Saturday, April 14, 2007

Teori ekonomi cinta pertama

Sembang Sabtu: Datuk Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah

PENGANGGURAN dan kemiskinan dan pada lewat 1960-an dan awal 1970-an sehingga tercetus peristiwa 13 Mei 1969 dan Peristiwa Baling 1974 mendorong Datuk Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah yang ketika itu bersekolah menengah mencari jalan memperbetulkan ketidakseimbangan pengagihan kekayaan negara.

Satu demi satu falsafah dan teori ekonomi, khususnya Keynesian, yang diyakini dapat menyelesaikan masalah pengangguran dan kemiskinan diselami dengan harapan dapat menyumbang sesuatu kepada negara kelak.

"Ketika saya di tingkatan enam, saya sudah mula jatuh cinta dengan bidang ekonomi kerana ketika itu banyak teori baru diperkenalkan. Cikgu yang baru menamatkan pengajian di universiti pula mengajar teori itu kepada pelajar.

"Saya amat meminati ekonomi dan kewangan... Saya disuruh baca sebuah buku, seluruh Kota Bharu saya mencari buku itu tapi tak dapat. Akhirnya terpaksa dipesan dari Kuala Lumpur," katanya.

Minatnya terhadap teori ekonomi semakin menebal sehinggakan beliau secara seorang diri menubuhkan persatuan dan menerbitkan buletin ekonomi di sekolahnya dengan wang elaun RM40 yang di berikan kepada pelajar tingkatan enam pada masa itu, semata-mata untuk berkongsi pengetahuan dengan pelajar lain.

"Bidang ini saya betul-betul minat, orang lain tak minat, ini masa di sekolah... saya sendiri tubuhkan persatuan dan buletin ekonomi. Saya menjadi pengarang dan saya kumpulkan semua artikel serta menulis sendiri artikel.

"Artikel itu saya cetak dan edarkan... saya terpaksa beli sendiri kertas satu rim," katanya sambil menambah hayat "Buletin Ekonomi" itu hanya bertahan untuk beberapa edisi saja kerana tiada pelajar lain sanggup membantu beliau menerbitkannya.

Namun, semangatnya mendalami ilmu ekonomi terus berkobar dan beliau memilih pengajian itu di Universiti Malaya (UM) ketika rakan sebayanya lebih cenderung mengambil jurusan lebih mudah seperti Pengajian Melayu dan Kesusasteraan.

"Masuk universiti, saya buat ekonomi. Ketika itu, orang lain buat sejarah, sastera atau pengajian Melayu kerana senanglah, tak payah berhempas pulas sangat.

"Dalam keluarga, sayalah yang pertama memasuki universiti dan memilih ekonomi sebagai jurusan pengajian," katanya yang juga memperoleh gelaran Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang ekonomi perniagaan dari University of Leeds, United Kingdom pada 1995.

Ketika di kampus, beliau memberi tumpuan kepada pelajaran walaupun ramai mahasiswa ketika itu terpengaruh dengan gerakan yang meniupkan semangat nasionalisme dan sosialisme. Malah, ramai pemimpin pelajar yang juga bekas graduan UM memasuki kampus untuk mempengaruhi mereka.

Namun, berbekalkan semangat ingin mendalami teori dan falsafah ekonomi serta pesanan ibu bapa, Dr Wan Abdul Aziz berjaya menepis pujukan menyertai pergerakan pelajar radikal itu yang mengadakan demonstrasi menentang kerajaan, termasuk di Baling, Kedah.

Bagaikan pucuk dicita, ulam mendatang, beliau ditawarkan jawatan Penolong Pengarah di Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi membantu kerajaan merangka Rancangan Malaysia Ketiga (RMK-3) dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sejurus menamatkan pengajian pada 1975.

Kerajaan ketika itu mengumpul semua graduan yang mempunyai latar belakang pengajian ekonomi menyertai UPE dan membentuk `think tank' kepada kerajaan dalam semua isu ekonomi yang dihadapi negara pada 1970-an.

