Saturday, April 14, 2007

Wan Aziz sanggup berlapar beli buku

Sembang Sabtu: Datuk Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah

KETIKA zaman kanak-kanak pada awal 1960-an, saya memang ulat buku. Saya sanggup mengikat perut untuk mengumpul wang belanja harian dan tidak sabar menunggu kedatangan Rabu setiap minggu.

"Kalau dapat 10 sen atau 20 sen setiap hari, saya tak makan. Saya kumpul sampai cukup seminggu... dapatlah RM1 atau RM2 dan saya guna duit itu untuk membeli novel Famous Five, Enid Blyton dan komik Marvels di kedai buku di Kota Bharu, setiap petang Rabu," kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

Selepas beli buku dan komik beliau pulang ke rumah dan dalam masa dua jam saja, buku itu selesai dibacanya.

"Saya kena kumpul duit lagi dan tunggu minggu depan untuk membeli novel atau komik baru," katanya mengimbau kehidupan lalu di Kampung Kubang Pasu, Kota Bharu.

Kini, pada usia 55 tahun dan memegang jawatan penting dalam urusan kewangan kerajaan, Dr Wan Abdul Aziz, bersyukur kesanggupan berlapar dan minat membaca yang diwarisi daripada datuknya, antara Melayu pertama mendapat Senior Cambridge, menjadikan beliau fasih berbahasa Inggeris dan menimba banyak ilmu.

Namun, Dr Wan Abdul Aziz agak terkilan apabila sebahagian daripada koleksi bukunya musnah dimakan anai-anai.

"Baru-baru ini, saya pulang ke kampung dan cuba mengumpul semula semua buku dan komik lama, malangnya banyak yang rosak dimakan anai-anai," katanya.

Bagaikan mengubati luka, rakan dan kenalan Dr Wan Abdul Aziz sering menghadiahkan beliau pelbagai buku terbaru bagi menambah koleksinya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home