Thursday, March 29, 2007

MCKK antara 30 sekolah kluster

PUTRAJAYA: Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Sekolah Menengah St John Kuala Lumpur, dan Kolej Tuanku Kursiah, Seremban, adalah antara sekolah terkemuka negara yang dipilih sebagai perintis sistem sekolah kluster atau kelompok sekolah cemerlang (KSC) yang akan dilaksanakan Kementerian Pelajaran bulan depan.

Difahamkan sekolah terbabit yang diklasifikasikan sebagai sekolah premier atau etos dengan sejarah lebih 100 tahun itu terpilih berdasarkan keupayaan pengurusan masing-masing mengekalkan pencapaian dan kecemerlangan lalu hingga sekarang.

Senarai rasmi 30 sekolah perintis kluster itu akan diumumkan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, pada satu majlis di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) esok.

Sementara itu, Ahli Lembaga Penasihat Kluster Kecemerlangan, Prof Emeritus Datuk Dr Khoo Kay Kim, ketika diminta mengulas perkara itu, berkata status premier atau identiti etos tidak menjamin sesebuah sekolah itu dipilih sebagai sekolah kluster.

Beliau berkata, ini kerana pemilihan sekolah kluster mengambil kira kriteria lain seperti prestasi akademik, kegiatan kokurikulum, dan keadaan disiplin semasa sekolah, bukan sekadar kecemerlangan masa lalu.

"Jangan sangka sekolah premier atau etos akan dipilih secara automatik. Tidak semestinya, jawatankuasa akan bincang dan beri nasihat kepada kementerian. Tidak ada yang automatik, semua sekolah boleh memohon," katanya ketika dihubungi semalam.

Menerusi sistem sekolah kluster, pengurusan sekolah berkenaan diberi lima kuasa autonomi bagi mencapai kecemerlangan sejajar usaha kerajaan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan setaraf negara maju seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010.

Antara autonomi itu ialah kebenaran memilih dan mengiklankan calon guru serta kakitangan sokongan tanpa melalui norma perjawatan biasa; mengguna khidmat dan kepakaran luar dalam bidang yang diperlukan; memilih 10 peratus daripada jumlah kemasukan pelajar mengikut cara yang difikirkan sesuai; dan memilih kursus serta program latihan untuk guru.

Kementerian Pelajaran mensasarkan pemilihan 300 sekolah kluster menjelang akhir tahun ini tetapi bilangan itu boleh dipertingkatkan mengikut kesesuaian perkembangan semasa.

Hishammuddin, ketika mengumumkan perkara itu selepas mesyuarat pertama Lembaga Penasihat Kluster Kecemerlangan Jumaat lalu, berkata pemilihan akan mencakupi semua jenis sekolah rendah dan menengah, termasuk sekolah pendidikan khas, vokasional dan swasta.

Mengulas lanjut, Prof Khoo berkata, Lembaga Penasihat Kluster Kecemerlangan, masih membincangkan pelbagai perkara berkaitan bagi merealisasi dan menjayakan sistem sekolah kluster.

Katanya, pada dasarnya lembaga itu akan mengenalpasti sekolah berpotensi dan membantu sekolah berkenaan sebagai sekolah cemerlang.

"Sekolah lain boleh menggunakan sekolah kluster sebagai contoh untuk meningkatkan prestasi masing-masing, katanya.

Tuesday, March 27, 2007

Iran diminta patuh resolusi PBB

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berharap Iran akan bekerja sama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menamatkan sekatan yang dikenakan Majlis Keselamatan badan dunia itu berhubung porgram nuklearnya.

Abdullah yang juga Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) berkata, Iran mungkin menghadapi kesan buruk jika sekatan itu dilaksanakan PBB.

"Itu adalah keputusan semua anggota Majlis Keselamatan dan tentulah diharapkan Iran akan mematuhinya kerana itu juga keputusan PBB. Walaupun ini tindakan berat bagi Iran, saya harap Iran akan dapat kaji betul-betul betapa perlunya ia mengambil kira sekatan yang akan dikenakan terhadapnya.

