ada orang ada idea nak berniaga itu ini dengan Petronas dan Proton...sesetengah hantar dengan sampul asal untuk saya sampaikan. Bukan dia sampaikan.

BH: Ramai yang beranggapan Tun terbabit membuat keputusan kerajaan?
DR M: Tak ada. Semalam saya tengok Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) jawab kononnya saya yang pull the strings dalam kerajaan ini. Tak pernah langsung. Kalau saya pull the strings tentulah tak ada perubahan. Kita tengok dasar kerajaan kini berubah. Saya buat janji saya tak nak kacau, saya tak kacau. Orang nak kata, katalah. Saya cakap apa pun orang tak percaya. Orang kata Tun nasihat kerajaan. Saya tak ada langsung terbabit dalam kerajaan. Kalau anda banding tengok dasar kini dengan dasar dulu, anda tahu ia berlainan. Kadang-kadang bertentangan pun ada. Maka, tak
mungkin saya nasihat kerajaan.

BH: Bagaimana Tun menerima sesuatu perubahan dasar?
DR M: Itu hak kerajaan, saya tidak ada hak lagi. Saya tak lagi jadi Perdana Menteri dan tak ada hak nak kata atau buat apa-apa?

BH: Masih ramaikah yang minta nasihat Tun mengenai politik?
DR M: Ada juga yang tanya fasal politik dan saya beritahu secara umum saya boleh bercakap, secara khusus saya tak boleh. Saya terang-terang kata, bila jumpa Pemuda Umno atau sesiapa datang tanya nasihat, saya kata yang saya takut sekali ialah perkembangan rasuah dalam politik. Rasuah politik ini akan hancurkan Malaysia. Saya minta berkali-kali, kalau nak bagi, jangan bagi secara terus, bagi kepada ibu pejabat dan biarlah ia sampaikan. Kalau kita bagi secara terus bermakna kita cuba pancing sokongan, itu tidak baik. Cuma yang ada duit, yang tak ada duit tak dapatlah. Kalau yang tak ada duit, dia tak boleh bagi apa-apa. Ataupun kalau orang tu ada keperluan, komputer umpamanya, orang ini boleh bagi tetapi orang itu tak boleh bagi, itu tak adillah. Kalau nak bagi, bagi kepada ibu pejabat dan ibu pejabat akan agih, bukan saja ke bahagian anda tetapi bahagian lain, dengan itu kita dapat elak daripada tuduhan kita beri sesuatu kerana nak pancing sokongan. Sokongan diperoleh secara ini saya fikir akan hancurkan kita. Saya cerita mengenai sejarah orang Melayu bagaimana negeri dia pun dia gadai kerana nak duit. Tetapi nampak gayanya tak berkesan, saya rasa kecewalah. Itu saya sentuh, cara politik lain saya tak sentuh, ini umum. Orang Melayu jangan terima rasuah. Walaupun saya dituduh rasuah, biarlah dia tuduh. Saya dapat gaji bukanlah besar sangat sebagai Perdana
Menteri. Mula jadi Perdana Menteri, gaji saya RM8,000, bukan main besar lagi. Tetapi saya dapat banyak kemudahan, saya tak merungut mengenai gaji saya. Nak naik, naik, tak naik tak apa. Cukuplah dapat. Bagi saya, kerajaan cukup murah hati. Sekarang ini pun murah hati kepada saya, saya dapat kakitangan, tolong saya apa semua, mereka tolong. Petronas pun berikan saya kakitangan, maka saya tak ada masalah nak buat kerja atau nak makan. Nak makan banyak mana.

BH: Lumrah hidup, bila kita di puncak, ramai kawan tetapi bila di bawah kawan hilang. Apa pengalaman Tun dalam hal ini?
DR M: Adalah, yang jenis itu pun ada. Bila tak jadi Perdana Menteri ini, ada yang tak hirau langsung, tak jumpa dengan saya pun tetapi saya terima. Setiap seorang ada yang betul-betul kawan, yang lain cuma berkawan untuk mendapat sesuatu. Maka bila tak boleh dapat dari saya, maka tak jumpa langsung. Kadang-kadang bila saya balik Alor Star ketika jadi Perdana Menteri dulu, beribu-ribu yang sambut saya tetapi dia sambut saya dengan sampul surat, dari negeri lain pun ada datang. Sekarang ini, bila saya balik Alor Star adalah yang rapat sikit, lima enam orang. Ada yang tak boleh
dapat apa dalam politik atau jawatan tak datang langsung.

