Saturday, December 16, 2006

Rukunegara kontrak sosial kedua: Abdullah

PM mahu rakyat pelihara keharmonian, perpaduan kaum

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu semua pihak mengingati dan menghayati inti pati Rukunegara terutama kepentingan perpaduan yang dipersetujui pemimpin semua kaum pada masa dulu supaya negara kekal aman dan makmur.

Sambil menyifatkan Rukunegara kontrak sosial kedua selepas Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri, berkata ikatan itu yang mengawal setiap rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan agama daripada menjejaskan keharmonian dan perpaduan negara.

Katanya, Rukunegara serta ikatan lain seperti bahasa kebangsaan, perkongsian kuasa dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mengikat semua rakyat seperti kayu kecil sehingga menjadi bangsa kuat.

“Adakah kita sudah melupakan semua ini...adakah kita lemparkan semua ini ke tepi seolah-olah tiada makna lagi. Bagi saya kini masanya untuk kita mengingatkan diri sendiri. Kalau yang lama (tua) sudah lupa dan yang baru (muda) tak tahu...kita akan kembali kepada masa dulu,” katanya berucap merasmikan Persidangan Agung Parti Progresif Penduduk (PPP) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.

Hadir sama, Presiden PPP, Datuk M Kayveas dan wakil parti komponen BN lain.

Abdullah yang tersentuh dengan ikrar Rukunegara pada permulaan majlis, mengimbau sejarah penggubalan prinsip itu dalam usaha menyatupadukan masyarakat majmuk selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969.

Sementara itu ketika berucap, Kayveas menyatakan kerisauan dihadapi bukan Melayu kerana ucapan beberapa perwakilan Umno pada perhimpunan agung parti itu bulan lalu.

“Rasa tidak selesa ini disebabkan pandangan ekstrem yang disampaikan perwakilan sehinggalah ucapan Presiden Umno yang meredakan dan tidak membimbangkan, menghilangkan segala kerisauan itu,” katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home