"Bagaimana nak patuhinya, itu terpulang kepada Iran. Jika Iran ingkar, keadaan akan menjadi amat sukar," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Sumber Air Negara Ketiga di Jabatan Perdana Menteri di sini, semalam.

Perdana Menteri diminta mengulas ketetapan Majlis Keselamatan PBB Ahad lalu yang sebulat suara mengenakan sekatan baru ke atas Iran berhubung program nuklearnya dengan mensasarkan eksport senjata Iran, bank negara serta Pengawal Revolusi.

Iran, bagaimanapun, menolak ketetapan baru itu yang disifatkan tidak sah dan mengulangi pendirian untuk meneruskan proses meningkatkan keupayaan uranium bagi menghasilkan tenaga elektrik.

Menjawab soalan, Abdullah berkata Malaysia tetap berpendirian bahawa setiap negara berhak membangunkan teknologi nuklear untuk tujuan keamanan.

Bagaimanapun, katanya, dalam kes Iran itu, masalah sudah timbul sehingga PBB mengambil tindakan sedemikian.

"Iran perlu mengambil tindakan segera untuk patuh. Kalau ada apa-apa yang perlu dibawa kepada PBB, terserah kepada mereka," katanya.

Masyarakat dunia kini bimbang Amerika Syarikat dan sekutunya akan menyerang negara Parsi itu bagi menghentikan apa yang didakwa Washington program pembangunan senjata nuklear Iran.

Kerajaan kaji gaji polis

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata kerajaan sedang mengkaji kenaikan gaji kira-kira 97,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti yang dipohon Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, pada mesyuarat Badan Bertindak Pelaksanaan Negara (NITF) baru-baru ini.

Sambil mengakui gaji anggota dan pegawai polis pada masa ini tidak tinggi dan menjurus kepada masalah seperti rasuah, Abdullah yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang memperincikan butirannya untuk dikemukakan kepada kerajaan.

"Dalam mesyuarat NITF baru-baru ini, Ketua Polis Negara memberi taklimat mengenai pembangunan masa depan PDRM. NITF membuat keputusan supaya cadangan untuk menaikkan gaji bagi polis dipertimbangkan pihak JPA. JPA akan ambil tindakan dan buat cadangan tertentu. Banyak mana naik atau kuantumnya adalah butiran terperinci.

"Memang diakui gaji polis sekarang ini memang tidaklah tinggi dan mungkin ini menjurus kepada masalah lain berhubungkait dengan rasuah dan sebagainya," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Sumber Air Negara Ketiga di Jabatan Perdana Menteri di sini, semalam.

Hadir sama pada mesyuarat kira-kira tiga jam itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Baru-baru ini, Musa berkata cadangan penstrukturan semula PDRM yang dikemukakan kepada NITF antara lain membabitkan permohonan kenaikan gaji pokok anggota dan pegawai sebanyak 20 peratus lebih tinggi daripada kakitangan sektor awam lain.

Permohonan lain ialah penambahan anggota dan kenaikan taraf kelulusan sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) untuk konstabel, diploma bagi sarjan dan ijazah untuk inspektor.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata pertimbangan bagi kenaikan gaji itu membabitkan semua peringkat perkhidmatan PDRM walaupun ada anggota dan pegawai dalam kumpulan tertentu yang menerima elaun tugas khas.

"Dari segi gaji tetap, semua sama. Apa yang berbeza ialah elaun tugas khas. Justeru, kenaikan gaji dipertimbangkan untuk keseluruhan perkhidmatan polis," katanya.

Ditanya apakah kelulusan kenaikan gaji anggota PDRM itu akan diberikan sebelum pembentangan Bajet 2008, Abdullah yang juga Menteri Kewangan berkata ia belum diputuskan lagi.

"Belum tentu lagi bila, biar JPA kemukakan pandangan awal....tak semestinya sebelum bajet," katanya.

Ditanya apakah tempoh perkhidmatan Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah, Datuk Seri Zulkipli Mat Noor, akan dilanjutkan, Abdullah berkata beliau akan mengumumkan perkara itu tidak lama lagi.

Kontrak perkhidmatan Zulkipli yang sedang disiasat berikutan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa oleh bekas Pengarah BPR Sabah, Mohamad Ramli Manan, tamat akhir bulan ini.

