Wednesday, October 04, 2006

Suka marah wartawan

Sembang Sabtu: Tun Mohd Ghazali Shafie (BH:24/09/2005)

SUKAR. Itulah gambaran paling tepat bagi tugasan dan personaliti Sembang Sabtu kali ini - dari menetapkan tarikh temu bual hinggalah menemubual beliau, segalagalanya sukar.

Walaupun sudah lama bersara daripada politik, Tun Mohd Ghazali Shafie masih seperti dulu, tegas dan garang, sikap yang menyebabkan beliau mendapat gelaran `King Ghaz', lebih-lebih lagi selepas beliau terselamat daripada nahas pesawat dulu.

Beliau masih gemar menjadikan wartawan sebagai mangsa dan itulah yang dialami sendiri penulis. Cuma pada usia 83 tahun ini, bekas Menteri Luar yang terkenal dan mungkin ditakuti di dalam dan luar negara itu sudah kurang berbisa.

"Awak tak baca lagi buku sejarah itu, awak minta saya ceritakan pula," jawab beliau ringkas setiap kali diajukan soalan mengenai pembabitan beliau dalam sejarah negara. Dari satu tajuk ke satu tajuk lain, jawapan diterima tetap sama.

Beberapa rakan senior penulis sudah awal-awal lagi memberi peringatan mengenai sikap Ghazali. Kata mereka, wartawan bukan saja diherdik tetapi ada yang disuruh pulang kerana tidak arif latar belakang sesuatu isu yang diajukan kepada beliau.

"Kami tahu secara ringkas kisah rasmi yang terkandung dalam buku sejarah, tetapi kami ingin tahu apa yang berlaku di sebalik tabir," kata penulis cuba memujuk Ghazali. Tetapi jawapan yang diterima tetap hampa: "Tak ada apa di sebalik tabir."

"Ada apa lagi nak tanya, sudahlah tu saya tak ada benda nak cerita lagi," katanya. "Saya tidak boleh cakap banyak sangat, penat," tambah beliau yang jelas membayangkan keinginan untuk menamatkan temu bual itu.

Tetapi jam baru saja menunjukkan 10.10 pagi, iaitu hanya 10 minit masa berlalu.

Penulis berusaha menyelamatkan temu bual itu dengan bertanyakan mengenai isu semasa berhubung tindakan pemimpin DAP menyatakan Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, yang kononnya turut berjasa mendapatkan kemerdekaan negara.

Ghazali yang sememangnya terbabit langsung dalam usaha kerajaan memerangi pengganas komunis ketika menjadi Menteri Dalam Negeri, sudah tentu akan memberi ulasan panjang lebar, tetapi sangkaan itu meleset apabila beliau sekadar berkata polis sudah pun membuat kenyataan, termasuk berhubung gesaan supaya Chin Peng dibenarkan kembali ke
kampungnya.

Namun, beliau menyambung cerita dengan berkata semua kenyataan yang cuba mengubah fakta sejarah itu berlaku kerana orang ramai kini sudah lupa sejarah dan tidak lagi mempedulikan Rukun Negara yang beliau gubal pada 1970.

"Dalam lima tahun pertama merdeka, kita diserang hendap komunis dan lima tahun kemudian kita pula serang komunis. Orang tak ikut Rukun Negara itulah jadinya. Kepercayaan kepada Tuhan... komunis gesa orang ramai supaya tidak percayakan Tuhan, dapatkan kuasa menerusi revolusi, itu tak bolehlah.

"Sebab itu kerajaan sekarang tekankan kepada pelajaran. Kalau ada pelajaran tak lakulah cerita macam Ayah Pin itu. Kalau ada pelajaran tak adalah orang ikut Ayah Pin," kata beliau bersemangat.

Penulis sengaja menguji pula Ghazali dengan menyatakan bahawa ada pengikut Ayah Pin golongan profesional yang terpelajar dan beliau segera menjawab: "Golongan terpelajar itu tak cukup ilmunya, dia belajar separuh jalan saja."

Untuk meneruskan temu bual yang sukar itu sekali lagi dibangkitkan kisah pemisahan Singapura daripada Persekutuan Malaysia yang memang menjadi topik kesukaan Ghazali. Di atas meja makan tempat kami bersembang terletak beberapa buku sejarah, termasuk "The Singapore Story: Memoirs of Lee Kuan Yew".

"Tengok surat Tunku... awak tak baca surat itu lagi macam mana nak tanya saya. Dia ni tak baca lagi dia tanya kita," kata Ghazali kepada rakan jurugambar yang sedang sibuk mendapatkan sudut menarik bagi merakam gambar beliau.

Ghazali kemudian mengarahkan cucunya, Nizam, yang sebelum ini dipanggil supaya duduk mendengar perbincangan mengenai sejarah Malaysia supaya mengambil buku itu dan beliau menyelak halaman yang sudah pun beliau tanda untuk menunjukkan sedutan surat itu dengan perkataan `delayed action' digaris.

Dalam kepayahan beliau menjelaskan maksud `delayed action' itu, sempat juga beliau menyergah jurugambar yang asyik merakam aksi beliau memegang buku itu.

"Apa ni, tangan saya pun nak ambil jugakah." "Jangan garang sangat Aki... kata orang sekarang tak tahu sejarah, macam mana nak dapat ilmu kalau asyik kena marah bila tanya soalan," kata seorang lagi cucunya, Farah, sambil meminta kepastian mengenai kursus dan universiti penulis.

"Sains politik tetapi tak habis baca buku ni macam mana?," kata Ghazali tetap tidak mahu mengalah.

"Siapalah ada masa macam Aki untuk habis baca buku dalam sehari dua...Simpanlah buku Kuan Yew itu pening tengok buku tu," kata Farah sekali lagi menyelamatkan penulis.

