Wednesday, October 04, 2006

`Tunku tak mahu Singapura dalam Malaysia'

Sembang Sabtu: Tun Mohd Ghazali Shafie (BH: 24/09/2005)

`KENAPA Singapura dikeluarkan daripada Malaysia? Jawapan Tun Mohd Ghazali Shafie mudah saja - baca buku sejarah. Katanya surat Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra sudah menjelaskannya.

"Bukannya sebab kayap itu walaupun orang kata sebab kayap... Tak ada di sebalik tabir, tak ada sebab lain," katanya.

Ghazali berkata, Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri tidak mempunyai pilihan lain selain mengeluarkan Singapura daripada Malaysia kerana suasana politik masa itu.

Katanya, Tunku menggunakan perkataan `delayed action' dalam suratnya bagi menunjukkan perpisahan itu hanya boleh ditangguh.

"Memang dia berkehendakkan perkara itu terjadi, cuma dia boleh tangguh... maknanya dalam hatinya Singapura itu mesti keluar dari Malaysia," katanya.

Apabila diaju sekali lagi soalan lain dengan maksud sama, Ghazali dengan nada tegas berkata: "Tunku memang tak mahu Singapura dalam Malaysia, dia cuma boleh tangguh saja."

Beliau kemudian menyambung dengan soalan ini. "Lee Kuan Yew nak ambil Johor dulu, tapi dia boleh tahankah. Saya nak tanya awak balik?"

"Tidak!" jawab penulis. "Tidak, diam-diam sajalah. Dia tak boleh tahan kalau kita serang dia balik," katanya tanpa mengulas lanjut apa yang dimaksudkannya itu.

Ghazali kemudian mengajukan lagi satu persoalan yang dijawabnya sendiri.

"Singapura dapat kemerdekaan daripada siapa? Dia bukan dapat dari orang putih tetapi Malaysia.

Tetapi Lee Kuan Yew cakap dia dapat kemerdekaan daripada British... di situ dia menulis semula sejarah," katanya merujuk memoir yang dikarang bekas Perdana Menteri republik itu yang masih ditelitinya sehingga kini.

Mengapa Tunku menerima kemasukan Singapura? Jawapan Ghazali kali ini sama seperti yang dinyatakan dalam kebanyakan buku sejarah, iaitu Singapura akan berada di bawah pemerintahan komunis jika ia tidak menyertai Malaysia.

"Kalau orang putih bagi Singapura merdeka, sudah jadi komunis di bawah (Semenanjung) tu, kita tak tahanlah, kalau dalam negara kita, tahulah apa kita nak buat," katanya lega kerana penulis tidak mempertikaikan jawapannya itu.

Namun, apabila dinyatakan pandangan profesor sains politik Universiti Bishop, Kanada, yang dinyatakan kepada penulis dulu bahawa Tunku Abdul Rahman membuat keputusan yang betul apabila menyingkir Singapura kerana mahu menyelamatkan kekuatan politik Melayu daripada dihakis pengaruh PAP, Ghazali kembali bertegas.

"Awak ada baca berapa kerusi (Parlimen) Singapura dapat. Takkan kerusi Singapura sampai dapat perintah Malaysia," katanya.

"Tetapi pengaruh PAP mula berkembang dari sana," kata penulis."

"Tak ada, mana ada pengaruh," jawab Ghazali.

"Tunku tahu Singapura tak boleh perintah Malaysia tetapi orang Melayu sana menentang Umno, kenapa? Kenapa orang Melayu Singapura menentang Tunku, anda beritahu saya kenapa?" soal beliau.

"Tak tahu," jawab penulis.

"Tak tahu pula," balas Ghazali. "Pasalnya orang Singapura dah kecek orang Melayu Singapura, PAP dah kecek orang Melayu Singapura, dia kata sekolah semua diberi kepada orang Melayu. Itulah sebabnya, kalau orang Melayu di sana tidak ada taat setia kepada Tunku, tak gunalah."

Apabila dikatakan mungkin itu yang dibimbangkan Tunku Abdul Rahman akan berlaku kepada orang Melayu di Semenanjung, Ghazali menegaskan: "Itu sana saja, orang Melayu sini tak akan dapat dipengaruhi PAP."

0 Comments:

Post a Comment

<< Home