"Ketika masuk UPE, saya kena fikir bagaimana hendak melaksanakan DEB. Saya masuk ketika draf RMK-3 sedang digubal. Maka, cabaran yang saya kena buat ialah bagaimana hen dak menghapuskan kemiskinan," ka tanya sambil menambah UPE ketika itu hanya digerakkan tidak sampai 100 kakitangan.

Justeru, Dr Wan Abdul Aziz bertekad menggunakan ilmu dan kedudukannya bagi mengubah nasib rakyat Malaysia serta membangunkan eko nomi negara walaupun beliau berhadapan cabaran hebat dalam menterjemahkan teori kepada pelaksanaan dasar ekonomi.

"Masalahnya, bagaimana hendak menggunakan apa yang kita belajar dan cuba menyelesaikan masalah sebenar ekonomi negara. Ketika itu, negara menghadapi masalah pengangguran, inflasi, krisis minyak," katanya.

Sepanjang berkhidmat di unit itu selama 23 tahun, Dr Wan Abdul Aziz menyandang pelbagai jawatan seperti Penolong Pengarah Kanan di Bahagian Ekonomi Makro dan Bahagian Sumber Manusia serta Pengarah Bahagian Tenaga UPE.

Berdasarkan prestasi dan pengalamannya di UPE, beliau ditawarkan berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif, Bank Dunia di Washington, pada November 1998 bagi mewakili sembilan negara Asia, termasuk Malaysia.

"Ketika itu, saya adalah antara salah seorang ahli Lembaga Pengarah Bank Dunia. Semuanya ada 24 kerusi dan pada tahun itu saya mewakili Malaysia. Ketika itu (1997-1998) tahun amat sukar kerana negara dilanda krisis kewangan," katanya.

Dr Wan Abdul Aziz berkata, tanggungjawab baru beliau itu begitu mencabar kerana ketika itu Malaysia tidak popular di kalangan Bank Dunia dan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) apabila memilih pendekatan sendiri menyelesaikan krisis kewangan itu.

"Kita pergi lain sikit dari konsensus Washington, Bank Dunia serta apa yang disyorkan IMF. Kita ikut cara kita dan saya perlu `face the music' dan pada masa sama, saya juga perlu mewakili negara lain," katanya sambil menambah beliau perlu memahami masalah ekonomi setiap negara yang diwakili.

Biarpun sudah lama berlalu, Dr Wan Abdul Aziz berkata beliau tidak dapat melupakan detik pertemuan pertamanya dengan Presiden Bank Dunia ketika itu, James Wolfensohn, sejurus tiba di Washington.

"Wolfensohn memberitahu saya: `Baiklah, awak mengambil pendekatan berbeza dan awak percaya apa yang awak lakukan dan saya harap ia akan berhasil'.

"Saya beritahu kerajaan Malaysia yakin dan mempunyai cara sendiri dalam membuat pertimbangan. Saya juga tekankan kerajaan yakin kaedah yang digunakan akan menyelesaikan masalah. Secara profesionalnya, Wolfensohn menerima penjelasan itu," katanya.

Dr Wan Abdul Aziz berkata, langkah yang diambil kerajaan untuk membawa Malaysia keluar daripada krisis kewangan 1997-1998 disifatkannya sebagai tidak `orthodox', malah tidak pernah disebut dalam mana-mana buku teks ekonomi.

"Saya fikir ketika itu kita membuat keputusan yang amat baik...'bold decision'. Ia dianggap `big plus' kepada Malaysia kerana kita berani dan kita tahu apa yang kita hendak," katanya.

Beliau berkata, selepas dunia melihat tindakan yang diambil kerajaan mula memberikan hasil serta impak pertumbuhan ekonomi yang baik, barulah semua pihak menerima langkah negara itu.

"Semua orang mula terima tapi tidak bermakna negara lain boleh mencontohinya kerana kita ada ciri khusus...' one size doesn't fit all," katanya.