BH: Berapa kerap Tun balik Alor Star?
DR M: Tak berapa kerap, saya balik tengok kakak saya. Tak ada apa di sana cuma rumah.

BH: Bila siap memoir ini?
DR M: Lambat sikit. Tak ada masa.

BH: Apakah bentuk memoir itu?
DR M: Orang bukan nak tahu mengenai saya sebagai manusia tetapi yang nampak, banyak orang tanya ialah soal bagaimana nak mentadbir dan membangun sebagai negara. Maka saya nak tumpu kepada perkara itu, cara kerajaan buat, bukan saja saya, tetapi yang kerajaan buat nak bagi jadi kerana kebanyakan orang tahu bahawa nak buat keputusan senang tetapi nak jadikan kenyataan, susah. Macam mana kita boleh buat keputusan untuk jadikan sebuah negara itulah yang banyak orang nak tahu. Seperti hubungan
kaum di Malaysia, unik. Macam mana Tunku mula hubungan kaum, kita bina pendekatan sendiri. Macam mana (Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan pada masa itu) Kadir Sheikh Fadzir buat sambutan rumah terbuka yang dihadiri semua kaum.

BH: Apakah ada kejutan dalam memoir itu?
DR M: Tak banyak, tetapi tentulah ada yang tersinggung kerana saya kena menyatakan yang benar. Pengalaman saya dalam politik dan pendapat saya bahawa, dalam politik tidak ada kawan dan musuh yang kekal. Kalau kita tolong orang, tidak semestinya kita ingat orang akan tolong kita. Bahkan bila kita tolong orang, ada yang tikam kita dari belakang. Ini realiti, saya terima hakikat itu tetapi saya nak kena ceritalah sedikit sebanyak pengalaman saya.

BH: Maksudnya, Tun tak akan sembunyi langsung?
DR M: Adalah yang kena sembunyi juga, jika tidak saya pergi mahkamah nanti. Secara umum saya boleh ceritalah.

BH: Tetapi rakyat dan generasi akan datang juga mahu tahu?
DR M: Mereka akan tahu. Saya ingat orang boleh teka siapa. Bila saya cerita orang tikam saya dari belakang, orang yang saya tolong naikkan tiba-tiba dia nak menjatuhkan saya. Saya tak ada tulis nama orang itu tetapi umum mengetahuinya.

BH: Apakah Tun capai semua hajat dalam kehidupan?
DR M: Banyak tetapi kita tidak boleh capai semua walaupun hidup 100 tahun.

BH: Apakah yang Tun terkilan kerana tidak boleh lakukan sehingga sekarang?
DR M: Terkilan sekali ialah nak ubah budaya orang Melayu dapat berjaya. Orang Melayu banyak berubah dan mencapai kemajuan tetapi masih ramai suka cari jalan mudah yang akan membawa mudarat. Pada zaman dulu pun orang Melayu menggadai negeri mereka kerana nak cari jalan mudah. Bukan orang putih berperang dengan kita ambil tanah, kita serah. Kita serah, dia bagi kepada kita payung kuning, kereta kuning, satu istana, ambillah negeri aku. Tetapi orang putih, dia kata dia tak ambil, dia cuma mentadbir.

