Sunday, September 24, 2006

Ramadan Al-Mubarak

Semoga Allah Memberi Rahmat Dan Mengampuni Kita. Amin.

Wednesday, September 20, 2006

Pidato Islam Hadhari

Rencana BH 11 Mei 2006 (ms 14)

JIKA diamati penampilan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada dua majlis anjuran Bahagian Penerangan dan Biro Agama Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara malam kelmarin, hati yang lembut pasti tersentuh.

Sesiapa saja yang mengikuti majlis itu akan terdetik betapa Perdana Menteri begitu ikhlas dan komited dalam memimpin negara untuk mencapai matlamat Wawasan 2020 berteraskan pendekatan Islam Hadhari, sekali gus mengembalikan kegemilangan Islam ketika dunia kian berprasangka terhadap agama keamanan itu.

Walaupun sibuk menghadiri beberapa majlis pada sebelah pagi, Abdullah tampil penuh semangat di Dewan Tun Razak dengan segak berbaju Melayu serta bersamping tanpa memperlihatkan riak keletihan. Selepas azan Maghrib dilaungkan dan disusuli iqamah, Abdullah lantas mengambil tempat untuk mengimamkan solat.

Ramai hadirin yang tiba sejak awal lagi tetapi mungkin terlupa untuk mengambil air sembahyang tergesa-gesa mencari selipar untuk ke bilik wuduk apabila Abdullah mula mengangkat takbir. Mereka yang sudah berwuduk pula dengan tenang mengisi saf untuk menjadi makmum kepada pemimpin yang dihormati.

Walaupun suara Abdullah tidak mendayu seperti Imam Muda Masjid Nabawi, Sheikh Masyari Rashid Al-Faasi, bacaan Surah Al-Insyiraah pada rakaat pertama dan An-Nasr pada rakaat kedua tetap menusuk kalbu. Nada suara tegas dengan bacaan pantas menunjukkan betapa beliau serius dan tidak mahu berlengah untuk menjayakan agenda bangsa dan agama.

Selepas meninggalkan dewan kerana menghormati status majlis Penerangan Khas oleh Presiden Umno itu sebagai tertutup, penulis terfikir apakah pilihan dua surah lazim yang dibacakan Abdullah itu sekadar kebetulan atau dirancang.

Al-Insyiraah atau Perihal Melapangkan Dada Nabi seperti yang dinyatakan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menceritakan betapa jerihnya usaha Nabi Muhammad SAW menyampaikan syiar Islam dan Allah menjanjikan secara bertutur-turut kemudahan selepas setiap kepayahan.

An-Nasr atau Kemenangan pula mengingatkan Rasulullah dan tentunya umat Islam supaya tidak lalai apabila mendapat kejayaan, sebaliknya disuruh terus mengerjakan amal ibadat serta memohon keampunan terhadap segala kesalahan yang mungkin dilakukan.

Apakah Perdana Menteri cuba menyampaikan mesej kepada hadirin menerusi surah pilihannya itu atau sekadar mengamalkan surah yang sememangnya bertepatan dengan dirinya sebagai pemimpin dengan tanggungjawab berat untuk meringankan beban yang ditanggungnya.

Selepas pintu Dewan Tun Razak dibuka sejam setengah kemudian dan ramai hadirin majlis penerangan khas itu yang bergegas keluar untuk menunggu di luar, penulis sekali lagi menuju ke ruang solat.

Kali ini, Presiden Umno itu sudah pun membaca Ummul Kitab pada rakaat pertama solat Isyak dan penulis lantas mengisi saf yang tidak sebanyak ketika solat Maghrib. Bacaan Abdullah tetap pantas dan tegas. Selepas mengaminkan doa, ramai makmum bergegas keluar untuk ke Dewan Merdeka bagi mengikuti majlis Pidato Perdana Islam Hadhari.

Jam sudah pun menunjukkan 9.10 malam ketika penulis lalu di depan seorang pengawal peribadi Abdullah yang disapa seorang hadirin dengan soalan kenapa Perdana Menteri masih tidak keluar lagi. "Pak Lah solat sunat," jawab beliau menjelaskan kebiasaan Perdana Menteri.