Beliau kagum dan menghormati individu di belakang keputusan kerajaan itu iaitu Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, yang ketika itu dilantik sebagai Penasihat Ekonomi Perdana Menteri sebelum dibawa masuk ke dalam kerajaan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya rasa bertuah dapat Nor sebagai Menteri, keputusan beliau cepat dan profesional," katanya.

Dr Wan Abdul Aziz berkata, kejayaan paling manis sebelum mengakhiri tugas sebagai Pengarah Eksekutif Bank Dunia, ialah persetujuan bank itu memberi kemudahan pinjaman bernilai AS$400 juta kepada Malaysia.

"Saya diberi mandat mendapatkan pinjaman itu. Saya pergi dan selepas beberapa rundingan di luar dan di dalam lembaga, Bank Dunia bersetuju. Itulah pinjaman terakhir kerajaan dari Bank Dunia dan ia sudah pun dibayar balik," katanya.

Apabila ditanya keyakinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terhadap keupayaannya memikul tanggungjawab itu seperti yang dinyatakan pada perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan baru-baru ini, Dr Wan Abdul Aziz berkata:

"Setiap hari saya berdoa banyak-banyak minta ditunjukkan jalan betul
tak nak melencong ke jalan lain... hanya jalan yang diredai," katanya.


Profil
Datuk Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah
Lahir: 24 Mei 1952
Asal: Kota Bharu, Kelantan
Isteri: Datin Hayati Omar
Anak: Wan Lydiana Wan Abdul Aziz, 28 tahun
Wan Ashraf Wan Abdul Aziz, 24
Wan Afdzal Wan Abdul Aziz, 20
Kelulusan
- B.Econs (Hons) UM (1972-1975)
- M.Phil (Development Studies) University of Sussex, Brighton, United
Kingdom (1982-1984)
- PhD (Business Economics) University of Leeds, Leeds, United Kingdom
(1991-1995)
- Advanced Management Programme Harvard University, Boston (2004)
Jawatan
- Penolong Pengarah, Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana
Menteri (1975)
- Penolong Pengarah Kanan, Ekonomi Makro UPE JPM (1984)
- Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Sumber Manusia, UPE JPM (April 1998)
- Pengarah, Bahagian Tenaga, UPE, JPM (Mei 1998)
- Pengarah Eksekutif Kumpulan Bank Dunia, Washington (November 1998)
- Timbalan Setiausaha, Bahagian Ekonomi dan Antarabangsa, Kementerian
Kewangan (2001)
- Timbalan Ketua Pengarah, Bahagian Perancangan Makro, UPE JPM (2004)
- Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) (2005)
- Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan (sekarang)
Anugerah:
- Anugerah Khidmat Cemerlang Perkhidmatan Awam, JPA (1994)
- Anugerah Kualiti UPE JPM (1997)
- Ahli Mangku Negara (1999)
- Datuk Paduka Setia Mahkota Kelantan (2005)

Wan Aziz sanggup berlapar beli buku

Sembang Sabtu: Datuk Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah

KETIKA zaman kanak-kanak pada awal 1960-an, saya memang ulat buku. Saya sanggup mengikat perut untuk mengumpul wang belanja harian dan tidak sabar menunggu kedatangan Rabu setiap minggu.

"Kalau dapat 10 sen atau 20 sen setiap hari, saya tak makan. Saya kumpul sampai cukup seminggu... dapatlah RM1 atau RM2 dan saya guna duit itu untuk membeli novel Famous Five, Enid Blyton dan komik Marvels di kedai buku di Kota Bharu, setiap petang Rabu," kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

Selepas beli buku dan komik beliau pulang ke rumah dan dalam masa dua jam saja, buku itu selesai dibacanya.

"Saya kena kumpul duit lagi dan tunggu minggu depan untuk membeli novel atau komik baru," katanya mengimbau kehidupan lalu di Kampung Kubang Pasu, Kota Bharu.

