Laman Mini Verde
TANYALAH 100 pemain golf mengenai faktor yang membuatkan pengalaman bermain menyeronokkan, pasti 90 daripada mereka akan menjawab "green yang baik". Hakikatnya, sebaik mana fairway sesuatu lapangan golf itu, keadaan green juga menjadi penentu kepuasan bermain. Keupayaan melakukan green in regulation (GIR) akan menjadi sia-sia jika seseorang itu berakhir dengan tiga putt kerana keadaan green yang tidak baik.
Justeru, ada kelab golf yang sanggup berbelanja besar untuk menyediakan green yang terbaik untuk ahli mereka. Glenmarie Golf & Country Club (GGCC) adalah kelab golf pertama di Malaysia yang mengambil langkah berani ini apabila melakukan pengubahsuaian pada 2009 dengan menukar rumput green di Valley Course daripada Bermuda Tiffway kepada Mini Verde.
Seperti Bent Grass, rumput Mini Verde menjadikan permukaan green laju dan lancar serta lasak berbanding Bermuda. Berbeza dengan Bent Grass yang hanya sesuai di kawasan beriklim sejuk, Mini Verde tahan panas dan mudah diselenggara.
"GGCC adalah lapangan pertama di Malaysia yang menggunakan Mini Verde....ia lebih sekata dan kurang penyelenggaraan. Kalau ikut hukum, kita hanya perlu sekali 'cut and roll' dan dengan mudah mendapat 'speed' lebih 11. Bermuda, ia tradisional dan konservatif, banyak lapangan lama masih guna green Bermuda," kata Pengurus Kelab, Adi Shahar Mohamad Radzi, menceritakan kelebihan rumput baru daripada keluarga Bermuda itu.
Sesungguhnya, green Mini Verde inilah yang menjadi tarikan utama kepada penulis untuk mencuba lapangan Valley Course ini sejak mengetahui GGCC mengambil langkah mengikuti "demam Mini Verde" yang melanda Amerika Syarikat tiga tahun lalu.
Peluang pertama bermain di lapangan premium ini yang mana yuran keahlian adalah bernilai RM100,000 hadir hujung tahun lalu apabila dijemput menyertai kejohanan golf DRB Hicom Bersama Media. Namun, pengalaman pertama itu tidak seindah seperti yang dibayangkan. Green di Valley Course sukar dibaca pada hari itu, banyak putt berakhir dengan tiga pukulan. Persepsi penulis terhadap kehebatan rumput Mini Verde mula berubah.
Kelajuan green pada hari itu tidak seberapa tetapi sukar untuk membuat bacaan yang tepat. Beberapa rakan yang menghadapi masalah sama menyatakan ia disebabkan green yang laju. Bagi penulis ia tidak selaju ketika bermain di sebuah lagi lapangan premium seminggu sebelum itu di mana tidak sukar untuk membuat bacaan. Mungkin empat kereta yang "diumpan" DRB Hicom sebagai hadiah "hole-in-one" menjejaskan permainan hampir semua pemain pada hari itu.
Kunjungan kedua ke GGCC sengaja diatur selepas Terbuka Amatur Malaysia 2012 baru-baru ini bagi merasai lapangan yang disediakan untuk kejohanan. Seperti yang diimpikan pemain golf lain, penulis dan tiga lagi rakan seperjuangan, Kamaruzaman Pid, Sufian Thauri dan Manan Samad, teruja untuk menguji kebolehan bermain di green yang laju. Walaupun kejohanan sudah empat hari berlalu, keadaan green masih baik dengan kelajuan sekitar 9.4 pada Stimpmeter.
Pukulan putt begitu lancar dan bacaan green tidak sukar seperti pada kali pertama bermain di lapangan itu. Penulis beberapa kali berjaya melakukan satu pukulan saja termasuk dari jarak jauh. Kelebihan green dengan rumput Mini Verdi terserlah hari itu, mungkin kerana ia memang disediakan untuk kejohanan. Seperti yang diketahui pemain golf, masa terbaik untuk bermain ialah selepas penganjuran kejohanan.