Tidak lama kemudian, Abdullah memasuki Dewan Merdeka sambil diiringi Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, dan mengambil tempat duduk di bahagian tengah dewan, bukan di depan pentas seperti kebiasaannya.

Majlis dimulakan dan 10 peserta akhir pidato silih berganti mempamerkan kepetahan bercakap setiap prinsip Islam Hadhari dalam tempoh 10 minit yang diperuntukkan.

Abdullah mendengar butir kata mereka dengan khusyuk. Ada kalanya beliau mengerutkan dahi dan ada kalanya beliau tersenyum ketawa, lebih-lebih lagi ketika mendengar kepetahan dan kelucuan pidato wakil Negeri Sembilan, Syamsul Amri Ismail, yang kemudian dipilih sebagai juara.

Tidak seperti ramai hadirin lain yang sering keluar masuk dewan dan adanya yang menyelinap pulang, Perdana Menteri tetap berada di tempat duduknya sehinggalah peserta terakhir selesai berpidato kira-kira jam 11 malam.

Selepas itu, Abdullah naik ke pentas untuk menyampaikan Amanat Khas kepada hadirin. Memulakannya dengan lafaz Bismillah dan ucapan salam, Perdana Menteri menyatakan kekaguman kepada peserta pidato mengupas sepuluh prinsip Islam Hadhari.

Beliau mencadangkan kandungan pidato mereka dibukukan selepas beberapa kelemahan diperbetulkan untuk dijadikan bahan penerangan Islam Hadhari.

"Saya harap Ketua Penerangan Umno apabila mahu mengadakan majlis penerangan Islam Hadhari, jemputlah anak-anak kita yang hebat ini. Kemampuan berpidato sudah ada pada mereka," katanya sambil disambut tepukan gemuruh hadirin.

Selepas reda tepukan itu, Perdana Menteri secara lembut menegur peserta dan pengerusi majlis itu kerana tidak memulakan percakapan mereka dengan doa sejahtera sesama saudara Islam seperti yang dianjurkan Nabi Muhammad SAW.

"Beri salam dulu, jangan mulakan dengan ucapan lain. Naik pentas sampaikan salam dulu, itu cara yang diajar Rasulullah. Selepas sampaikan salam, barulah kita cakap," katanya sambil menyebut nama pemimpin biro agama Umno, Tan Sri Dr Abd Hamid Othman dan Tan Sri Dr Yusof Nor meminta mereka memastikan adab itu diamalkan pada majlis akan datang.

Presiden Umno itu kemudian menyambung amanat dengan menjelaskan sedikit sebanyak mengenai pendekatan Islam Hadhari yang diperkenalkannya sejak meneraju tampuk pemerintahan negara dan penerimaannya oleh rakyat negara ini dan juga masyarakat antarabangsa daripada kalangan bukan Islam.

"Ada yang menganggap Islam Hadhari sebagai konsep, falsafah, idea dan sebagainya. Apapun, Islam Hadhari sudah diterima bukan saja di negara ini dan semua kaum tetapi juga di luar negara. Saya sudah jelaskan apakah prinsipnya. Mereka dapati Islam Hadhari adalah baik kerana prinsipnya diambil daripada nilai yang baik yang mempunyai nilai universal yang boleh diterima bukan Islam.

"Pada peringkat antarabangsa, Islam Hadhari memperlihatkan kita sebagai umat Islam yang sederhana. Hari ini terbukti negara kita yang ramai orang Islam adalah negara yang stabil. Walaupun bilangan bukan Islam mencapai 40 peratus, iaitu angka agak tinggi, mereka menerima pendekatan kita.

"Saya hendak nyatakan bahawa Islam Hadhari bukan dipengaruhi mana-mana falsafah tetapi pemahaman kita kepada al-Quran dan Hadis. Inilah yang memberi kekuatan kepada kita, nilai yang perlu kita pegang," katanya.

Abdullah berkata, pada majlis penerangan kepada 11 eksekutif kanan syarikat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) Amerika Syarikat di Austin, Texas, minggu lalu, Perdana Menteri berkata, mereka mengakui baru memahami Islam adalah agama keamanan dan kemajuan.

