Monday, January 08, 2007

Brabus CLS-Rocket pikat peminat

BRABUS CLS-Rocket yang memecah rekod kereta sedan paling laju di dunia pada Oktober lalu, menjadi tarikan utama ribuan peminat kereta berprestasi tinggi pada Pameran Motor Essen 2006, di Jerman yang berlangsung selama 10 hari, Disember lalu.

Angka kelajuan rasmi 365.7 kilometer sejak (km/j) yang dicatatkan dalam ujian di litar Nardo, Itali pada 20 Oktober lalu menjadi kebanggaan terbaru pengasas dan pemilik Brabus, Prof Bodo Buschmann, yang sudah menghasilkan beberapa kereta sedan paling laju dunia sebelum ini.

Kereta sedan empat pintu yang dilengkapi enjin turbo berkembar Brabus SV12 S itu mampu memecut daripada 0-100 km/j dalam 4.0 saat, 0-200 km/j dalam 10.5 saat dan 0-300 km/j dalam 29.5 saat, sekali gus meletakkannya dalam kelompok kereta paling laju di dunia.

Brabus mencipta rekod kereta sedan paling laju di dunia sejak 1996 lagi apabila model Brabus E V12 mencatat rekod kelajuan 330 km/k dan sekali lagi menerusi versi E V12 Biturbo pada 2003 dengan kelajuan 350.2 km/j.

Bertemakan "Your Car Is More" pameran kereta berprestasi tinggi terbesar itu, kali ini dibahagikan kepada empat segmen iaitu 'Automobiles', 'Tuning', 'Oldtimers & Clasic Cars' dan 'Show Center' yang menampilkan teknologi dan kereta terkemuka masa lalu, kini dan masa depan.

Pameran Motor Essen 2006 itu turut menjadi pentas pelancaran inovasi dan model baru syarikat automotif terkemuka dunia seperti Audi, Daihatsu, Ford, Nissan, Opel, Seat, Subaru dan Volkswagen.

PIPP perlu tumpu latih, pilih guru

KUALA LUMPUR: Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 perlu memberi penekanan kepada sistem pemilihan dan latihan guru serta pemantauan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah sekiranya mahu menghasilkan modal insan berwibawa, berpengetahuan dan berketrampilan.

Fellow Akademi Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Robiah Sidin, berkata semua ini yang menjadi asas kekuatan sistem pendidikan perlu sentiasa dipertingkatkan sejajar perubahan dan tuntutan zaman.

"Aspek utama ialah perguruan iaitu sistem memilih dan melatih guru. Ia sangat penting kerana gurulah yang mencetuskan perubahan dalam diri pelajar," katanya kepada Berita Harian ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas penekanan yang wajar diberikan dalam PIPP terutama dalam membangunkan modal insan berminda kelas pertama sejajar matlamat Misi Nasional yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Khamis lalu, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein meminta masyarakat memberi maklum balas berhubung pelan komprehensif lima tahun yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, 16 Januari.

PIPP menggariskan dasar, matlamat, fokus, strategi, pelan tindakan dan indikator pencapaian ke arah memantapkan sistem pendidikan kebangsaan.

Dr Robiah yang juga bekas Dekan Fakulti Pendidikan UKM berkata, pemantau proses pengajaran dan pembelajaran bilik darjah perlu bagi membantu guru mempertingkatkan prestasi mengajar, sekali gus pemahaman serta penerimaan pelajar terhadap ilmu yang disampaikan.

Katanya, walaupun sudah ada sistem nazir bagi menilai prestasi guru, ia tidak menyeluruh kerana kekurangan nazir manakala penilaian lebih bersifat pentadbiran, iaitu berkaitan urusan kenaikan pangkat.

"Eloklah kalau ada mekanisme membimbing guru...ia boleh dilakukan oleh sekolah sendiri membabitkan pengetua dan guru. Kalau ada kerjasama di sekolah, akan ada inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran," katanya.