"Dari dulu lagi, budak-budak (wartawan) ini dah lama tahu. Dari dulu dah kena marah, dia saja belum kena marah," jawab King Ghaz untuk menunjukkan sikapnya itu adalah perkara biasa bagi wartawan.

Ghazali berkata, beliau tidak lagi mengikuti perkembangan politik semasa kerana tidak mendapat maklumat. "Tak ada, politik pun saya dah lama tinggal," katanya.

"Tapi Tun baca surat khabar," kata penulis cuba menolak hujah beliau.

"Bacalah, surat khabar awak pun baca, semua baca," jawab beliau.

"Bukan boleh percaya dengan awak semua tu, saya tak percaya dengan budak-budak ni (wartawan) menulis ni. Dia tulis idea dia saja, idea pun pendek aje. Bila baca, macam pergolakan di Selatan Thailand, untuk Thailand saja. Tak ada analisis, laporan saja... saya tak suka, tak cukup ilmu," katanya yang suka mengikuti siaran CCTV yang disifatkan bebas daripada propaganda Amerika dan Barat.

Beliau juga teringin untuk mengulas sesuatu isu apabila membaca laporannya.

"Berasa juga tapi pada siapa nak beri. Macam isu Chin Peng kata nak balik, berasa nak cakap tapi kepada siapa nak cakap," katanya sambil menambah banyak lagi perkembangan semasa yang membuatkan beliau risau.

"Apa lagi yang Aki risau? Akademi Fantasia? Mawi?" soal Farah.

"Itu semua buat saya susah hati, sayu. Dulu orang sanjung pemimpin, sekarang orang sanjung Mawi, siap sorak `World', sanjung artis saja. Dulu orang sanjung menteri.

"Cucu cicit pun kena marah, tanya sejarah langsung tak tahu tetapi menyanyi Hindustan pandai bukan main. Nizam yang awak baca itu apa, (komik) Pedang Ghaib," kata Ghazali.

Farah mengakui datuknya kecewa kerana orang ramai, termasuk cucu dan cicitnya sendiri, kurang berminat dengan sejarah.

Farah berkata, keadaan ini mungkin kerana buku sejarah yang menjadi teks di sekolah hanya menumpukan kepada bekas Perdana Menteri dan hanya menyentuh sejarah Suruhanjaya Cobbold sepintas lalu, sekadar dua muka surat bersama gambar anggota suruhanjaya itu.

"Tak sampai satu setengah muka surat pun," celah Ghazali, seolah-olah menyuarakan perasaan yang dipendam selama ini.

Perbualan kami terhenti selepas Ghazali yang baru-baru ini dimasukkan ke hospital kerana terjatuh dalam bilik air menyatakan tidak sanggup lagi duduk di kerusinya itu. Beliau meminta penulis kembali lagi tetapi kesibukannya sepanjang sambutan Bulan Kemerdekaan tidak memungkinkan temu bual kedua.

PROFIL TUN MOHD GHAZALI SHAFIE
* Tempat lahir: Kuala Lipis, Pahang
* Tarikh lahir: 22 Mac 1922
* Isteri: Toh Puan Khatijah Abdul Majid
* Anak: Bachtiaer dan Sheriffudin
* Pendidikan Sekolah Melayu Raub, Pahang (1928) Sekolah Melayu Kuala
Lipis (1929) Sekolah Melayu Bentong (1930) Sekolah Melayu Penjum (1931)
Sekolah Inggeris Raub (1932-1939) Sekolah Clifford, Kuala Lipis
(1939-1940) Raffles College, Singapura (1941) University College of
Wales, Aberystwyth, Wales (1948-1951) Oxford University, England (1953)
London School of Economics and Political Science, London (1953)
* Kerjaya 1941: Anggota Malayan Volunteer Force No.17317
1944-1945: Anggota Force 136, South East Asia Command Officer dan
Anti-Japanese Resistance Movement
1945-1946: Anggota 757 Field Security Section
1946-1948: Timbalan Pembantu Pegawai Daerah Lipis
1951-1952: Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan
1955: Berkhidmat di Suruhanjaya Tinggi Malaya di London dan Suruhanjaya
Tinggi British di New Delhi, India
1956: Wakil Tetap di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
1957: Pesuruhjaya Malaya di New Delhi, India, Timbalan Setiausaha Tetap
Kementerian Luar
1959-1970: Setiausaha Tetap Kementerian Luar
1961: Pegawai Projek bagi pembentukan Malaysia
1962: Anggota Suruhanjaya Cobbold bagi pembentukan Malaysia
1969-1971: Anggota Majlis Gerakan Negara dan Majlis Perundingan
Kebangsaan September
1970-1972: Senator September 1970: Menteri Tugas Khas (Perancangan
Ekonomi) Januari
1972: Menteri Penerangan
1972-1973: Menteri Tugas Khas
1973-1981: Menteri Dalam Negeri
1973-1974: Menteri Penerangan (portfolio tambahan)
1981-1984: Menteri Luar
1984: Visiting Profesor, National University of Singapore.
Februari 1989: Pengerusi Majlis Perunding Ekonomi Kebangsaan (NECC)
1991: Perunding Kanan Pusat PBB Mengenai Kerjasama Antarabangsa di New
York.
1998-2000: Profesor Fakulti Sains Kemasyarakatan, Universiti Kebangsaan
Malaysia
* Politik
1958-1978: Anggota Jawatankuasa Politik Umno
1971-1984: Anggota Majlis Tertinggi Umno
1972: Ketua Bahagian Umno Pahang Barat
1972-1986: Ahli Parlimen Lipis, Pahang.
1981: Naib Presiden Umno
2001: Anggota Lembaga Disiplin Umno

0 Comments:

Post a Comment

<< Home