Monday, January 08, 2007

PIPP perlu tumpu latih, pilih guru

KUALA LUMPUR: Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 perlu memberi penekanan kepada sistem pemilihan dan latihan guru serta pemantauan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah sekiranya mahu menghasilkan modal insan berwibawa, berpengetahuan dan berketrampilan.

Fellow Akademi Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Robiah Sidin, berkata semua ini yang menjadi asas kekuatan sistem pendidikan perlu sentiasa dipertingkatkan sejajar perubahan dan tuntutan zaman.

"Aspek utama ialah perguruan iaitu sistem memilih dan melatih guru. Ia sangat penting kerana gurulah yang mencetuskan perubahan dalam diri pelajar," katanya kepada Berita Harian ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas penekanan yang wajar diberikan dalam PIPP terutama dalam membangunkan modal insan berminda kelas pertama sejajar matlamat Misi Nasional yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Khamis lalu, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein meminta masyarakat memberi maklum balas berhubung pelan komprehensif lima tahun yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, 16 Januari.

PIPP menggariskan dasar, matlamat, fokus, strategi, pelan tindakan dan indikator pencapaian ke arah memantapkan sistem pendidikan kebangsaan.

Dr Robiah yang juga bekas Dekan Fakulti Pendidikan UKM berkata, pemantau proses pengajaran dan pembelajaran bilik darjah perlu bagi membantu guru mempertingkatkan prestasi mengajar, sekali gus pemahaman serta penerimaan pelajar terhadap ilmu yang disampaikan.

Katanya, walaupun sudah ada sistem nazir bagi menilai prestasi guru, ia tidak menyeluruh kerana kekurangan nazir manakala penilaian lebih bersifat pentadbiran, iaitu berkaitan urusan kenaikan pangkat.

"Eloklah kalau ada mekanisme membimbing guru...ia boleh dilakukan oleh sekolah sendiri membabitkan pengetua dan guru. Kalau ada kerjasama di sekolah, akan ada inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran," katanya.

Mengenai kaedah menghasilkan pelajar berminda kritikal, Dr Robiah berkata, pengajaran dan pembelajaran perlu menjangkau di luar silibus supaya pelajar memberi idea dan memperoleh pengetahuan selain dari buku teks.

Katanya, walaupun pendekatan itu dilaksanakan di sekolah menerusi projek kelas, ia tidak menyeluruh dan terhad kepada subjek tertentu.

"Pada masa ini kita agak tradisional, guru masih menjadi sumber utama pengetahuan. Pelajar perlu terbabit sama memberi pandangan dan guru pula bertindak sebagai fasilitator," katanya sambil menambah, pendekatan itu perlu mula dipraktikkan dalam peperiksaan.

Dr Robiah yakin PIPP adalah penambahbaikan sistem pendidikan yang menyeluruh sejajar tuntutan globalisasi.

FAKTA
Enam Teras PIPP
* Membina negara bangsa
* Membangunkan modal insan
* Memperkasakan sekolah kebangsaan
* Merapatkan jurang pendidikan
* Memartabatkan profesion perguruan
* Melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan

0 Comments:

Post a Comment

<< Home