Tuesday, October 10, 2006

Indonesia Kesal - Duta

KUALA LUMPUR: Indonesia semalam menyatakan kekesalannya terhadap kesulitan yang terpaksa ditanggung rakyat Malaysia sejak minggu lalu berikutan jerebu yang berpunca daripada kebakaran hutan dan ladang di Kalimantan dan Sumatera.

Pada masa sama, Jakarta sedang menyiasat mereka yang bertanggungjawab membakar kawasan hutan dan ladang berkenaan, termasuk syarikat perladangan Malaysia, untuk dihadapkan ke mahkamah.

Duta Besar Indonesia ke sini, Drs KPH Rusdihardjo, berkata pemerintah Indonesia sedang berusaha sedaya upaya untuk mengawal dan memadamkan kebakaran di wilayahnya yang juga disebabkan “fenomena alam yang sulit”.

“Kami mengakui ramai penduduk Malaysia kecewa dengan Indonesia kerana sampai saat ini kami masih tidak mampu memadam kebakaran itu.

“Percayalah pemerintah Indonesia sedang berusaha keras...Kami menyesali dengan apa yang berlaku,” katanya kepada Berita Harian ketika dihubungi petang semalam.

Beliau mengulas pendirian Indonesia berhubung peningkatan sentimen kurang senang rakyat Malaysia berikutan berulangnya kejadian jerebu akibat pembakaran hutan dan ladang di negara itu dan tindakan Jakarta bagi memastikan ia tidak berulang.

Petang semalam, Pergerakan Pemuda Umno mengemukakan memorandum kepada Kedutaan Indonesia di sini bagi menyatakan kemarahan rakyat Malaysia serta gesaan supaya negara itu segera mengatasi pembakaran hutan dan ladang.

Kelmarin, DAP mengemukakan memorandum kepada Kedutaan Indonesia bagi membantah penurunan kualiti udara di Malaysia akibat kebakaran itu.

Namun, majlis itu agak tegang apabila wakil Indonesia dikatakan membuat kenyataan berikut: “Apabila kami eksport oksigen, anda tidak berkata apa-apa. Apabila kami eksport kabut, anda bising.”

Diminta mengulas perkara itu, Rusdihardjo yang baru pulang dari Jakarta malam kelmarin kerana urusan rasmi berharap semua pihak dapat mengawal emosi.

“Marilah kita sama-sama berusaha menangani masalah ini,” katanya.

Mengenai arahan terbaru Jakarta kepada beliau berhubung masalah jerebu itu, Rusdihardjo berkata beliau akan menyampaikannya kepada pihak Malaysia kelak.

Ditanya nama syarikat Malaysia yang akan didakwa kerana terbabit dalam pembakaran hutan dan ladang itu, Rusdihardjo berkata beliau belum boleh berbuat demikian kerana siasatan masih dijalankan.

“Kami berpegang kepada konsep seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah,” katanya.

Beliau berkata, Jakarta sudah bersetuju menghantar wakil ke perjumpaan peringkat menteri Asean di Singapura dan berharap ia dapat diadakan segera.

Kerajaan Indonesia dikritik kerana masih belum memeterai Perjanjian Asean Mengenai Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan yang dipersetujui pada 2002 untuk memudahkan semua negara anggota Asean melaksanakan langkah bersepadu bagi menangani masalah jerebu.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home