Tuesday, May 22, 2007

Membawa MSC ke pentas dunia

WALAUPUN kelihatan agak letih, keceriaan jelas terbayang di wajah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi apabila meninggalkan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada kira-kira jam 1.40 petang kelmarin (Nota: Sabtu) untuk bersiap sebelum berlepas ke Kuala Kangsar pula untuk menghadiri majlis Persandingan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim.

Sepanjang pagi itu, Perdana Menteri berada di PICC untuk pertemuan empat mata dengan tujuh lagi anggota Panel Penasihat Antarabangsa (IAP) bagi membincangkan strategi memantapkan Koridor Raya Multimedia (MSC Malaysia) dan mewujudkan ikon global dari Malaysia yang menjadi agenda utama Mesyuarat IAP ke-10 yang bermula Khamis lalu.

Perdana Menteri ternyata lega selepas maklum balas dan pandangan yang diterima daripada 28 anggota dan wakil IAP adalah positif. Matlamat untuk melonjakkan lagi MSC Malaysia yang sudah berusia lebih 10 tahun dan melahirkan ikon teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) negara di persada antarabangsa kelihatan semakin boleh dicapai walaupun dalam suasana persaingan global yang semakin sengit.

"Perdana Menteri gembira dengan maklumat dan ulasan positif daripada anggota panel terbabit," kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis, menyimpulkan hasil mesyuarat selama tiga hari itu kepada pemberita selepas Perdana Menteri meninggalkan PICC.

Beliau yang dipertanggungjawab menyelia pembangunan ICT negara yang menjadi sandaran pencapaian Misi Nasional, turut menghela nafas kelegaan kerana perjalanan mesyuarat IAP kali ini lancar dan mencapai matlamat walaupun sebelum ini ada pihak yang menyifatkan mesyuarat tahunan itu yang diadakan sejak 10 tahun lalu sudah hilang daya tarikan dan tidak relevan lagi.

Kejayaan mesyuarat itu dan komitmen anggota IAP membantu kerajaan menjayakan pembangunan MSC Malaysia jelas diperlihatkan pada sidang media Perdana Menteri bersama anggota panel itu di akhir sesi mesyuarat utama pada hari kedua, Jumaat lalu. Keakraban Abdullah dengan anggota IAP lain yang digelar beliau sebagai "sahabat Malaysia" jelas kelihatan.

Ketika memberi rumusan ringkas hasil mesyuarat dan menjawab soalan wartawan, Perdana Menteri dengan mesra memanggil nama beberapa anggota IAP meminta mereka memberi penjelasan seperti mana yang dinyatakan semasa sesi mesyuarat tertutup itu. Abdullah turut memetik jenaka yang mereka kongsi bersama, termasuk bersama Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak, semasa perbincangan itu.

Satu keputusan penting yang diumumkan Perdana Menteri pada petang itu ialah anggota IAP dijemput menjadi penasihat kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), swasta dan universiti tempatan jika kepakaran yang mereka miliki bersesuaian dengan keperluan syarikat dan institusi berkenaan.

Malah, syarikat dan institusi terbabit juga boleh melantik anggota IAP menjadi ahli lembaga pengarah atau pengarah bebas jika kepakaran mereka memang diperlukan. Keputusan yang pertama kali diambil dalam sejarah MSC Malaysia itu bertujuan memberi peluang kepada anggota IAP untuk memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan ICT negara.

"Kita memberi peluang kepada mereka untuk lebih aktif di Malaysia, bukan sekadar menyertai mesyuarat sekali setahun," kata Perdana Menteri yang menyifatkan mesyuarat IAP kali ini adalah yang terbaik sejak mesyuarat sulong di
di Standford University, California, Amerika Syarikat pada 16 Januari, 1997.

Mesyuarat kali ini memberi penekanan kepada keperluan melaksanakan segala cadangan dan keputusan mesyuarat lalu bagi memperkukuhkan kedudukan negara dalam bidang ICT dan Perdana Menteri memberi jaminan segala keputusan itu akan dilaksanakan manakala kerenah birokrasi akan ditangani menerusi usaha mempertingkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam yang sedang dijalankan.

