Saturday, October 21, 2006

'Saya percayakan Feng Shui'

Sembang Sabtu: Tun Dr Ling Liong Sik (BH 10/12/2005)

SUARANYA yang perlahan menyebabkan wartawan terpaksa berebut-rebut untuk berada hampir dengannya, malah satu ketika akibat berebut-rebut sebuah daripada puluhan arca kristal yang menghiasi pejabatnya, jatuh dan pecah dilanggar wartawan.

Sememangnya, Tun Dr Ling Liong Sik lebih suka bertemu wartawan di pejabatnya. Oleh itu, tidak hairanlah jika ketika memegang jawatan Menteri Pengangkutan, beliau sering mengadakan sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet di pejabatnya, bukan di dewan mesyuarat seperti menteri lain.

Kini selepas lebih dua tahun bersara daripada politik, penulis sempat menemuinya Isnin lalu di pejabatnya di Universiti Tun Abdul Razak (Utar), Petaling Jaya. Ternyata keadaan sudah berbeza apabila Dr Ling tidak lagi diserbu wartawan seperti dulu.

Seperti dijanjikan, penulis bertanyakan pelbagai soalan yang tidak ada hubungan dengan politik seperti kisah zaman kanak-kanak dan remajanya. Dr Ling yang mulanya agak bimbang akan diajukan soalan serius, mula selesa sehinggakan beliau sendiri menceritakan kisah pertemuan dengan isterinya, Toh Puan Ena Ling.

Namun, sebagai seorang pemimpin yang terkenal tidak banyak berceloteh, kisah yang diceritakannya begitu ringkas sehingga penulis terpaksa meminta beliau menjelaskan beberapa perkara lebih lanjut.

Melihat keadaan pejabatnya sekarang yang begitu ringkas dengan tiga saja arca menjadi perhiasan, penulis bertanyakan kebenaran kisah yang diceritakan rakan sekerja bahawa Dr Ling percayakan kuasa mistik pada arca sehingga beliau banyak mengumpulnya.

Sambil ketawa dan menunjuk ke arah patung 'Lord of Justice' (Dewa Keadilan Cina) di atas para di belakangnya, beliau berkata, kisah itu tidak benar dan hanya timbul kerana salah faham mereka yang melihat keadaan pejabatnya dulu.

"Mereka lihat patung 'Lord of Justice' dalam TV dan mereka beri lagi kerana menyangka saya sukakan patung itu. Ada yang kecil, ada yang besar, berdiri, duduk, naik kuda, banyak sungguh kerana mereka sangka saya suka. Maka, setiap kali ada majlis, mereka beri sehingga terlalu banyak," katanya.

Namun, seperti pemimpin Cina lain, Dr Ling mengaku beliau percayakan Feng Shui dan mengamalkan dalam kehidupan sehariannya.

"Ya , saya baca banyak buku mengenai Feng Shui. Feng Shui ialah harmoni kuasa tubuh anda dengan kuasa alam sekitar. Jangan sekali-kali bercanggah kerana jika bercanggah anda tak boleh buat keputusan yang betul. Anda perlu sesuaikan semuanya supaya harmoni. Tujuan Feng Shui bukan untuk nasib baik, tetapi untuk menyediakan persekitaran yang harmoni," katanya menjelaskan ilmu tradisi Cina itu.

Dr Ling juga mengaku kepercayaannya kepada Feng Shui begitu kukuh hinggakan beliau mengarahkan sedikit pengubahsuaian terhadap Wisma MCA.

"Ada orang datang lihat dan ubah meja serta sebagainya supaya segala-galanya berharmoni dengan kuasa alam sekitar. Apabila pejabat anda tidak harmoni, anda rasa tidak selesa, ada bilik tertentu yang anda masuk dan rasa sesuatu tidak betul," katanya.

Mengenai desas-desus ada pemimpin daripada kumpulan yang menentangnya sehingga kini tidak berani mengikut laluan masuk utama Wisma MCA kerana takut ditimpa malang berikutan perubahan Feng Shui yang lakukan, Dr Ling berkata:

"Tak adalah, bila anda ada salah faham maka banyak cerita yang timbul, itu cuma kepercayaan karut."

Mengimbau pembabitannya dalam politik, Dr Ling berkata, beliau berjinak dengan politik sejak melanjutkan pelajaran di University of Singapore yang mana beliau menjadi Ketua Perwakilan Pelajar universiti itu.

Bakatnya dalam politik terus diasah selepas bertugas sebagai doktor di Hospital Besar Pulau Pinang dengan membabitkan diri secara aktif dalam perbincangan bersama beberapa rakan.

"Tidak lama selepas itu, parti politik menjemput saya dan saya menyertai MCA. Parti lain ada juga membuat tawaran kepada saya, tetapi saya berpendapat jika anda tidak suka dengan sesuatu sistem maka lebih mudah untuk membuat perubahan daripada dalam berbanding dari luar," katanya.

