Thursday, October 05, 2006

'Golf bukan sukan tetapi kegiatan tunjuk kekayaan'

Sembang Sabtu: Prof Diraja Ungku Aziz (BH: 02/04/2005)

"SAYA tidak jadi mana-mana ahli kelab. Saya tak main golf, ia hanya membazir masa," kata Prof Diraja Ungku Aziz dengan bangga. Bagi Pak Ungku, keanggotaan kelab golf bukan perkara yang patut dibanggakan.

Malah, beliau menyifatkan golf bukan sukan tetapi kegiatan untuk menunjuk-nunjuk kekayaan.

"Golf tidak memberikan anda sebarang senaman, ini perkara benar. Kalau anda nak senaman, anda perlu berjalan dengan laju atau menggerakkan badan dengan laju dan anda perlu bersenam secara sistematik supaya peluh dapat keluar," katanya.

Bagi Pak Ungku, golf adalah mengenai bagaimana orang kaya membelanjakan wang dan bertaruh, tetapi malangnya ia sudah dianggap sebagai syarat untuk naik pangkat.

"Saya tidak pernah main golf seumur hidup saya. Ada orang pernah cakap dengan saya, dia orang besar tetapi sudah arwah, 'you tak main golf, you tak boleh naik pangkat' dan saya katakan 'jika saya dapat naik pangkat berdasarkan saya main golf, maka saya akan bekerja di tempat lain, saya akan pergi ke negara lain'," katanya.

Lebih malang lagi, kata Pak Ungku, kalangan ahli korporat kini menyangka golf adalah segala-galanya dan jika seseorang itu tidak bermain golf, maka ia dianggap sebagai antisosial dan orang yang gagal dalam hidup.

"Saya boleh lakukan kerja saya tanpa perlu main golf. Jika orang nak cabar saya dalam soal berfikir, saya boleh hadapi sesiapa saja dalam apa-apa bahasa yang boleh saya cakap. Saya tidak takut, saya tidak perlu main golf untuk menjadi seorang yang berjaya," katanya.

Biarpun berjaya dalam kariernya sebagai ahli akademik terkemuka, Pak Ungku tidak mahu dirinya disanjung keterlaluan sehingga ada yang taksub dengannya. Sebaliknya, beliau lebih suka dilayan sebagai anggota biasa masyarakat dan bebas untuk pergi ke mana-mana saja.

Malah, beliau sendiri menentang cadangan menamakan ibu pejabat Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) di Kelana Jaya sebagai Wisma Ungku Aziz kerana tidak mahu namanya diabadikan kepada sesuatu bangunan untuk dikenali umum.

"Itulah cara hidup saya, saya cukup gembira. Saya boleh ke Tumpat dan keluar dari kereta orang sapa, 'lu universiti punya orang ka?', orang terus kenal. Malah, ada ribuan graduan yang kenal saya dan bila selisih di jalan mereka sapa 'Prof', saya gembira," katanya.

Sifat kesederhanaan ini dipraktikkan Pak Ungku dalam memilih tempat tinggalnya. Walaupun mampu memiliki banglo, beliau memilih apartmen sebagai kediamannya kerana praktikal dan selamat.

"Saya tak ada pengawal peribadi dan saya tidak pernah membawa senjata. Jika saya kena pertahan diri, saya cucuk mata, itu pertahanan saya," katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home