"Selepas saya memberi penerangan, tiba-tiba semua bertepuk secara spontan dan seorang daripada mereka bangun dan berkata ini idea dan penjelasan yang baik mengenai Islam dan saudara patut sebarkan idea ini," katanya.

Abdullah berkata, ketika di Amerika beliau juga ditemui seorang wartawan Australia yang menyatakan bahawa Islam Hadhari kini menjadi perbualan hangat di negaranya sejak penerangan ketika lawatannya ke sana awal bulan lalu.

"Seorang imam masjid di sana meminta salinan teks ucapannya untuk tatapan jemaah tetapi akhirnya terpaksa mencetak berulang kali kerana mendapat permintaan penduduk setempat. Saya tanya siapa yang minta dan dia kata ramai bukan Islam yang minta," katanya.

`Biar tak popular asalkan betul untuk negara'

Rencana BH 27 April 2006 (ms10)

MUNGKIN ada orang kata, ini adalah sebahagian daripada kelemahan Pak Lah! Saya tak kisah apa yang lain orang kata mengenai saya, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kepada lebih 300 ahli perniagaan berpengaruh negara pada majlis jamuan bersama Perdana Menteri anjuran Kelab Perniagaan Kuala Lumpur di Hotel Shangri-la, malam Isnin lalu.

Pastinya kenyataan ikhlas Abdullah pada sesi soal jawab itu menyentuh perasaan sebahagian besar hadirin yang mungkin simpati dengan pelbagai kritikan yang dilemparkan kepada Perdana Menteri berhubung cara beliau mentadbir negara atau pun mungkin juga berasa bersalah kerana terbabit sama menghambur nista.

Suasana dewan majlis bertukar hening apabila hadirin termasuk menteri, ahli politik dan pengamal media, sekadar terdiam memikirkan reaksi yang sepatutnya atau berdebar menanti sambungan luahan rasa hati Abdullah yang pertama kali dilakukannya sejak mewarisi tampuk pemerintahan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Semua mata tertumpu ke arah pentas tempat Perdana Menteri duduk ditemani Presiden Kelab Perniagaan Kuala Lumpur, Datuk Dr Mohd Munir Majid, selaku pengerusi majlis. Namun, keheningan itu dipecah derai ketawa hadirin sebaik saja Abdullah menyebut nama Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu, bagi menjawab soalan berhubung kaedah pemberian kontrak kerajaan.

Pastinya ramai hadirin lega kerana Perdana Menteri tidak meneruskan luahan rasanya itu, sebaliknya memilih untuk menjawab persoalan berhubung dasar, khususnya berhubung pelan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9)yang menjadi agenda pertemuan itu.

Namun, nada suara dan riak mukanya jelas menunjukkan Abdullah mahu menjawab segala kritikan terhadap dasar ekonomi dan politiknya, lebih-lebih lagi di hadapan ahli korporat negara, hinggakan Dr Mohd Munir terpaksa mencelah untuk menamatkan sesi soal jawab apabila jam sudah melangkaui 11 malam.

Abdullah yang masih bersemangat untuk menerima lagi soalan dan mendengar pandangan hadirin terpaksa beralah dengan keterbatasan waktu. Tekad Perdana Menteri memperbetulkan tanggapan salah terhadap corak pentadbiran beliau diperlihatkan dalam ucapannya sebelum itu yang menjelaskan falsafah dan rasional pelan RMK-9 yang diumumkan akhir bulan lalu.

Abdullah yang juga Menteri Kewangan menegaskan dasar ekonomi pentadbirannya digubal untuk kebaikan rakyat dan negara, bukan bagi mencari populariti sehingga generasi akan datang menanggung beban hutang.

Perdana Menteri berkata, beliau hanya mahu melaksanakan dasar ekonomi yang betul bukan saja untuk generasi sekarang tetapi juga masa depan walaupun tindakan itu tidak akan menjadikan beliau pemimpin popular. Beliau tidak kisah jika tidak menjadi pemimpin yang 'mendirikan binaan hebat dan bandar raya bergemerlapan'.

