Sunday, October 22, 2006

Pak Lah, Dr M bertemu hari ini

KUALA LUMPUR: Pertemuan empat mata antara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr Mahathir Mohamad dipercayai akan dilangsungkan hari ini.

Berita Minggu difahamkan penetapan tarikh dan tempat bagi perjumpaan yang dinantikan semua pihak itu disampaikan kepada bekas Perdana Menteri itu, semalam.

Bagaimanapun, tempat pertemuan itu tidak dinyatakan walaupun ramai menjangka ia diadakan di ibu pejabat Umno di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Malah, individu yang terbabit dalam usaha menjayakan pertemuan itu enggan mengulas apabila berjaya dihubungi semalam.

Pertemuan kedua-dua tokoh itu dibuat hasil cadangan Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) sejak September lalu.

Antara ahli Mubarak yang dikaitkan dengan usaha itu ialah bekas menteri, Tan Sri Zaleha Ismail, bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah yang juga pemangku Pengerusi Mubarak, Datuk Abu Zahar Ujang, dan bekas Ahli Parlimen Pendang, Datuk Othman Abdul.

Turut terbabit ialah Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, bekas Exco Kedah, Tan Sri Khalid Abdullah, dan anak Dr Mahathir sendiri, Datuk Mokhzani.

Sementara itu, Abdullah ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Deepavali anjuran Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu di PWTC, malam tadi, enggan mengulas ketika ditanya mengenai pertemuannya dengan Dr Mahathir yang dikatakan diadakan hari ini.

Perancangan pertemuan itu pertama kali didedahkan kepada umum Selasa lalu, apabila Dr Mahathir menyatakan kepada media beliau menerima cadangan pertubuhan itu bagi berbincang mengenai apa yang disifatkan sebagai masalah dalam pentadbiran.

“Mubarak cadang saya jumpa Perdana Menteri dan cerita apa yang terbuku dalam hati dan saya setuju. Cuma tinggal masa sajalah,” katanya.

Sehari kemudian, Abdullah menyatakan beliau sedia bertemu Dr Mahathir sebelum Aidilfitri tanpa mengenakan sebarang syarat.

Perdana Menteri berharap pertemuan itu, yang hanya membabitkan beliau dan Dr Mahathir tanpa kehadiran pihak ketiga, dapat membawa kebaikan kepada semua termasuk Umno dan rakyat.

“Harapan saya, insya-Allah akan membawa kebaikan,” katanya.

Dr Mahathir, sebelum ini dikatakan bersetuju berjumpa Abdullah dengan syarat seorang saksi turut serta dalam pertemuan itu.

Bagaimanapun, syarat itu dikatakan ditolak Perdana Menteri dan selepas dipujuk perwakilan Mubarak, Dr Mahathir bersetuju dengan pertemuan empat mata.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home