Kini, pada usia 55 tahun dan memegang jawatan penting dalam urusan kewangan kerajaan, Dr Wan Abdul Aziz, bersyukur kesanggupan berlapar dan minat membaca yang diwarisi daripada datuknya, antara Melayu pertama mendapat Senior Cambridge, menjadikan beliau fasih berbahasa Inggeris dan menimba banyak ilmu.

Namun, Dr Wan Abdul Aziz agak terkilan apabila sebahagian daripada koleksi bukunya musnah dimakan anai-anai.

"Baru-baru ini, saya pulang ke kampung dan cuba mengumpul semula semua buku dan komik lama, malangnya banyak yang rosak dimakan anai-anai," katanya.

Bagaikan mengubati luka, rakan dan kenalan Dr Wan Abdul Aziz sering menghadiahkan beliau pelbagai buku terbaru bagi menambah koleksinya.

Monday, April 02, 2007

Negara perlu paradigma baru pengurusan air

Oleh Wan Hazmir Bakar

(BH 02/04/1998 p.8)

SELEPAS hampir sebulan rakyat terutamanya warga Lembah Klang hidup tanpa bekalan air bersih yang sempurna, Kerajaan Pusat terpaksa campur tangan dengan mengadakan mesyuarat peringkat tertinggi bagi mencari jalan menyelesaikan masalah air yang mula dianggap sebagai satu krisis.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mempengerusikan mesyuarat itu, menegur jabatan kerajaan yang terbabit dalam penyelenggaraan air kerana lambat bertindak menangani kegawatan air di Lembah Klang.

Apa yang nyata, mesyuarat ini membuktikan kerajaan negeri secara sendirian tidak mampu menangani krisis air yang dihadapinya. Kegagalan melaksanakan tanggungjawab itu diakui sendiri Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Hal Ehwal Wanita Selangor, Datin Paduka Rakibah Manap, Jumaat lalu.

Tetapi apakah krisis terbaru ini akan dijadikan iktibar oleh semua kerajaan negeri. Perlukah lagi ribuan, malahan, jutaan rakyat menderita ketiadaan air barulah kerajaan negeri mahu mengakui kelemahan mereka.

Kita tidak perlu lagi menghadapi krisis yang sama. Kita tidak ingin krisis air seperti yang dihadapi Melaka dahulu berulang. Malah, kita tidak mahu lagi mendengar keluhan seperti yang disuarakan rakyat Kelantan apabila bekalan air diswastakan, apatah lagi rungutan seperti yang dibuat Kerajaan Kedah apabila terpaksa menanggung kerugian berjuta ringgit setiap tahun kerana memberikan tugas merawat air kepada kepada pihak swasta.

Memang benar Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada kerajaan negeri dalam urusan pembekalan air kepada penduduk negeri, tetapi hak ini tidak wajar dianggap sebagai kuasa mutlak, sebaliknya tanggungjawab berat yang wajib dipikul dengan sebaik-baiknya.

Segala kelemahan perlu diatasi, segala usaha perlu dilaksanakan bagi memastikan kebajikan rakyat terpelihara. Usaha perlu menjurus kepada tujuan yang satu, iaitu memenuhi keperluan asasi rakyat, bukan semata-mata menurut kehendak serta kepentingan sesetengah pihak.

Oleh itu, perlu dipastikan aliran air memasuki tangki air di setiap kediaman rakyat, bukan aliran tunai ke kantung pihak tertentu. Bukankah Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, sebelum ini pernah menasihatkan kerajaan negeri menangguh dahulu cadangan menswastakan bekalan air sehingga Majlis Air Negara ditubuhkan?

Hakikatnya, kerajaan negeri tidak mampu membekalkan air kepada penduduk secara sendirian. Mereka tetap bergantung kepada peruntukan Kerajaan Pusat bagi membangunkan prasarana berkaitan yang bernilai ratusan juta hingga bilion ringgit.