"Kreativiti bencikan birokrasi dan kita faham apa maksudnya... Apa saja perkhidmatan yang diperlukan sektor swasta seperti kelulusan lesen, tanah dan pembangunan hartanah, kita tentunya perlu mempercepatkan. Kita mengambil masa terlalu lama dan orang tidak ada masa untuk menunggu," katanya.

Bertemakan, "Membawa MSC Malaysia Ke Peringkat Global: Membangunkan Prasarana Ilmu & Mencipta Bakat", mesyuarat IAP kali ini memberi tumpuan kepada strategi menjulang kejayaan MSC Malaysia dan mengetengah syarikat ICT tempat ke pasaran global dengan harapan mewujudkan ikon ICT dari Malaysia.

Perdana Menteri, ketika berucap pada perasmian sesi mesyuarat utama Jumaat lalu, berkata pencapaian MSC Malaysia perlu terus dilonjak melalui usaha penjenamaan dan pemasaran lebih efektif dalam suasana pasaran global yang semakin sesak. Malah, transformasi negara perlu dipercepatkan lagi manakala jenama MSC Malaysia, syarikat, produk dan penyelesaian yang dibangunkan syarikat tempatan perlu dibawa ke pasaran global.

Malaysia, tegas Perdana Menteri, mensasarkan sekurang-kurangnya 20 syarikat ICT tempatan menjadi organisasi yang diiktiraf di peringkat global selain mewujudkan sejumlah 100,000 pekerjaan bernilai tinggi dalam dalam tempoh tiga tahun akan datang. Negara juga mahu melahirkan sejumlah usahawan tekno melalui penubuhan syarikat dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berasaskan ICT.

Kurikulum baru kejuruteraan perisian yang dibangunkan Multimedia Development Corporation (MDEC) bersama Kementerian Pengajian Tinggi dan Infosys Technologies Limited juga akan diperkenalkan di institusi pengajian tinggi tempatan mulai sesi pengajian Julai ini bagi melahirkan lebih ramai tenaga profesional ICT bertaraf dunia.

Menyimpul ringkas kejayaan MSC Malaysia, Perdana Menteri berkata syarikat yang beroperasi di situ sudah menjana perolehan kira-kira RM11 bilion sehingga akhir tahun lalu dengan nilai eksport sebanyak RM3.2 bilion dan masih terus menarik perhatian peneraju ICT dunia, termasuk lebih 100 yang sudah bertapak di situ.

Malah, kata Abdullah, MSC Malaysia kini menjadi model negara membangun untuk menggerakkan ekonomi berteraskan pengetahuan serta menjadi destinasi pelaburan menarik dan beberapa negara berkenaan sudah meminta bantuan Malaysia untuk melaksanakan inisiatif sama.

"Ketika kita berbangga dengan pencapaian MSC Malaysia selama ini, kita sedar tahun untuk pembangunan sudah berlalu. Kita perlu mara dengan lebih yakin dan pantas. Kita perlu jelas akan kedudukan, fokus, kelebihan dan kekuatan kita," katanya.

Sempena Mesyuarat IAP ke-10 itu, Perdana Menteri menyampaikan skrol status Meru Raya, Perak, sebagai Pusat Siber MSC Malaysia kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali. MSC Malaysia Cybercentre @ Meru Raya akan dilancarkan menjelang suku ketiga tahun ini.

Perdana Menteri turut melancarkan peraduan reka bentuk kandungan digital berasaskan karektor cerita rakyat seperti Hang Tuah, Mahsuri, Laksamana Bentan, Puteri Santubong, Pak Pandir dan Sang Luncai, bagi mencukil bakat tempatan dalam industri kandungan ICT.

MDEC pula memeterai perjanjian dengan Al Jazeera Children’s Channel (JCC) bagi produksi bersama dan pemasaran global siri animasi “Saladin” sebanyak 26 episod bernilai lebih RM10 juta.

MDEC dan British Telecom juga melancarkan insentif baru yang memberi tumpuan kepada pembangunan aplikasi dan perkhidmatan jalur lebar.