Melihat Dr Ling semakin selesa berbicara mengenai politik, penulis lantas meminta izin bertanyakan mengenai peristiwa 16 Februari 1988 yang bukan saja bersejarah bagi beliau, tetapi juga politik negara apabila beliau yang juga Presiden MCA mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) untuk memutuskan kemasukan semula Umno.

Walaupun seketika, itulah kali pertama dalam sejarah politik negara pemimpin parti bukan Umno menjadi Pengerusi BN. Secara tradisinya, Pengerusi BN adalah Presiden Umno yang sekali gus juga Perdana Menteri.

Secara teknikalnya, Presiden MCA, iaitu parti komponen BN terbesar dan sah pada masa itu, adalah pemimpin kerajaan BN. Namun, ketika diminta menceritakan apa yang berlaku ketika mesyuarat itu, Dr Ling sekadar menyatakan ia satu penghormatan dan tanggungjawab berat.

"Mereka lantik saya sebagai Pengerusi BN kerana MCA parti kedua terbesar. Mesyuarat berakhir agak pantas kerana satu-satunya agenda ialah untuk menerima semula kemasukan Umno dalam BN.

"Itulah kali pertama, pemimpin bukan Umno mempengerusikan mesyuarat. Ia sejarah kerana secara tradisi parti terbesar mempengerusikan mesyuarat. Tetapi itu sesuatu yang diperlukan ketika itu sebab Umno dibubarkan," katanya begitu berhati-hati.

Mengenai cakap-cakap politik bahawa beliau sebenarnya diamanahkan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mentadbir negara sementara krisis politik Umno selesai, Dr Ling lantas menafikannya dan berkata, kerajaan dan parti adalah dua perkara berbeza.

"Tidak, walaupun Umno dibubarkan, Ahli Parlimen masih memberi kepercayaan kepada Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri. Yang di-Pertuan Agong melantik seseorang yang mendapat kepercayaan majoriti Parlimen menjadi Perdana Menteri dan keyakinan itu tidak pernah hilang, walaupun beliau tidak ada parti ketika itu," katanya.

Ditanya apakah ada cubaan daripada mana-mana pihak, khususnya serpihan Umno, memujuknya melakukan sesuatu yang lain, Dr Ling yang pada mulanya sekadar ketawa, berdiam diri dan berfikir panjang, seolah-olah buntu sama ada soalan itu perlu dijawab atau tidak.

"Tidaklah, tak ada... kenapa? Anda fikir ada orang lain nak jadi Perdana Menteri. Tak ada Umno masa itu, Umno baru masih di luar BN. Esok hari mengundi di Pengkalan Pasir?" katanya yang jelas mahu mengubah topik perbualan.

Penulis memahami isyarat yang diberikan Dr Ling dan kembali bertanya persoalan mengenai pencapaiannya selama menerajui MCA dan berada dalam kerajaan.

"Saya seorang yang amat bernasib baik, hampir semua perkara yang ingin saya lakukan dapat diselesaikan. Saya membantu sekolah, mengembangkan Kolej TAR daripada cawangan di Setapak sampai ke Pulau Pinang, Perak, Pahang, Johor dan Sabah. Daripada hanya 4,000 pelajar kepada 30,000 pelajar.

"Perkara akhir yang saya buat dan dipersetujui Dr Mahathir ialah menubuhkan Utar yang sudah ada 10,000 pelajar dan pada Mei depan ia dijangka meningkat kepada 14,000. Daripada lapan kursus ketika dimulakan tiga tahun lalu kini ada 35 kursus, termasuk lima kursus sarjana yang baru dilancar," katanya yang juga Pengerusi Majlis Utar.

Dr Ling berkata, MCA hampir bankrap ketika beliau mengambilalih teraju parti itu, tetapi sekarang ia tidak lagi berhutang satu sen pun dengan nilai asetnya saja melebihi RM1 bilion.

"Dulu ada 23 koperasi yang gagal dan ratusan ribu pendeposit tiada wang, tetapi kami dapat menyelesaikan dan membayar setiap ringgit," katanya sambil menambah takdir yang menentukan segala-galanya.

Dr Ling berkata, beliau kini berada di fasa ketiga dalam hidupnya selepas 30 tahun menimba ilmu sehingga berkhidmat sebagai doktor dan tempoh sama berjuang dalam politik dari 1974 hingga bersara pada 2003.

"Fasa ketiga dalam hidup saya ialah pendidikan. Saya tubuhkan Utar dan mewujudkan peluang belajar untuk generasi muda. Sasaran saya tahun depan ialah menjadikan Utar universiti majmuk," katanya sambil menambah pada masa ini hanya ada 60 pelajar Melayu dan 150 pelajar India di universiti itu.