Jalan mudah dengan melepaskan tanggungjawab itu kepada syarikat swasta melalui perjanjian yang boleh dipertikaikan ternyata memburukkan lagi keadaaan. Syarikat berkenaan juga tidak mampu memikul tanggungjawab berat itu dengan sempurna.

Sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk rakyat dikejutkan dengan pengumuman penswastaan bekalan air oleh kerajaan negeri masing-masing. Malah zaman itu telah berlalu, apatah lagi selepas kepemimpinan negara memberi jaminan tidak lama dulu untuk lebih berhati-hati dalam memeterai perjanjian pemberian konsesi kepada syarikat swasta, selepas konsep yang selama ini diagung-agungkan memperlihatkan keburukannya.

Beberapa pengalaman sebelum ini wajar kita perhatikan. Kelantan masih lagi menghadapi masalah bekalan air walaupun tanggungjawab membekal air kepada pengguna diswastakan kepada Kelantan Water Sdn Bhd (KWSB), syarikat kerjasama antara Thames Water London dan Yakin Kelantan, hampir tiga tahun lalu.

Syarikat itu dikatakan gagal dalam usahanya membekalkan air yang mencukupi dan bermutu kepada rakyat Kelantan walaupun caj baru yang dikenakan adalah tinggi, malah penyambungan baru turut dibekukan. Selain itu, beberapa projek pembangunan sumber air yang dijanjikan masih belum terlaksana kerana kekurangan sumber kewangan.

Syarikat pula mendakwa kegagalannya memberikan perkhidmatan terbaik adalah kerana kerajaan negeri masih berhutang caj perkhidmatan tertunggak bernilai RM32 juta manakala hanya 27 peratus daripada pengguna yang menjelaskan bil air.

Kedah pula menanggung kerugian RM5 juta setahun apabila tugas merawat air diberikan kepada syarikat swasta sejak lima tahun lalu. Bagaimanapun, kerajaan negeri lekas sedar dan menghentikan pembayaran kepada Sisma Management Sdn Bhd (Sisma) untuk rundingan semula supaya formula yang menguntungkan semua pihak dapat dicari.

Tetapi Melaka bernasib baik apabila bersikap matang dengan terus mengkaji cadangan pihak swasta berkaitan bekalan air. Ketua Menteri, Datuk Seri Abu Zahar Isnin, berkata walaupun Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, sudah meluluskan pelantikan firma itu, kerajaan negeri belum berpuas hati mengenai beberapa cadangan firma berkenaan yang dianggap agak samar dan tidak mengikuti aturan.

Kini Selangor dan Puncak Niaga Sdn Bhd pula berada di tengah-tengah krisis. Pelbagai pihak mula mencemuh fungsi syarikat itu apalagi alasannya bila terpaksa menutup loji rawatan air. Keputusan menswastakan kerja merawat air oleh kerajaan negeri semakin dipertikaikan. Pengguna sedar kepentingan mereka tidak terbela.

Untuk mengatasi semua masalah itu, satu dasar kebangsaan mengenai air perlu diwujudkan. Begitu juga badan yang akan melaksanakan dasar itu. Paradigma semasa mengenai air perlukan anjakan. Pengurusan sumber air mentah, rawatan dan pengagihan bekalan perlu diubah.

Idea penubuhan Dasar Air Negara dan Majlis Air Negara bukan satu perkara baru. Ia sering dicadangkan pelbagai pihak, malah pernah dikemukakan Kementerian Kerja Raya tetapi ditolak oleh kebanyakan negeri.

Air perlu dilihat sebagai sumber penting negara, lebih berharga daripada petroleum. Hakikat ini mungkin sukar diterima di negara beriklim tropika seperti Malaysia yang menerima taburan hujan yang tinggi. Namun di sesetengah benua, khususnya di Asia Barat, pakar kajian strategik meramalkan air akan menggantikan petroleum sebagai punca persengketaan negara rantau itu dalam alaf akan datang.

