Tuesday, March 27, 2007

Sistem penuaian hujan diwajibkan - PM

PUTRAJAYA: Kerajaan akan memperkenalkan undang-undang kecil mewajibkan pemilik premis seperti kilang, bangunan institusi dan banglo memasang sistem penuaian hujan untuk menjimatkan penggunaan air dirawat yang sebenarnya bagi tujuan minuman dan mandian, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata, penggunaan air hujan untuk tujuan lain seperti membersih premis, membasuh kenderaan dan menyiram pokok bukan saja mengurangkan kos penggunaan air tetapi juga mengelak pembaziran air dirawat, sekaligus membantu memulihara sumber air yang semakin terhad.

"Dengan adanya undang-undang kecil itu banyak air boleh dijimatkan dan tidak dibazirkan. Kalau air dirawat diguna untuk basuh kereta, itu satu pembaziran. Kalau diguna untuk menyiram pokok, cuci garaj, kaki lima atau kawasan rumah, ini amat merugikan.

"Kita guna paip yang sepatutnya untuk kita minum dan mandi. Bila diguna untuk tujuan lain maka bil air akan naik. Kita nak penggunaan air yang cekap... Kita nak program kecekapan penggunaan air dan ia menjadi amalan rakyat," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Sumber Air Negara Ketiga di Jabatan Perdana Menteri di sini, semalam.

Hadir sama pada mesyuarat kira-kira tiga jam itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid, dan Menteri Besar serta Ketua Menteri.

Sistem penuaian air membabitkan pemasangan palung untuk mengumpul air dari atap dan paip penyaluran ke tangki simpanan sebelum digunakan untuk pelbagai tujuan.

Abdullah berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sudah diarah menggubal undang-undang kecil itu untuk dibentangkan kepada Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri untuk kelulusan.

Perdana Menteri berkata, premis seperti rumah kecil dan rumah pangsa tidak akan diwajibkan memasang sistem penuaian hujan itu kerana kawasan bumbung yang tidak cukup luas.
"Kita akan kenal pasti kategori bangunan terbabit. Sudah tentu kita perlukan kawasan bumbung yang luas untuk menuai hujan yang mencukupi. Rumah lebih kecil tidak akan diwajibkan kerana ia memerlukan pemasangan palung yang boleh meningkatkan kos membina rumah," katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata program pengurusan lembangan sungai bersepadu membabitkan semua negeri akan dilaksanakan bagi memastikan sumber air mentah utama negara tidak tercemar.

Katanya, pembanterasan pencemaran sungai memerlukan tindakan beterusan jangka masa pendek dan panjang, iaitu membabitkan aspek perundangan dan pendidikan.

"Kita sudah cadangkan langkah yang perlu diambil dan disusuli dengan undang-undang. Kita perlu lihat hasil kajian berkaitan dan kita akan wujudkan undang-undang. Kalau tidak nanti tidak akan ada usaha bersungguh-sungguh untuk mencegah pencemaran sungai," katanya.

Sehubungan itu, katanya, Menteri Besar dan Ketua Menteri diarah mengambil tindakan segera bagi menghentikan penyaluran air kotor, sampah atau sisa industri dari rumah dan kilang ke sungai berhampiran.

Katanya, walaupun negara memilik banyak sungai tetapi sebilangan besar sudah dicemari dan ada yang dikategorikan sebagai mati sehingga tidak boleh digunakan sebagai sumber air mentah.

"Kalau ini dapat diambil tindakan segera bagi seluruh negara, kita akan dapat kurangkan pencemaran sungai. Tindakan merawat sungai yang rosak akan memerlukan perbelanjaan yang begitu besar," katanya sambil menambah pemimpin negeri terbabit diarah memantau secara langsung usaha itu.

Perdana Menteri berkata, mesyuarat Majlis Sumber Air Negara juga bersetuju semua kawasan air bawah tanah di seluruh negara dikenalpasti secara terperinci supaya dapat dijadikan sumber air mentah pada masa depan.

"Ini kawasan sumber air yang penting dan kita mesti dapat maklumat yang diperlukan," katanya.

Sementara itu, Azmi, ketika ditemui pemberita kemudian, berkata program pengurusan lembangan sungai bersepadu itu dapat mengatasi kelemahan penjagaan sungai, termasuk soal bidang kuasa kerajaan negeri bagi sungai yang mengalir merentasi negeri bersempadan.

"Langkah itu penting kerana 17 daripada 189 lembangan sungai diseluruh negara kini amat tercemar," katanya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home