"Kadang kala saya ditanya, 'Pak Lah, kenapa tidak saja anda berbelanja dan bina?' Gerakkan sektor pembinaan, taburlah projek kerajaan." Saya diberitahu tindakan ini akan jadi popular dan ia akan melicinkan putaran roda ekonomi kita. Saya bukannya takut untuk berbelanja, RMK-9 membuktikannya.

"Tetapi jika dasar ekonomi saya hanya mengenai cukai dan berbelanja tanpa memikirkan soal perubahan struktur, apakah yang akan saya tinggalkan untuk generasi akan datang? Saya tidak mahu meninggalkan bebanan hutang atau liabiliti. Saya tidak mahu kita berjaya sekarang dan generasi akan datang menanggung akibatnya.

"Semua ahli politik mahu menjadi popular. Itu adalah periuk nasi kami. Namun, populariti tidak patut mendahului tindakan yang betul. Saya tidak merancang untuk melakukan apa yang popular. Saya merancang untuk melakukan dan mencuba apa yang betul untuk negara. Apa yang kita ubah sekarang akan membolehkan kita berjaya sekarang dan masa depan?" katanya menyimpulkan pendirian pentadbirannya.

Pentadbiran Abdullah ditegur kerana kononnya tidak berani berbelanja untuk melaksanakan projek besar sehinggakan pertumbuhan ekonomi agak lembap walaupun perangkaan yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia menunjukkan keadaan sebaliknya.

Kini, selepas berbangkitnya isu konsesi lebuh raya dan pengeluar tenaga bebas (IPP) yang menyebabkan bebanan kewangan berbilion ringgit kepada kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) setiap tahun kerana perjanjian 'berat sebelah', barulah timbul kesedaran betapa sukarnya untuk melaksanakan pembangunan prasarana tanpa memberi kesan kepada generasi akan datang.

Justeru, dalam ucapannya itu juga, Perdana Menteri menegaskan Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) yang diberi penekanan oleh kerajaan sebagai kaedah perkongsian di antara kerajaan dan pihak swasta dalam pembangunan prasarana sekarang adalah berbeza daripada kaedah konsesi yang dilaksanakan sebelum ini.

Abdullah berkata, PFI akan dilaksanakan berdasarkan perjanjian yang adil kepada kerajaan dan pihak swasta dan kerajaan tidak akan lagi menyelamatkan konsesi yang gagal. Katanya, pihak swasta perlu mengemukakan cadangan yang inovatif dan boleh dilaksanakan.

"Saya tidak akan membenarkan kerajaan dan akhirnya pembayar cukai menderita akibat perjanjian berat sebelah yang hanya memberi keuntungan besar kepada syarikat terbabit. Kerajaan juga tidak akan mudah menjamin dan memberi subsidi untuk konsesi pada masa depan seperti sebelum ini apabila keuntungan diswastakan dan kerugian dimiliknegarakan," katanya.

Tekad Abdullah menjayakan pelan RMK-9 yang disifatkannya sebagai Misi Nasional bagi mencapai matlamat Wawasan 2020 tidak boleh disanggah dan perlu disokong semua pihak. Perdana Menteri sememangnya komited meneruskan impian pentadbiran terdahulu. Katanya, Misi Nasional amat penting untuk survival Malaysia dan tidak harus dilihat sebagai slogan atau satu lagi rancangan lima tahun.

Pertanian bukan industri pinggiran

Rencana BH 22 Ogos 2006 (ms.12)

BERI nafas baru dan perkasa sektor pertanian. Itulah ungkapan yang sering kita dengar daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sejak menerajui kerajaan hampir tiga tahun lalu. Biarpun ada yang tidak yakin dengan dasar itu ketika dunia lebih menumpukan kepada industri berat bagi memburu pertumbuhan besar ekonomi, Perdana Menteri tetap mahu sektor pertanian dimajukan untuk kepentingan rakyat terutama di luar bandar.

Bagi Perdana Menteri, sektor pertanian itu sebenarnya mewujudkan industri asas tani yang menambah nilai bahan mentah hasil pertanian dan bukan makanan melalui pemprosesan menjadi produk yang boleh dipasarkan, diguna dan dimakan serta pada masa sama menambah pendapatan dan keuntungan kepada petani.