BH: Tun baru baca semula The Malay Dilemma, berbezakah pendapat Tun sekarang?
DR M: Pendapat masih sama, analisis saya mengenai orang Melayu, kenapa kelemahan ada kepada mereka, masih sama. Tetapi perubahan ialah sebahagian daripada rancangan DEB sudahpun capai kejayaan. Dulu masa saya tulis The Malay Dilemma, kalau buka Straits Times dalam ruangan kenaikan pangkat eksekutif atau berpindah, tidak ada langsung nama Melayu. Dulu nak cari orang Melayu yang berjaya dalam bidang perniagaan juga susah. Sekarang ini ada kontraktor Melayu yang sanggup ke luar negara pun. Hari ini saya baca berapa banyak orang Melayu berjaya pergi ke sana, dia yang buat hidroelektrik, bina jalan. Masa saya dulu tak ada. Orang Melayu cukup hina dulu, tak ada apa. Masa ini ada orang Cina yang ambil orang Melayu sebagai rakan niaga kerana kebolehan, bukan kerana DEB.

BH: Apakah perubahan yang mungkin Tun akan lakukan pada The Malay Dilemma berikutan pencapaian itu?
DR M: Saya akan kembali melihat The Malay Dilemma untuk menganalisis keadaan berbanding sekarang. Apakah kejayaan yang dicapai dan persekitaran yang ada sekarang. Dulu persekitaran kemiskinan, tidak ada rasuah. Tetapi sekarang persekitaran kekayaan, tapi ada rasuah. Dulu tak ada rasuah kerana jika orang Melayu nak bagi, pun tak boleh. Dulu orang Melayu, kalau kita minta jadi calon pilihan raya, dia tak mahu, kata tak ada kebolehan, tak mahu, tak berani. Sekarang ini kalau boleh dia nak pijak kepala orang, boleh tak boleh tak kira, asalkan jadi sudah. Saya
sedar persekitaran mempengaruhi sifat kita. Bila miskin lain, bila kaya lain, bila susah lain, bila senang lain, orang itu juga. Sekarang ini anak orang sudah kaya, dia bagi wang saku RM50 atau RM100 sehari dan budak-budak ini tenggelam punca, dia tak tahu dunia ini susah, maka dia tak usaha cukup kuat untuk atasi masalah. Bila berhadapan dengan masalah dia tak tahu nak buat apa kerana baginya semuanya senang. Maka orang miskin pula dia tahu, kalau dia tak usaha dia tak dapat. Beza persekitarannya.

BH: Apakah ada banyak lagi perkara yang Tun ingin katakan ketika mengumumkan persaraan dulu pada Perhimpunan Agung Umno dulu?
DR M: Tak ada banyak, cuma nak umumkan nak letak jawatan. Malangnya saya tak boleh teruskan, ramai orang kerumun, Jika tidak tak panjang, saya cuma nak letak jawatan, nak serah kepada Pak Lah sebagai pengganti saya dan saya harap Umno akan terus seperti sedia kala, itu saja supaya peralihan kuasa itu lancar. Saya tidak mahu ada masalah, itu saja yang saya nak kata. Tak ada cerita nak kata saya kecewa atau apa. Saya sudah tentukan mahu bersara pada 1998 selepas Sukan Komanwel tetapi masalah
berlaku dan saya tak dapat letak masa tu. Kemudian jadi macam-macam, Umno berpecah, orang tak percaya kepada kerajaan, ekonomi bermasalah, maka saya bertanggungjawab untuk memperbetulkan semua ini. Bila Umno dah pulih semula, ekonomi pun dah pulih dan keadaan sudah stabil, maka masa itu saya letak jawatan. Saya hendak pada 2002, itu sebab kita pun dah menang pilihan raya dan ekonomi pun baik maka kenalah masanya untuk saya letak jawatan, saya umumlah. Tetapi bila minta saya tunggu dan untuk licinkan peralihan dan juga kerana ramai orang asing dari Komanwel dan NAM yang
mahu saya terus jadi Perdana Menteri ketika mesyuarat, maka saya tunggu sehingga habis sidang kemuncak OIC.

BH: Masa jumpa Tun sebagai Perdana Menteri, Tun kelihatan serius?
DR M: Kalau anda dengar mesyuarat Kabinet bila saya jadi Perdana Menteri, ketawa sepanjang masa.

BH: Pengalaman kami ketika mengikuti Tun, hampir tidak pernah Tun memanggil nama wartawan. Apakah Tun memang sengaja berbuat demikian?
DR M: Saya ingat nama beberapa orang saja. Muka saya kenal tetapi nama tidak. Itu salah satu kelemahan saya, saya tak ingat nama.