Bagi anggota IAP, MSC Malaysia terus mengagumkan walaupun sudah berusia lebih 10 tahun dan berpendapat negara majmuk seperti Malaysia memiliki kelebihan dan kekuatan untuk bersaing di peringkat dunia. MSC Malaysia terus menjadi pilihan peneraju industri ICT dunia walaupun

Namun, syarikat ICT Malaysia perlu memikirkan strategi yang mampu menjanjikan kejayaan sebelum terjun ke pentas ICT global. Menjadi syarikat global tidak bermakna berada di serta dunia secara sekali gus tetapi memiliki produk yang memenuhi permintaan banyak pasaran, termasuk yang belum diteroka.

Pengerusi Cyber Century Forum, Diana Lady Dougan, berkata syarikat ICT Malaysia perlu mengenalpasti pasaran yang ingin diterokai dan merangka strategi tepat kerana keupayaan menguasai pasaran tempatan adalah kelebihan yang bakal menjanjikan kejayaan di pasaran global.

Pengarah Kumpulan Penyelidikan dan Penerokaan, British Telecoms (BT), Mike Carr, juga menegaskan syarikat ICT Malaysia perlu memilih pasaran terbaik untuk melancarkan produk ciptaan kerana "menjadi global bukan bermakna berada di mana-mana tetapi di pasaran terbaik."

Bagi Naib Provost New Initiatives, Institut Teknologi Illinois, Prof Dennis A Roberson, sikap terlalu bergantung kepada pasaran tempatan perlu dielak kerana ia boleh menghalang usaha menembusi pasaran antarabangsa dan syarikat ICT Malaysia perlu berusaha menjadi peneraju kepada teknologi jika mahu menguasai pasaran.

Pengasas dan Pengerusi BBWorld Consulting Services Sarl, Dr Robert Bishop, berkata syarikat ICT Malaysia perlu memastikan teknologi yang dihasilkan itu memenuhi kehendak pasaran kerana kemampuan berbuat demikian bermakna mereka tidak perlu berada di serata dunia.

Justeru, Perdana Menteri sudah mengarahkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan MDEC untuk terus berhubungan dengan anggota IAP mengenai pembabitan anggota IAP sepanjang tahun ini bagi melaksanakan cadangan dan keputusan mesyuarat kali ini.

Kerajaan juga akan mengkaji dan menstruktur semula inisiatif modal teroka sebagai langkah memantapkan pertumbuhan ekonomi negara. Malaysia Capital Management Bhd (MAVCAP) dan Malaysia Debt Ventures Bhd akan diletakkan di bawah kawal selia Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang kini mengendalikan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC).

Malaysia juga akan menjadikan Kongres Teknologi Maklumat Antarabangsa (WCIT) 2008 yang dijadualkan di Kuala Lumpur Mei tahun bersama Mesyuarat IAP ke-11, persidangan yang bukan saja dihadiri peneraju industri tetapi juga pemimpin negara asing sebagai strategi mempromosikan MSC Malaysia.

Seperti kata Perdana Menteri, Malaysia berazam menjadikan WCIT 2008 kongres terbaik pernah dianjurkan kerana ia adalah "testimoni kepada kedudukan negara dalam lanskap ICT dunia".

Thursday, May 03, 2007

Natijah di sebalik serangan wabak viral encephalitis

Oleh Wan Hazmir Bakar

(BH 03/05/1999 p.10)

BANYAK pihak tersentak apabila wabak viral encephalitis yang menyerang Perak pada Oktober lalu menular ke Negeri Sembilan. Wabak itu bukan hanya terhad kepada virus Japanese Encephalitis (JE) tetapi virus baru, Nipah, yang tidak diketahui ancaman sebenarnya sehingga mengundang kehadiran pakar asing termasuk dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Atlanta, Amerika Syarikat, untuk membantu memeranginya.

Daripada jumlah kes viral encephalitis yang dikesan dan menyebabkan kematian, sebanyak 89 kes disahkan disebabkan virus nipah, 54 kes disebabkan JE dan 11 kes lagi disebabkan kedua-dua virus berkenaan.

Dalam erti kata lain, kita bukan hanya berdepan dengan ancaman JE tetapi NE yang masih tidak diketahui tahap bahayanya. Lebih membimbangkan wabak ini dipercayai sudah meragut nyawa di Singapura, sekali gus menunjukkan wabak itu mampu tersebar jauh.

Malahan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, selepas pertama kali mempengerusikan Jawatankuasa Kabinet Bagi Menangani Masalah JE, menyatakan wabak yang dihadapi sebagai satu kecemasan atau darurat.