"Saya tak mahu sektor pertanian tradisional disamakan dengan sektor untuk orang miskin," katanya ketika berucap melancarkan pelan tindakan Program Pembangunan Usahawan Industri Asas Tani di Bandar Baru Beris Jaya, Sik, Kedah, Khamis lalu.

Sebagai anak kelahiran Kepala Batas yang juga antara kawasan jelapang padi, Abdullah sememangnya cukup faham betapa sektor pertanian yang secara tradisionalnya diusahakan orang Melayu sering dikaitkan dengan kepayahan dan kemiskinan. Malah, sudah menjadi tanggapan umum bahawa petani adalah golongan miskin dan pertanian adalah sektor yang tidak menguntungkan.

Justeru, tidak hairanlah kenapa Malaysia sejak berdekad lalu memilih untuk menampung keperluan makanannya, termasuk 75 peratus keperluan beras, dengan mengimport walaupun pendekatan itu memberi kesan kepada imbangan pembayaran negara.

"Mengapa saya sibuk dengan industri asas tani? Kerana kalau tidak ada industri asas tani, tidak ada pemprosesan, tidak ada kilang," kata Perdana Menteri kepada ribuan penduduk Sik pada majlis pelancaran program itu.

Abdullah yang juga Menteri Kewangan menegaskan beliau tidak mahu lagi penduduk kampung sekadar bekerja di kilang dan kekal di tahap itu tanpa mencari jalan untuk menjadi pengusaha kilang yang selama ini daripada kalangan mempunyai modal besar.

Katanya, masyarakat luar bandar kini sebenarnya berpeluang menerima bimbingan pelbagai pihak termasuk jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan boleh menjadi pengusaha serta mendirikan kilang.

"Kerajaan akan menggalakkan mereka bermula dalam skala kecil bagi memudahkan pemantauan dan ia bukan bermatlamat melahirkan usahawan yang kaya secara segera. Kerajaan berharap 10,000 usahawan dapat dilahirkan dan lebih banyak penduduk dibebaskan daripada belenggu kemiskinan," katanya.

Apa yang dijelaskan Perdana Menteri itu ialah Program Pembangunan Usahawan Industri Asas Tani yang akan dilaksanakan di setiap daerah di negara ini dengan matlamat mewujudkan 10,000 usahawan industri asas tani dengan pendapatan minimum bersih RM2,000 sebulan menjelang 2010.

Program itu juga bertujuan meningkatkan kualiti produk ke tahap pasaran global yang menepati persijilan antarabangsa bagi sekurang-kurangnya 20 peratus daripada usahawan industri asas tani yang akan dibangunkan.

Menerusi program itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan membawa usahawan industri asas tani mikro ke tahap lebih tinggi; mengadakan program pembangunan insan; menyediakan khidmat nasihat serta bantuan kewangan; menambah kualiti dan keupayaan pengeluar melalui inovasi teknologi dan perniagaan.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga akan memperkenalkan jenama produk; meneroka dan mengembangkan pasaran; mempromosikan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi; dan menyediakan khidmat sokongan bersepadu kepada pengusaha.

Strategi program itu adalah sejajar dengan dasar untuk meningkatkan pendapatan petani, penternak dan nelayan, memperluaskan aktiviti pemprosesan dan kepelbagaian produk hasil berasaskan pertanian dan mengukuhkan pemasaran dan rangkaian global.

Harapan Perdana Menteri itu sudah mula menampakkan tanda akan dipenuhi. Di Sik saja 60 projek di bawah program itu, iaitu 40 perusahaan ikan hiasan dan 20 perusahaan makanan, sedang dilaksanakan. Daerah terbesar Kedah yang selama ini dibelenggu kemiskinan mula menampakkan bayangan kemakmuran hasil industri asas tani.

Seramai 40 penduduk miskin di Kampung Bendang Man kini menaruh harapan kepada projek ikan hiasan bernilai lebih RM2 juta. Sebanyak 314 kolam konkrit dan 19 kolam tanah diusahakan di kawasan seluas 4.45 hektar sejak 2004 dan dijangka mengeluarkan hasil akhir tahun ini.

Di Kampung Gajah Putih, Jeneri, Zarida Hassan, 40, pula sudah bergelar usahawan kerepek pisang sejak setahun lalu dengan pendapatan bersih lebih RM2,000 sebulan. Jumlah itu sekali ganda daripada hasil ketika beliau mengusahakan kantin sebelum ini.