Namun, lapangan yang disediakan untuk kejohanan juga ada ciri lain yang bertujuan menjadikan permainan lebih sukar. Rough sengaja dibiar panjang bagi menghukum pemain yang gagal mendaratkan bola di fairway. Bayangkan selepas empat hari kejohanan, rough menjadi semakin panjang dan bola yang tersasar ke sana akan terus tenggelam dan hilang daripada pandangan.
Kami kehilangan beberapa bola begitu saja apabila pukulan tee off tersasar ke rough. Bola hanya kelihatan apabila anda lalu betul-betul di atas kedudukannya. "Apalah rough tak potong ni. Nanti kau beritahu manager, lain semua cantik, rough saja 'failed'," kata Suffian yang turut bengang kerana sukar mencari bola yang tersasar ke rough.
Ini belum lagi lubang ke-17, indeks 1 yang juga lubang paling mencabar di GGCC. Lubang par 4 terpanjang itu dengan jarak 404 meter dari tee box hitam itu memerlukan pukulan tee yang baik dan jauh kerana green yang terletak di lembah tidak akan kelihatan sehingga tinggal 100 meter. Ini bermakna pukulan kedua yang mampu sampai ke green pun dilakukan tanpa dapat melihat sasaran yang mempunyai halangan air di sebelah kiri.
Kalau tee off tidak menjadi, pukulan kedua untuk melepasi puncak fairway adalah sesuatu yang mencabar. Kalau tersasar dari fairway, peluang menemui bola anda dalam rough agak tipis kerana anda tidak akan tahu di mana ia mendarat dan ke mana ia bergolek.
Lubang kelapan, par 3 di Valley Course ini pula amat mencabar walaupun pemandangan dari kotak tee begitu mengasyikkan. Di lubang dengan jarak 303 meter dari kotak tee hitam, pukulan anda perlu melepasi halangan air untuk ke green yang beralun. Anda dianggap bernasib baik jika mampu meraih par di sini.
Satu lagi signature hole di Valley Course yang membuatkan setiap pemain teruja ialah lubang ke-14 iaitu par 5 dengan green pulau. Dengan jarak 503 meter dari kotak tee hitam, pukulan kedua dan ketiga perlu melepasi halangan air untuk tiba ke green. Walaupun reka bentuknya menggugat keyakinan, tidak sukar untuk mencatatkan GIR di lubang ini. Hanya bunker di sebelah depan kanan serta kiri green boleh melenyapkan peluang birdie.
Semasa kunjungan kali pertama, bunker di depan kanan green itulah yang melenyapkan peluang birdie penulis. Entah kenapa bola pukulan ketiga dari jarak kira-kira 150 meter itu enggan melantun ke depan ke arah pin di tepi green, sebaliknya melantun ke kanan dan masuk ke bunker untuk sekadar berakhir dengan catatan par.
Sememangnya lapangan Valley Course yang dihiasi pelbagai jenis pepohon pine ini memang indah dipandang. Namun pemandangan yang mendamaikan itu bakal menghukum anda jika tee off asyik tersasar. Ini kerana fairway yang sempit, berbukit dan berlembah, green yang terlindung serta halangan air menuntut permainan yang jitu dan bijak. Jika tidak, anda hanya akan penat cuba menyelamatkan permainan daripada "koyak" di kebanyakan lubang.
Malang bagi kami, prestasi hari itu amat tidak memberangsangkan. Ada saja kesilapan yang berlaku pada ketika yang tidak sepatutnya sehingga hilang semangat untuk bermain ketika permainan masih berbaki beberapa lubang lagi. Malah kami berhenti di pondok rehat untuk menikmati hidangan sup tulang yang terkenal itu dengan harapan semangat bermain akan kembali. Namun ia bukan saja gagal mengembalikan semangat, selera makan pun langsung tidak terbuka.