Wabak viral encephalitis yang sudah meragut lebih 99 nyawa dan angka ini bukan saja mencetus persoalan berkaitan kesihatan tetapi juga sosial, ekonomi, politik dan agama.

Dari aspek kesihatan, ancaman viral encephalitis amat nyata sehingga kerajaan terpaksa mengerah pasukan keselamatan untuk memusnahkan ternakan babi di kawasan penularan wabak Bukit Pelandok, Kampung Sawah, dan Sungai Nipah bagi mengawal penularan wabak ke kawasan lain.

Lebih 2,300 anggota tentera dan polis yang lengkap dengan pakaian khas serta dibantu anggota pelbagai agensi kerajaan lain serta penggunaan helikopter dan jentera berat dalam operasi bersepadu yang agak asing dan terbesar seumpamanya di negara ini, seolah-olah negara dilanda bencana besar.

Tidak hairanlah jika ada pihak menyamakan perkembangan ini dengan keadaan yang digambarkan dalam filem Outbreak, dan bimbang sesuatu yang lebih buruk hanya menunggu detik untuk meletus.

Kegusaran rakyat mengenai ancaman ini mudah difahami dan patut diberi perhatian. Kerajaan yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha menangani masalah itu ternyata telah dapat membendung penularan wabak itu.

Di peringkat awal ada keluarga penternak yang mempertikaikan usaha kerajaan sebelum ini sehingga menyebabkan kematian anggota keluarga mereka. Ramai yang menyalahkan Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng, berikutan kegagalan Jabatan Kesihatan mengesan ancaman virus baru itu.

Kelewatan mengesan viral encephalitis kali ini menyebabkan berlaku kesilapan strategi dalam membendung penularan wabak itu. Akibatnya, langkah bagi pengawalan penyakit JE seperti program suntikan vaksin dan penghapusan nyamuk culex tidak memberi hasil yang diharapkan kerana ia gagal membendung wabak baru yang dipercayai merebak melalui sentuhan cecair badan babi yang dijangkiti virus baru.

Malah, program suntikan vaksin JE terhadap babi terpaksa dihentikan serta-merta apabila dipercayai kaedah suntikan pantas menggunakan jarum yang sama untuk sejumlah babi boleh menyebarkan jangkitan virus baru itu.

Perkembangan ini memperlihatkan betapa tindakan tepat yang terancang perlu dilaksanakan bukan hanya selepas wabak menular tetapi sebelum ia meletus lagi. Dalam erti kata lain, ancaman kesihatan daripada kegiatan penternakan babi perlu dipandang berat. Malahan, industri itu sendiri perlu penilaian semula.

Sejak sekian lama, penternak babi, sama ada yang berlesen atau tidak, dibiarkan melanggar pelbagai peraturan keselamatan dan kesihatan sesuka hati. Mereka juga menolak usaha beberapa kerajaan negeri memusatkan kegiatan menternak babi dalam satu kawasan supaya ancaman kesihatan serta pencemaran alam sekitar dapat dikawal dan dikurangkan.

Maka tidak hairanlah jika Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang sepatutnya berkuasa memastikan alam sekitar negara tidak terjejas hanya berkuasa sekadar melakukan kajian. Laporan kajian JAS Disember lalu menyebut 93 sungai di seluruh negara dicemari kumbahan domestik dan bahan buangan ternakan, khususnya babi.

Pihak berkuasa tempatan juga seolah-olah kehilangan kuasa dalam menangani perkara ini sedangkan pelbagai peraturan dan perundangan membabitkan industri ternakan babi sudah diwartakan bagi tujuan penguatkuasaan.

Dari segi sosial, wabak viral encephalitis memberi kesedaran betapa industri ternakan babi adalah satu ancaman kepada kesihatan rakyat. Ramai yang mula curiga dengan segala bentuk kegiatan itu, terutama ladang ternakan dan tempat penyembelihan haram.

Penduduk mula bangun menentang cadangan penempatan ladang ternakan babi berhampiran kawasan kediaman mereka, malah bakal pembeli juga menjadi faktor ini sebahagian daripada pertimbangan untuk pembelian hartanah. Hakikatnya, tiada siapa yang sanggup lagi tinggal berhampiran ladang ternakan babi.