BH: Tidak seperti menteri lain, Tun juga dilihat jarang bergurau dengan wartawan.
DR M: Kadang-kadang saya perli juga wartawan, saya kata juga. Tetapi bila anda tanya soalan serius, saya jawab semua. Jarang ada soalan saya tak jawab.

BH: Apakah Tun sengaja tangguhkan rombakan Kabinet bila wartawan membuat spekulasi?
DR M: Sebenarnya jika anda perhatikan, bila saya menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun saya jarang buat rombakan Kabinet. Lainlah kalau ada kematian atau sebab lain kerana ada keperluan untuk saya tambah. Cuma Kabinet dibentuk selepas pilihan raya, selepas itu tak ada perubahan. Jika seseorang menteri itu saya dapati boleh melaksanakan tugas, saya tak buang walaupun kadang-kadang kita mendapati orang yang berkebolehan itu menentang saya dan cuba menjatuhkan saya. Tetapi saya pandang kepada
kebolehan, jika dia boleh teruskan, tak apalah, saya lantik dia. Ramai dalam Kabinet itu, anda tahulah masa Tengku Razaleigh nak jatuhkan saya, dia masih ada dalam Kabinet. Saya tidak berat sebelah kalau dia. Orang yang bekerja dengan saya, jarang saya buang. Kalau anda lihat ketua keselamatan saya masih sama, duduk dengan saya dah 20 tahun. Lepas saya berhenti dia dengan saya juga. Saya berpendapat, jika anda tukar orang anda ada masalah nak sesuaikan diri dia dengan kita dan kita dengan
dia, maka jadi masalah. Kalau sudah biasa seperti orang kata "better the devil you know than the angel you don't" maka saya amalkan pendapat seperti itu. Sebab itu saya boleh tahan dengan orang, yang ramai kata, orang ini buanglah. Sebab itu bila saya rasa perlu saya nak tukar, saya tukar, sama ada orang buat ramalan, buat lah, saya tak boleh hentikan.

BH: Tapi, kalau tak silap, Tun pernah tukar tarikh pilihan raya bila kami buat spekulasi?
DR M: Yalah, pandai sangat - hari cuti, hari minggu. Semua ini anda dah tahu, kenalah ubah.

Ghazali beri nama Malaysia


Sembang Sabtu: Tun Mohd Ghazali Shafie (BH: 24/9/2005)

SAYA yang ubah nama Persekutuan Tanah Melayu kepada Malaysia, kata bekas Menteri Luar, Tun Mohd Ghazali Shafie, apabila ditanya mengenai sumbangan besarnya kepada negara yang mungkin ramai tidak mengetahui.

Selepas 42 tahun pembentukan Malaysia ditubuhkan negeri di Semenanjung bergabung dengan Sabah, Sarawak dan Singapura pada 16 September 1963, akhirnya beliau mengakui bertanggungjawab menukar nama negara seperti yang dikenali sekarang.

Ketika itu, Ghazali adalah seorang daripada empat anggota Suruhanjaya Cobbold di bawah Lord Cobbold yang terbabit secara langsung dalam penubuhan Persekutuan Malaysia. Tiga lagi anggota suruhanjaya itu ialah bekas Speaker Dewan Rakyat, Allahyarham Tun Dr Mohamed Zahir Ismail dan dua wakil British.

Kini dalam usia 83 tahun, semangat perjuangannya masih kental. Malah, setiap tahun sejak merdeka beliau meraikan peristiwa sejarah itu, Ghazali masih ternanti-nantikan detik 12 malam pada 31 Ogos lalu, seolah-olah itulah kali pertama beliau mengalaminya

Namun, ketika ditemui baru-baru ini, beliau seolah-olah memendam rasa sayu apabila melihat cara ulang tahun kemerdekaan disambut generasi sekarang.

"Rasa sakit di sini," katanya sambil mengarahkan tangannya yang menggeletar ke tengah dada, seolah-olah hatinya tercalar dan sakitnya bukan kepalang. Sambutan kemerdekaan sekarang sudah jauh menyimpang," katanya.

