Sunday, October 08, 2006

Nombor Plat RFID

Fakta Aplikasi E-Plate
- Pengenalan yang tidak boleh dipalsukan
- Pencegahan kecurian kenderaan
- Pematuhan peraturan cukai jalan, insurans dan pemeriksaan berjadual
- Pematuhan had laju di jalan raya
- Pembayaran tol secara elektronik
- Pemantauan aliran dan jumlah trafik

KUALA LUMPUR: Nombor plat pintar atau e-plate dengan teknologi cip Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) yang membolehkan pelbagai aplikasi keselamatan, khususnya pengesanan kedudukan kenderaan, akan diperkenalkan tidak lama lagi.

Difahamkan satu syarikat teknologi yang akan membekalkan plat berkenaan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini dalam peringkat akhir pengujian sistem nombor pendaftaran kenderaan pintar itu.

Apabila dilaksanakan kelak, semua pemilik kenderaan perlu menggantikan plat lama dengan plat baru itu dalam tempoh tertentu yang akan ditetapkan Kementerian Pengangkutan kelak.

Plat berkenaan yang akan dijadikan sebagai barangan kawalan itu hanya boleh diperoleh daripada JPJ dengan bayaran tertentu, kemungkinan besar sekitar RM80 sepasang berdasarkan pengiraan kos yang dikemukakan kepada kerajaan.

Cadangan penggunaan nombor plat pintar itu diumumkan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar, pada persidangan Parlimen akhir Mei lalu.

Beliau berkata, sistem itu dicadangkan bagi menangani masalah pemalsuan nombor pendaftaran kenderaan selain menyeragamkan pengeluaran nombor plat yang kini dihasilkan dalam pelbagai bentuk dan rupa oleh peniaga aksesori kenderaan.

Katanya, setiap plat bercip itu akan mengandungi butiran kenderaan yang didaftarkan JPJ dan ini membolehkan pegawai penguat kuasa membaca data dalam nombor plat berkenaan dengan alat pengimbas dari jarak jauh bagi menentukan ketulenannya.

Teknologi RFID yang menggunakan teknologi cip pasif dengan gelombang radio dihasilkan sebagai alternatif lebih maju dan mudah kepada sistem penandaan kod bar bagi urusan rekod barangan seperti di pasar raya besar.

Disebabkan keupayaan pengesanan dari jarak jauh, teknologi itu kini digunakan sebagai aplikasi keselamatan untuk mengesan kedudukan dan pergerakan sesuatu objek yang ditandakan, termasuk kenderaan dan individu.

Bagi sistem e-plate, cip RFID aktif jarak jauh dengan nombor kod dan data pendaftaran khusus akan ditanam pada plat nombor pendaftaran kenderaan. Butiran itu boleh dibaca menerusi pengimbas mudah alih atau jaringan pengimbas pegun di jalan raya.

Sistem itu mampu mengenal pasti kedudukan kenderaan dalam semua keadaan cuaca pada jarak sehingga 100 meter dan kelajuan sehingga 320 kilometer sejam, sekali gus membolehkan penguatkuasaan peraturan lalu lintas dan pembayar tol secara elektronik.

Sistem sama sudah dilaksanakan dengan berkesan di beberapa negara maju termasuk Perancis, United Kingdom dan Australia yang membolehkan penguatkuasaan had laju dalam semua keadaan cuaca berbanding sistem nombor plat lama yang bergantung kepada pengenalan secara visual.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home