Thursday, December 14, 2006

Cip RFID bantu tingkat kawalan keselamatan

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang membangunkan sistem pemantauan pergerakan individu berasaskan teknologi cip Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) bagi meningkatkan kawalan keselamatan khususnya soal berkaitan rakyat asing di negara ini.

Berita Harian difahamkan, fasa pertama sistem pemantauan gelombang radio itu yang membabitkan perbelanjaan beratus juta ringgit sedang dilaksanakan Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara dengan beberapa syarikat vendor tempatan.

Fasa seterusnya dijangka membabitkan integrasi sistem pemantauan kenderaan, iaitu penggunaan nombor plat pintar dengan cip RFID atau "e-plate" yang sedang dinilai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Sistem e-plate dijangka mampu menjadi alat yang berkesan dalam usaha penguatkuasaan peraturan lalu lintas, menangani pemalsuan nombor plat dan mencegah kecurian kenderaan.

Sistem pemantauan itu boleh diintegrasikan dengan sistem televisyen litar tertutup yang dibangunkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membentuk pemantauan pergerakan bersepadu.

Menerusi sistem itu, pengesan atau pengimbas cip RFID yang diletakkan di kawasan strategik mampu merekodkan pergerakan pemegang kad atau kenderaan dengan plat berkenaan dan jika perlu kamera CCTV akan diaktifkan untuk membuat rakaman visual.

Sistem pemantau seumpama itu sudah pun dilaksanakan di Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah lain bagi meningkatkan kawalan keselamatan berikutan peristiwa serangan pengganas di New York pada 11 September 2001.

Walaupun tiada pengumuman rasmi yang khusus berhubung rancangan itu, beberapa perkembangan sejak awal tahun ini menunjukkan sistem seumpama itu sedang giat dibangunkan kerajaan.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, pada sidang media bulan lalu menyatakan Kabinet mahu satu sistem pemantauan diwujudkan bagi menangani masalah itu berikutan jangkaan peningkatan kemasukan rakyat asing.

Katanya, peruntukan berjuta ringgit sudah disediakan untuk tujuan itu dan satu sistem pemantauan menggunakan teknologi masa kini akan dibangunkan bagi membolehkan pihak berkuasa mengetahui atau mengawasi pergerakan rakyat asing.

Rabu lalu, Radzi mengumumkan semua warga asing dikehendaki mendapatkan sama ada Kad Pekerja Asing, Kad Pekerja Asing (syarikat penyumberan luar), Kad Pembantu Rumah, Kad Pelajar Asing, Kad Pegawai Dagang atau Kad Malaysia My 2nd Home, dengan cip RFID mulai tahun depan.

Katanya, penggunaan kad itu yang akan dimulakan dengan kira-kira 40,000 pelajar asing sebelum diperluas secara berperingkat kepada kira-kira 1.8 juta warga asing adalah sebagai tindakan pemantauan bagi mengelakkan mereka "hilang" selepas memasuki negara.

Cadangan penggunaan nombor plat pintar pula diumumkan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar, pada persidangan Dewan Rakyat Mei lalu.

Pada perhimpunan agung bulan lalu, Umno memperkenalkan kad dengan cip RFID atau i-Kad dan Radzi yang juga Setiausaha Agung parti berkata ia bagi memastikan hanya perwakilan yang sah dapat memasuki dewan persidangan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home