Monday, November 13, 2006

Perjuangan Pertahan Ketuanan Melayu


DALAM kesibukan di ruang legar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) seorang lelaki Melayu yang agak berusia duduk bersendirian memerhatikan gelagat anggota perwakilan Umno negeri mengambil pas dan beg perhimpunan di kaunter pendaftaran. Pandangannya beralih daripada satu kumpulan anggota perwakilan yang riang bertegur sapa dan bersalaman. Warna pakaian mereka yang berseri lagi bergaya menunjukkan sayap parti yang mereka anggotai.

Lelaki tua berkopiah itu terus memerhati gelagat perwakilan Umno yang gembira bertemu rakan seperjuangan pada perhimpunan keramat setahun sekali itu. Berbeza dengan anggota perwakilan, wajahnya yang sudah dimamah usia tidak menampakkan rasa gembira dan dahinya acap kali berkerut apabila melihat aksi gurau senda mereka.

Tangannya menggenggam erat beg plastik lama berwarna putih yang bukan tandingannya dengan beg kulit perwakilan. Di dalamnya hanya terkandung sebotol air mineral sebagai bekalan menghilang dahaga dan sehelai kain pelikat lusuh untuk dipakai ketika solat di surau berhampiran Menara Dato' Onn.

"Pakcik datang setiap tahun dari Pahang untuk tengok Perhimpunan Agung Umno ini. Petang pakcik balik, kalau tak sempat pakcik bermalam di rumah anak di Kuala Lumpur. Pakcik naik bas, tak susah kerana hentian bas sebelah sana saja," katanya kepada penulis sambil menunjukkan ke arah Hentian Putra yang terletak di seberang jalan dari PWTC.

"Masa muda dulu pakcik pun kuat berjuang untuk Umno tetapi masa dulu lain daripada sekarang...," katanya yang tiba-tiba berhenti berbicara sambil mengangkat tangan menutup wajahnya supaya tidak dirakam jurugambar. "Jangan ambil gambar pakcik, tak payahlah, cerita pun jangan," katanya yang sekadar memperkenalkan dirinya sebagai "pakcik".

Pertemuan dan perbualan ringkas dengan "Pakcik" itu berlaku sehari sebelum Perhimpunan Agung Umno tahun lalu. Seperti perhimpunan agung sebelum ini, ramai kalangan ahli Umno seangkatan dengannya akan hadir sama, cuma kedatangan mereka tidak mendapat perhatian di tengah-tengah ribuan manusia yang memenuhi ruang PWTC, termasuk gerai jualan, atau pun mungkin kerana mereka sekadar ahli biasa yang sudah lama bersara.

Rasa cinta mereka terhadap parti dan perjuangan menentang Malayan Union dan menuntut kemerdekaan bagi memartabatkan bangsa, agama dan negara sudah sebati dalam jasad dan jiwa mereka. Mereka sayangkan Melayu, mereka kasihkan Islam dan mereka cintakan Tanah Melayu. Mereka mahu melihat bagaimana pemimpin dan ahli Umno sekarang melayari bahtera parti untuk terus memperjuangkan Agenda Melayu.

Pastinya, kumpulan orang lama Umno ini tidak akan ketinggalan menghadiri perhimpunan agung kali, lebih-lebih lagi apabila dikhabarkan ia akan lebih "panas" berikutan keadaan semasa yang disifatkan kalangan "penganalisis politik kedai kopi" sebagai boleh membawa kepada perpecahan parti kerana Umno dikatakan sudah pun berpuak kepada Presiden dan mantan Presiden.

Kritikan berbisa Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap beberapa dasar kerajaan seawal selepas pilihanraya umum 2004 dan kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sejak akhir-akhir ini cukup menggusarkan hati bukan saja ahli Umno tetapi juga orang Melayu keseluruhannya, lebih-lebih lagi apabila kaum lain dilihat sudah mula berani mempersoalkan hak orang Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.

