Tuesday, January 02, 2007

PLKN tambah pelatih, kemudahan cukup

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus menambah bilangan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bagi memberi peluang kepada lebih ramai remaja mengikutinya sejajar permintaan masyarakat, kata Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun jumlah pelatih PLKN tahun ini ditingkatkan kepada 100,000, ia hanya mencakupi 20 peratus daripada remaja berusia 18 tahun dan layak mengikutinya.

"Tertakluk kepada kemampuan kerajaan, kita akan tingkatkan jumlahnya kerana mahu ia disertai secara menyeluruh atau seramai mungkin remaja," katanya selepas melepaskan pelatih PLKN Kumpulan 1 Siri 4/2007 di Kompleks Sukan Bukit Jalil di sini, semalam.

Seramai 2,016 pelatih berasal dari ibu negara dihantar ke 25 kem di Selangor, Kelantan, Pahang, Sabah dan Sarawak semalam. Mereka adalah sebahagian daripada 34,313 pelatih yang diwajibkan melapor diri di 104 pusat berkumpul di seluruh negara.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Tan Sri Lee Lam Thye dan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Abdul Halim Abdul Hamid.

Najib yang juga Menteri Pertahanan berkata, sejak dilaksanakan tiga tahun lalu PLKN semakin mendapat reaksi positif masyarakat sehingga ramai remaja menawarkan diri dan ibu bapa yang memohon kepada MLKN supaya anak dipilih mengikutinya.

"Ia semua menunjukkan sambutan terhadap program ini semakin menggalakkan dan sebab itu ada kewajaran kita mengkaji kemungkinan jumlah ini ditambah pada masa akan datang," katanya.

Najib berkata, beliau berpuas hati kerana pelaksanaan PLKN kali ini lebih terurus dan sistematik dengan kemudahan di semua kem sudah dipertingkatkan mengikut piawaian yang ditetapkan dan dipantau.

Katanya, jumlah pelatih yang terbabit dalam konsep integrasi nasional, iaitu bilangan pelatih dari Sabah dan Sarawak yang dihantar ke Semenanjung, ditambah daripada 10 peratus kepada 20 peratus tahun ini.

"Ia sejajar hasrat kerajaan supaya PLKN bukan saja diteruskan, tetapi dilakukan penambahbaikan dari masa ke masa supaya program ini lebih berkesan dan memberi kepuasan kepada pelatih dan ibu bapa mereka," katanya.

Menjawab soalan, Najib berkata pelatih yang menawarkan diri mungkin akan diterima menyertai Kumpulan tiga bersama mereka yang memohon penangguhan sebelum ini jika ada kekosongan.

Kumpulan pertama program tahun ini bermula semalam hingga 9 Jun, diikuti kumpulan kedua mulai 18 Mac hingga 9 Jun dan kumpulan kedua mulai 17 Jun hingga 8 September.

Sehingga 28 Disember lalu, JLKN menerima 717 permohonan penangguhan dan 363 permohonan pengecualian dan meluluskan 541 permohonan penangguhan dan 256 permohonan pengecualian.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home