Dr Ling mencadangkan supaya diadakan program pertukaran pelajar di antara institusi pengajian tinggi awam dan Utar menerusi penyelarasan kurikulum dan kursus supaya pelajar pelbagai kaum dapat berinteraksi.

"Saya sudah jelaskan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Razak. Saya rasa mereka bersetuju kerana ia menepati matlamat nasional," katanya.

`Anak emak' mahu jadi pegawai hutan tapi...Jika diikutkan hati, Tun Dr Ling Liong Sik tidak akan bergelar doktor, malah arena politik negara juga mungkin tidak mengenalinya sebagai Presiden MCA atau menteri Kabinet, sebaliknya beliau mungkin hanya dikenali di kalangan penghuni rimba.

"Saya sebenarnya mahu menjadi pegawai perhutanan. Saya mahu belajar ilmu perhutanan. Saya aktif bersukan dan kegiatan luar, saya lebih suka berada di luar daripada duduk di klinik dan memeriksa pesakit. Saya suka ke hutan, berjalan-jalan dan mengkaji pokok," katanya.

Malah, beliau pernah ditawarkan biasiswa di bawah Colombo Plan bagi mengikuti kursus perhutanan di Australia selepas menduduki Sijil Tinggi Persekolahan yang dulu dikenali sebagai HSC.

"Tetapi ibu saya kata 'tidak, anda pergi ke Singapura dan ikuti bidang perubatan'. Sebagai anak lelaki yang baik, saya ikutlah apa mak kata, ikut sajalah," katanya dengan nada lembut yang menggambarkan beliau 'anak emak'.

Dr Ling berkata, pada masa itu sudah menjadi satu kemestian kepada ibu bapa untuk cuba sedaya upaya membesarkan anak mereka untuk mendapat jawatan impian, iaitu doktor.

"Dulu kerjaya pilihan ibu bapa paling utama ialah doktor, kemudian jurutera, peguam dan seterusnya. Sekarang mungkin berubah, paling atas ialah ahli perniagaan. Bagi orang Melayu, dulu kakitangan kerajaan, kini sudah berubah. Maka ibu bapa anda akan terus mempengaruhi anda supaya menjadi doktor," katanya yang kematian bapa ketika baru berusia tiga bulan.

"Tun menyesal?" soal penulis.

Dr Ling berkata, rasa sesal tidak pernah ada kerana beliau percaya kepada takdir dan kerana kerjaya itulah juga beliau menemui jodohnya dengan Toh Puan Ena Ling.

Dr Ling anak tunggal dalam perkahwinan pertama ibunya, sebelum berkahwin lagi dan dikurniakan tiga lagi anak iaitu adik tiri Dr Ling.

Namun, sebagai doktor perubatan Dr Ling agak terkilan kerana ibunya meninggal dunia akibat barah rektum yang lewat dikesan.

"Sekarang kita patut selalu buat ujian kesihatan menyeluruh daripada atas ke bawah. Walaupun tiada ada simptom, kita kena periksa. Kalau ada ketumbuhan kita boleh potong dan kawal penyakit itu," katanya sambil menjelaskan secara terperinci prosedur pemeriksaan itu.

Ditanya apakah beliau pernah berharap dapat mengesan sendiri penyakit ibunya itu, Dr Ling berkata ibunya tidak pernah mengadu.

"Lagipun mana ada anak lelaki yang akan memeriksa ibunya sampai ke situ, anda serah kepada doktor," katanya.

PROFIL
TARIKH LAHIR: 18 September 1943
TEMPAT LAHIR: Kuala Kangsar, Perak
ISTERI: Toh Puan Ena Ling
ANAK: Ling Hee Leong, Ling Hee Keat
PENNIDIKAN:
*Sekolah King Edward VII (1950-1957)
*Maktab Tentera Diraja (1958-1960)
*University of Singapore (1961-1966)
KERJAYA:
*Doktor di Hospital Besar Pulau Pinang (1966-1968)
*Doktor klinik persendirian di Butterworth (1968-1975)
*Pengerusi Universiti Tunku Abdul Rahman (2002-kini)
JAWATAN POLITIK:
*Ahli Parlimen Mata Kuching, Pulau Pinang (1974-1986)
*Naib Pengerusi MCA Pulau Pinang (1977)
*Timbalan Presiden MCA (1985-1986)
*Presiden MCA (1986-2003)
JAWATAN KERAJAAN:
*Setiausaha Parlimen Kementerian Kerajaan Tempatan dan Wilayah
Persekutuan (1976-1977)
*Timbalan Menteri Penerangan (1977-1982)
*Timbalan Menteri Kewangan (1982-1984) (Bersara daripada Kabinet pada
28 Mac 1984 selepas dipecat daripada MCA)
*Timbalan Menteri Pelajaran (1985-1986)
*Menteri Pengangkutan (1986-2003)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home