Dr Mahathir bukan saja lantang mengkritik di luar tetapi beliau cuba membawanya ke khalayak perwakilan dalam Dewan Merdeka pada perhimpunan agung kali ini dengan bertanding untuk menjadi perwakilan Umno Kubang Pasu. Kekalahan beliau pada pertandingan itu bukan meredakan keadaan, sebaliknya merumitkannya lagi berikutan dakwaan konspirasi membabitkan Majlis Tertinggi (MT) Umno untuk memastikan beliau tidak terpilih.

Kebimbangan itu diburukkan lagi apabila pertemuan empat mata Abdullah dan Dr Mahathir dua hari sebelum Aidilfitri lalu yang diatur Mubarak gagal meredakan perbalahan mereka. Malah laporan media asing turut meramalkan perhimpunan agung Umno kali ini bakal hangat. Majalah antarabangsa Time dalam edisinya minggu lalu menjadikan Dr Mahathir personaliti muka depan dengan rencana yang menyentuh perbalahan beliau dengan penggantinya.

Cuma keadaan kesihatan Dr Mahathir selepas serangan jantung awal Khamis lalu yang tidak mengizinkan beliau menghadiri Perhimpunan Agung Umno kali ini dilihat meredakan keadaan yang sebelum ini membimbangkan ahli MT sehingga mereka memberi nasihat supaya perwakilan menjaga adap bangsa dan disiplin parti apabila berucap kelak.

Ketiadaan Dr Mahathir pada Perhimpunan Agung Umno kali ini, iaitu untuk dua tahun berturut-turut, mungkin dianggap sebilangan ahli parti sebagai "rahmat" kerana ia mengelak sebarang pertembungan yang tidak diingini dengan Abdullah, lebih-lebih lagi selepas bekas Perdana Menteri itu secara terbuka menyatakan tekad untuk terus mengkritik bagi memperbetulkan apa yang dikatakannya kepincangan pentadbiran sekarang.

Kehadiran pemimpin Umno di Institut Jantung Negara (IJN), termasuk Perdana Menteri, untuk menziarahi Dr Mahathir sebagai tanda hormat kepada tokoh yang memimpin mereka selama lebih 22 tahun, meredakan keadaan, lebih-lebih lagi apabila terpampangnya gambar anak bekas Perdana Menteri, Datuk Mokhzani Mahathir, mengiring dan berbual dengan Abdullah.

Episod yang menyentuh hati itu memberi harapan bahawa perbalahan di antara Abdullah dan Dr Mahathir yang sudah berlarutan agak lama dan hampir melemahkan perpaduan Melayu boleh ditamatkan atau sekurang-kurangnya diredakan buat masa sekarang bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada usaha mencapai matlamat Misi Nasional.

Justeru, dengan harapan baru itu ramai yang berpendapat suasana panas yang dijangkakan menyelubungi Dewan Merdeka bertukar menjadi hawa yang lebih selesa untuk kira-kira 5,000 perwakilan Umno. Ikrar sokongan kepada kepemimpinan parti sekarang akan pasti dilafaz silih berganti oleh perwakilan yang dipilih berucap mewakili sayap dan negeri masing-masing, begitu juga dengan lafaz doa supaya Dr Mahathir yang sudah hampir berusia 81 tahun itu kembali sihat. Hakikatnya, ramalan akan berlakunya "Peristiwa November" yang bakal menggegarkan Umno ternyata semakin meleset.

Namun, sebagai pentas memperbaharui iltizam merealisasikan Agenda Melayu, perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno kali ini tetap akan menggemakan Dewan Merdeka dengan pelbagai tuntutan ketika membahaskan usul ucapan terima kasih terhadap ucapan dasar presiden, ekonomi dan pendidikan serta agama dan sosial.

Seperti yang dijelaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semasa temubual dengan akhbar ini Khamis lalu, kepimpinan parti mahu perhimpunan agung kali ini menjadi cerminan hati nurani orang Melayu kerana Umno mewakili 3.2 juta ahli dan 16 juta orang Melayu yang mengharapkan kepada kepemimpinan Umno.