Mengenai kaedah menghasilkan pelajar berminda kritikal, Dr Robiah berkata, pengajaran dan pembelajaran perlu menjangkau di luar silibus supaya pelajar memberi idea dan memperoleh pengetahuan selain dari buku teks.

Katanya, walaupun pendekatan itu dilaksanakan di sekolah menerusi projek kelas, ia tidak menyeluruh dan terhad kepada subjek tertentu.

"Pada masa ini kita agak tradisional, guru masih menjadi sumber utama pengetahuan. Pelajar perlu terbabit sama memberi pandangan dan guru pula bertindak sebagai fasilitator," katanya sambil menambah, pendekatan itu perlu mula dipraktikkan dalam peperiksaan.

Dr Robiah yakin PIPP adalah penambahbaikan sistem pendidikan yang menyeluruh sejajar tuntutan globalisasi.

FAKTA
Enam Teras PIPP
* Membina negara bangsa
* Membangunkan modal insan
* Memperkasakan sekolah kebangsaan
* Merapatkan jurang pendidikan
* Memartabatkan profesion perguruan
* Melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan

Tuesday, January 02, 2007

PLKN tambah pelatih, kemudahan cukup

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus menambah bilangan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bagi memberi peluang kepada lebih ramai remaja mengikutinya sejajar permintaan masyarakat, kata Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, walaupun jumlah pelatih PLKN tahun ini ditingkatkan kepada 100,000, ia hanya mencakupi 20 peratus daripada remaja berusia 18 tahun dan layak mengikutinya.

"Tertakluk kepada kemampuan kerajaan, kita akan tingkatkan jumlahnya kerana mahu ia disertai secara menyeluruh atau seramai mungkin remaja," katanya selepas melepaskan pelatih PLKN Kumpulan 1 Siri 4/2007 di Kompleks Sukan Bukit Jalil di sini, semalam.

Seramai 2,016 pelatih berasal dari ibu negara dihantar ke 25 kem di Selangor, Kelantan, Pahang, Sabah dan Sarawak semalam. Mereka adalah sebahagian daripada 34,313 pelatih yang diwajibkan melapor diri di 104 pusat berkumpul di seluruh negara.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Tan Sri Lee Lam Thye dan Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Abdul Halim Abdul Hamid.

Najib yang juga Menteri Pertahanan berkata, sejak dilaksanakan tiga tahun lalu PLKN semakin mendapat reaksi positif masyarakat sehingga ramai remaja menawarkan diri dan ibu bapa yang memohon kepada MLKN supaya anak dipilih mengikutinya.

"Ia semua menunjukkan sambutan terhadap program ini semakin menggalakkan dan sebab itu ada kewajaran kita mengkaji kemungkinan jumlah ini ditambah pada masa akan datang," katanya.

Najib berkata, beliau berpuas hati kerana pelaksanaan PLKN kali ini lebih terurus dan sistematik dengan kemudahan di semua kem sudah dipertingkatkan mengikut piawaian yang ditetapkan dan dipantau.

Katanya, jumlah pelatih yang terbabit dalam konsep integrasi nasional, iaitu bilangan pelatih dari Sabah dan Sarawak yang dihantar ke Semenanjung, ditambah daripada 10 peratus kepada 20 peratus tahun ini.

"Ia sejajar hasrat kerajaan supaya PLKN bukan saja diteruskan, tetapi dilakukan penambahbaikan dari masa ke masa supaya program ini lebih berkesan dan memberi kepuasan kepada pelatih dan ibu bapa mereka," katanya.

Menjawab soalan, Najib berkata pelatih yang menawarkan diri mungkin akan diterima menyertai Kumpulan tiga bersama mereka yang memohon penangguhan sebelum ini jika ada kekosongan.

Kumpulan pertama program tahun ini bermula semalam hingga 9 Jun, diikuti kumpulan kedua mulai 18 Mac hingga 9 Jun dan kumpulan kedua mulai 17 Jun hingga 8 September.

Sehingga 28 Disember lalu, JLKN menerima 717 permohonan penangguhan dan 363 permohonan pengecualian dan meluluskan 541 permohonan penangguhan dan 256 permohonan pengecualian.