Bagi Ghazali sambutan hari pembebasan negara daripada belenggu penjajah itu sudah bertukar menjadi pesta konsert di merata tempat di seluruh negara yang disiarkan secara langsung di televisyen, bukan lagi hari bagi menginsafi perjuangan kemerdekaan.

Beliau yang dipertanggungjawab merangka Rukun Negara pada 1970 juga menyatakan rasa kesalnya kerana generasi sekarang tidak lagi mengenali ikrar itu, apalagi menghayatinya.

Suka marah wartawan

Sembang Sabtu: Tun Mohd Ghazali Shafie (BH:24/09/2005)

SUKAR. Itulah gambaran paling tepat bagi tugasan dan personaliti Sembang Sabtu kali ini - dari menetapkan tarikh temu bual hinggalah menemubual beliau, segalagalanya sukar.

Walaupun sudah lama bersara daripada politik, Tun Mohd Ghazali Shafie masih seperti dulu, tegas dan garang, sikap yang menyebabkan beliau mendapat gelaran `King Ghaz', lebih-lebih lagi selepas beliau terselamat daripada nahas pesawat dulu.

Beliau masih gemar menjadikan wartawan sebagai mangsa dan itulah yang dialami sendiri penulis. Cuma pada usia 83 tahun ini, bekas Menteri Luar yang terkenal dan mungkin ditakuti di dalam dan luar negara itu sudah kurang berbisa.

"Awak tak baca lagi buku sejarah itu, awak minta saya ceritakan pula," jawab beliau ringkas setiap kali diajukan soalan mengenai pembabitan beliau dalam sejarah negara. Dari satu tajuk ke satu tajuk lain, jawapan diterima tetap sama.

Beberapa rakan senior penulis sudah awal-awal lagi memberi peringatan mengenai sikap Ghazali. Kata mereka, wartawan bukan saja diherdik tetapi ada yang disuruh pulang kerana tidak arif latar belakang sesuatu isu yang diajukan kepada beliau.

"Kami tahu secara ringkas kisah rasmi yang terkandung dalam buku sejarah, tetapi kami ingin tahu apa yang berlaku di sebalik tabir," kata penulis cuba memujuk Ghazali. Tetapi jawapan yang diterima tetap hampa: "Tak ada apa di sebalik tabir."

"Ada apa lagi nak tanya, sudahlah tu saya tak ada benda nak cerita lagi," katanya. "Saya tidak boleh cakap banyak sangat, penat," tambah beliau yang jelas membayangkan keinginan untuk menamatkan temu bual itu.

Tetapi jam baru saja menunjukkan 10.10 pagi, iaitu hanya 10 minit masa berlalu.

Penulis berusaha menyelamatkan temu bual itu dengan bertanyakan mengenai isu semasa berhubung tindakan pemimpin DAP menyatakan Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, yang kononnya turut berjasa mendapatkan kemerdekaan negara.

Ghazali yang sememangnya terbabit langsung dalam usaha kerajaan memerangi pengganas komunis ketika menjadi Menteri Dalam Negeri, sudah tentu akan memberi ulasan panjang lebar, tetapi sangkaan itu meleset apabila beliau sekadar berkata polis sudah pun membuat kenyataan, termasuk berhubung gesaan supaya Chin Peng dibenarkan kembali ke
kampungnya.

Namun, beliau menyambung cerita dengan berkata semua kenyataan yang cuba mengubah fakta sejarah itu berlaku kerana orang ramai kini sudah lupa sejarah dan tidak lagi mempedulikan Rukun Negara yang beliau gubal pada 1970.

"Dalam lima tahun pertama merdeka, kita diserang hendap komunis dan lima tahun kemudian kita pula serang komunis. Orang tak ikut Rukun Negara itulah jadinya. Kepercayaan kepada Tuhan... komunis gesa orang ramai supaya tidak percayakan Tuhan, dapatkan kuasa menerusi revolusi, itu tak bolehlah.

