Sunday, October 15, 2006

Kedudukan Cina lebih baik

Peluang diberi untuk berjaya, belajar Mandarin, amal budaya sendiri: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (gambar) berkata, masyarakat Cina di Malaysia berada pada kedudukan yang baik, malah lebih baik berbanding Bumiputera dan orang Melayu.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menolak dakwaan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew, bahawa masyarakat Cina di Malaysia dipinggirkan secara sistematik.

Beliau berkata, dakwaan berkenaan tidak berasas dan boleh menyebabkan kedukaan kepada banyak pihak.

“Mereka begitu berjaya kerana kami memberi mereka peluang untuk berjaya. Kami benarkan mereka dan anak mereka ke sekolah Cina untuk belajar Mandarin dan mengamalkan budaya mereka.

“Tahun Baru Cina disambut bukan saja oleh mereka tetapi juga Melayu, India... Kami saling menghormati dan ini semakin berkembang di Malaysia,” katanya ketika ditemu bual pengacara program Talk Asia, Anjali Rao, yang disiarkan CNN, semalam,

Baru-baru ini, Kuan Yew, pada forum antarabangsa mengenai urus tadbir yang baik di Singapura berkata: “Jiran saya kedua-duanya (Malaysia dan Indonesia) mempunyai masalah dengan masyarakat Cina mereka. Mereka berjaya, bekerja keras dan kerana itu, mereka dipinggirkan secara sistematik, malah dalam bidang pendidikan.

“Dan mereka mahu Singapura, dengan kata mudah, menjadi seperti orang Cina mereka, hanya menurut saja.”

Kenyataan itu mendapat bantahan di Malaysia dan Indonesia. Kementerian Luar kedua-dua negara memanggil duta Singapura untuk memberi penjelasan mengenai kenyataan Kuan Yew itu.

Abdullah mengutus surat kepada Kuan Yew berhubung isu berkenaan dan dalam surat balasnya, Kuan Yew berkata, tidak berniat masuk campur dalam politik Malaysia dan tidak mempunyai kuasa mempengaruhi atau menghasut orang Cina di negara ini.

Ditanya kenyataan beliau baru-baru ini berhubung usaha kerajaan memastikan tiada prejudis perkauman, Abdullah berkata, perbezaan akan tetap wujud dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia.

Namun, katanya, apa yang diinginkan semua rakyat Malaysia ialah bersama menjalani kehidupan yang aman.

“Kami mahu menghormati mereka yang bukan dari kalangan kumpulan etnik kami, mereka yang bukan seagama, keinginan berbaik dan melakukan sesuatu bersama. Paling penting kami mencintai negara milik kami iaitu Malaysia,” katanya.

Ditanya mengenai pertelingkahan beliau dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berhubung dasar pentadbiran sekarang, Abdullah berkata, ia bukan tindakan membunuh masa depan politiknya sendiri.

Sebaliknya, Abdullah menegaskan majoriti rakyat mahukan beliau melaksanakan apa yang difikir perlu bagi kebaikan negara dan beliau mengambil keputusan berdiam diri terhadap kritikan itu untuk meneruskan tanggungjawabnya.

Sambil mengakui beliau dan pemimpin lain berbangga dengan pencapaian Dr Mahathir selama 22 tahun menerajui kerajaan, Abdullah berkata, tidak semua rakyat menghargai tindakan bekas Perdana Menteri mengkritik kerajaan sekarang.

Bagaimanapun Abdullah berkata, bukan semua kritikan Dr Mahathir itu ditolak kerana ada yang relevan dan boleh diterima sehingga beliau membuat perubahan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home