Dengan tee off yang serba tidak menjadi kecuali di lubang ke-11 yang mencapai hampir 260 meter di tengah fairway, penulis sekadar mencatatkan tiga par selepas meraih dua birdie dan empat par hanya tiga hari sebelum itu di sebuah lapangan di Bangi. Kamaruzaman yang hanya menggunakan wood 3 untuk tee off pula meraih empat par manakala Manan satu birdie dan dua par. Catatan ini menunjukkan Valley Course yang dikatakan mencabar itu mampu ditawan jika tee off anda menjadi.
Hakikat ini dibuktikan baru-baru ini oleh pemain amatur negara, Gavin Kyle Green, beraksi di lapangan itu untuk menamatkan kemarau 15 tahun negara pada Terbuka Amatur Malaysia yang kali terakhir dimenangi R Nachimuthu pada 1997. Pemain berusia 19 tahun itu menawan Valley Course dengan mencatatkan enam birdie dan hanya dua bogey untuk 68 pukulan pada hari terakhir untuk keseluruhan 14 di bawah par 274, iaitu enam pukulan mengatasi pemain tempat kedua dari Thailand, Poom Saksansin.
"Di Valley Course, anda perlu melakukan pengurusan lapangan. Kita kena urus cara bagaimana kita nak main dari tee box ke green untuk setiap 18 lubang di Valley Course kerana fairwaynya agak sempit dan beralun manakala di kiri dan kanan ditumbuh tumbuhan hijau selain karekter green. Apabila keluar dari green 18 akan rasa seronok dan teruja, ini adalah satu tarikan yang terdapat di Glenmarie yang akan membuat mereka kembali bermain di sini, terutama di Valley Course," kata Adi Shahar.
Adi Shahar berkata, jika Valley Course terlalu mencabar, pemain seharusnya memilih Garden Course yang memberikan pengalaman bermain lebih santai dan amat sesuai untuk pemain golf sosial kerana buggy juga dibenarkan memasuki fairway.
"Kelebihan GGCC ialah tee time, kita ada 70 tee time untuk pemain golf sama ada di Lembah Klang atau luar. Ini satu tarikan kerana mereka tahu jika datang GGCC terutama hari biasa, mereka akan ada tee time. Kita juga ada golf waktu malam setiap Rabu dan Khamis. Tee time ialah dari 4.30 petang hingga 6.30 petang," katanya
GCCC yang dirasmikan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1993 adalah antara lapangan premium yang terkenal di Lembah Klang. Lapangan 36 lubang ini memberi pilihan kepada pemain sama ada menempuh cabaran di Valley Course atau bersantai di Garden Course. Bagi penulis, jika hendak bermain di GCCC, pastikan ada menempuh cabaran Valley Course dan menguji pukulan putt anda di laman Mini Verde itu.
Info
Glenmarie Colf & Country Club
Alamat: No 3 Jalan Usahawan U1/8, 40150 Shah Alam.
Tel : 03-7803 9090
Faks: 03-7803 2728
Emel: ggcc@glenmarie.com.my
Laman web: www.glenmariegolf.com
Teknikal
Lubang: 36, Valley Course & Garden Course
Par: 72
Jarak:
Valley Course
- 6,412 meter (hitam)
- 5,916 meter (biru)
- 5,470 meter (putih)
- 4,908 meter (merah)
Garden Course
- 6,404 meter (hitam)
- 5,976 meter (biru)
- 5,496 meter (putih)
- 5,098 meter (merah)
Rumput
Valley Course
Fairway: Bermuda Tifway
Green: Mini Verde
Garden
Fairway: Bermuda Tifway
Green : Bermuda Tifdwarf
Rating
Fairway: 4.5
Green: 4.5
Kemudahan: 4.5
Nilai: 4.5