"Sebab itu kerajaan sekarang tekankan kepada pelajaran. Kalau ada pelajaran tak lakulah cerita macam Ayah Pin itu. Kalau ada pelajaran tak adalah orang ikut Ayah Pin," kata beliau bersemangat.

Penulis sengaja menguji pula Ghazali dengan menyatakan bahawa ada pengikut Ayah Pin golongan profesional yang terpelajar dan beliau segera menjawab: "Golongan terpelajar itu tak cukup ilmunya, dia belajar separuh jalan saja."

Untuk meneruskan temu bual yang sukar itu sekali lagi dibangkitkan kisah pemisahan Singapura daripada Persekutuan Malaysia yang memang menjadi topik kesukaan Ghazali. Di atas meja makan tempat kami bersembang terletak beberapa buku sejarah, termasuk "The Singapore Story: Memoirs of Lee Kuan Yew".

"Tengok surat Tunku... awak tak baca surat itu lagi macam mana nak tanya saya. Dia ni tak baca lagi dia tanya kita," kata Ghazali kepada rakan jurugambar yang sedang sibuk mendapatkan sudut menarik bagi merakam gambar beliau.

Ghazali kemudian mengarahkan cucunya, Nizam, yang sebelum ini dipanggil supaya duduk mendengar perbincangan mengenai sejarah Malaysia supaya mengambil buku itu dan beliau menyelak halaman yang sudah pun beliau tanda untuk menunjukkan sedutan surat itu dengan perkataan `delayed action' digaris.

Dalam kepayahan beliau menjelaskan maksud `delayed action' itu, sempat juga beliau menyergah jurugambar yang asyik merakam aksi beliau memegang buku itu.

"Apa ni, tangan saya pun nak ambil jugakah." "Jangan garang sangat Aki... kata orang sekarang tak tahu sejarah, macam mana nak dapat ilmu kalau asyik kena marah bila tanya soalan," kata seorang lagi cucunya, Farah, sambil meminta kepastian mengenai kursus dan universiti penulis.

"Sains politik tetapi tak habis baca buku ni macam mana?," kata Ghazali tetap tidak mahu mengalah.

"Siapalah ada masa macam Aki untuk habis baca buku dalam sehari dua...Simpanlah buku Kuan Yew itu pening tengok buku tu," kata Farah sekali lagi menyelamatkan penulis.

"Dari dulu lagi, budak-budak (wartawan) ini dah lama tahu. Dari dulu dah kena marah, dia saja belum kena marah," jawab King Ghaz untuk menunjukkan sikapnya itu adalah perkara biasa bagi wartawan.

Ghazali berkata, beliau tidak lagi mengikuti perkembangan politik semasa kerana tidak mendapat maklumat. "Tak ada, politik pun saya dah lama tinggal," katanya.

"Tapi Tun baca surat khabar," kata penulis cuba menolak hujah beliau.

"Bacalah, surat khabar awak pun baca, semua baca," jawab beliau.

"Bukan boleh percaya dengan awak semua tu, saya tak percaya dengan budak-budak ni (wartawan) menulis ni. Dia tulis idea dia saja, idea pun pendek aje. Bila baca, macam pergolakan di Selatan Thailand, untuk Thailand saja. Tak ada analisis, laporan saja... saya tak suka, tak cukup ilmu," katanya yang suka mengikuti siaran CCTV yang disifatkan bebas daripada propaganda Amerika dan Barat.

Beliau juga teringin untuk mengulas sesuatu isu apabila membaca laporannya.

"Berasa juga tapi pada siapa nak beri. Macam isu Chin Peng kata nak balik, berasa nak cakap tapi kepada siapa nak cakap," katanya sambil menambah banyak lagi perkembangan semasa yang membuatkan beliau risau.

"Apa lagi yang Aki risau? Akademi Fantasia? Mawi?" soal Farah.

"Itu semua buat saya susah hati, sayu. Dulu orang sanjung pemimpin, sekarang orang sanjung Mawi, siap sorak `World', sanjung artis saja. Dulu orang sanjung menteri.