Sistem penuaian hujan diwajibkan - PM

PUTRAJAYA: Kerajaan akan memperkenalkan undang-undang kecil mewajibkan pemilik premis seperti kilang, bangunan institusi dan banglo memasang sistem penuaian hujan untuk menjimatkan penggunaan air dirawat yang sebenarnya bagi tujuan minuman dan mandian, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata, penggunaan air hujan untuk tujuan lain seperti membersih premis, membasuh kenderaan dan menyiram pokok bukan saja mengurangkan kos penggunaan air tetapi juga mengelak pembaziran air dirawat, sekaligus membantu memulihara sumber air yang semakin terhad.

"Dengan adanya undang-undang kecil itu banyak air boleh dijimatkan dan tidak dibazirkan. Kalau air dirawat diguna untuk basuh kereta, itu satu pembaziran. Kalau diguna untuk menyiram pokok, cuci garaj, kaki lima atau kawasan rumah, ini amat merugikan.

"Kita guna paip yang sepatutnya untuk kita minum dan mandi. Bila diguna untuk tujuan lain maka bil air akan naik. Kita nak penggunaan air yang cekap... Kita nak program kecekapan penggunaan air dan ia menjadi amalan rakyat," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Sumber Air Negara Ketiga di Jabatan Perdana Menteri di sini, semalam.

Hadir sama pada mesyuarat kira-kira tiga jam itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid, dan Menteri Besar serta Ketua Menteri.

Sistem penuaian air membabitkan pemasangan palung untuk mengumpul air dari atap dan paip penyaluran ke tangki simpanan sebelum digunakan untuk pelbagai tujuan.

Abdullah berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sudah diarah menggubal undang-undang kecil itu untuk dibentangkan kepada Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri untuk kelulusan.

Perdana Menteri berkata, premis seperti rumah kecil dan rumah pangsa tidak akan diwajibkan memasang sistem penuaian hujan itu kerana kawasan bumbung yang tidak cukup luas.
"Kita akan kenal pasti kategori bangunan terbabit. Sudah tentu kita perlukan kawasan bumbung yang luas untuk menuai hujan yang mencukupi. Rumah lebih kecil tidak akan diwajibkan kerana ia memerlukan pemasangan palung yang boleh meningkatkan kos membina rumah," katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata program pengurusan lembangan sungai bersepadu membabitkan semua negeri akan dilaksanakan bagi memastikan sumber air mentah utama negara tidak tercemar.

Katanya, pembanterasan pencemaran sungai memerlukan tindakan beterusan jangka masa pendek dan panjang, iaitu membabitkan aspek perundangan dan pendidikan.

"Kita sudah cadangkan langkah yang perlu diambil dan disusuli dengan undang-undang. Kita perlu lihat hasil kajian berkaitan dan kita akan wujudkan undang-undang. Kalau tidak nanti tidak akan ada usaha bersungguh-sungguh untuk mencegah pencemaran sungai," katanya.

Sehubungan itu, katanya, Menteri Besar dan Ketua Menteri diarah mengambil tindakan segera bagi menghentikan penyaluran air kotor, sampah atau sisa industri dari rumah dan kilang ke sungai berhampiran.

Katanya, walaupun negara memilik banyak sungai tetapi sebilangan besar sudah dicemari dan ada yang dikategorikan sebagai mati sehingga tidak boleh digunakan sebagai sumber air mentah.

"Kalau ini dapat diambil tindakan segera bagi seluruh negara, kita akan dapat kurangkan pencemaran sungai. Tindakan merawat sungai yang rosak akan memerlukan perbelanjaan yang begitu besar," katanya sambil menambah pemimpin negeri terbabit diarah memantau secara langsung usaha itu.

Perdana Menteri berkata, mesyuarat Majlis Sumber Air Negara juga bersetuju semua kawasan air bawah tanah di seluruh negara dikenalpasti secara terperinci supaya dapat dijadikan sumber air mentah pada masa depan.

"Ini kawasan sumber air yang penting dan kita mesti dapat maklumat yang diperlukan," katanya.

