Monday, April 02, 2007

Negara perlu paradigma baru pengurusan air

Oleh Wan Hazmir Bakar

(BH 02/04/1998 p.8)

SELEPAS hampir sebulan rakyat terutamanya warga Lembah Klang hidup tanpa bekalan air bersih yang sempurna, Kerajaan Pusat terpaksa campur tangan dengan mengadakan mesyuarat peringkat tertinggi bagi mencari jalan menyelesaikan masalah air yang mula dianggap sebagai satu krisis.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mempengerusikan mesyuarat itu, menegur jabatan kerajaan yang terbabit dalam penyelenggaraan air kerana lambat bertindak menangani kegawatan air di Lembah Klang.

Apa yang nyata, mesyuarat ini membuktikan kerajaan negeri secara sendirian tidak mampu menangani krisis air yang dihadapinya. Kegagalan melaksanakan tanggungjawab itu diakui sendiri Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Hal Ehwal Wanita Selangor, Datin Paduka Rakibah Manap, Jumaat lalu.

Tetapi apakah krisis terbaru ini akan dijadikan iktibar oleh semua kerajaan negeri. Perlukah lagi ribuan, malahan, jutaan rakyat menderita ketiadaan air barulah kerajaan negeri mahu mengakui kelemahan mereka.

Kita tidak perlu lagi menghadapi krisis yang sama. Kita tidak ingin krisis air seperti yang dihadapi Melaka dahulu berulang. Malah, kita tidak mahu lagi mendengar keluhan seperti yang disuarakan rakyat Kelantan apabila bekalan air diswastakan, apatah lagi rungutan seperti yang dibuat Kerajaan Kedah apabila terpaksa menanggung kerugian berjuta ringgit setiap tahun kerana memberikan tugas merawat air kepada kepada pihak swasta.

Memang benar Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada kerajaan negeri dalam urusan pembekalan air kepada penduduk negeri, tetapi hak ini tidak wajar dianggap sebagai kuasa mutlak, sebaliknya tanggungjawab berat yang wajib dipikul dengan sebaik-baiknya.

Segala kelemahan perlu diatasi, segala usaha perlu dilaksanakan bagi memastikan kebajikan rakyat terpelihara. Usaha perlu menjurus kepada tujuan yang satu, iaitu memenuhi keperluan asasi rakyat, bukan semata-mata menurut kehendak serta kepentingan sesetengah pihak.

Oleh itu, perlu dipastikan aliran air memasuki tangki air di setiap kediaman rakyat, bukan aliran tunai ke kantung pihak tertentu. Bukankah Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, sebelum ini pernah menasihatkan kerajaan negeri menangguh dahulu cadangan menswastakan bekalan air sehingga Majlis Air Negara ditubuhkan?

Hakikatnya, kerajaan negeri tidak mampu membekalkan air kepada penduduk secara sendirian. Mereka tetap bergantung kepada peruntukan Kerajaan Pusat bagi membangunkan prasarana berkaitan yang bernilai ratusan juta hingga bilion ringgit.

Jalan mudah dengan melepaskan tanggungjawab itu kepada syarikat swasta melalui perjanjian yang boleh dipertikaikan ternyata memburukkan lagi keadaaan. Syarikat berkenaan juga tidak mampu memikul tanggungjawab berat itu dengan sempurna.

Sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk rakyat dikejutkan dengan pengumuman penswastaan bekalan air oleh kerajaan negeri masing-masing. Malah zaman itu telah berlalu, apatah lagi selepas kepemimpinan negara memberi jaminan tidak lama dulu untuk lebih berhati-hati dalam memeterai perjanjian pemberian konsesi kepada syarikat swasta, selepas konsep yang selama ini diagung-agungkan memperlihatkan keburukannya.

Beberapa pengalaman sebelum ini wajar kita perhatikan. Kelantan masih lagi menghadapi masalah bekalan air walaupun tanggungjawab membekal air kepada pengguna diswastakan kepada Kelantan Water Sdn Bhd (KWSB), syarikat kerjasama antara Thames Water London dan Yakin Kelantan, hampir tiga tahun lalu.

Syarikat itu dikatakan gagal dalam usahanya membekalkan air yang mencukupi dan bermutu kepada rakyat Kelantan walaupun caj baru yang dikenakan adalah tinggi, malah penyambungan baru turut dibekukan. Selain itu, beberapa projek pembangunan sumber air yang dijanjikan masih belum terlaksana kerana kekurangan sumber kewangan.

Syarikat pula mendakwa kegagalannya memberikan perkhidmatan terbaik adalah kerana kerajaan negeri masih berhutang caj perkhidmatan tertunggak bernilai RM32 juta manakala hanya 27 peratus daripada pengguna yang menjelaskan bil air.

Kedah pula menanggung kerugian RM5 juta setahun apabila tugas merawat air diberikan kepada syarikat swasta sejak lima tahun lalu. Bagaimanapun, kerajaan negeri lekas sedar dan menghentikan pembayaran kepada Sisma Management Sdn Bhd (Sisma) untuk rundingan semula supaya formula yang menguntungkan semua pihak dapat dicari.

Tetapi Melaka bernasib baik apabila bersikap matang dengan terus mengkaji cadangan pihak swasta berkaitan bekalan air. Ketua Menteri, Datuk Seri Abu Zahar Isnin, berkata walaupun Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, sudah meluluskan pelantikan firma itu, kerajaan negeri belum berpuas hati mengenai beberapa cadangan firma berkenaan yang dianggap agak samar dan tidak mengikuti aturan.

