Thursday, October 05, 2006

Senaman rahsia Pak Ungku sihat

Sembang Sabtu: Prof Diraja Ungku Aziz (BH: 02/04/2005)

PADA usia 83 tahun, beliau masih kelihatan segak dan bertenaga. Fikirannya tetap cerdas dan kepetahannya berhujah masih unggul.

Hanya alat bantuan pendengaran di telinga kanannya mendedahkan bahawa usia tokoh akademik ini menghampiri satu abad.

Kehidupan berdisiplin, senaman yang mengeluarkan peluh dan pemakanan unik adalah rahsia Profesor Diraja Ungku Aziz yang lebih dikenali sebagai Pak Ungku untuk mengekalkan kesihatan tubuh dan mindanya.

Jika ketika usia mudanya beliau menjadikan angkat berat sebagai senaman, kini Ungku Aziz berjoging dan berjalan pantas untuk mengeluarkan peluh.

"Teori saya ialah kalau kita senaman mesti keluar peluh. Kalau tidak keluar peluh itu bukan senaman," katanya merujuk permainan golf yang disifatkannya bukan senaman tetapi 'cara orang kaya membelanjakan wang mereka'.

Pak Ungku yang dilahirkan di London pada 28 Januari 1922, disifatkan ramai sebagai cendekiawan sebenar kerana pengetahuannya merangkumi bukan saja isu ekonomi, bahkan perkara berkaitan sejarah, kesenian, kesusasteraan, politik dan tamadun.

Ramai ahli politik menghormatinya walaupun pandangannya mengenai ekonomi dan pendidikan sering kali tidak senada. Bagaimanapun, Pak Ungku tetap dijemput menganggotai badan khas kerajaan seperti Perundingan Ekonomi Negara (Mapen) I dan II serta menyediakan laporan berhubung ekonomi orang Melayu.

"Bacalah laporan saya kepada Mapen. Mintalah editor kamu dapatkan laporan itu," katanya apabila diminta menyatakan pandangannya berhubung isu ekonomi, khususnya kemiskinan orang Melayu, yang dikhabarkan tidak begitu disenangi banyak pihak.

Namun, sumbangan bapa kepada Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, kepada sosioekonomi orang Melayu tidak dapat dinafikan.

Beliau adalah tulang belakang kepada penubuhan Lembaga Tabung Haji, selain pengasas Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) yang diterajuinya hingga kini.

Dalam bidang akademik, pencapaian beliau sukar ditandingi. Pak Ungku adalah satu-satunya penerima anugerah Profesor Diraja. Bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM) selama 20 tahun ini terkenal dengan beberapa inovasi pendidikan seperti penubuhan Pusat Asasi Sains UM.

Walaupun Pak Ungku lebih senang berada di luar persada politik, beliau tetap rapat dengan ahli politik yang sememangnya gemar mendengar pandangan kritikal beliau berhubung isu politik.

"Kadang-kadang saya jumpa tokoh politik yang sebahagian besar bekas pelajar saya di universiti. Kalau tengok dalam Kabinet sekarang, kebanyakannya adalah graduan UM," katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home