"Cucu cicit pun kena marah, tanya sejarah langsung tak tahu tetapi menyanyi Hindustan pandai bukan main. Nizam yang awak baca itu apa, (komik) Pedang Ghaib," kata Ghazali.

Farah mengakui datuknya kecewa kerana orang ramai, termasuk cucu dan cicitnya sendiri, kurang berminat dengan sejarah.

Farah berkata, keadaan ini mungkin kerana buku sejarah yang menjadi teks di sekolah hanya menumpukan kepada bekas Perdana Menteri dan hanya menyentuh sejarah Suruhanjaya Cobbold sepintas lalu, sekadar dua muka surat bersama gambar anggota suruhanjaya itu.

"Tak sampai satu setengah muka surat pun," celah Ghazali, seolah-olah menyuarakan perasaan yang dipendam selama ini.

Perbualan kami terhenti selepas Ghazali yang baru-baru ini dimasukkan ke hospital kerana terjatuh dalam bilik air menyatakan tidak sanggup lagi duduk di kerusinya itu. Beliau meminta penulis kembali lagi tetapi kesibukannya sepanjang sambutan Bulan Kemerdekaan tidak memungkinkan temu bual kedua.

PROFIL TUN MOHD GHAZALI SHAFIE
* Tempat lahir: Kuala Lipis, Pahang
* Tarikh lahir: 22 Mac 1922
* Isteri: Toh Puan Khatijah Abdul Majid
* Anak: Bachtiaer dan Sheriffudin
* Pendidikan Sekolah Melayu Raub, Pahang (1928) Sekolah Melayu Kuala
Lipis (1929) Sekolah Melayu Bentong (1930) Sekolah Melayu Penjum (1931)
Sekolah Inggeris Raub (1932-1939) Sekolah Clifford, Kuala Lipis
(1939-1940) Raffles College, Singapura (1941) University College of
Wales, Aberystwyth, Wales (1948-1951) Oxford University, England (1953)
London School of Economics and Political Science, London (1953)
* Kerjaya 1941: Anggota Malayan Volunteer Force No.17317
1944-1945: Anggota Force 136, South East Asia Command Officer dan
Anti-Japanese Resistance Movement
1945-1946: Anggota 757 Field Security Section
1946-1948: Timbalan Pembantu Pegawai Daerah Lipis
1951-1952: Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan
1955: Berkhidmat di Suruhanjaya Tinggi Malaya di London dan Suruhanjaya
Tinggi British di New Delhi, India
1956: Wakil Tetap di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
1957: Pesuruhjaya Malaya di New Delhi, India, Timbalan Setiausaha Tetap
Kementerian Luar
1959-1970: Setiausaha Tetap Kementerian Luar
1961: Pegawai Projek bagi pembentukan Malaysia
1962: Anggota Suruhanjaya Cobbold bagi pembentukan Malaysia
1969-1971: Anggota Majlis Gerakan Negara dan Majlis Perundingan
Kebangsaan September
1970-1972: Senator September 1970: Menteri Tugas Khas (Perancangan
Ekonomi) Januari
1972: Menteri Penerangan
1972-1973: Menteri Tugas Khas
1973-1981: Menteri Dalam Negeri
1973-1974: Menteri Penerangan (portfolio tambahan)
1981-1984: Menteri Luar
1984: Visiting Profesor, National University of Singapore.
Februari 1989: Pengerusi Majlis Perunding Ekonomi Kebangsaan (NECC)
1991: Perunding Kanan Pusat PBB Mengenai Kerjasama Antarabangsa di New
York.
1998-2000: Profesor Fakulti Sains Kemasyarakatan, Universiti Kebangsaan
Malaysia
* Politik
1958-1978: Anggota Jawatankuasa Politik Umno
1971-1984: Anggota Majlis Tertinggi Umno
1972: Ketua Bahagian Umno Pahang Barat
1972-1986: Ahli Parlimen Lipis, Pahang.
1981: Naib Presiden Umno
2001: Anggota Lembaga Disiplin Umno

`Tunku tak mahu Singapura dalam Malaysia'

Sembang Sabtu: Tun Mohd Ghazali Shafie (BH: 24/09/2005)

`KENAPA Singapura dikeluarkan daripada Malaysia? Jawapan Tun Mohd Ghazali Shafie mudah saja - baca buku sejarah. Katanya surat Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra sudah menjelaskannya.