Kini Selangor dan Puncak Niaga Sdn Bhd pula berada di tengah-tengah krisis. Pelbagai pihak mula mencemuh fungsi syarikat itu apalagi alasannya bila terpaksa menutup loji rawatan air. Keputusan menswastakan kerja merawat air oleh kerajaan negeri semakin dipertikaikan. Pengguna sedar kepentingan mereka tidak terbela.

Untuk mengatasi semua masalah itu, satu dasar kebangsaan mengenai air perlu diwujudkan. Begitu juga badan yang akan melaksanakan dasar itu. Paradigma semasa mengenai air perlukan anjakan. Pengurusan sumber air mentah, rawatan dan pengagihan bekalan perlu diubah.

Idea penubuhan Dasar Air Negara dan Majlis Air Negara bukan satu perkara baru. Ia sering dicadangkan pelbagai pihak, malah pernah dikemukakan Kementerian Kerja Raya tetapi ditolak oleh kebanyakan negeri.

Air perlu dilihat sebagai sumber penting negara, lebih berharga daripada petroleum. Hakikat ini mungkin sukar diterima di negara beriklim tropika seperti Malaysia yang menerima taburan hujan yang tinggi. Namun di sesetengah benua, khususnya di Asia Barat, pakar kajian strategik meramalkan air akan menggantikan petroleum sebagai punca persengketaan negara rantau itu dalam alaf akan datang.

Dasar air perlu jelas dan mantap. Sumber air, baik di permukaan atau di dalam tanah perlu menjadi milik negara untuk digunakan rakyat. Bukan komoditi yang boleh dimiliki entiti swasta atau orang perseorangan untuk mengaut keuntungan. Perhatian serius perlu diberikan terhadap industri air galian tempatan, jangan sampai sumber negara tergadai kepada syarikat tertentu.

Sesuai dengan nilainya, air perlu ditadbirkan badan pusat, sama seperti petroleum yang kini dibawah bidang kuasa Perdana Menteri. Badan itu boleh dijadikan syarikat nasional dengan setiap negeri diberikan ekuiti bagi menjamin pendapatan mereka tidak hilang. Namun tujuan utama badan ini adalah membekalkan air kepada rakyat, bukan untuk membuat keuntungan yang sebesar mungkin.

Dengan sumber yang disatukan, sistem bekalan air yang sudah usang dan tidak cekap boleh digantikan dengan yang baru sejajar dengan perkembangan teknologi terkini. Dengan prasarana sedia ada, satu grid air kebangsaan juga boleh diwujudkan bagi menjamin tiada negeri menghadapi krisis air.

Pengurusan sumber air sebegini membolehkan negara menghadapi keadaan kecemasan seperti musim kemarau panjang yang tidak dijangka. Kerja merawat air juga perlu dilakukan badan ini, bukan diberikan kepada syarikat swasta.

Kerja ini adalah yang paling mudah dalam proses pembekalan air. Tiada kehilangan sumber berlaku seperti dalam kerja mengagih yang biasanya mencapai 50 peratus. Mereka mendapat keuntungan mudah yang berkadar terus dengan jumlah air yang dirawat. Maka tidak hairanlah ada banyak syarikat swasta mengemukakan cadangan mengambil alih tugas itu.

Fungsi syarikat swasta masih boleh dikekalkan dengan memberi mereka kontrak membina prasarana air atau membekalkan peralatan berkaitan. Tetapi fungsi mereka dihadkan kepada kerja kontrak sedemikian, bukan mengambil alih tugas utama yang dimainkan Jabatan Bekalan Air sejak dulu lagi.

Pengajaran daripada pengalaman Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) perlu diamati. Peningkatan kos penjanaan kuasa mengurangkan keuntungan TNB, sehingga memaksa peningkatan tarif.

Dengan mengawal sumber air dan kos rawatan, harga bekalan air bersih boleh dikawal pada paras yang munasabah, mampu ditanggung setiap rakyat.

Selain menangani soal penyelarasan sumber, rawatan dan pengagihan air, Dasar Air Negara dan Majlis Air Negara boleh bertindak memastikan kawasan tadahan air serta sungai yang mengalir ke loji rawatan dapat dikekalkan serta tidak dicemari dalam arus pembangunan pesat.

Semua pihak sedia maklum mengenai perkara ini yang terus diperkatakan pertubuhan kerajaan antarabangsa serta diperjuangkan pertubuhan alam sekitar. Pelbagai statistik mengenai permintaan dan sumber air negara dibentangkan. Namun ketiadaan dasar kebangsaan yang mantap menyaksikan sumber air negara terus hilang dan tercemar oleh kerakusan pihak yang hanya mementingkan keuntungan.

Pelbagai agensi penguatkuasaan kerajaan masih berbalah mengenai bidang kuasa masing-masing apabila berhadapan dengan masalah pencemaran. Masing-masing melepaskan tanggungjawab apabila didesak rakyat untuk bertindak.

Kilang-kilang haram yang melepaskan pencemaran ke dalam sungai yang menjadi sumber air terus bercambah. Kita tentu tidak mahu melihat pada suatu ketika nanti negara terpaksa bergantung kepada laut untuk sumber air. Kerja memproses air laut bukan sesuatu yang praktikal dan murah. Langkah tegas perlu diambil dari sekarang untuk mengelakkan situasi ini daripada berlaku. WHB

0 Comments:

Post a Comment

<< Home