“Perhimpunan agung ini mesti menjadi wahana yang sejajar dengan tanggungjawab kita sebagai parti yang mewakili kepentingan orang Melayu keseluruhannya. Kita tidak mahu perhimpunan agung ini tidak mencapai aspirasi orang Melayu yang menunggu penjelasan mengenai sesuatu isu yang penting bagi orang Melayu,” katanya yang mengharapkan perhimpunan agung kali ini dapat meredakan perbalahan di antara Abdullah dan Dr Mahathir.

Najib selaku Timbalan Presiden Umno akan merasmikan secara serentak persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno pada malam ini dan beliau juga akan menggariskan pelan tindakan kepada usaha menjana Melayu Glokal, iaitu konsep memartabatkan bangsa yang dicadangkan pada perhimpunan sama tahun lalu.

“Saya melontarkan konsep Melayu Glokal ini sebagai satu konsep untuk dihayati orang Melayu kerana sekiranya kita hendak menjadi bangsa yang cemerlang, kita tidak harus cemerlang dalam negara saja, sebaliknya, sebagaimana kita tahu dalam era globalisasi ini, dunia sepatutnya menjadi medan pertarungan. Oleh itu, sekiranya kita ingin mengangkat martabat dan maruah orang Melayu dan negara Malaysia, kita mesti dianggap atau dilihat sebagai bangsa yang hebat di arena antarabangsa," katanya.

Bayangan sentimen perhimpunan agung kali ini pastinya dapat dirasa ketika persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri yang akan berlangsung esok. Perbincangan di kalangan perwakilan Wanita Umno mungkin agak keras kerana Ketuanya, Datuk Seri Rafidah Aziz, menjadi sasaran langsung Dr Mahathir. Perwakilan yang dipilih berucap tentunya akan menyatakan sokongan kepada kepemimpinan Rafidah yang sudah pun menyatakan dengan jelas pendiriannya berhubung isu kritikan Dr Mahathir.

Senario persidangan Pemuda Umno juga tidak banyak bezanya. Selain sokongan kepada Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, ikrar akan turut diberi kepada Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin, yang menjadi sasaran kritikan Dr Mahathir. Malah, semangat Melayu yang berkobar-kobar di kalangan perwakilan Pemuda Umno akan menjanjikan sokongan kepada menantu Perdana Menteri itu yang diturut dikritik parti Cina, termasuk komponen BN, berikutan kenyataannya pada mesyuarat perwakilan Umno bahagian tidak lama dulu.

Cuma persidangan Puteri Umno yang bakal menunjukkan ketenangan sejajar usia mudanya dan kelembutan ahlinya kerana perbahasan kali ini akan menumpukan kepada isu pendidikan wanita muda dan peluang pekerjaan untuk graduan wanita seperti yang dinyatakan Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad.

Namun, sentimen sebenar hanay akan terungkai pada Rabu ini apabila perwakilan mendengar ucapan dasar Presiden. Sebagai Perhimpunan Agung Umno pertama selepas pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) Mac lalu, perwakilan pastinya akan membangkitkan soal perlaksanaanya dan mahukan penjelasan Perdana Menteri berhubung beberapa perkara terbabit serta manfaatnya kepada orang Melayu berikutan cakap-cakap yang mengatakan ia hanya menguntungkan segelintir pihak yang rapat dengan pentadbiran sekarang.

Isu ekonomi orang Melayu di bandar besar, khususnya kedudukan Melayu Pulau Pinang yang baru-baru ini mencetuskan pertikaman lidah di antara pemimpin Umno negeri dengan Ketua Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon, dan menimbulkan kembali cadangan penggiliran jawatan Ketua Menteri, juga akan dibangkitkan walaupun Perdana Menteri sudah mengumumkan program khas kerajaan pusat dan negeri bagi membantu orang Melayu di negeri itu dan pemakaian sistem pentadbiran sedia ada.

