Saturday, December 16, 2006

‘Kerajaan berat hati naikkan tol’

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, keputusan membenarkan lima syarikat konsesi menaikkan kadar kadar tol di lebuh raya sekitar Lembah Klang, dibuat kerajaan dengan berat hati.

Sehubungan itu kata Perdana Menteri, rakyat perlu faham bahawa keputusan itu terpaksa dibuat sebagai memenuhi tanggungjawab perjanjian konsesi yang dimeterai dan mengurangkan beban kewangan negara.

Katanya, rakyat juga perlu faham pembinaan lebuh raya itu sebenarnya memberi banyak manfaat seperti meningkatkan nilai hartanah dan memangkin pembangunan, selain menyediakan kemudahan lalu lintas yang diperlukan.

Beliau berkata, kerajaan juga menanggung sebahagian daripada kenaikan kadar tol itu bagi meringankan bebanan rakyat dan mereka akan dapat menikmati kemudahan itu secara percuma pada masa depan apabila tempoh konsesi tamat.

“Memang amat berat bagi kerajaan mengenakan tambahan pembayaran tol itu, sebab itulah kerajaan mengambil keputusan berkongsi bebanan itu, ertinya subsidi dan jumlah yang diberi pula bukan sedikit, RM2.6 bilion setahun.

“Saya harap rakyat dapat terima (rasionalnya). Bukanlah kerajaan lepas tangan langsung sebaliknya masih memberi subsidi,” katanya selepas merasmikan Perhimpunan Agung Parti Progresif Penduduk (PPP) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

Beliau ditanya apakah rasional bagi kerajaan membenarkan kenaikan kadar tol di lima lebuh raya konsesi terbabit antara 30 sen hingga RM1 atau 15 hingga 60 peratus mula 1 Januari depan.

Kenaikan tol bagi laluan berkenaan, iaitu Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuhraya Cheras-Kajang, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KL-Karak) dan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), diumumkan kelmarin.

Mengenai pandangan bahawa perjanjian konsesi itu merugikan kerajaan dan rakyat, Abdullah berkata, pada masa dulu kaedah pembinaan lebuh raya seperti itu didapati baik bukan saja oleh kerajaan tetapi juga rakyat.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, apa yang menjadi masalah ialah unjuran penggunaan lebuh raya berkenaan dan perolehan syarikat konsesi tidak dapat dicapai sehingga kerajaan perlu membayar pampasan yang tinggi.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home