Monday, October 16, 2006

Mara tumpu usahawan mikro

Perkukuh rangkaian pasaran bagi produk keluaran pengilang Bumiputera

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan membelanjakan RM180 juta bagi melahirkan 18,000 usahawan menerusi Program Pembangunan Usahawan Mikro Mara-PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pada tahun ini saja Mara meluluskan peruntukan RM8.85 juta bagi mewujudkan 1,770 usahawan di 58 PBT di seluruh negara.

Katanya, program di peringkat akar umbi itu adalah pelengkap kepada usaha bagi mewujudkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) seperti yang disasarkan Misi Nasional dan RMK-9 untuk melahir 150,000 usahawan baru dan pengukuhan lebih 25,000 usahawan sedia ada.

“Kita berharap usahawan mikro ini akan menjadi saluran pasaran bagi produk keluaran pengilang Bumiputera,” katanya berucap melancarkan program itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.

Pada majlis itu, Mohamed Khaled turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman di antara Mara dan Yayasan Tekun Nasional (Tekun) untuk kemudahan pembiayaan kepada usahawan mikro dan menyampaikan sijil kursus kepada peserta awal program itu.

Hadir sama ialah ketua Pengarah Mara, Datuk Zamani Md Noor, dan Pengerusi Tekun, Datuk Abdul Rahman Ariffin.

Menerusi program itu, PBT akan menyediakan kawasan strategik manakala Mara membiayai pembinaan kiosk bernilai RM3,000 untuk disewakan dan suntikan modal RM500 kepada usahawan mikro terpilih.

Mara juga akan memberi latihan seperti asas perakaunan dan pengurusan perniagaan kepada usahawan terbabit serta mendaftarkan mereka dalam Sistem Usahawan Mara bagi membentuk komuniti usahawan Mara di seluruh negara.

Sehingga kini 86 PBT sudah memberi persetujuan untuk menjayakan program berkenaan dengan fasa pertama di Perak membabitkan 16 PBT, Selangor (12), Negeri Sembilan (8), Terengganu (7), Melaka (2), dan Pahang serta Sabah (1).

Mohamed Khaled berkata, Program Pembangunan Usahawan Mikro Mara-PBT juga akan mewujudkan peluang kerja kepada kontraktor kelas F dalam PBT yang mengambil bahagian.

Katanya, Mara sudah memperuntukkan sejumlah RM270,000 bagi pembinaan 90 kiosk baru dalam PBT berkenaan.

“Bagi menjamin pembahagian kerja kepada lebih ramai kontraktor kelas F, Mara menetapkan setaip kontraktor hanya diberi tugasan membina tiga kiosk saja,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, kerjasama di antara Mara dan Tekun itu akan membolehkan usahawan mikro berkenaan mendapat pembiayaan sehingga RM30,000.

“Bagi kemudahan usahawan, permohonan di bawah program ini boleh diserahkan secara terus kepada semua cawangan Tekun di seluruh negara,” katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home