Berdasarkan resolusi beberapa konvensyen Umno negeri yang berlangsung minggu lalu, perwakilan juga akan menuntut kepimpinan parti mempertahankan kedudukan agama Islam yang cuba dipertikaikan pihak tertentu, seperti desakan supaya ditubuhkan Majlis Antara Agama, cubaan melemahkan Artikel 11 dan menukar Artikel 121 1(a) Perlembagaan Perselutuan walaupun kesemuanya sudah dijawab Abdullah.

Isu murtad pastinya akan disentuh ramai perwakilan lebih-lebih lagi berlaku beberapa kes berkaitan sepanjang tahun ini seperti perebutan jenazah di antara ahli keluarga dan jabatan agama, permohonan wanita Melayu untuk menggugurkan perkataan Islam daripada Mykad dan penyebaran khabar angin mengenai majlis mengkristiankan orang Melayu baru-baru ini.

Perwakilan juga tentunya akan membangkitkan soal kenyataan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew, yang jelas berniat untuk menghasut kaum Cina di negara ini dengan dakwaan kononnya mereka dipinggirkan. Isu Bangsa Malaysia yang berkait rapat dengan Ketuanan Melayu juga akan dibangkitkan perwakilan walaupun sudah dijawab kepemimpinan tertinggi.

Kesimpulannya, perwakilan mahu Umno sebagai tonggak kerajaan bersifat sebagai tuan, bukannya hamba, dalam menghadapi asakan kaum lain. Kehendak akar umbi itulah yang seharusnya disambut ahli MT dengan suara lantang sebagai mesej jelas kepada rakan dan juga lawan di luar yang pastinya mengikuti dengan rapat Perhimpunan Agung Umno kali ini.

Justeru, jawapan Abdullah terhadap isu berkenaan amat dinanti-natikan bukan saja perwakilan tetapi juga seluruh orang Melayu dan rakyat negara ini. Ketuanan Melayu tidak seharusnya dicabar dan jika dicabar, Umno sebagai tonggak Melayu dan kerajaan perlu bertegas dalam memperjuangkan Agenda Melayu.

Namun, penjelasan akan tinggal penjelasan jika perwakilan dan ahli Umno sekadar mendengar tetapi tidak menerimanya kerana lebih mempercayai cakap-cakap di luar. Usul boleh dibangkitkan dan usul juga boleh dijawab, diterima atau ditolak tetapi penyelesaian tidak boleh dicapai jika kita sendiri tidak mahu percaya. Perhimpunan agung kali ini juga tidak akan membawa erti jika ahli Umno tidak sepakat dan ikhlas dalam perjuangan demi bangsa, agama dan negara. Ia hanya akan menjadi mesyuarat tahunan yang penuh dengan retorik yang tidak membawa apa erti pun kepada bangsa.

Seperti yang dinyatakan Pakcik dari Pahang itu sikap ahli Umno kini sudah banyak berbeza ketika zaman pejuang dulu menuntut dan mengisi kemerdekaan. Namun, beliau amat berharap suasana penuh semangat dalam perjuangan membela bangsa, agama dan negara seperti dulu akan kembali pada Perhimpunan Agung Umno yang diadakan di bangunan yang gah seperti PWTC itu. Sebab itulah beliau sanggup datang ke ibu negara dengan menaiki bas pada setiap kali perhimpunan agung.

Pesan beliau kepada penulis ketika melihat perwakilan Umno gelak ketawa di ruang legar PWTC itu amat bermakna dan sewajarnya dihayati seluruh ahli dan pemimpin Umno serta orang Melayu sebelum tanah air tergadai akibat sengketa sesama kita dan kealpaan kita. Katanya: "Kalau kita terlalu banyak ketawa di siang hari, bimbang nanti kita akan menangis di malam hari." Selamat bersidang.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home