Kesan buruk industri ternakan babi terhadap demografi di negara ini bukan perkara baru. Perkara ini sudah lama berlaku, malahan membabitkan perubahan komposisi etnik dalam kependudukan di kawasan yang dilanda wabak sekarang.

Mengapa tiada tindakan tegas diambil selama ini? Apakah kerana perkara ini dikategorikan sebagai isu yang sensitif? Jika benar, mengapa hanya sensitiviti satu pihak saja diberi pertimbangan?

Adakah soal ekonomi, eksport komoditi atau perolehan tukaran wang asing menjadi perkiraan dalam memberi sokongan kepada industri ini? Jika inilah alasannya, adakah kos yang terpaksa ditanggung negara terutama mereka yang langsung tidak beroleh hasil daripada kegiatan ini dimasukkan dalam pengiraan.

Amat malang jika sebahagian daripada faktor ekonomi dijadikan alasan untuk meneruskan kegiatan yang menyebabkan banyak keburukan sedangkan negara yang mengimport haiwan itu sendiri mengharamkan kegiatan ternakan kerana menyedari kos sebenar yang perlu ditanggung.

Negara sudah membelanjakan lebih RM49 juta sejak wabak JE mula dikesan akhir tahun lalu. Berjuta-juta ringgit lagi wang terpaksa dibelanjakan untuk menghadapi ancaman virus baru selain merawat mangsa di hospital. Ini tidak termasuk bantuan kewangan kepada penternak untuk setiap babi yang dimusnahkan.

Apa yang nyata, kerajaan perlu ada kesanggupan politik, perlu berani bertindak demi keselamatan umum, perlu mengambil langkah yang tegas walaupun mungkin mendapat bantahan atau dipolitikkan pihak tertentu.

Kerajaan perlu tegas dalam usaha menangani wabak ini seperti menanda zon penampan serta menutup ladang ternakan dan memusnahan babi yang menjadi punca wabak selain memastikan ia tidak akan berulang pada masa depan.

Soal pampasan perlu diputuskan dengan teliti kerana sudah pasti mereka yang tidak terbabit dalam industri itu atau mereka yang langsung tidak mendapat manfaat daripadanya membantah wang negara digunakan untuk tujuan itu.

Jika difikir secara logik, penternak yang sepatutnya dikenakan tindakan kerana melanggar segala peraturan yang ditetapkan selain menyebabkan penularan wabak sehingga mengorbankan banyak nyawa, bukan dibayar pampasan.

Lebih malang, ketika semua pihak berusaha keras menangani wabak viral encephalitis ada penternak yang menyeludup keluar babi yang sepatutnya dimusnahkan sehingga menyebabkan penularan wabak ke kawasan lain.

Kini, sudah kedengaran suara-suara yang mempersoalkan bantuan kewangan yang diberi kepada penternak untuk setiap babi yang dimusnahkan kerana bantuan serupa tidak diberikan kepada penternak yang lembu mereka dimusnahkan bagi membendung penyakit mulut dan kuku sebelum ini.

Untuk jangka panjang, kerajaan perlu membuat keputusan mengenai masa depan industri ternakan babi. Persoalannya ialah sama ada kita perlu memansuhkannya, mengehadkannya atau membiarkannya saja dan terus menghadapi risiko. Kita tentu tidak mahu Malaysia yang dianggap negara Islam contoh kekal sebagai pengeluar babi terbesar di Asia Tenggara.

Jika industri itu mahu diteruskan, kegiatan penternakan babi perlu dipusatkan di kawasan khas dan dijalankan secara teratur dengan menggunakan kaedah terkini yang mampu mengurangkan pencemaran. Kawasannya pula mestilah jauh dari kediaman manusia serta kawasan tadahan air.

Kecenderungan kerajaan negeri untuk melaksanakan cadangan sedemikian semakin jelas sejak akhir-akhir ini. Negeri Sembilan, umpamanya sudah mengumumkan cadangan pelaksanaan Kawasan Ternakan Babi (PFA).

Walaupun ini satu perkembangan yang memberangsangkan, namun konsep PFA masih kabur, apa lagi bila keputusan sedemikian dibuat hanya selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir, membayangkannya. WHB