Sementara itu, Azmi, ketika ditemui pemberita kemudian, berkata program pengurusan lembangan sungai bersepadu itu dapat mengatasi kelemahan penjagaan sungai, termasuk soal bidang kuasa kerajaan negeri bagi sungai yang mengalir merentasi negeri bersempadan.

"Langkah itu penting kerana 17 daripada 189 lembangan sungai diseluruh negara kini amat tercemar," katanya.

Friday, March 23, 2007

PBT tidak boleh jamin - TPM

PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak mungkin dapat memberi jaminan kepada penduduk bencana alam seperti banjir atau tanah runtuh tidak akan di kawasan pentadbiran masing-masing, kata Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, berkata semua PBT sentiasa membuat persediaan bagi menghadapi bencana alam yang tidak dijangkakan.

"Adakala sukar untuk mengagak masalah seperti ini. Kita tak tahu apakah yang sedang berlaku, kita tak boleh beri jaminan itu," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-57 di Jabatan Perdana Menteri di sini, semalam.

eliau diminta mengulas persediaan PBT bagi menghadapi kemungkinan lebih banyak bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh berikutan fenomena hujan lebat sejak minggu lalu.

Rabu lalu, Kampung Kebun Bunga, Batu Tiga, Shah Alam, Selangor, sekali lagi dilanda banjir berikutan hujan lebat seharian.

Kelmarin, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat pula digemparkan dengan kejadian pertama tanah runtuh yang menimbus 25 kenderaan penghuni Pangsapuri Pangsapuri Fasa 11, Presint 9.

Najib berkata, apa yang boleh dilakukan kerajaan ialah melaksanakan beberapa projek bagi mengelak atau mengurangkan kesan bencana alam kepada rakyat.

"Kalau pemindahan terpaksa dilakukan, kita akan buat waktu air naik...sesetengah tempat pula memerlukan tindakan bagi mengurangkan kesan daripada hujan lebat...

"Manakala usaha mengelak banjir itu memerlukan masa...sebahagian projek itu sedang dilaksanakan dan sebahagian lagi akan dimulakan tidak lama lagi," katanya

Mengenai kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu, bahawa Jabatan Kerja Raya sudah memberi amaran berhubung kemungkinan berlakunya keruntuhan di Presint 9, Najib berkata:
"Saya tidak mahu ulas pada masa ini kerana mereka sedang mengadakan analisis teknikal. Kalau kita (pemimpin) buat kenyataan dan bercanggah sesama sendiri, jadi teruk pula."

Negeri setuju kaedah baru kelulusan tanah

PUTRAJAYA: Kerajaan negeri semalam bersetuju meluluskan kaedah baru pemprosesan tanah bagi mempercepatkan kelulusan projek pembangunan kerajaan dan swasta sejajar dasar kerajaan memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan awam, kata Datuk Seri Najib Razak.

Sambil menyifatkan sistem baru itu sebagai anjakan paradigma, Timbalan Perdana Menteri berkata ia antara lain akan membantu menyegerakan pelaksanaaan projek berimpak tinggi bagi meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi negara, dan projek perumahan berdasarkan konsep bina dan jual untuk kepentingan rakyat.

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-57 di Jabatan Perdana Menteri di sini semalam, Najib berkata butiran sistem baru itu akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pada 13 April depan.

"Satu daripada perkara yang disarankan Perdana Menteri dalam konteks penambahbaikan sistem penyampaian kerajaan ialah untuk melihat satu kaedah baru dalam meluluskan projek untuk pembangunan samada projek kerajaan atau swasta, termasuk projek perumahan dan projek berimpak tinggi kerana kaedah sekarang memakan masa terlalu lama," katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri yang menegaskan usaha penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan awam akan terus menjadi matlamat penting dalam teras pentadbirannya bagi meningkatkan iklim pelaburan negara, berkata beliau akan membuat satu pengumuman penting mengenai langkah berkenaan pada tarikh itu.

Berucap pada Persidangan Pelaburan Malaysia 2007 di Kuala Lumpur, Abdullah yang juga Menteri Kewangan berkata penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan awam perlu kerana pelaburan di negara ini semakin bergantung kepada modal insan yang berkualiti tinggi.