Seorang lagi pengusaha, Shafie Che Sa, 27, dari Kampung Batu Besar, Teloi, pula bertekad memasarkan produk kopi warisan keluarganya ke seluruh negara tidak lama lagi.

Hasrat itu bukan sekadar impian tetapi sasaran kerajaan seperti mana yang dinyatakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam ucapannya ketika majlis pelancaran Program Pembangunan Usaha Asas Tani itu.

"Menerusi rangka tindakan program pembangunan usahawan industri asas tani, kerajaan meletakkan sasaran supaya hasil keluaran masyarakat luar bandar turut mendapat pasaran antarabangsa," katanya.

Muhyiddin berkata, jika selama ini petani, penternak dan nelayan menjual hasil mereka secara langsung di pasar atau kepada peraih, sekarang kerajaan menggalakkan mereka menjalankan perusahaan memproses hasil berkenaan bagi memberi pendapatan tambahan tanpa perlu bergantung kepada hasil segar semata-mata.

Sekadar menyebut beberapa daripada ribuan produk hasil pertanian yang boleh diusahakan, beliau berkata buah-buahan boleh diproses menjadi jus minuman, halwa, jem atau kek manakala hasil laut pula boleh dijadikan ikan pekasam, keropok atau bahan perisa.

"Saya percaya dengan komitmen padu kementerian dan semangat tinggi petani, penternak dan nelayan dalam menjalankan perusahaan berasaskan pertanian, produk keluaran kita akan dapat dijual di luar negara.

"Tidak mustahil satu hari nanti masyarakat Eropah, Amerika Syarikat atau negara Asia Barat mula menggemari kuih-muih dan makanan tradisi kita seperti bahulu, dodol, ikan pekasam, dan kerepek ubi," katanya.

Muhyiddin berkata, sehingga kini Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerusi Jabatan Pertanian sudah menyalurkan RM4 juta untuk pembangunan kawasan pertanian daerah Sik manakala Bank Pertanian pula memperuntukkan RM6 juta bagi skim kredit industri asas tani.

Sehubungan itu, beliau berharap Sik sebagai daerah terbesar di Kedah dan antara yang termiskin di negara ini bakal menjadi sebuah daerah termaju tidak lama lagi melalui Program Pembangunan Usahawan Industri Asas Tani itu.

Program itu pertama kali didedahkan kepada media oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Effendi Norwawi, seminggu sebelum majlis pelancarannya oleh Perdana Menteri. Effendi menjelaskan program itu adalah sebahagian daripada 13 Projek Impak Tinggi (HIP) dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Friday, September 01, 2006

Of Merdeka And Bajet

Merdeka! Merdeka! Merdeka! For some, they are really merdeka. For me and most of my colleagues, Merdeka Day is just another working day. Luckily, I'm on the evening shift. This accords me the time to update this "monitored" blog after completing the usual task of compiling the states' stories on the merdeka celebration.

But the rest period is short. Tomorrow, it's going to be another long and tiring day for us all - Budget Day. Luckily, I've been assigned to the Parliament to cover the presentation by the Prime Minister. At least two of my colleagues would be there too to help. I've been covering the current parliamentary sitting alone since Monday - a normal thing for us at Berita Harian.

Hopefully, the Desk will provide something more decent than the normal KFC pack for dinner tonight. Nasi Padang would be nice. Editors please take note.

What could we expect from next year's Budget? Wait till 4 pm today. I hope it's not going to be another excuse to hike the already high cigarette prices. It's just not proper to tax us smokers more while at the same time spending millions of ringgit on the anti smoking campaign.

Argument that smokers burden the health care system is no longer valid. Dewan Rakyat was told this week the government spent millions of ringgit treating aliens, ie foreign workers. I believe the tax collected from each smoker is more than enough to cover the treatment (at the government's hospitals) if he or she fell sick. My point is, stop using the argument to hike the tax. Give us a break. Tax break would be great. Cheers.

p/s

Nicotine is ok, alcohol is not ok. So tax the "mother of all sins" more, spare the tabac.