"Bukannya sebab kayap itu walaupun orang kata sebab kayap... Tak ada di sebalik tabir, tak ada sebab lain," katanya.

Ghazali berkata, Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri tidak mempunyai pilihan lain selain mengeluarkan Singapura daripada Malaysia kerana suasana politik masa itu.

Katanya, Tunku menggunakan perkataan `delayed action' dalam suratnya bagi menunjukkan perpisahan itu hanya boleh ditangguh.

"Memang dia berkehendakkan perkara itu terjadi, cuma dia boleh tangguh... maknanya dalam hatinya Singapura itu mesti keluar dari Malaysia," katanya.

Apabila diaju sekali lagi soalan lain dengan maksud sama, Ghazali dengan nada tegas berkata: "Tunku memang tak mahu Singapura dalam Malaysia, dia cuma boleh tangguh saja."

Beliau kemudian menyambung dengan soalan ini. "Lee Kuan Yew nak ambil Johor dulu, tapi dia boleh tahankah. Saya nak tanya awak balik?"

"Tidak!" jawab penulis. "Tidak, diam-diam sajalah. Dia tak boleh tahan kalau kita serang dia balik," katanya tanpa mengulas lanjut apa yang dimaksudkannya itu.

Ghazali kemudian mengajukan lagi satu persoalan yang dijawabnya sendiri.

"Singapura dapat kemerdekaan daripada siapa? Dia bukan dapat dari orang putih tetapi Malaysia.

Tetapi Lee Kuan Yew cakap dia dapat kemerdekaan daripada British... di situ dia menulis semula sejarah," katanya merujuk memoir yang dikarang bekas Perdana Menteri republik itu yang masih ditelitinya sehingga kini.

Mengapa Tunku menerima kemasukan Singapura? Jawapan Ghazali kali ini sama seperti yang dinyatakan dalam kebanyakan buku sejarah, iaitu Singapura akan berada di bawah pemerintahan komunis jika ia tidak menyertai Malaysia.

"Kalau orang putih bagi Singapura merdeka, sudah jadi komunis di bawah (Semenanjung) tu, kita tak tahanlah, kalau dalam negara kita, tahulah apa kita nak buat," katanya lega kerana penulis tidak mempertikaikan jawapannya itu.

Namun, apabila dinyatakan pandangan profesor sains politik Universiti Bishop, Kanada, yang dinyatakan kepada penulis dulu bahawa Tunku Abdul Rahman membuat keputusan yang betul apabila menyingkir Singapura kerana mahu menyelamatkan kekuatan politik Melayu daripada dihakis pengaruh PAP, Ghazali kembali bertegas.

"Awak ada baca berapa kerusi (Parlimen) Singapura dapat. Takkan kerusi Singapura sampai dapat perintah Malaysia," katanya.

"Tetapi pengaruh PAP mula berkembang dari sana," kata penulis."

"Tak ada, mana ada pengaruh," jawab Ghazali.

"Tunku tahu Singapura tak boleh perintah Malaysia tetapi orang Melayu sana menentang Umno, kenapa? Kenapa orang Melayu Singapura menentang Tunku, anda beritahu saya kenapa?" soal beliau.

"Tak tahu," jawab penulis.

"Tak tahu pula," balas Ghazali. "Pasalnya orang Singapura dah kecek orang Melayu Singapura, PAP dah kecek orang Melayu Singapura, dia kata sekolah semua diberi kepada orang Melayu. Itulah sebabnya, kalau orang Melayu di sana tidak ada taat setia kepada Tunku, tak gunalah."

Apabila dikatakan mungkin itu yang dibimbangkan Tunku Abdul Rahman akan berlaku kepada orang Melayu di Semenanjung, Ghazali menegaskan: "Itu sana saja, orang Melayu sini tak akan dapat dipengaruhi PAP."