Najib berkata, kerajaan negeri juga mempersetujui penggunaan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) yang akan dikendalikan profesional seperti jurutera dan arkitek bagi menggantikan Sijil Layak Menduduki (CFO) yang kini dikendalikan PBT untuk kelulusan bangunan baru mulai April depan.

Katanya, Perdana Menteri juga akan mengumumkan butiran perkara itu pada 14 April depan selepas kerajaan negeri melulus dan mewartakan perkara itu.

"Mesyuarat MNKT juga meluluskan pelantikan Yang Dipertua PBT sebagai Pesuruhjaya Bangunan untuk membolehkan bangunan diselenggara dengan baik, seperti sebelum hak milik strata bangunan diluluskan," katanya.

Saturday, March 10, 2007

Brabus: HItam, Laju, Eksklusif


Oleh Wan Hazmir Bakar



HItam, Laju, Eksklusif. Itulah tiga perkataan yang terpampang dalam iklan satu muka surat di akhbar ketika kempen promosi jenama Brabus yang baru di bawa masuk ke benua Amerika Utara beberapa tahun lalu. Sesungguhnya tiga perkataan itu sudah cukup untuk menyimpul dan menjelaskan sifat kereta Brabus.

Bagi pengasas dan pemilik Brabus, Prof Bodo Buschmann, bukan mudah untuk menceritakan kepada umum kehebatan kereta Brabus melainkan mereka melihat dan memandu uji sendiri atau sekurang-kurangnya menaiki kereta Mercedes-Benz yang menerima sentuhan Brabus.

Menolak tanggapan bahawa Brabus hanyalah satu lagi syarikat penalaan kereta jenama terkenal, beliau menegaskan syarikatnya itu adalah pengeluar terbesar dunia kereta berprestasi tinggi berasaskan kereta mewah Mercedes-Benz dan diiktiraf pihak berkuasa Jerman, Kraftfahrtbundesamt (Agensi Pendaftaran Kenderaan Persekutuan Jerman).

"Brabus adalah kereta istimewa, fokus utama kami ialah enjin dengan menambah tork dan ruang dalaman kulit, inilah dua perkara yang menjadi kunci kejayaan dan asas Brabus.

"Kalau anda pakar kereta anda akan sedar ia kereta apa, tetapi jika anda bukan pakar anda hanya lihat ia Mercedes biasa," katanya ketika ditemubual bersama Naib Presiden Eksekutif Naza Group, SM Faisal SM Nasimuddin, di ibu pejabat dan kilang Brabus di Bottrop, Jerman, baru-baru ini.

Kereta Brabus kini dipasarkan di 96 negara dengan Asia adalah pasaran penting selain Eropah, Amerika Syarikat dan Russia dan jualan tahunannya mencecah 9,500 kereta.

Brabus juga terbabit dalam usaha sama dengan DaimlerChrysler sejak 2002 bagi menghasilkan kereta jenama Smart-Brabus GmbH Brabus juga menawarkan program penalaan kereta Chrysler dan Jeep menerusi anak syarikatnya, Startech, dan khidmat kejuruteraan kepada syarikat automotif lain seperti General Motors Corporation, Kia dan Hyundai.

Mengimbau sejarah penubuhan Brabus pada 1977, Prof Buschmann berkata idea itu lahir selepas sekian lama mengagumi kehebatan kereta mewah Mercedes-Benz yang menjadi ikon dan kebanggaan kejuruteraan permotoran Jerman.

Katanya, ibu bapanya adalah pengedar kereta Mercedez-Benz dan apabila dewasa beliau mengikut jejak mereka dengan menceburi perniagaan sama.

"Brabus bermula 30 tahun lalu ketika saya masih muda. Saya mempunyai idea bahawa Mercedes-Benz boleh menjadi lebih sporty pada masa itu," kata lulusan pengajian undang-undang dan ekonomi itu.

Walaupun tanpa kelulusan kejuruteraan, Buschmann sering mengejutkan jurutera enjin dan hiasan dalaman syarikatnya dengan memberi idea mengagumkan bagi menukar kereta Mercedes-Benz kepada kereta Brabus yang hebat.