Dasar air perlu jelas dan mantap. Sumber air, baik di permukaan atau di dalam tanah perlu menjadi milik negara untuk digunakan rakyat. Bukan komoditi yang boleh dimiliki entiti swasta atau orang perseorangan untuk mengaut keuntungan. Perhatian serius perlu diberikan terhadap industri air galian tempatan, jangan sampai sumber negara tergadai kepada syarikat tertentu.

Sesuai dengan nilainya, air perlu ditadbirkan badan pusat, sama seperti petroleum yang kini dibawah bidang kuasa Perdana Menteri. Badan itu boleh dijadikan syarikat nasional dengan setiap negeri diberikan ekuiti bagi menjamin pendapatan mereka tidak hilang. Namun tujuan utama badan ini adalah membekalkan air kepada rakyat, bukan untuk membuat keuntungan yang sebesar mungkin.

Dengan sumber yang disatukan, sistem bekalan air yang sudah usang dan tidak cekap boleh digantikan dengan yang baru sejajar dengan perkembangan teknologi terkini. Dengan prasarana sedia ada, satu grid air kebangsaan juga boleh diwujudkan bagi menjamin tiada negeri menghadapi krisis air.

Pengurusan sumber air sebegini membolehkan negara menghadapi keadaan kecemasan seperti musim kemarau panjang yang tidak dijangka. Kerja merawat air juga perlu dilakukan badan ini, bukan diberikan kepada syarikat swasta.

Kerja ini adalah yang paling mudah dalam proses pembekalan air. Tiada kehilangan sumber berlaku seperti dalam kerja mengagih yang biasanya mencapai 50 peratus. Mereka mendapat keuntungan mudah yang berkadar terus dengan jumlah air yang dirawat. Maka tidak hairanlah ada banyak syarikat swasta mengemukakan cadangan mengambil alih tugas itu.

Fungsi syarikat swasta masih boleh dikekalkan dengan memberi mereka kontrak membina prasarana air atau membekalkan peralatan berkaitan. Tetapi fungsi mereka dihadkan kepada kerja kontrak sedemikian, bukan mengambil alih tugas utama yang dimainkan Jabatan Bekalan Air sejak dulu lagi.

Pengajaran daripada pengalaman Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) perlu diamati. Peningkatan kos penjanaan kuasa mengurangkan keuntungan TNB, sehingga memaksa peningkatan tarif.

Dengan mengawal sumber air dan kos rawatan, harga bekalan air bersih boleh dikawal pada paras yang munasabah, mampu ditanggung setiap rakyat.

Selain menangani soal penyelarasan sumber, rawatan dan pengagihan air, Dasar Air Negara dan Majlis Air Negara boleh bertindak memastikan kawasan tadahan air serta sungai yang mengalir ke loji rawatan dapat dikekalkan serta tidak dicemari dalam arus pembangunan pesat.

Semua pihak sedia maklum mengenai perkara ini yang terus diperkatakan pertubuhan kerajaan antarabangsa serta diperjuangkan pertubuhan alam sekitar. Pelbagai statistik mengenai permintaan dan sumber air negara dibentangkan. Namun ketiadaan dasar kebangsaan yang mantap menyaksikan sumber air negara terus hilang dan tercemar oleh kerakusan pihak yang hanya mementingkan keuntungan.

Pelbagai agensi penguatkuasaan kerajaan masih berbalah mengenai bidang kuasa masing-masing apabila berhadapan dengan masalah pencemaran. Masing-masing melepaskan tanggungjawab apabila didesak rakyat untuk bertindak.

Kilang-kilang haram yang melepaskan pencemaran ke dalam sungai yang menjadi sumber air terus bercambah. Kita tentu tidak mahu melihat pada suatu ketika nanti negara terpaksa bergantung kepada laut untuk sumber air. Kerja memproses air laut bukan sesuatu yang praktikal dan murah. Langkah tegas perlu diambil dari sekarang untuk mengelakkan situasi ini daripada berlaku. WHB