Naza-Brabus pertingkat prestasi enjin

NAZA-BRABUS Motor Sdn Bhd (Naza-Brabus), pemegang francais eksklusif bagi mengimportan kereta mewah Brabus di Malaysia dan Singapura, akan melancarkan program penalaan enjin segera bagi mempertingkatkan prestasi kereta Mercedes-Benz pada suku pertama tahun ini.

Naib Presiden Eksekutif Naza Group, SM Faisal SM Nasimuddin, berkata program itu disediakan bagi memberi peluang kepada pemilik Mercedes-Benz di negara ini menikmati peningkatan prestasi kereta mewah mereka tanpa menunggu lama.

Katanya, perkhidmatan itu sebelum ini dilakukan di ibu pejabat dan kilang Brabus di Bottrop, Jerman, serta mengambil masa kira-kira 10 hari.

Sebaliknya, beliau berkata dengan kemudahan disediakan di bilik pameran baru serba canggih Brabus di Bangsar yang akan beroperasi mulai bulan depan, perkhidmatan penalaan enjin akan dibuat segera.

"Penalaan ini boleh dilakukan secara dalam talian, kami ada sistem 'flash' di bilik pameran Bangsar. Pelanggan cuma perlu memandu masuk dan tinggalkan kereta mereka untuk beberapa jam. Mereka boleh pulang dan apabila mereka kembali, kereta mereka sudah mempunyai kuasa.

"Dengan hanya pemasangan kit dan penalaan segera, kami dapat menyelesaikan masalah prestasi kereta mereka. Dengan belanja beberapa ribu ringgit saja, mereka boleh menambah kuasa kuda tanpa menyentuh bahagian luar kereta," katanya ketika ditemu bual di ibu pejabat Brabus di Bottrop, Jerman, baru-baru ini.

SM Faisal berada di sana untuk mengadakan perbincangan dengan pengasas dan pemilik Brabus, Prof Bodo Buschmann, berhubung pelan perniagaan mereka di Malaysia bagi dua tahun akan datang, selain membawa pelanggan untuk melihat sendiri operasi pengeluaran kereta Brabus dan Pameran Motor Essen 2006.

Prof Buschmann, apabila ditanya mengenai perancangan masa depan, berkata Brabus komited untuk memantapkan kehadiran dan memperkembangkan perniagaan di Malaysia.

"Kami membincangkan pelbagai perkara termasuk aspek pendidikan," katanya.

Mengulas perkara sama, SM Faisal berkata, walaupun ia tahun serba mencabar bagi sektor automotif negara, Naza-Brabus yakin dapat mengembangkan perniagaan kerana bilangan pemilik Mercedes-Benz semakin ramai dengan pendaftaran pada tahun lalu saja kira-kira 1,800.

Katanya, biarpun struktur baru tarif di bawah Dasar Automotif Negara (DAN) menyebabkan peningkatan harga Brabus, jumlah penjualan masih dalam lingkungan unjuran dan pelanggan juga dapat membuat penyesuaian dengan harga baru, selain setia dengan jenama itu.

"Sejak kami melancarkan Brabus pada 2000, kami sudah mendaftar kira-kira 320 kereta. Ia pasaran yang tersendiri tetapi kami gembira kerana dapat mengekalkan bilangan antara 100 dan 150 setahun," katanya sambil menambah permintaan tempatan untuk produk berprestij seperti Brabus semakin meningkat.

Sehubungan itu, SM Faisal berkata, Naza-Brabus mengadakan pelbagai program seperti pelancaran bilik pameran baru Brabus di Bangsar, pelaburan tambahan, pemasaran lebih agresif serta aktiviti perhubungan awam bagi mendidik orang ramai dan bakal pelanggan mengenai jenama Brabus tahun depan.

Katanya, program kemasyarakatan untuk kanak-kanak dan remaja juga akan diadakan bukan saja sebagai promosi jenama Brabus supaya menjadi kereta idaman, tetapi memantapkan jati diri mereka dengan menyemai semangat untuk berjaya pada masa depan.