"Setiap hari saya akan memikirkan apa yang perlu dibuat dengan kereta Brabus kerana setiap negara mempunyai keperluan berbeza dan kereta Brabus mesti berfungsi dengan baik walau di mana saja," katanya.

Bagi Buschmann warna hitam melambangkan keanggunan dan itulah menjadi identiti asal kereta Brabus yang menjadi ikutan kereta jenama lain walaupun kini warna perak dan putih sudah mula diinginkan pembeli Brabus.

"Anda boleh mengatakan kamilah yang mempopularkan kereta berwarna hitam. Saya masih ingat lagi di Pameran Motor Essen 30 tahun lalu apabila kami pertama kali mempamerkan kereta berprestasi tinggi berwarna hitam, lebih-lebih lagi apabila ia diletakkan di pondok pameran berwarna putih," katanya.

Apa yang menjadi kebanggaan Buschmann ialah keupayaan kejuruteraan syarikatnya menjadikan kereta mewah Mercedes-Benz kereta Brabus yang anggun lagi laju.

Brabus kini memegang rekod kereta sedan paling laju di dunia menerusi model Brabus CLS-Rocket yang mencatatkan kelajuan 365.7 kilometer sejam (km/j) dalam ujian di Nardo, Itali, pada 20 Oktober lalu.

Malah ia mencipta rekod kereta sedan paling laju di dunia sejak 1996 lagi apabila model Brabus E V12 mencatatkan kelajuan 330 (km/ j) dan sekali lagi pada 2003 dengan kelajuan 350.2 km/j.

Namun keanggunan dan kelajuan saja tidak memadai bagi Buschmann kerana beliau faham pemilik kereta mewah berprestasi tinggi mahukan sesuatu yang berbeza dan cita rasa eksklusif, itulah menjadi keutamaan Brabus.

Kemewahan ruang dalaman kereta Mercedes-Benz dipertingkatkan lagi dengan penggunaan kulit lebih bermutu tinggi dan penambahan aksesori terkini seperti sistem perhubungan dan multimedia untuk urusan perniagaan dan hiburan.

"Sekarang banyak pakaian dibuat khas tetapi tidak banyak kasut yang dibuat khas. Saya memahami keadaan ini dan Brabus seolaholah membuat kasut khas," katanya menggunakan analogi mudah bagi membezakan kereta Brabus dengan jenama terkenal lain.

Segala "keajaiban" kereta Brabus dijelmakan di kilang dan pusat pengurusan yang terletak di kawasan seluas 112,000 meter persegi di Brabus Allee, Bottrop, Jerman, yang dilengkapi 85 ruang kerja dan kemudahan penyimpanan seluas 105,000 meter padu yang serba canggih.

Seorang jurutera dipertanggungjawabkan bagi setiap kereta Brabus yang dihasilkan dan tandatangan beliau akan diturunkan pada lencana enjin. Ujian teliti dilakukan bagi memastikan kereta Brabus bukan saja berkuasa tetapi juga selamat dan mesra alam.

Tahap kejuruteraan yang tinggi ini menuntut rakan teknologi Brabus seperti Aral, Pirelli dan Yokohama membekalkan komponen yang menepati keperluannya.

Brabus yang memiliki pensijilan kualiti ISO 9001 adalah satusatunya syarikat penalaan kereta yang mampu memberi jaminan selama tiga tahun untuk setiap kereta yang dihasilkan.

Kehebatan kereta Brabus disimpulkan SM Faisal sebagai "kemewahan dalam prestasi terunggul" kerana ia mengekalkan ciri kemewahan dan keanggunan kereta Mercedes-Benz yang dipertingkatkan prestasinya.

Justeru, tidak hairanlah jika kereta Brabus menjadi pilihan bukan saja ahli perniagaan terkemuka tetapi juga golongan bangsawan dan kerabat diraja seperti yang akan dibisikkan dengan bangganya kalangan pengurusan Brabus di Bottorp:

"Kalau anda ke istana di seluruh dunia, pasti anda akan menemui kereta Brabus di sana."